Nasi Kerabu Kelantan kini telah didaftarkan secara rasmi sebagai Cap Kolektif (Collective Mark) di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Pendaftaran dengan kerjasama Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) ini mewajibkan pengusaha yang menggunakan identiti rasmi tersebut mematuhi garis panduan bahan asli, termasuk larangan penggunaan kubis, tauge, dan pewarna tiruan.
Menurut Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff, spesifikasi ketat ini ditetapkan untuk melindungi keaslian rasa dan nilai komersial makanan warisan negeri tersebut.
Nasi Kerabu, Sajian Ikonik Kelantan
Nasi Kerabu Kelantan adalah merupakan hidangan tradisional yang terkenal di negeri Kelantan. Keunikan nasi kerabu ini terletak pada nasi berwarna kuning yang dimasak menggunakan kunyit lalu menghasilkan aroma harum serta warna semula jadi yang menarik.
Hidangan nasi kerabu akan dilengkapi dengan pelbagai ulam-ulaman yang segar yang dihiris halus seperti timun, kacang panjang, daun kesum, pucuk cekur dan daun kesom untuk menambahkan rasa rangup dan segar.
Sambal kelapa pula digoreng wangi bersama budu untuk memberikan rasa lemak dan masin tersendiri.
Nasi Kerabu Kelantan biasanya akan dihidangkan bersama lauk pelengkap seperti ikan bakar, ayam percik, telur masin atau solak lada.
Sebagai pelengkap, nasi kerabu Kelantan akan dimakan bersama kerepok keping yang digoreng rangup.

Syarat Penggunaan Cap Kolektif Nasi Kerabu Kelantan
Pengusaha yang ingin menggunakan logo atau jenama Nasi Kerabu Kelantan diwajibkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan lulus penilaian kualiti.
- Larangan Bahan Seperti Tauge & Kubis: Penggunaan sayur-sayuran seperti kubis putih dan tauge tidak dibenarkan sama sekali dalam penyediaan ulam kerana dianggap boleh menjejaskan keaslian tekstur serta profil rasa sebenar hidangan tersebut.
- Pewarna Semula Jadi Sahaja: Warna biru pada nasi mesti dihasilkan secara asli menggunakan ekstrak kelopak bunga telang. Penggunaan sebarang bentuk pewarna makanan tiruan adalah dilarang.
- Pengekalan Ulam-ulaman Kampung: Pengusaha diwajibkan mengekalkan penggunaan herba dan ulam tradisional tempatan seperti daun kesum, daun selom dan bunga kantan bagi menjamin aroma serta identiti asal Nasi Kerabu Kelantan.
Pengurusan dan pemantauan penggunaan Cap Kolektif Nasi Kerabu Kelantan ini diamanahkan kepada Persatuan Pengusaha Makanan Kelantan (PERMEKA).
Pada peringkat permulaan, sebanyak 25 pengusaha terawal di bawah naungan persatuan tersebut telah diberikan hak penggunaan logo dan identiti rasmi ini selepas lulus penilaian kualiti yang ditetapkan.
Mengapa Kubis dan Tauge Dilarang?
- Bukan Bahan Warisan Asli: Menurut Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff, kubis putih, tauge, dan pewarna biru tiruan dianggap sebagai bahan moden yang tidak menepati piawaian resipi turun-temurun Kelantan.
- Menjaga Keseimbangan Rasa dan Aroma: Penggantian daun herba kampung dengan kubis atau tauge (sering dilakukan untuk menjimatkan kos) menghilangkan aroma unik dan tekstur asli ulam-ulaman tradisional yang sepatutnya mengimbangi rasa kuah tumis dan budu.
- Piawaian Kualiti Komersial: Di bawah Seksyen 72 Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815), pemegang cap kolektif wajib mematuhi spesifikasi ketat agar pengguna mendapat jaminan kualiti yang seragam apabila membeli produk berlabel Nasi Kerabu Kelantan.
Kesan Terhadap Peniaga
Walaupun syarat yang ditetapkan kedengaran ketat, pihak MyIPO menegaskan bahawa peraturan ini hanya untuk pengusaha yang berdaftar di bawah PERMEKA dan menggunakan nama, logo, atau tanda dagangan rasmi Cap Kolektif Nasi Kerabu Kelantan dalam pemasaran mereka.
Bagi peniaga gerai atau restoran biasa di seluruh negara yang menjual nasi kerabu tanpa menggunakan identiti rasmi Cap Kolektif tersebut, mereka masih bebas menyediakan hidangan mengikut olahan sendiri serta cita rasa pelanggan masing-masing tanpa sebarang sekatan undang-undang.
Dengan adanya perlindungan harta intelek ini, pengguna kini mempunyai panduan yang lebih jelas untuk menikmati sajian Nasi Kerabu Kelantan yang benar-benar menepati resipi warisan, sekali gus meletakkan kulinari tempatan setaraf dengan produk warisan antarabangsa yang dilindungi.




