Perbezaan Tabung Am vs Tabung Istitо’ah TH penting untuk difahami selepas pelaksanaan konsep Multi Tabung.
Ringkasnya, Tabung Am digunakan untuk urusan simpanan dan pengeluaran harian, manakala Tabung Istitо’ah membantu pendeposit membina simpanan secara lebih berdisiplin untuk persediaan haji.
Jadi, apa beza kedua-duanya, boleh ke duit dikeluarkan dan apa kaitannya dengan simpanan RM15,000 serta Kelayakan Giliran Haji Automatik? Jom fahamkan.
Baca juga: Syarat Kesihatan Haji 2027 – Bakal Jemaah Haji Wajib Lepasi Pemeriksaan Kesihatan
Apa itu Multi Tabung TH?
Multi Tabung ialah inisiatif TH yang mewujudkan dua tabung dalam satu akaun TH, iaitu:
- Tabung Am
- Tabung Istitо’ah
Pendekatan ini diperkenalkan bagi membantu pendeposit membuat persediaan haji dengan lebih mudah dan sistematik, di samping menggalakkan amalan simpanan yang lebih berdisiplin.
Walaupun terdapat dua tabung, pendeposit hanya mempunyai satu nombor akaun TH. Tiada nombor akaun baharu atau nombor khas untuk Tabung Am dan Tabung Istitо’ah.
Perbezaan Tabung Am dan Tabung Istitо’ah
| Perkara | Tabung Am | Tabung Istitо’ah |
|---|---|---|
| Fungsi utama | Simpanan dan transaksi harian | Membantu membentuk disiplin simpanan |
| Kegunaan | Simpanan dan pengeluaran seperti biasa | Persediaan haji dan matlamat kewangan |
| Pengeluaran | Boleh dibuat serta-merta | Perlu dipindahkan ke Tabung Am dahulu |
| Tempoh pindahan keluar | – | T+10 hari |
| Simpanan minimum | Perlu mengekalkan sekurang-kurangnya RM5 | Berkaitan dengan sasaran RM15,000 untuk kelayakan giliran haji |
| Cara tambah simpanan | Tunai, potongan gaji, Direct Debit dan sebagainya | Melalui pindahan daripada Tabung Am |
1. Tabung Am
Tabung Am ialah tabung utama bagi semua pendeposit TH. Ia digunakan untuk urusan simpanan dan pengeluaran bagi memenuhi keperluan kewangan harian.
Antara cirinya:
- Menjadi tabung utama pendeposit TH.
- Menyokong aktiviti simpanan dan pengeluaran seperti sedia ada.
- Simpanan melalui tunai, potongan gaji dan Direct Debit akan dikreditkan ke Tabung Am.
- Pengeluaran daripada Tabung Am boleh dibuat serta-merta, tertakluk kepada terma dan syarat TH.
- Pendeposit perlu mengekalkan sekurang-kurangnya RM5 pada setiap masa.

2. Tabung Istitо’ah
Tabung Istitо’ah pula diwujudkan untuk membantu pendeposit membentuk disiplin simpanan dan menjadi penanda aras kesiapsiagaan kewangan bagi mendapatkan Kelayakan Giliran Haji Automatik.
Bagi pendeposit yang belum menunaikan haji, simpanan dalam tabung ini membantu mereka membuat persediaan secara lebih terancang untuk mencapai sasaran simpanan.
Antara cirinya:
- Membantu pendeposit menyimpan secara lebih berdisiplin.
- Simpanan dibuat melalui pindahan daripada Tabung Am.
- Pindahan dari Tabung Istitо’ah ke Tabung Am tertakluk kepada tempoh T+10 hari, termasuk hari cuti.
- Boleh digunakan untuk pelbagai matlamat kewangan bagi pendeposit yang telah menunaikan haji.

Kenapa TH Wujudkan Tabung Istitо’ah?
Konsep ini diperkenalkan bagi menggalakkan pendeposit:
- membuat persediaan simpanan haji dengan lebih mudah dan sistematik;
- mengamalkan simpanan yang lebih berdisiplin dan berorientasikan matlamat;
- mengasingkan simpanan mengikut tujuan dan keperluan; serta
- memperkukuhkan kemampuan kewangan untuk melaksanakan ibadah haji.
Mudah cerita, Tabung Am lebih kepada akaun untuk urusan simpanan dan transaksi biasa, manakala Tabung Istitо’ah membantu “mengunci” sebahagian simpanan supaya pendeposit lebih konsisten menyimpan.
Apa Kaitannya Dengan Simpanan RM15,000?
Salah satu perkara penting dalam Pelan Persediaan Haji ialah Kelayakan Giliran Haji Automatik.
Pendeposit yang mencapai simpanan minimum RM15,000 di TH boleh diberikan kelayakan giliran haji secara automatik, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Konsep ini masih mengekalkan prinsip “yang dahulu didahulukan”, berdasarkan tarikh dan masa pendeposit memenuhi syarat yang ditetapkan.
RM15,000 pula ditetapkan sebagai ukuran tahap kesiapsiagaan simpanan pendeposit dalam membuat persediaan kewangan untuk menunaikan haji.
Macam Mana Duit Dalam Tabung Am dan Istitо’ah Bergerak?
Secara asasnya, semua transaksi simpanan seperti simpanan tunai, potongan gaji dan Direct Debit akan masuk ke Tabung Am.
Jika pendeposit mahu membuat simpanan di Tabung Istitо’ah, pindahan hanya boleh dibuat daripada Tabung Am ke Tabung Istitо’ah, sama ada melalui kaunter TH atau THiJARI.
Sebaliknya, jika mahu mengeluarkan duit daripada Tabung Istitо’ah, simpanan tersebut perlu dipindahkan semula ke Tabung Am terlebih dahulu.
Penting: Pindahan daripada Tabung Istitо’ah ke Tabung Am tertakluk kepada tempoh T+10 hari, iaitu berdasarkan tarikh kalendar termasuk hari cuti umum.
Tiada caj dikenakan untuk pindahan antara kedua-dua tabung.
Boleh Ke Keluarkan Duit Daripada Tabung Istitо’ah?
Boleh, tetapi caranya berbeza berbanding Tabung Am.
Pendeposit perlu membuat pindahan dari Tabung Istitо’ah ke Tabung Am terlebih dahulu. Tempoh pindahan adalah T+10 hari.
Bagi permohonan melalui kaunter TH, ia melibatkan keadaan apabila pengeluaran menyebabkan baki Tabung Istitо’ah berkurangan daripada RM14,995 dan seterusnya boleh menyebabkan kehilangan kelayakan giliran haji.
Manakala permohonan melalui THiJARI adalah untuk pendeposit yang:
- masih mempunyai baki melebihi RM14,995 selepas pengeluaran; atau
- belum mempunyai kelayakan giliran haji kerana baki Tabung Istitо’ah kurang daripada RM14,995.
Kenapa Jumlah RM14,995, Bukan RM15,000 Dalam Tabung Istitо’ah?
Bagi pendeposit yang mencapai simpanan minimum RM15,000, TH akan melaksanakan pindahan automatik sebanyak RM14,995 daripada Tabung Am ke Tabung Istitо’ah bagi tujuan Kelayakan Giliran Haji Automatik, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Ini bermaksud jumlah yang dikekalkan dalam Tabung Istitо’ah ialah RM14,995, manakala jumlah keseluruhan simpanan TH yang menjadi asas kelayakan ialah RM15,000.
Siapa Yang Akan Mempunyai Dua Tabung?
Menurut FAQ TH, semua pendeposit TH, termasuk pemegang akaun dewasa dan akaun kanak-kanak, akan mempunyai dua tabung secara automatik.
Namun, pelaksanaan dan kedudukan simpanan bergantung kepada kategori pendeposit serta status pendaftaran haji masing-masing.
Kumpulan 1: Sudah mendaftar haji
TH akan memindahkan RM1,300 ke Tabung Istitо’ah dan jumlah tersebut perlu dikekalkan di dalam tabung itu.
Pendeposit juga perlu memastikan simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 dalam akaun TH selewat-lewatnya 31 Disember 2028 bagi mengekalkan kelayakan giliran haji.
Kumpulan 2: Sudah mendaftar haji melalui EPF/KWSP
TH akan memindahkan RM5 daripada Tabung Am ke Tabung Istitо’ah dan jumlah tersebut perlu dikekalkan.
Pendeposit perlu mencukupkan simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 dalam akaun TH selewat-lewatnya 31 Disember 2028 bagi mengekalkan kelayakan giliran haji.
Kumpulan 3: Belum mendaftar haji tetapi mempunyai simpanan RM15,000 dan ke atas
Pendeposit sedia ada yang belum mendaftar haji tetapi mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 akan menerima notifikasi e-mel daripada TH.
Selepas simpanan disahkan mencukupi, pendeposit akan diberikan Kelayakan Giliran Haji Automatik.
TH akan memindahkan RM14,995 ke Tabung Istitо’ah, dan pendeposit perlu mengekalkan baki minimum RM15,000 dalam akaun TH untuk terus berada dalam giliran haji.
Kumpulan 4: Belum mendaftar haji dan simpanan kurang RM15,000
Pendeposit belum layak menerima Kelayakan Giliran Haji Automatik sehingga mencapai jumlah simpanan minimum RM15,000.
Apabila simpanan mencapai RM15,000, TH akan memaklumkan pendeposit melalui e-mel. Pendeposit perlu mengekalkan baki minimum tersebut dalam akaun TH.
Tarikh kelayakan giliran haji akan berdasarkan tarikh pendeposit mencapai RM15,000 dalam akaun TH.
Kumpulan 5: Alumni Haji
Bagi mereka yang telah menunaikan haji, Tabung Istitо’ah masih boleh digunakan untuk tujuan simpanan lain.
Pendeposit boleh membuat tambahan simpanan secara sukarela dengan memindahkan wang daripada Tabung Am ke Tabung Istitо’ah melalui THiJARI atau kaunter TH.
Namun, mereka tidak layak mendapat giliran haji walaupun baki simpanan mencukupi RM15,000.
Apa Jadi Kalau Tak Mahu Kelayakan Giliran Haji Automatik
Pendeposit yang tidak berminat untuk menerima Kelayakan Giliran Haji Automatik tetapi masih mahu menyimpan di TH boleh membuat permohonan Opt Out.
Permohonan Opt Out perlu dibuat di kaunter cawangan TH.
Opt Out bermaksud pendeposit memohon untuk menghentikan proses menerima Kelayakan Giliran Haji Automatik walaupun simpanan mencapai RM15,000.
Jika mahu mendapatkan semula kelayakan tersebut, pendeposit boleh membuat Opt In melalui kaunter TH atau THiJARI.
Apa Berlaku Selepas 31 Disember 2028?
Mulai 1 Januari 2029, kelayakan giliran haji akan disusun semula dengan pematuhan syarat simpanan minimum RM15,000 dalam akaun TH.
Pendeposit yang mengekalkan RM15,000 dalam akaun TH berpeluang mendapatkan kelayakan giliran haji mengikut susunan semula tersebut, menggantikan pendeposit yang tidak mencapai RM15,000 sehingga 31 Disember 2028.
Semakan boleh dibuat melalui THiJARI.
Apa Beza Baki Keseluruhan Dengan Baki Tersedia?
Ini juga penting kerana kedua-duanya membawa maksud yang berbeza.
Baki keseluruhan
Baki keseluruhan ialah jumlah semua simpanan pendeposit dalam:
Tabung Am + Tabung Istitо’ah.
Baki tersedia (available balance)
Baki tersedia pula ialah jumlah simpanan dalam Tabung Am yang boleh dikeluarkan atau dipindahkan selepas mengambil kira semua amaun yang perlu dikekalkan.
Baki tersedia boleh disemak melalui THiJARI atau kaunter TH.
Paparan baki melalui ATM dan Internet Banking Rakan Strategik TH pula hanya menunjukkan baki keseluruhan, bukan baki tersedia.
Adakah Agihan Keuntungan Berubah?
Tidak. Menurut FAQ TH, kaedah kiraan Agihan Keuntungan kekal seperti sedia ada.
Ia dikira berdasarkan purata baki simpanan terendah setiap bulan sepanjang tahun kewangan, kemudian diagihkan mengikut kadar peratusan yang diumumkan.
Agihan keuntungan akan dikreditkan kepada kedua-dua tabung berdasarkan peratus baki simpanan pada 31 Disember tahun kewangan.
Sebagai contoh, jika jumlah agihan keuntungan ialah RM1,000 dan baki pada 31 Disember ialah:
- Tabung Am: 30%
- Tabung Istitо’ah: 70%
Maka:
- RM300 akan dikreditkan ke Tabung Am
- RM700 akan dikreditkan ke Tabung Istitо’ah
Adakah Multi Tabung Menyebabkan Pengeluaran Jadi Lebih Susah?
Pelaksanaan Multi Tabung bertujuan membantu pendeposit mengurus simpanan dengan lebih teratur dan menggalakkan perancangan kewangan yang lebih berdisiplin.
Namun, perbezaan paling ketara ialah pengeluaran daripada Tabung Istitо’ah perlu dipindahkan ke Tabung Am terlebih dahulu dan tertakluk kepada tempoh T+10 hari.
Sebaliknya, pengeluaran daripada Tabung Am boleh dibuat serta-merta, tertakluk kepada terma dan syarat TH.
FAQ Tabung Am & Tabung Istitо’ah TH
Rujukan: https://www.tabunghaji.gov.my/bm/soalan-lazim/seruan-istitoah
Tidak. Pendeposit hanya mempunyai satu nombor akaun TH untuk kedua-dua tabung.
Tiada caj dikenakan untuk pindahan antara kedua-dua tabung.
Pindahan mengambil masa T+10 hari, berdasarkan tarikh kalendar termasuk hari cuti umum.
Simpanan ke Tabung Istitо’ah hanya boleh dibuat melalui pindahan daripada Tabung Am
Tiada had bilangan transaksi bagi pindahan daripada Tabung Istitо’ah ke Tabung Am.
Tiada had simpanan dalam Tabung Istitо’ah.
Ya. Tabung Am kekal sebagai tabung utama untuk transaksi simpanan dan pengeluaran.
Tidak. Kiraan zakat adalah sama mengikut polisi TH sedia ada.
Ya. Semua pendeposit TH, termasuk pemegang akaun dewasa dan akaun kanak-kanak, mempunyai dua tabung.
Boleh. Permohonan Opt Out perlu dibuat di kaunter cawangan TH.









Baca juga: Kelayakan Giliran Haji Automatik: Pendeposit Perlu Cukupkan RM15,000 Sebelum 31 Disember 2028




