Opens in a new tab
Anda mungkin layak menerima bantuan.
Semak Sekarang!

Kementerian Pendidikan (KPM) telah membuka permohonan bagi guru-guru yang sedang berkhidmat di sekolah-sekolah terintang yang layak untuk mengemukakan permohonan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Pendidikan Sekolah Terintang bagi Ambilan Tahun 2027 dan permohonan boleh dibuat menerusi pautan https://epenawaran.moe.gov.my.

Berikut adalah maklumat dan info lanjut mengenai HLP ini.

Mengenai HLP Pendidikan Sekolah Terintang

Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Pendidikan Sekolah Terintang merupakan penajaan atau laluan khas daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberikan peluang kepada guru-guru yang sedang berkhidmat di sekolah-sekolah terintang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Master) dan Kedoktoran (PhD).

Penajaan ini merupakan sebahagian daripada usaha KPM untuk meningkatkan kompetensi, ilmu, dan profesionalisme warga pendidik yang berkhidmat di kawasan atau kategori sekolah yang mempunyai cabaran tersendiri.

Untuk makluman, kategori sekolah terintang adalah seperti berikut:

  • Sekolah Orang Asli
  • Sekolah di kawasan pulau dan pedalaman
  • Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih
  • Program Sekolah Dalam Hospital
  • Program Sekolah Model Khas
  • Program Sekolah Komprehensif 9
  • Program Sekolah Model Khas Komprehensit 11
  • Program Khas Pendidikan Manusiawi
  • Program Bimbingan Jalinan Kasih

Tarikh Permohonan

Tarikh permohonan dibuka mulai 11 November 2026 (Rabu), jam 10.00 pagi hingga 24 November 2026 (Selasa), jam 5.00 petang.

Syarat Permohonan

Syarat permohonan untuk memohon HLP ini adalah seperti berikut:

  1. Warganegara Malaysia
  2. Mempunyai kelayakan ijazah pertama yang diiktiraf atau kelayakan yang setaraf dengannya.
  3. Berpengalaman selari dengan bidang yang dimohon serta perancangan laluan kerjaya pada masa hadapan.
  4. Pengajian adalah sepenuh masa.
  5. BELUM memulakan pengajian.
  6. Setiap bidang pengkhususan mempunyai syarat yang telah ditetapkan.
  7. Had umur pada 1 Januari 2027 tidak melebihi 50 tahun bagi Sarjana dan 45 tahun bagi Kedoktoran Falsafah (PhD) dan Kedoktoran Pendidikan (EdD).
  8. Berkhidmat sekurang-kurangnya empat tahun (lantikan selewat-lewatnya Januari 2023) pada tarikh tutup permohonan.
  9. Berkhidmat secara TETAP dan TELAH DISAHKAN dalam skim perkhidmatan terkini pada tarikh tutup permohonan.
  10. Purata Markah PBPPP:
    – 85% dan ke atas bagi tempoh genap tiga tahun berturut-turut (2024, 2025, 2026) dalam skim perkhidmatan terkini
    – Genap 12 bulan
    – Jika masih belum menerima markah 2026, boleh mengemukakan markah 2023, 2024, 2025
    – Jika PPP pernah diluluskan program penajaan/cuti belajar KPM dalam tempoh tersebut, sila kemukakan PBPPP tahun sebelum/selepas tempoh program penajaan/cuti belajar KPM.
  11. Wajib melengkapkan suntikan sekurang-kurangnya dua dos vaksin COVID-19.
  12. Disokong dan diperaku oleh Ketua Jabatan.
  13. Belum memiliki kelayakan ijazah lanjutan pada peringkat yang sama tanpa mengira bidang pengkhususan. Jika calon didapati sedang atau telah mempunyai kelayakan ijazah lanjutan, KPM berhak membatalkan atau menarik balik tawaran/kelulusan tanpa sebarang notis.
  14. Bersih daripada pertuduhan/tindakan tatatertib dan bebas daripada kes mahkamah.
  15. Telah mengisytiharkan harta melalui sistem HRMIS (sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun).
  16. Tidak tersenarai dalam senarai hitam KPM, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) atau badan-badan peminjam kerajaan yang lain.
  17. Diwajibkan memilih bidang pengajian/pengkhususan yang ditawarkan sahaja, namun senarai universiti yang dinyatakan bagi setiap bidang pengajian/pengkhususan hanyalah sebagai rujukan sahaja. Calon boleh memilih universiti selain daripada yang dinyatakan dalam senarai dengan syarat bidang pengajian/pengkhususan yang ditetapkan oleh KPM turut ditawarkan di universiti pilihan tersebut.
  18. Menyediakan Kertas Cadangan dan Slaid Pembentangan dalam Bahasa Melayu/Bahasa Inggeris dan dibawa semasa sesi temu duga (sekiranya terpilih).
  19. Tempat pengajian dalam negara.
  20. Struktur/Mod Pengajian adalah seperti berikut:
    – Campuran/ Penyelidikan/ Kerja Kursus: Sarjana
    – Penyelidikan: Kedoktoran Falsafah (PhD)
    – Campuran/Kerja Kursus: Kedoktoran Pendidikan (EdD)
  21. LAYAK mendapat kemudahan cuti belajar.
  22. Tertakluk kepada mod dan tempoh pengajian yang ditetapkan oleh universiti/kelayakan yang bersesuaian
    – Sarjana: 4 semester
    – Kedoktoran (PhD/EdD): 6 atau 7 semester
  23. Kemasukan ke universiti adalah untuk pengajian sesi 2027 atau mana-mana sesi kemasukan yang ditetapkan oleh Kementerian.
  24. Mematuhi syarat genap tempoh tamat mengikuti kursus jangka panjang/sederhana yang terdahulu (dengan kemudahan program penajaan/cuti belajar KPM) dengan jayanya.

Syarat-Syarat Lain

Syarat-syarat lain ditetapkan kepada permohonan Ijazah Sarjana Kaunseling (Penyalahgunaan Dadah) [SPADA] iaitu:

  1. Program SPADA bertujuan melahirkan guru terlatih dan berkepakaran dalam menangani masalah dalam kalangan pelajar terutamanya melibatkan penyalahgunaan dadah di sekolah. Fokus pengajian program ini adalah untuk memberi penekanan kepada elemen pencegahan dadah.
  2. PPP hendaklah memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang seperti yang berikut:
    (a) Kaunseling/Bimbingan dan Kaunseling;
    (b) Psikologi;
    (c) Pendidikan Islam;
    (d) Pendidikan Sivik;
    (e) Pendidikan Moral; atau
    (f) Pendidikan Jasmani dan Kesihatan; atau

    – Guru yang memegang jawatan sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling lantikan dalaman dalam sekurang-kurangnya tiga tahun; atau

    – Guru yang memegang jawatan sebagai Ketua Guru Disiplin dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun.
  3. PPP perlu bersedia ditempatkan semula di mana-mana bahagian/jabatan/ institusi di bawah KPM setelah tamat pengajian mengikut keperluan KPM.

Syarat Kelayakan Akademik

Syarat kelayakan akademik adalah seperti berikut:

i- Sarjana

Purata Nilaian Gred Kumulatif (PNGK) atau setarafTempoh Minimum Pengalaman Bekerja sehingga Januari 2027
2.00 – 2.4910 tahun
2.50 – 2.995 tahun
3.00 dan ke atas4 tahun

ii- PhD/EdD

Purata Nilaian Gred Kumulatif (PNGK) atau setarafTempoh Minimum Pengalaman Bekerja sehingga Januari 2027
Lulus Peringkat Sarjana4 tahun

Pegawai Tidak Layak Memohon

Pegawai yang tidak layak memohon adalah seperti berikut:

  • Pegawai yang sedang dalam program penajaan/cuti belajar KPM atau mana-mana penaja lain.
  • Pegawai yang masih belum genap tempoh tamat kursus jangka panjang/sederhana; atau
  • Pegawai yang disenarai hitamkan oleh KPM, JPA atau badan-badan peminjam kerajaan yang lain.

Cara Memohon

Permohonan boleh dibuat menerusi laman web https://epenawaran.moe.gov.my.

Panggilan Temu Duga

Bagi pemohon yang layak, mereka akan dipanggil temu duga dan pemohon perlu membawa dokumen-dokumen berikut:

  • Kad Pengenalan
  • Surat asal tawaran pelantikan DG9 (DG41/42)
  • Surat asal pengesahan pelantikan DG9 (DG41/42)
  • Surat asal pengesahan dalam perkhidmatan DG9 (DG41/42)
  • Sijil asal ijazah sarjana muda dan sijil asal ikhtisas (DPLI/KPLI/Sijil Perguruan/Diploma Perguruan) atau Sijil asal ijazah sarjana muda perguruan/pendidikan
  • Sijil asal ijazah sarjana; dan
  • Pengesahan Markah PBPPP yang disahkan oleh Ketua Jabatan/Pengetua/Guru Besar

Soalan Lazim

Siapakah yang layak memohon program penajaan/cuti belajar KPM ini?

Semua PPP lantikan SPP yang ketua perkhidmatannya adalah Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) dan telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Bagaimanakah cara terbaik untuk saya memilih bidang pengajian yang ingin diikuti?

Anda perlu memastikan bidang yang dimohon adalah berkaitan dengan kelayakan akademik yang telah dimiliki, kesesuaian opsyen atau pengalaman perkhidmatan serta perancangan peningkatan kerjaya pada masa akan datang. Anda perlu membuat persediaan dari segi pengetahuan dan mempunyai minat yang tinggi dalam bidang yang dipilih.

Apakah persediaan awal yang boleh saya lakukan sekiranya saya benar-benar berminat untuk menyambung pengajian pada tahun 2027 dan ingin membuat permohonan?

Anda perlu membuat persediaan dan perancangan awal iaitu:
(a) mengenal pasti universiti yang menawarkan bidang pengajian yang ingin dimohon;
(b) mengenal pasti pensyarah yang berkelayakan serta berkepakaran untuk dilantik sebagai penyelia; dan
(c) membuat pembacaan awal berkenaan bidang pengajian yang ingin diikuti.

Apakah persediaan yang perlu saya lakukan sekiranya berjaya dipanggil temu duga?

(a) Membuat persediaan yang baik merangkumi aspek mental dan fizikal;
(b) Menyediakan Kertas Cadangan Penyelidikan yang berkualiti dan asli;
(c) Memiliki kefahaman dan minat dalam bidang yang dimohon;
(d) Menunjukkan minat, bakat dan potensi terhadap bidang pengajian yang dimohon melalui cara penyampaian yang cemerlang semasa temu duga; dan
(e) Digalakkan untuk membuat permohonan kemasukan ke universiti di dalam/luar negara berdasarkan bidang yang dimohon bagi mengelakkan kegagalan mendapat tempat untuk kemasukan sesi September/Oktober 2027 sekiranya berjaya ditawarkan program penajaan/cuti belajar KPM kelak.

Apakah yang perlu saya bawa ketika hadir ke sesi temu duga?

(a) Kad Pengenalan;
(b) Surat asal tawaran pelantikan DG9 (DG41/42);
(c) Surat asal pengesahan pelantikan DG9 (DG41/42);
(d) Surat asal pengesahan dalam perkhidmatan DG9 (DG41/42);
(e) Sijil asal ijazah sarjana muda dan sijil asal ikhtisas (DPLI/KPLI/Sijil Perguruan/Diploma Perguruan) atau Sijil asal ijazah sarjana muda perguruan/pendidikan;
(f) Sijil asal ijazah sarjana; dan
(g) Pengesahan Markah PBPPP yang disahkan oleh Ketua Jabatan/Pengetua/Guru Besar

Apakah yang akan berlaku kepada perkhidmatan saya sepanjang tempoh cuti belajar yang diluluskan?

Sepanjang tempoh cuti belajar yang diluluskan, anda akan mengisi Jawatan Latihan, BTP, KPM dan Setiausaha Bahagian, BTP merupakan Ketua Jabatan baharu yang berperanan untuk menguruskan hal-hal perkhidmatan anda seperti yang berikut:
(a) Kenaikan pangkat – akan dipertimbangkan sekiranya telah memenuhi syarat dalam skim perkhidmatan berkenaan.
(b) Faedah persaraan – tempoh cuti belajar layak diambil kira bagi tujuan pengiraan.

Maklumat Lanjut

Maklumat lanjut mengenai HLP Pendidikan Sekolah Terintang, sila layari laman web KPM iaitu https://www.moe.gov.my/.

Baca juga: Belanjawan 2027: Pengurusan Fiskal & Kebajikan Rakyat

Penulis