Kurikulum Baharu Persekolahan 2027 KPM – Subjek, Perubahan

kurikulum persekolahan 2027 kpm
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Kurikulum Persekolahan 2027 KPM (KP2027) merupakan inisiatif terkini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang akan membawa perubahan besar dalam sistem pendidikan negara dan mula dilaksanakan bermula tahun 2027. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman rasmi KPM di: moe.gov.my

Kurikulum persekolahan 2027 akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada 2027, manakala bagi murid prasekolah, ia akan diperkenalkan pada 2026.

Rekabentuk kurikulum baru ini akan menggabungkan kurikulum berasaskan standard dan kurikulum berorientasikan kompetensi yang menggalakkan pembelajaran aktif murid, menyediakan pengalaman pembelajaran dan penilaian yang lebih autentik serta bermakna.

Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenai Kurikulum persekolahan 2027 yang anda perlu tahu sebagai guru, ibubapa, pelajar dan orang awam.

Apa Itu Kurikulum Persekolahan 2027 KPM?

Kurikulum Persekolahan 2027 KPM
Apa Itu Kurikulum Persekolahan 2027 KPM?

Kurikulum Persekolahan 2027 KPM (KP2027) ialah kurikulum kebangsaan baharu bagi semua peringkat persekolahan (Prasekolah, Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah) yang akan menggantikan kurikulum sedia ada secara berperingkat.

Kurikulum ini bukan sekadar memberi penekanan kepada kemahiran asas literasi dan numerasi, tetapi turut menitikberatkan pembentukan sahsiah, penerapan teknologi, pemikiran kritis serta kreativiti dalam pembelajaran seharian murid.

Kurikulum Persekolahan 2027 KPM
Kurikulum Persekolahan 2027 KPM

Kurikulum Persekolahan 2027 KPM dibangunkan dengan pendekatan menyeluruh yang menekankan pembangunan kompetensi murid seiring dengan keperluan abad ke-21.

Ia juga memperkenalkan elemen baharu seperti pendidikan karakter, penguasaan literasi dan numerasi yang lebih kukuh, serta pembelajaran bersepadu yang menjadikan pengalaman belajar lebih holistik, interaktif, dan bermakna.

Kurikulum Persekolahan 2027 KPM
Tinjauan Pelaksanaan KP2027

Kenapa Kurikulum Persekolahan 2027 Diperkenalkan?

Terdapat empat sebab utama yang menjadikan pengenalan Kurikulum Persekolahan 2027 sangat relevan dan tepat pada masanya:

1. Dapatan Sesi Libat Urus, Resolusi Persidangan, Tinjauan & Kajian Kurikulum

  • Kurikulum baharu dibina hasil dapatan sesi libat urus dan kajian menyeluruh bagi memastikan pendidikan lebih fleksibel, relevan serta kontekstual bagi membudayakan pendidikan sepanjang hayat.
  • Penekanan turut diberikan untuk membentuk generasi yang memiliki “growth mindset” serta mampu menjadi warga berdaya tahan di era cabaran semasa dan akan datang.

2. Rujukan kepada Dasar Negara, Teori Perkembangan & Aspirasi Murid

  • Kurikulum ini berpaksikan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Kanak-kanak Negara, Dasar Perpaduan Negara, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, dan Dasar Pendidikan Digital.
  • Tumpuan pembelajaran dirangka agar sentiasa selari dengan tahap kematangan usia dan perkembangan pemikiran kanak-kanak.
  • Aspirasi murid dalam PPPM 2013-2025 telah disesuaikan agar memenuhi keperluan masa hadapan negara.

3. Trend Global, Pentaksiran Antarabangsa & SDG

  • Kurikulum baharu turut mengambil kira perkembangan global dan pencapaian dalam pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS dan PISA.
  • Penekanan diberi kepada penguasaan elemen kompetensi utama, usaha menangani kemiskinan pembelajaran, dan kesedaran terhadap tanggungjawab ekonomi, sosial serta kelestarian persekitaran sejajar Sustainable Development Goals (SDG).

4. Malaysia Madani & Teras Utama KPM

Konsep Malaysia Madani dan Karamah Insaniah diangkat dalam kurikulum untuk membentuk karakter murid dengan nilai kemanusiaan, perpaduan serta integriti sebagai teras pembangunan generasi masa depan.

Kurikulum Pendidikan 2027
4 Sebab Sistem Pendidikan Perlu Perubahan

Matlamat

Matlamat utama Kurikulum Persekolahan 2027 adalah untuk melahirkan INSAN SEJAHTERA yang seimbang, berdaya saing di peringkat global, serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara melalui penguasaan pengetahuan, kemahiran dan nilai murni.

Berikut ialah antara matlamat utama Kurikulum Persekolahan 2027 KPM diperkenalkan:

  • Mengamalkan kehidupan yang seimbang dalam segala aspek kehidupan.
  • Membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.
  • Menghargai perpaduan dan keharmonian serta menghormati kepelbagaian.
  • Menjadi warganegara yang beradab dan bertanggungjawab.
  • Berdaya saing pada peringkat global.
Kurikulum Persekolahan 2027
Matlamat Kurikulum Persekolahan 2027

Tarikh Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027)

Tarikh pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) adalah seperti berikut:

  • Pelaksanaan bagi peringkat Prasekolah akan bermula pada tahun 2026 sebagai persediaan awal bagi murid mengikuti kurikulum baharu di tahap seterusnya.
  • Bagi murid Tahun 1 dan Tingkatan 1, pelaksanaan KP2027 akan bermula pada tahun 2027. Ini menandakan permulaan penggunaan kerangka kurikulum yang menggabungkan kurikulum berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi secara berperingkat.
Garis Masa Pelaksanaan KP2027
Garis Masa Pelaksanaan

Pelaksanaan secara berperingkat ini memberi masa kepada guru, murid, dan pihak sekolah untuk membuat persiapan, serta memastikan peralihan dari kurikulum lama ke kurikulum baru berjalan lancar.

    Kurikulum ini juga mencadangkan kurikulum sedia ada akan terus digunakan untuk murid-murid yang telah berada dalam aliran pembelajaran sebelum KP2027 dilaksanakan sepenuhnya pada kohort baharu mulai 2027.

    Pelan pelaksanaan ini turut termasuk kursus orientasi dan latihan untuk guru sebagai persediaan menghadapi kurikulum baharu.

    Reka Bentuk KP2027

    Reka bentuk Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) merupakan gabungan antara kurikulum berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi yang menitikberatkan pembelajaran aktif murid.

    Rekabentuk ini memberi penekanan pada pengalaman pembelajaran dan penilaian yang lebih autentik dan bermakna.

    Sekaligus, memastikan murid memperoleh penguasaan ilmu dan kemahiran yang relevan dengan keperluan masa depan.

    Kurikulum Persekolahan 2027
    Reka Bentuk KP2027

    Kerangka Kurikulum 2027

    Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) dirangka secara holistik untuk membina insan sejahtera melalui pendekatan yang menekankan keseimbangan antara pembentukan adab, kemahiran, dan penghayatan dengan kandungan, pedagogi serta pentaksiran yang saling berkait erat.

    Inti Kerangka: Insan Sejahtera

    Kerangka ini bertumpu ke arah melahirkan “Insan Sejahtera” yang berasaskan tiga elemen penting:

    • Adab — nilai dan etika dalam kehidupan seharian, mengutamakan akhlak mulia dan sikap positif.
    • Kemahiran — meliputi kemahiran berfikir, literasi pelbagai disiplin, dan kemahiran digital.
    • Penghayatan — melibatkan komunikasi berkesan, rasa tanggungjawab sosial, dan perkembangan diri secara menyeluruh.

    Ketiga-tiga elemen ini menjadikan murid sebagai individu yang seimbang dari segi intelek, emosi, sosial, dan rohani.

    Kandungan Kurikulum

    Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027
    Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027
    Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027
    Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027

    Kandungan kurikulum dalam KP2027 adalah disusun secara tematik dan bersepadu untuk memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna serta relevan dengan dunia semasa. Ia merangkumi:

    • Pembelajaran Sepanjang Hayat — menanamkan budaya pembelajaran yang berterusan sepanjang hayat.
    • Perkembangan Diri — fokus pada pembangunan peribadi dan sahsiah berteraskan nilai murni.
    • Kemahiran Berfikir — kemahiran kritikal, kreatif, dan penyelesaian masalah ditekankan.
    • Literasi Pelbagai — penguasaan kemahiran membaca, menulis, numerasi, dan literasi digital.
    • Fasih Digital — kepakaran dalam teknologi maklumat dan komunikasi sebagai persediaan menghadapi dunia digital.

    Pedagogi (Pendekatan Pengajaran)

    Pedagogi dalam KP2027 dirangka agar pembelajaran lebih interaktif dan menjurus kepada pengalaman bermakna bagi murid. Guru berperanan sebagai fasilitator yang membimbing murid melalui kaedah pembelajaran berpusatkan murid, pembelajaran berasaskan projek, dan kerja berpasukan. Pendekatan ini meningkatkan kemahiran komunikasi, kolaborasi, dan kreativiti murid.

    Pentaksiran (Penilaian)

    Pentaksiran dalam kerangka ini adalah berterusan, formatif, dan autentik, bukan sekadar berasaskan peperiksaan sahaja. Ia memberi fokus kepada:

    • Pengukuran penguasaan kemahiran dan nilai melalui situasi sebenar.
    • Penilaian yang menyeluruh merangkumi aspek kognitif, afektif, dan psikomotor.
    • Memberi maklum balas untuk memperbaiki proses pembelajaran.

    Kesinambungan antara Kandungan, Pedagogi dan Pentaksiran

    Ketiga-tiga elemen ini berinteraksi secara dinamik, di mana kandungan kurikulum disampaikan melalui pendekatan pedagogi yang sesuai dan keberkesanannya diukur melalui pentaksiran yang holistik dan autentik.

    Pendekatan ini memastikan murid tidak sekadar menghafal, tetapi benar-benar memahami, mengaplikasi serta menghayati ilmu dan kemahiran yang dipelajari.

    Tahap Persekolahan & Fokus Kurikulum 2027

    Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) dibahagikan kepada beberapa tahap persekolahan dengan fokus yang jelas dan berperingkat agar sesuai dengan perkembangan kognitif, emosi, dan sosial murid.

    Berikut adalah ringkasan tahap persekolahan dan fokus utama KP2027:

    Prasekolah (2026 bermula pelaksanaan KP2027)

    Fokus pada pembangunan kemahiran komunikasi, sosial, dan pembentukan karakter diri murid. Pembelajaran berorientasikan aktiviti dan interaksi untuk membina asas yang kukuh sebelum memasuki sekolah rendah.

    Tahap 1 (Tahun 1 – Tahun 2)

    Tumpuan utama adalah pada penguasaan dasar literasi, numerasi (3M), dan pembentukan karakter. Mata pelajaran yang diajar adalah minimum untuk memberi masa dan ruang kepada murid menguasai kemahiran asas sebelum diuji secara formal. Pentaksiran dilakukan selepas Tahap 1 untuk mengukur pencapaian murid.

    Tahap 2 (Tahun 3 – Tahun 4)

    Fokus pada aplikasi kemahiran asas, penekanan nilai murni, dan pembentukan karakter lanjut. Jumlah mata pelajaran bertambah sedikit, dan pendekatan pembelajaran lebih bersepadu dengan elemen sains, teknologi, TVET dan digital.

    Tahap 3 (Tahun 5 – Tahun 6)

    Peluang bagi murid untuk berfikir secara kritis, kreatif, dan inovatif. Mata pelajaran yang lebih kompleks dan berorientasikan kemahiran dipertingkatkan bersama penekanan pembelajaran bersepadu.

    Menengah Rendah (Tingkatan 1 – Tingkatan 3)

    Murid diberi peluang untuk meneroka minat dan bakat dalam bidang yang berbeza seperti seni, muzik, teknologi, dan lain-lain supaya dapat membina potensi diri dengan lebih mendalam.

    Menengah Atas (Tingkatan 4 – Tingkatan 5)

    Fokus kepada persediaan memilih laluan pengajian tinggi dan kerjaya. Pembelajaran lebih khusus dan mendalam dalam bidang yang diminati pelajar, termasuk persediaan kemahiran vokasional dan teknikal.

    Tahap Persekolahan & Fokus Kurikulum 2027
    Tahap Persekolahan & Fokus Kurikulum 2027

    3 Aspek Pendekatan Kurikulum 2027

    Kurikulum Persekolahan 2027 akan memberikan pendekatan terhadap 3 aspek utama seperti berikut:

    1. Pendidikan Karakter
    2. Penekanan kepada Literasi dan Numerasi
    3. Kelas Pembelajaran bersepadu

    Pendidikan Karakter

    • Membentuk individu yang dapat menyumbang kepada pembentukan warganegara Malaysia yang sejahtera.
    • Berfokuskan kepada pembelajaran sosioemosi agar murid bersedia dan berfikiran positif dalam pembelajaran.
    • Bermula dari Prasekolah sehingga ke peringkat Menengah Atas.
    • Slot masa yang khusus dalam jadual waktu.
    Kurikulum persekolahan 2027
    Pendidikan Karakter Dalam KP2027

    Penekanan kepada Literasi dan Numerasi

    • Memastikan murid seawal persekolahan menguasai kemahiran asasmembaca, menulisdan mengira (3M).
    • Intervensi awal akan diberikan bagi membantu murid yang menghadapi masalah menguasai kemahiran literasi dan numerasi.
    • Meningkatkan kesediaan mengikuti pembelajaran pada tahap seterusnya.
    Kurikulum persekolahan 2027
    Penekanan kepada Literasi dan Numerasi Dalam KP2027

    Kelas Pembelajaran Bersepadu

    • Bermula di sekolah rendah dan dimasukkan dalam jadual waktu.
    • Pendekatan PdPyang menggabungkan kandungan dan kemahiran dari pelbagai disiplin ilmu ke arah pengalaman pembelajaran bermakna.
    • Pembelajaran murid menjadi lebih holistik,relevan dan berhubung kait dengan dunia sebenar.
    Kurikulum persekolahan 2027
    Kelas Pembelajaran Bersepadu Dalam KP2027

    > Dapatkan buku Kurikulum Masa Depan

    Kurikulum Persekolahan 2027 yang dibentuk berteraskan kurikulum berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi ini bermatlamat melahirkan murid yang berpengetahuan dan kompeten serta mencapai keseimbangan yang optimum dalam memberikan pendidikan berkualiti.

    Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) Prasekolah

    Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) bermula lebih awal dengan anak-anak prasekolah, iaitu pada tahun 2026.

    Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) Mulai Tahun 2026 untuk Prasekolah

    Kurikulum ini dibangunkan berdasarkan enam (6) Bidang Pembelajaran utama yang menyeluruh dan menyokong perkembangan holistik kanak-kanak:

    • Sosioemosi
    • Fizikal & Kesejahteraan Diri
    • Kerohanian, Nilai & Kewarganegaraan
    • Bahasa & Literasi
    • Kognitif
    • Kreativiti
    Bidang Pembelajaran Prasekolah

    Untuk anak-anak istimewa yang memerlukan pendekatan berbeza, dua (2) tambahan Bidang Pembelajaran khusus telah dirangka:

    • Pengurusan Diri
    • Kemahiran Asas Ketidakupayaan

    Melalui pendekatan inklusif, Kurikulum Prasekolah 2026 adalah langkah penting menuju masa depan pendidikan yang lebih progresif, adil dan penuh kasih sayang.

    BACA JUGA: ePrasekolah KPM – Semakan Permohonan 2026 & Rayuan

    Perkara Baharu Kurikulum Persekolahan 2027

    Perkara Baharu Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) bagi peringkat Sekolah Rendah dan Menengah memperkenalkan beberapa elemen dan pendekatan inovatif yang bertujuan menjadikan pembelajaran lebih holistik, relevan, dan bersepadu.

    Berikut ialah perkara baharu yang diperkenalkan untuk pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah:

    1. Pembelajaran Bersepadu
    • diperkenalkan pada Tahap I dan Tahap II
    • dimasukkan dalam jadual waktu

    Bahan Sokongan Murid Berbentuk Modular di Tahap I

    • Tiada buku teks untuk murid di Tahap I dan II.
    • Bahan sokongan modular disediakan mengikut topik kecil bagi memudahkan penyampaian & pemahaman.
    • Memenuhi keperluan dan keupayaan murid yang pelbagai.
     Kurikulum Persekolahan 2027
    Pembelajaran Bersepadu

    Tahap I (Tahun 1 & 2)

    • Elemen Sains
    • Elemen Pendidikan Muzik
    • Elemen Pendidikan Kesihatan
    • Elemen Pendidikan Seni Visual
    • Elemen Digital dan TVET

    Tahap II (Tahun 3 & 4)

    • Pembelajaran Bersepadu Sains & Teknologi
      Elemen Sains
      Elemen Teknologi & Digital
      Elemen Pendidikan Alam Sekitar
    • Pembelajaran Bersepadu Kemanusiaan
      Elemen Sejarah
      Elemen Pendidikan Muzik
      Elemen Pendidikan Seni Visual

    Tahap III (Tahun 5 & 6)

    • Pembelajaran Berasaskan Projek
    2. Mata Pelajaran Baharu
     Kurikulum Persekolahan 2027
    Mata Pelajaran Baru

    Sekolah Rendah

    • Bahasa Isyarat Malaysia sebagai mata pelajaran tambahan
    • Teknologi dan Digital

    Menengah Rendah

    • Bahasa Isyarat Malaysia sebagai mata pelajaran tambahan
    • Pendidikan Abad 21
    • Bahasa Bonding Antarabangsa
    • Teknologi dan Digital (gabungan mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi & Asas Sains Komputer)

    Menengah Atas

    • Bahasa Isyarat Malaysia (elektif bahasa)
    • Bahasa Arab Komunikasi (elektif bahasa)
    • Teknologi dan Digital

    (Semua mata pelajaran ini terbuka kepada semua murid)

    Mata Pelajaran Baharu KP2027
    3. Mata Pelajaran Pendidikan Muzik & Pendidikan Seni Visual di Sekolah Menengah

    Kedua-dua mata pelajaran ini ditawarkan kepada semua murid pada tahap menengah rendah.

    4. Pembentukan Karakter
    • satu slot masa yang khusus dalam jadual waktu
    • pembelajaran sosioemosi secara amali

     Kurikulum Persekolahan 2027
    Pembentukan Karakter & Kurikulum Pendidikan Khas
    5. Kurikulum Pendidikan Khas Berdasarkan Kefungsian

    Penawaran kurikulum berdasarkan kefungsian murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) iaitu:

    • kefungsian tinggi
    • kefungsian sederhana
    • kefungsian rendah

    KSSR (sebelum)

    • Kurikulum arus perdana
    • Pendidikan Vokasional
    • Pengetahuan Akademik
    • Pendekatan Kecenderungan Asas Murid Pembelajaran

    2027 (baharu)

    • Kurikulum Pendidikan Khas Kefungsian Rendah
    • Kurikulum Pendidikan Khas Kefungsian Tinggi
    • Kurikulum Pendidikan Khas Kefungsian Sederhana

    6. Tempoh Pembelajaran & Peruntukan Masa

    • 38 minggu pembelajaran setahun
    • 30 minit = 1 waktu

    7. Tahap Persekolahan Sekolah Rendah

    Penyusunan semula tahap persekolahan sekolah rendah kepada tiga tahap persekolahan.

    Fokus bagi setiap tahap:

    • Tahap I (Tahun 1 & 2)
      Penguasaan literasi dan numerasi serta pembentukan karakter
    • Tahap II (Tahun 3 & 4)
      Aplikasi kemahiran, pengetahuan dan nilai serta pembentukan karakter
    • Tahap III (Tahun 5 & 6)
      Kemahiran menganalisis dan menghasilkan inovasi dan pembentukan karakter
     Kurikulum Persekolahan 2027
    Tempoh Pembelajaran & Peruntukan Masa

    Sekolah Rendah

    Penyusunan Semula Tahap Persekolahan
    Struktur sekolah rendah disusun kepada empat tahap: Prasekolah, Tahap 1 (Tahun 1-2), Tahap 2 (Tahun 3-4), dan Tahap 3 (Tahun 5-6) bagi memastikan kesinambungan dan perkembangan pembelajaran yang sesuai dengan tahap kematangan murid.

    Penggantian Jam Minimum Setahun
    Semua mata pelajaran tidak lagi mempunyai jam minimum yang ditetapkan setiap tahun. Ini membolehkan jadual waktu yang lebih fleksibel dan berkesan untuk pengurusan masa pembelajaran.

    Pengenalan Mata Pelajaran Baharu “Alam dan Manusia”
    Mata pelajaran ini menggabungkan elemen Sains, Kesihatan, Muzik, Seni, Digital, dan TVET secara pembelajaran bersepadu berasaskan Project-Based Learning. Ia diajar secara co-teaching untuk memadukan perspektif pelbagai guru dalam satu sesi pengajaran.

    Pendekatan Kelas Pembelajaran Bersepadu
    Pendekatan ini menggabungkan kandungan dan kemahiran dari pelbagai disiplin ilmu untuk pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna dan relevan dengan dunia sebenar.

    KURIKULUM BAHARU SEKOLAH RENDAH KP2027

    >> Tarikh Pelaksanaan: Bermula sesi persekolahan tahun 2027.

    Pembahagian Tahap Pembelajaran:

    • Tahap 1: Tahun 1 & Tahun 2
    • Tahap 2: Tahun 3 & Tahun 4
    • Tahap 3: Tahun 5 & Tahun 6

    Mata Pelajaran Kekal untuk Semua Tahun (Tahun 1 – 6):

    • Bahasa Melayu
    • Bahasa Inggeris
    • Bahasa Cina
    • Bahasa Tamil
    • Matematik
    • Pendidikan Islam / Pendidikan Moral

    Mata Pelajaran Mengikut Tahap:

    • Tahun 1 & 2: Pendidikan Jasmani
    • Tahun 3 & 4: Pendidikan Jasmani & Kesihatan, Eksplorasi Seni & Dunia, Eksplorasi Sains & Teknologi
    • Tahun 5 & 6: Sains, Sejarah, Pendidikan Jasmani & Kesihatan, Pendidikan Seni Visual (PSV) & Muzik
    Senarai Mata Pelajaran Sekolah Rendah KP2027
    Senarai Mata Pelajaran Sekolah Rendah KP2027

    Ringkasan:

    • Terdapat beberapa subjek yang dikekalkan sepanjang tahun pembelajaran.
    • Sesetengah subjek hanya diperkenalkan pada tahap-tahap tertentu untuk disesuaikan dengan perkembangan murid.
    • Terdapat juga subjek baharu yang diperbaharui dan diberi wajah segar agar lebih relevan dengan perkembangan semasa dan keperluan murid.

    Sekolah Menengah

    Latihan dan Pembelajaran Berorientasikan Kompetensi
    Menekankan kemahiran praktikal dan aplikasi ilmu dalam situasi sebenar agar murid bersedia dengan cabaran dunia sebenar dalam bidang masing-masing.

    Pelbagai Laluan dan Pilihan Bidang
    Pelajar mempunyai peluang memilih laluan pengajian yang sesuai dengan minat dan potensi termasuk bidang vokasional, teknikal, akademik dan kemahiran insaniah.

    Penguatkuasaan Pembelajaran Sosioemosi dan Pembentukan Karakter
    Program berterusan dari prasekolah hingga menengah atas dengan slot masa khusus dalam jadual pembelajaran untuk membangunkan kemahiran sosial dan emosi murid.

    Penekanan Kemahiran Digital
    KP2027 memperkukuh kemahiran digital termasuk penguasaan teknologi maklumat sebagai kompetensi penting era moden.

    KURIKULUM BAHARU SEKOLAH MENENGAH KP2027

    Pembahagian Tahap Pembelajaran:

    • Menengah Rendah: Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3
    • Menengah Atas: Tingkatan 4 dan Tingkatan 5

    Mata Pelajaran Kekal:

    • Bahasa Melayu
    • Bahasa Inggeris
    • Matematik
    • Pendidikan Islam / Pendidikan Moral
    • Pendidikan Jasmani
    • Sains (mengikut tahap)

    Mata Pelajaran Mengikut Tahap:

    Menengah Rendah (Tingkatan 1-3):
    Pelajar diberi peluang untuk meneroka pelbagai bidang seperti seni, muzik dan teknologi dengan pendekatan pembelajaran bersepadu bagi membangunkan minat dan potensi diri.

    Menengah Atas (Tingkatan 4-5):
    Fokus kepada laluan pengajian khusus yang sesuai dengan minat dan potensi pelajar, sama ada dalam bidang akademik, vokasional, teknikal atau kemahiran insaniah. Mata pelajaran menjadi lebih khusus dan mendalam sebagai persediaan ke pengajian tinggi dan kerjaya.

    Bicara Profesional Kurikulum Persekolahan 2027

    BICARA PROFESIONAL Oleh YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan

    Slide Kurikulum 2027 – PBPK

    Berikut dikongsikan slide penuh Kurikulum 2027 yang dibentangkan oleh PBPK:

    Sumber: Facebook Cikgu Share

    Maklumat Lanjut

    Dapatkan info terkini dan maklumat lanjut mengenai KP2027 di laman web rasmi KPM: https://www.moe.gov.my/kurikulum-persekolahan-2027

    Jangan lupa ikuti:

    MUAT TURUN PDF Kurikulum Persekolahan 2027:

    Soalan Lazim Kurikulum Persekolahan 2027

    Bilakah KP2027 akan dilaksanakan?

    Pelaksanaan akan bermula secara berperingkat iaitu Prasekolah pada 2026, diikuti Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada 2027.

    Apakah tujuan utama KP2027?

    Matlamatnya adalah melahirkan insan sejahtera yang berpengetahuan, berkemahiran, beradab, dan berdaya saing di peringkat global.

    Apakah pendekatan utama dalam KP2027?

    Pendekatan utama merangkumi pembentukan karakter, penekanan literasi dan numerasi asas (3M), serta kelas pembelajaran bersepadu.

    Bagaimana KP2027 berbeza dari kurikulum lama?

    KP2027 menggabungkan kurikulum berasaskan standard dengan berorientasikan kompetensi, menekankan pembelajaran aktif, pengalaman bermakna, dan penilaian holistik.

    Bagaimana pendidikan karakter dilaksanakan dalam KP2027?

    Pendidikan karakter diberi slot masa khusus dari prasekolah hingga menengah atas, fokus pada pembelajaran sosioemosi dan nilai murni.

    Apakah perubahan dalam pembahagian tahap persekolahan?

    Sekolah rendah dibahagikan kepada tiga tahap (Tahun 1-2, Tahun 3-4, Tahun 5-6), dan sekolah menengah kepada menengah rendah (Tingkatan 1-3) dan menengah atas (Tingkatan 4-5).

    Bagaimana pentaksiran dijalankan?

    Penilaian lebih berterusan dan formatif, menilai pencapaian berasaskan kemahiran dan aplikasi sebenar, bukan hanya peperiksaan akhir.

    Bagaimana guru akan bersedia menghadapi KP2027?

    Terdapat kursus orientasi dan latihan berterusan sama ada secara dalam talian atau bersemuka untuk guru.

    Adakah subjek baru diperkenalkan?

    Ya, terdapat pengenalan subjek baharu dan juga mata pelajaran bersepadu yang menggabungkan pelbagai disiplin ilmu.

    Bagaimana KP2027 membantu murid lebih bersedia untuk masa depan?

    Dengan menekankan kemahiran abad ke-21, pembangunan karakter, penguasaan digital dan kemahiran penyelesaian masalah secara holistik.

    Follow eCentral di WhatsApp Channel
    Ikut