Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan format baharu bagi pentaksiran Matematik sekolah menengah di bawah Pelan Hala Tuju Pendidikan Matematik Malaysia (RTPMM) dan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027).
Mulai tahun 2027, peperiksaan Matematik sekolah menengah akan dijalankan menggunakan dua pendekatan utama: Bahagian Tanpa Kalkulator dan Bahagian Dengan Kalkulator.
Rujuk perinciannya di bawah.
Format Baharu Matematik KPM 2027
Kertas peperiksaan Matematik sekolah menengah akan dibahagikan kepada dua bahagian bermula tahun 2027, iaitu:
- Tanpa kalkulator: Fokus pada penguasaan konsep, pengiraan mental dan pemikiran logik.
- Dengan kalkulator: Fokus pada penyelesaian masalah kompleks dan situasi kehidupan sebenar.
| Ciri-Ciri | Bahagian Tanpa Kalkulator | Bahagian Dengan Kalkulator |
|---|---|---|
| Fokus Utama | Menguji kemahiran mengira asas, kefahaman konsep, aritmetik mental, dan membuat anggaran. | Menguji penyelesaian masalah kompleks, aplikasi kehidupan sebenar, dan formula lanjutan. |
| Objektif KPM | Merangsang pemikiran kreatif, kritis, dan reflektif tanpa bantuan teknologi elektronik. | Memastikan murid fasih menggunakan teknologi untuk analisis data yang besar atau rumit. |
Pentaksiran tanpa kalkulator diperkenalkan dalam PBD sekolah menengah mulai 2027 ini dan akan diperluas ke SPM pada 2031.
Mengapa KPM Memperkenalkan Ujian Matematik Tanpa Kalkulator?
Langkah KPM ini sejajar dengan trend pendidikan global yang mahu melahirkan murid yang bukan sahaja tahu “menekan butang”, tetapi faham logik di sebalik nombor.
- Memantapkan Aritmetik Mental (Mencongak): Keupayaan mengira dengan pantas di dalam kepala membantu membina struktur otak yang lebih aktif.
- Meningkatkan Keyakinan Terhadap Nombor: Murid yang menguasai kemahiran tanpa kalkulator didapati lebih mudah menguasai subjek STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik).
- Persediaan Sukatan Pelajaran 2027: Kurikulum baharu (KP2027) menekankan pembelajaran berasaskan kompetensi, di mana pemahaman konsep mendalam lebih diutamakan berbanding hafalan formula semata-mata.

Kumpulan Murid yang Terlibat
- Format baharu ini akan bermula secara rasmi pada tahun 2027 untuk murid Tingkatan 1.
- Murid yang berada di Tingkatan 2 hingga Tingkatan 6 pada tahun 2027 tidak terlibat dengan perubahan format ini.
Tips Persediaan Murid & Ibu Bapa
Berikut adalah tips mudah untuk ibu bapa dan murid bersedia menghadapi format baharu Matematik KPM tanpa kalkulator ini:
Untuk Murid
- Kuasai Sifir 1 hingga 12: Sifir adalah “senjata” paling penting. Kalau kuasai sifir, jalan pengiraan akan jadi sangat laju dan mudah.
- Gunakan kertas conteng secara bijak: Walaupun tanpa kalkulator, murid masih dibenarkan menulis di kertas soalan. Latih diri untuk membuat jalan kerja pendek (bentuk lazim) dengan kemas dan cepat.
- Fokus & Kekal Tenang: Baca arahan dan fahami konsep soalan terlebih dahulu. Jawab dengan fokus dan tenang.
- Buat Latihan Tanpa Kalkulator: Biasakan diri buat latihan tanpa menggunakan kalkulator untuk membantu anda mengira dan berfikir dengan cepat.
- Belajar teknik “Genapkan Nombor”: Untuk tambah nombor dengan cepat, genapkan nombor tersebut. Contohnya, untuk kira 29 + 45, tukarkan dalam kepala menjadi 30 + 44 = 74.
Untuk Ibu Bapa (Cara Bantu Anak di Rumah)
- Jadikan sifir sebagai lagu atau permainan: Jangan paksa anak hafal secara bosan. Main teka-teki sifir masa dalam kereta atau gunakan video lagu sifir yang menyeronokkan di YouTube. Beli poster dan tampal di tempat yang anak boleh tengok setiap hari.
- Latihan pendek tapi konsisten: Sediakan 5 hingga 10 soalan matematik mudah setiap hari. Cukup sekadar 5 minit sehari sebelum atau selepas makan untuk latih otak mereka bergerak pantas.
- Gunakan situasi harian (Real-life math): Semasa membeli-belah, minta anak kirakan jumlah harga barang atau baki duit secara mencongak. Contohnya: “Kalau harga biskut ini RM3.40 dan susu RM4.60, berapa jumlahnya?”
- Puji usaha, bukan jawapan sahaja: Jika anak tersilap kira, jangan marah. Bantu mereka cari di mana silapnya supaya mereka tidak takut dengan nombor.
Maklumat Lanjut & Soalan Lazim Ujian Matematik KPM Tanpa Kalkulator
Untuk maklumat lanjut, anda boleh rujuk pengumuman dan dokumen dasar pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui:
- Laman Maklumat RTPMM 2026-2035 di Bahagian Pembangunan Kurikulum
- Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia
Tidak. Peperiksaan Matematik sekolah menengah akan menggunakan format dwi-kaedah. Kertas soalan akan terbahagi kepada dua komponen: Bahagian Tanpa Kalkulator (untuk menguji kecekapan mental dan konsep) serta Bahagian Dengan Kalkulator (untuk penyelesaian masalah yang rumit).
Tidak. Format dwi-kaedah ini dikuatkuasakan untuk peringkat sekolah menengah bermula tahun 2027 (dimulai dengan murid Tingkatan 1).
Tidak. Format baharu di bawah Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) dan Pelan Transformasi Matematik ini hanya melibatkan murid yang memasuki Tingkatan 1 pada tahun 2027. Murid Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5 pada tahun tersebut akan meneruskan sukatan pelajaran sedia ada.




