Caruman KWSP – Panduan Penting Setiap Pekerja Perlu Tahu!

cauman kwsp
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Caruman KWSP adalah caruman yang wajib dibuat oleh majikan bagi setiap individu yang bekerja di Malaysia yang terdiri daripada syer majikan dan syer pekerja.

Kewajipan undang-undang ini termaktub dengan jelas di bawah Seksyen 43(1) Akta KWSP 1991 di mana setiap majikan dan pekerja bertanggungjawab untuk membayar caruman bulanan berdasarkan kadar yang telah ditetapkan dalam Jadual Ketiga akta tersebut.

Bukan warganegara Malaysia je wajib carum KWSP, kerajaan sekarang ni (bermula pada 1 Oktober 2025) pun dah wajibkan caruman KWSP atas pekerja bukan warganegara (pekerja asing).

Tapi, sebenarnya ramai yang kurang faham berapa persen sebenarnya gaji yang ditolak, duit KWSP tu masuk ke mana, kalau majikan tak bayar KWSP boleh buat aduan ke dan sebagainya.

Jom rujuk info lebih lanjut mengenai caruman KWSP, berapa % caruman KWSP daripada gaji, caruman majikan dan maklumat penting lain yang berkaitan di bawah.

Apa Itu Caruman KWSP?

Caruman KWSP adalah potongan gaji mandatori yang terdiri daripada syer pekerja dan syer majikan yang mesti dicarumkan dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Majikan diwajibkan membayar caruman berdasarkan kadar peratusan sedia ada yang telah ditetapkan di bawah Jadual Ketiga, Akta KWSP 1991.

Majikan hendaklah membayar caruman untuk sesuatu bulan upah pada atau sebelum 15 haribulan bulan berikutnya.

Caruman wajib dikira berdasarkan amaun upah bulanan mengikut Kadar Caruman Bulanan (Jadual Ketiga).

Rujuk kadar caruman bulanan Jadual Ketiga di www.kwsp.gov.my

Siapa Wajib Carum KWSP?

Individu yang wajib mencarum KWSP ialah mana-mana individu yang diambil bekerja oleh majikan di bawah suatu Kontrak Perkhidmatan (Contract of Service) atau Perantisan (Apprenticeship).

Berdasarkan penerangan dalam portal KWSP, majikan bertanggungjawab membuat caruman KWSP jika anda diambil bekerja di bawah kontrak perkhidmatan atau perantisan. Ini termasuk:

  • Pekerja tetap, kontrak, sambilan, sementara dan pekerja dalam tempoh percubaan.
  • Pengarah syarikat sekiranya dibayar upah/ganjaran bagi perkhidmatan yang diberi kepada syarikat berkenaan.
  • Pekerja yang telah mengeluarkan simpanan di bawah Pengeluaran Hilang Keupayaan yang telah pulih kesihatannya dan bekerja semula dalam mana-mana pekerjaan.
  • Pekerja yang telah mengeluarkan simpanan di bawah Pengeluaran Umur dan masih bekerja sebelum mencapai umur 75 tahun.
  • Pekerja yang telah diberi taraf berpencen tetapi bekerja dengan mana-mana majikan selain daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau mana-mana pihak berkuasa berkanun atau tempatan.
  • Pekerja yang telah mengeluarkan simpanan di bawah Pengeluaran Pekerja Berpencen dan kembali bekerja semula selepas umur persaraan di bawah satu kontrak dengan mana-mana majikan.
  • Pekerja yang bukan warganegara Malaysia yang memegang pas imigresen yang sah dan yang secara sah diambil bekerja di bawah kontrak perkhidmatan atau perantisan.

Pastikan potongan caruman dibuat walaupun upah anda dibayar secara bulanan, mingguan, atau harian. 

Caruman KWSP
Sumber: KWSP

Maksud Majikan

Majikan ialah individu atau entiti yang mempunyai kontrak perkhidmatan atau perantisan dengan pekerja.

Majikan merangkumi:

  • Pengurus, ejen atau orang yang bertanggungjawab bagi pembayaran gaji atau upah kepada seseorang ‘pekerja’.
  • Mana-mana kumpulan orang sama ada atau tidak berkanun atau diperbadankan.
  • Mana-mana Kerajaan, jabatan kerajaan, badan-badan berkanun, pihak-pihak berkuasa tempatan atau badan-badan lain yang dinyatakan di dalam Jadual Kedua, Akta KWSP 1991.

Maksud Pekerja, Kontrak Perkhidmatan (Contract of Service) atau Perantisan (Apprenticeship)

  • Bermaksud orang yang diambil bekerja oleh majikan di bawah suatu kontrak perkhidmatan atau perantisan yang perihalannya tidak dimasukkan di dalam Jadual Pertama, Akta KWSP 1991.
  • Kontrak perkhidmatan atau perantisan boleh dibuat secara bertulis atau lisan, nyata atau tersirat.
  • “Kontrak Perkhidmatan” ialah satu perjanjian di mana seseorang bersetuju untuk mengambil bekerja seseorang lain sebagai pekerja dan orang lain itu bersetuju untuk berkhidmat dengan majikannya sebagai pekerja.
  • “Kontrak Perantisan” ertinya sesuatu kontrak bertulis yang dibuat oleh seseorang dengan seorang majikan yang mengaku janji untuk mengambil kerja orang itu dan melatih atau menyebabkannya dilatih secara sistematik bagi sesuatu pekerjaan selama suatu tempoh tertentu yang diluluskan oleh majikan yang dalam perjalanan latihan itu perantis itu terikat untuk bekerja dalam perkhidmatan majikan itu. (Rujuk definisi Perantisan – Akta Kerja 1955)
  • Umur minimum: Umur pekerjaan adalah tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966.
  • Umur maksimum: 75 Tahun

Bagaimana Caruman KWSP Dikreditkan?

Caruman wajib akan dikreditkan mengikut pecahan berikut:

  • Akaun Persaraaan: 75%
  • Akaun Sejahtera: 15%
  • Akaun Fleksibel: 10%

Ahli yang telah mencapai umur 55 tahun akan mempunyai dua akaun:

  • Akaun 55 ialah gabungan Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera, dan Akaun Fleksibel dan ia boleh dikeluarkan pada bila-bila masa setelah ahli mencapai umur 55 tahun.
  • Akaun Emas ialah akaun yang diwujudkan setelah ahli mencapai umur 55 tahun. Mana mana caruman yang diterima selepas ahli mencapai umur tersebut akan dikreditkan ke akaun ini dan hanya boleh dikeluarkan setelah mencapai umur 60 tahun.

Sumber rujukan: KWSP

Berapa % Potongan Gaji Pekerja & Caruman Majikan KWSP?

Kadar caruman KWSP yang ditetapkan oleh kerajaan adalah seperti berikut:

Kategori 1: Warganegara (Warga Emas)

  • Khusus untuk pekerja warganegara berumur 60 tahun ke atas (tanpa mengira jumlah gaji):
    • Pekerja: 0% (Gaji pekerja langsung tidak dipotong).
    • Majikan: 4% (Syarikat sahaja yang tolong tambah simpanan).

Kategori 2: Warganegara, PR, & Pekerja Asing (Daftar Sebelum 1 Ogos 1998)

  • Kadar caruman dikira mengikut tangga gaji bulanan:
  • Gaji RM5,000 dan ke bawah:
    • Bawah 60 tahun: Pekerja (11%), Majikan (13%)
    • 60 tahun ke atas: Pekerja (5.5%), Majikan (6.5%)
  • Gaji Melebihi RM5,000:
    • Bawah 60 tahun: Pekerja (11%), Majikan (12%)
    • 60 tahun ke atas: Pekerja (5.5%), Majikan (6%.)

Kategori 3: Pekerja Asing Baru (Daftar Mulai 1 Ogos 1998)

  • Bagi semua pekerja bukan warganegara tanpa mengira jumlah gaji atau umur:
    • Pekerja: 2%.
    • Majikan: 2%.

    NOTA:

    • Majikan boleh menggunakan Kalkulator Majikan untuk mengira jumlah caruman bagi seorang pekerja.
    Caruman KWSP
    Sumber: KWSP

      Adakah Caruman KWSP Dipotong Daripada Gaji Pokok Sahaja atau Termasuk Elaun?

      Caruman KWSP bukan dipotong daripada gaji pokok sahaja, sebaliknya dikira berdasarkan takrifan “upah” yang merangkumi hampir semua bayaran tunai kepada pekerja.

      Anda boleh rujuk bayaran yang dikenakan caruman KWSP seperti berikut:

      Bayaran Yang Dikenakan Caruman KWSP

      1. Gaji
      2. Bayaran bagi cuti rehat tahunan dan cuti sakit yang tidak digunakan
      3. Bonus
      4. Elaun
      5. Komisen
      6. Upah bagi cuti separuh gaji
      7. Insentif
      8. Tunggakan upah
      9. Upah bagi cuti bersalin
      10. Upah bagi cuti belaja
      11. Bayaran-bayaran lain di bawah kontrak perkhidmatan atau sebaliknya
      Caruman KWSP
      Sumber: KWSP

      Bayaran Yang Tidak Dikenakan Caruman KWSP pula adalah:

      1. Caj perkhidmata
      2. Bayaran kerja lebih masa
      3. Ganjaran
      4. Faedah persaraan
      5. Faedah pengurangan pekerja, pemberhentian sementara atau penamatan
      6. Mana-mana elaun perjalanan atau nilai mana-mana konsesi perjalanan
      Caruman KWSP
      Sumber: KWSP

      Bolehkah Kalau Majikan Tak Buat Caruman KWSP?

      TIDAK BOLEH.

      Sekiranya majikan tidak membuat caruman KWSP untuk pekerja yang menepati syarat untuk caruman KWSP, ia adalah satu kesalahan jenayah di bawah undang-undang Malaysia.

      Di bawah Akta KWSP 1991, majikan yang ingkar boleh didakwa di dengan kesalahan berikut:

      SeksyenKesalahanPenalti
      41(1)Kegagalan mendaftar dengan KWSP sebagai majikan dalam masa 7 hari setelah mengambil pekerja.Penjara tidak lebih 3 tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
      43(2)Kegagalan membayar caruman KWSP pada atau sebelum 15hb.Penjara tidak lebih 3 tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
      59(a)Kesalahan memberi penyataan palsu secara lisan atau bertulis.Penjara tidak lebih 3 tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.
      48(3)Memotong caruman syer pekerja daripada gaji pekerja dan gagal membayar kepada KWSP.Penjara tidak lebih 6 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
      47(1) & 47(2)Memotong atau cuba memotong caruman syer majikan daripada gaji pekerja.Penjara tidak lebih 6 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
      41(3)Kegagalan memaklumkan KWSP dalam tempoh 30 hari dari tarikh tiada pekerja.Penjara tidak lebih 6 bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.
      42(1)Kegagalan menyedia dan memberikan slip gaji kepada pekerja.Penjara tidak lebih 6 bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.
      46(1)Kegagalan Pengarah Syarikat, Rakan Kongsi Firma, Pemegang Jawatan Persatuan membayar caruman KWSP yang tertunggak.Tuntutan boleh difailkan di mahkamah dan tindakan yang boleh diambil:
      a) Tindakan kebankrapan
      b) Penyitaan dan penjualan aset
      c) Larangan Keluar Negara;
      Seksyen 39 – Lembaga KWSP boleh memohon kepada Jabatan Imigresen untuk menghalang mana-mana pengarah syarikat/perkongsian firma/pemilik perniagaan dari keluar Negara jika syarikat/firma berkenaan gagal membayar caruman seperti mana yang ditetapkan.

      Bagaimana Cara Nak Semak Majikan Buat Caruman KWSP atau Tidak?

      Sebenarnya mudah je nak semak majikan betul-betul buat caruman KWSP ataupun tidak. Anda boleh cuba cara di bawah untuk membuat semakan:

      1. Semak melalui Aplikasi KWSP (i-Akaun).
      2. Muat turun Penyata Saya (My Statement) melalui portal rasmi i-Akaun KWSP untuk membuat semakan transaksi.

      Anda juga boleh hadir ke mana-mana Cawangan Fizikal KWSP atau premis bank terpilih yang menyediakan mesin Kiosk KWSP.

      Masukkan Kad Pengenalan (MyKad) anda pada mesin dan imbas cap jari (biometric verification). Kemudian, pilih menu semakan penyata untuk mencetak salinan transaksi caruman bulanan anda secara percuma.

      NOTA: Pastikan angka potongan 11% yang ditolak pada slip gaji adalah sama nilainya dengan angka “Syer Pekerja” yang masuk ke dalam akaun KWSP anda.

      Apa Perlu Dilakukan Jika Majikan Tidak Mencarum KWSP?

      Jangan berdiam diri jika anda mendapati majikan memotong gaji tetapi tidak memasukkannya ke akaun KWSP, atau langsung tidak mencarum.

      Caruman KWSP adalah hak berkanun anda yang dilindungi oleh Seksyen 43(1) Akta KWSP 1991.

      Buat laporan di mana-mana pejabat KWSP berdekatan anda dan sediakan maklumat berikut beserta dokumen sokongan:

      • Maklumat peribadi anda seperti nama, nombor Dokumen Pengenalan Diri, dan nombor ahli KWSP
      • Nama, nombor, dan alamat majikan
      • Kontrak perkhidmatan di antara anda dan majikan tersebut, jika ada
      • Tempoh anda bekerja dengan majikan berkenaan
      • Jumlah gaji yang dibayar kepada anda
      • Jumlah caruman KWSP yang dipotong daripada gaji anda
      • Salinan penyata gaji anda yang menunjukkan potongan caruman KWSP
      • Borang Pengaduan Kegagalan Majikan Mencarum – Borang KWSP 1879
      • Dokumen lain yang berkaitan, jika ada

      Anda PERLU mengemukakan aduan mengenai perkara ini sekiranya berlaku:

      • Majikan tidak memotong caruman KWSP daripada gaji anda semasa pembayaran gaji bulanan;
      • Majikan langsung tidak membuat caruman sama ada syer pekerja atau syer majikan;
      • Majikan membuat potongan daripada gaji pekerja, tetapi tidak mencarum potongan tersebut;
      • Majikan membuat caruman yang tidak tepat;
      • Majikan membayar kurang atau terdapat perbezaan caruman berbanding potongan yang dibuat;
      • Majikan menggunakan kadar caruman yang salah, tidak mengikut Jadual Ketiga, Akta KWSP 1991;
      • Majikan membuat caruman yang betul tetapi tetapi bukan dalam tempoh masa yang ditetapkan; dan sebagainya.

      Sumber info: KWSP

        Caruman KWSP
        Sumber: Facebook KWSP

        Caruman KWSP
        Sumber: Facebook KWSP

        Caruman KWSP
        Sumber: Facebook KWSP

        Maklumat Lanjut

        Untuk dapatkan maklumat lanjut dan info terkini mengenai caruman KWSP, sila rujuk:

        1. Portal rasmi KWSP
        2. Facebook KWSP
        3. Talian: 03-8922 6000

        BACA JUGA:

        Soalan Lazim Caruman KWSP

        Adakah pekerja dalam tempoh percubaan (probation) wajib dicarum KWSP?

        Ya, wajib. Di bawah Akta KWSP 1991, status probation tidak mengecualikan majikan daripada tanggungjawab mencarum KWSP.

        Bolehkah pekerja memilih untuk mencarum lebih daripada kadar standard 11%?

        Boleh. Pekerja boleh memohon untuk menaikkan kadar caruman syer pekerja melebihi kadar berkanun (contohnya dinaikkan kepada 13% atau 15%) dengan mengisi Borang KWSP 17A (Khas).

        Berapakah had umur maksimum untuk caruman wajib KWSP?

        75 tahun.

        Jika saya bekerja sebagai pekerja bebas (freelancer), bolehkah saya mencarum KWSP?

        Boleh, tetapi secara sukarela di bawah program i-Saraan.

        Bagaiman cara semak caruman KWSP saya?

        Anda boleh menyemak caruman dalam Penyata KWSP atau melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau portal web i-Akaun (Ahli). Pastikan caruman anda dikreditkan dengan betul ke akaun anda.

        Berapakah kadar peratusan caruman KWSP terkini?

        Kadar caruman KWSP yang ditetapkan oleh kerajaan adalah seperti berikut:

        Kategori 1: Warganegara (Warga Emas)
        Khusus untuk pekerja warganegara berumur 60 tahun ke atas (tanpa mengira jumlah gaji):
        Pekerja: 0% (Gaji pekerja langsung tidak dipotong).
        Majikan: 4% (Syarikat sahaja yang tolong tambah simpanan).

        Kategori 2: Warganegara, PR, & Pekerja Asing (Daftar Sebelum 1 Ogos 1998)
        Kadar caruman dikira mengikut tangga gaji bulanan:

        Gaji RM5,000 dan ke bawah:
        Bawah 60 tahun: Pekerja (11%), Majikan (13%)
        60 tahun ke atas: Pekerja (5.5%), Majikan (6.5%)

        Gaji Melebihi RM5,000:
        Bawah 60 tahun: Pekerja (11%), Majikan (12%)
        60 tahun ke atas: Pekerja (5.5%), Majikan (6%.)

        Kategori 3: Pekerja Asing Baru (Daftar Mulai 1 Ogos 1998)
        Bagi semua pekerja bukan warganegara tanpa mengira jumlah gaji atau umur:
        Pekerja: 2%.
        Majikan: 2%.

        Bilakah tarikh akhir majikan perlu membayar caruman bulanan?

        Majikan wajib membuat bayaran selewat-lewatnya pada 15 haribulan pada bulan berikutnya. Sebagai contoh, caruman bagi upah bulan Mei mesti dibayar sebelum atau pada 15 Jun. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan majikan dikenakan denda atau tindakan undang-undang di bawah Seksyen 43(2) Akta KWSP 1991.

        Adakah pekerja asing/bukan warganegara diwajibkan mencarum?

        Ya, pekerja asing yang bekerja secara sah di Malaysia diwajibkan mencarum dengan kadar caruman tetap pekerja sebanyak 2%.

        Follow eCentral di WhatsApp Channel
        Ikut