Opens in a new tab
Anda mungkin layak menerima bantuan.
Semak Sekarang!

Silibus Matematik 2027 bakal membawa nafas baharu dalam sistem pendidikan negara menerusi pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) yang bermula secara serentak untuk murid Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada Januari 2027.

Transformasi yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini menggantikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSR dan KSSM sedia ada.

Rujuk perinciannya di bawah.

Perubahan Utama Silibus Matematik Tahun 1 (KP2027)

Bagi peringkat sekolah rendah, peruntukan masa pengajaran dan pembelajaran (PdP) Matematik Tahun 1 ditambah daripada 3.0 jam kepada 3.5 jam seminggu.

Penambahan masa ini memberi ruang kepada guru untuk melaksanakan intervensi awal dan memastikan setiap murid benar-benar menguasai asas mengira tanpa tercicir.

Berdasarkan perbandingan antara KSSR Semakan 2017 dengan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027), silibus disusun semula daripada 8 tajuk kepada 7 tajuk utama dengan penyesuaian berikut:

  1. Pengenalan Ikatan Nombor (Number Bonds): Subtajuk baharu iaitu Ikatan Nombor diperkenalkan. Kaedah ini membantu murid melihat hubungan antara bahagian dengan keseluruhan sesuatu nombor, sekali gus memudahkan mereka memahami operasi asas secara visual dan logik.
  2. Skop Operasi Asas Dikecilkan (100 kepada 30): Operasi tambah dan tolak bagi murid Tahun 1 dikecilkan daripada lingkungan 100 kepada lingkungan 30 sahaja. Operasi tambah berulang dan tolak berturut-turut turut digugurkan agar murid tidak terbeban.
  3. Skop Nombor Bulat Kekal Hingga 100: Ibu bapa dan guru perlu mengambil maklum bahawa pengecilan skop hanya melibatkan operasi tambah dan tolak; pengenalan nombor bulat masih kekal hingga 100.
  4. Tajuk Pecahan Tidak Lagi Disenaraikan: Konsep asas pecahan (seperti perdua dan perempat) tidak lagi disenaraikan sebagai tajuk dalam subjek Matematik Tahun 1 bagi mengelakkan kekeliruan awal sebelum murid betul-betul menguasai konsep nombor bulat.
  5. Ukuran Menumpukan Panjang dan Unit Piawai Sentimeter (cm): Tajuk jisim dan isi padu cecair digugurkan pada Tahun 1. Murid kini hanya mempelajari ukuran panjang menggunakan unit bukan piawai serta mula diperkenalkan kepada unit piawai sentimeter (cm) menggunakan pembaris.
  6. Bentuk 2D dan Wang: Tajuk Ruang dihadkan kepada pengenalan bentuk dua dimensi (2D) tanpa aktiviti melukis, manakala bentuk 3D dikeluarkan dari silibus. Bagi tajuk Wang pula, pembelajaran difokuskan kepada pengecaman syiling serta wang kertas RM1 dan RM10 berserta penerapan nilai menabung.
  7. Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Diringkaskan: Tahap penguasaan bagi murid Tahap I diselaraskan daripada enam tahap (TP1–TP6) kepada tiga tahap yang lebih jelas dan berfokus, iaitu Tahu, Faham, dan Buat.

Senarai Topik Dalam Silibus Matematik Tahun 1 2027

  • 1.0 Nombor dan Operasi: Nombor Bulat hingga 100
    • 1.1. Nilai Nombor
    • 1.2. Ikatan Nombor
  • 2.0 Nombor dan Operasi: Operasi Asas
    • 2.1. Tambah dalam Lingkungan 30
    • 2.2. Tolak dalam Lingkungan 30
  • 3.0 Nombor dan Operasi: Wang
    • 3.1. Wang Kertas dan Duit Syiling
    • 3.2. Nilai Wang
  • 4.0 Sukatan dan Geomteri: Ruang
    • 4.1. Bentuk Dua Dimensi
  • 5.0 Sukatan dan Geometri: Masa
    • 5.1. Masa dalam Sehari
    • 5.2. Tarikh, Hari, Minggu, Bulan dan Tahun
  • 6.0 Sukatan dan Geometri: Ukuran Panjang
    • 6.1. Unit Bukan Piawai
    • 6.2. Unit Piawai
  • 7.0 Statistik dan Kebarangkalian: Pengurusan Data
    • 7.1. Piktograf

Ringkasan Perbandingan Matematik Tahun 1 (KSSR Semakan 2017 vs KP2027)

TajukKSSR Kurikulum 2027 (KP2027)
Nombor BulatMengenal nombor hingga 100.Kekal hingga 100 (ditambah konsep Ikatan Nombor).
Operasi AsasTambah dan tolak dalam lingkungan 100.Tambah dan tolak dalam lingkungan 30.
PecahanAda tajuk Pecahan (konsep perdua dan perempat).Tidak disenaraikan sebagai tajuk dalam subjek Matematik Tahun 1.
RuangBentuk tiga dimensi (3D) dan dua dimensi (2D).Berfokus pada bentuk dua dimensi (2D) sahaja.
UkuranPanjang, jisim dan isi padu cecair (unit bukan piawai).Ukuran panjang sahaja (unit bukan piawai & unit piawai sentimeter, cm).

Muat Turun Dokumen Kurikulum (Matematik Tahun 1)

Untuk melihat dengan lebih terperinci lagi mengenai perubahan dan silibus terkini Matematik Tahun 1, sila muat turun Dokumrn Kurikulum Matematik Tahun 1 di bawah:

Perubahan Utama Silibus Matematik Tingkatan 1 (KP2027)

Untuk Matematik Tingkatan 1 (KP2027), perubahan paling ketara melibatkan pemampatan kandungan daripada 13 bab kepada 8 bab utama.

Selain penyusunan semula bab, terdapat tiga lagi perubahan besar dalam silibus Matematik 2027 untuk pelajar Tingkatan 1, iaitu:

  • Pengenalan Penilaian Tanpa Kalkulator: Bermula sesi 2027, pentaksiran Matematik Tingkatan 1 akan melibatkan dua bahagian khusus, iaitu bahagian tanpa kalkulator dan bahagian dengan kalkulator.
  • Pengguguran Tajuk Set: Bab Pengenalan Set yang sebelum ini diajar di Tingkatan 1 dikeluarkan daripada silibus bagi memberi laluan kepada pengukuhan asas algebra dan geometri.
  • Penyelarasan Tahap Penguasaan PBD: Penilaian PBD bagi peringkat sekolah menengah disusun kepada empat tahap penguasaan utama, iaitu Tahu, Faham, Buat, dan Amal.

Senarai Topik Dalam Silibus Matematik Tingkatan 1 2027

Senarai Topik Dalam Silibus Matematik Tingkatan 1
silibus matematik 2027 1

Nombor dan Operasi

  • 1.0 Nombor Nyata
    • 1.1. Nombor Nisbah dan Nombor Tak Nisbah
    • 1.2. Operasi Asas Aritmetik yang Melibatkan Nombor Nisbah
    • 1.3. Kuasa Dua, Punca Kuasa Dua, Kuasa Tiga dan Punca Kuasa Tiga
  • 2.0 Faktor dan Gandaan
    • 2.1. Faktor, Faktor Perdana, Faktor Sepunya dan Faktor Sepunya Terbesar (FSTB)
    • 2.2. Gandaan, Gandaan Sepunya dan Gandaan Sepunya Terkecil (GSTK)

Perkaitan dan Algebra

  • 3.0 Nisbah, Kadar dan Perkadaran
    • 3.1. Nisbah
    • 3.2. Kadar dan Perkadaran
  • 4.0 Ungkapan Algebra
    • 4.1. Pemboleh Ubah dan Ungkapan Algebra
  • 5.0 Persamaan dan Ketaksamaan Linear dalam satu Pemboleh ubah
    • 5.1. Persamaan Linear dalam Satu Pemboleh Ubah
    • 5.2. Ketaksamaan Linear dalam Satu Pemboleh Ubah

Sukatan dan Geometri

  • 6.0 Garis dan Sudut
    • 6.1. Garis dan Jenis Sudut
    • 6.2. Sudut yang Berkaitan dengan Garis Selari dan Garis Rentas Lintang
  • 7.0 Segi Tiga dan Sisi Empat
    • 7.1. Segi Tiga
    • 7.2. Teorem Pythagoras
    • 7.3. Sisi Empat

Statistik dan Kebarangkalian

  • 8.0 Pengendalian Data
    • 8.1. Pengendalian dan Analisis Data

Ringkasan Perbandingan Matematik Tingkatan 1 (KSSM vs KP2027)

AspekKSSM (Silibus Lama)KP2027 (Silibus Baharu)
Bilangan Bab13 Bab8 Bab Utama
Penggunaan KalkulatorDibenarkan secara menyeluruhDua bahagian pentaksiran: Tanpa Kalkulator & Dengan Kalkulator
Tajuk SetDiajar (Bab 11: Pengenalan Set)Digugurkan daripada silibus Tingkatan 1
Susunan BabTopik dipisahkan mengikut bab kecilDigabungkan mengikut tema berkaitan
Pentaksiran (PBD)6 Tahap Penguasaan (TP1 – TP6)4 Tahap Penguasaan: Tahu, Faham, Buat, dan Amal

Muat Turun Dokumen Kurikulum (Matematik Tingkatan 1)

Untuk melihat dengan lebih terperinci lagi mengenai perubahan dan silibus terkini Matematik Tingkatan 1, sila muat turun Dokumrn Kurikulum Matematik Tingkatan 1 di bawah:

Persediaan Ibu Bapa dan Pelajar

Peralihan kepada Silibus Matematik 2027 menuntut perubahan cara belajar di rumah.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak bakal memasuki Tahun 1 pada tahun 2027, tumpuan utama harus diberikan kepada penguasaan mengira objek secara maujud, mengecam nilai nombor sehingga 30, dan membiasakan anak bercerita tentang penyelesaian masalah harian secara santai.

Bagi pelajar yang akan melangkah ke Tingkatan 1 pula, persediaan paling kritikal ialah mengukuhkan semula kemahiran asas sekolah rendah terutamanya hafalan sifir, operasi melibatkan pecahan dan perpuluhan, serta latihan mengira di atas kertas tanpa bantuan kalkulator.

Muat Turun Dokumen Kurikulum 2027

Dokumen rasmi yang sebelum ini dikenali sebagai Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) kini menggunakan istilah Dokumen Kurikulum (DK).

Sebanyak 10 Dokumen Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) kini telah dimuat naik secara rasmi ke portal Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pendidikan (KPM).

Layari portal rasmi BPK di https://bpk.moe.gov.my/ untuk muat turun Dokumen Kurikulum di bawah.

Dokumen yang tersedia merangkumi:

A. DOKUMEN KURIKULUM TAHUN 1

1.⁠ ⁠Bahasa Melayu SK

2.⁠ ⁠Bahasa Melayu SJK

3.⁠ ⁠Matematik

4.⁠ ⁠Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu

5.⁠ ⁠Pendidikan Jasmani

B. DOKUMEN KURIKULUM TINGKATAN 1

1.⁠ ⁠Bahasa Melayu

2.⁠ ⁠Matematik

3.⁠ ⁠Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan

4.⁠ ⁠Pendidikan Seni Visual

5.⁠ ⁠Pendidikan Muzik

Untuk makluman, dokumen kurikulum bagi mata pelajaran yang lain akan dimuat naik secara berperingkat dari semasa ke semasa.

Maklumat Lanjut & Soalan Lazim Silibus Matematik 2027

Untuk mendapatkan dokumen rasmi, garis panduan pelaksanaan, dan perkembangan terkini mengenai Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027), anda boleh merujuk kepada saluran rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berikut:

Bilakah Silibus Matematik 2027 mula dilaksanakan dan siapa yang terlibat?

Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) mula dilaksanakan secara serentak pada Januari 2027 dan hanya melibatkan kohort murid Tahun 1 (sekolah rendah) serta pelajar Tingkatan 1 (sekolah menengah) terlebih dahulu. Murid Tahun 2 hingga Tahun 6 dan pelajar Tingkatan 2 hingga Tingkatan 5 pada tahun 2027 masih meneruskan silibus KSSR dan KSSM sedia ada.

Adakah nama dokumen rasmi kurikulum masih dipanggil DSKP?

Tidak. Dalam KP2027, dokumen rasmi yang sebelum ini dikenali sebagai Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) telah ditukar kepada Dokumen Kurikulum (DK).

Mengapa operasi tambah dan tolak Tahun 1 dikecilkan daripada 100 kepada 30 sahaja?

Langkah ini diambil bagi mengelakkan beban kognitif awal dan memastikan murid benar-benar menguasai konsep asas nombor serta pengiraan mental dengan kukuh sebelum beralih ke nombor lebih besar. Namun, pengenalan nombor bulat masih kekal hingga 100, hanya operasi tambah dan tolak sahaja yang dihadkan dalam lingkungan 30.

Apakah maksud Pentaksiran Tanpa Kalkulator di Tingkatan 1?

Bermula 2027, pentaksiran Matematik Tingkatan 1 akan mempunyai bahagian khusus yang melarang penggunaan kalkulator saintifik. Pelajar wajib menguasai sifir, mencongak, pecahan, perpuluhan, peratus, dan pengiraan asas secara manual di atas kertas supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada kalkulator.

Bagaimanakah sistem penilaian Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) berubah?

Sistem TP1 hingga TP6 yang lama diringkaskan supaya lebih jelas difahami oleh ibu bapa dan guru:

– Tahun 1 (Tahap I): 3 tahap penguasaan sahaja — Tahu, Faham, dan Buat.
– Tingkatan 1 (Menengah Rendah): 4 tahap penguasaan — Tahu, Faham, Buat, dan Amal.

Penulis