Opens in a new tab
Anda mungkin layak menerima bantuan.
Semak Sekarang!

Akademi Dalam Industri (ADI) ialah sebuah program latihan berteraskan pekerjaan oleh kerajaan Malaysia di bawah konsep “Dapat Kerja, Dapat Gaji, Dapat Kemahiran”.

Program ini membolehkan rakyat Malaysia bekerja sambil mengikuti latihan kemahiran untuk mendapatkan sijil atau diploma yang diiktiraf industri.

Layari portal rasmi ADI di https://adi.gov.my/ atau rujuk perinciannya di bawah.

Apa Itu Akademi Dalam Industri (ADI)?

Akademi Dalam Industri (ADI) ialah inisiatif latihan berteraskan pekerjaan (work-based learning) oleh Kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Berpegang pada konsep “Dapat Kerja, Dapat Gaji, Dapat Kemahiran”, program ini membolehkan warganegara Malaysia bekerja secara rasmi di syarikat industri sambil mengikuti latihan untuk memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau Diploma Profesional tanpa beban hutang pengajian.

Sehingga kini, ekosistem ADI menerusi portal rasmi adi.gov.my telah menghimpunkan lebih daripada 64,473 bakat tempatan, 3,137 syarikat berdaftar, dan mencatatkan 15,508 penempatan pekerjaan yang berjaya merentasi 28 sektor ekonomi utama negara.

  • Program latihan berasaskan industri sebenar
  • Pensijilan yang diiktiraf secara nasional dan antarabangsa
  • Peluang kerjaya yang menjanjikan dengan gaji kompetitif

Siapa Boleh Sertai Akademi Dalam Industri (ADI)?

Program Akademi Dalam Industri (ADI) terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 hingga 40 tahun tanpa mengira tahap kelayakan akademik terdahulu, asalkan menguasai kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira (3M) serta lulus ujian saringan di Portal Rasmi ADI.

Penyertaan program ini terbahagi kepada:

1. Kategori Bakat (Individu & Pencari Kerja)

  • Lepasan Sekolah & Belia: Lepasan SPM, STPM, atau belia yang ingin terus bekerja sambil mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
  • Graduan TVET & Universiti: Graduan diploma atau ijazah yang belum mendapat pekerjaan (termasuk melalui laluan khusus seperti ADI Protégé untuk pemegang ijazah sarjana muda dan ke atas)
  • Pencari Kerja & Pekerja Diberhentikan: Individu menganggur, pekerja gig, atau pekerja yang diberhentikan kerja dan ingin menukar bidang (reskilling).
  • Pekerja Sedia Ada: Pekerja yang sedang berkhidmat di syarikat berdaftar dengan ADI dan ingin meningkatkan kemahiran (upskilling) atau mendapatkan pengiktirafan sijil rasmi melalui pengalaman kerja (laluan ADI Pekerjaan).
  • Golongan Inklusif. Terbuka luas kepada suri rumah, golongan rentan, serta Orang Kurang Upaya (OKU) yang mampu bekerja.

2. Kategori Majikan & Penyedia Latihan

Selain pencari kerja, organisasi berikut juga layak menyertai ekosistem ADI:

  • Syarikat Industri. Syarikat berdaftar di Malaysia (lazimnya dengan hasil jualan tahunan RM300,000 dan ke atas) yang ingin melatih serta menggaji pekerja tempatan.
  • Pusat Latihan / Penyedia Latihan. Pusat bertauliah JPK atau institusi latihan yang bekerjasama mengendalikan modul teori.

Jenis Pensijilan

SPKM (JPK)
  • Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)
  • Diploma Kemahiran Malaysia (DKM)
  • Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM)
  • Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM)
MQA (Universiti Awam & Swasta)
  • Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL)

dan beberapa lagi jenis pensijilan yang akan dibuka pada masa akan datang.

Akademi Dalam Industri (ADI)

Kelebihan Menyertai Akademi Dalam Industri (ADI)

Setiap bakat yang menyertai program ADI akan menerima manfaat yang komprehensif untuk memastikan kejayaan kerjaya yang berkekalan. Antaranya:

1. Gaji Sepadan dengan Industri: Menerima gaji yang kompetitif sepanjang program latihan berdasarkan standard industri terkini.

    2. Insentif Bulanan Menarik: Bantuan kewangan tambahan dan insentif prestasi untuk meningkatkan motivasi pembelajaran.

    3. Kemahiran Industri Terkini: Pembelajaran hands-on dengan teknologi dan peralatan industri yang paling mutakhir.

    4. Pengalaman Kerja Sebenar: Bekerja langsung di syarikat industri untuk mendapat pengalaman praktik yang berharga.

    5. Memperoleh Pengiktirafan: Pengiktirafan rasmi sebagai bakat berkualiti tinggi yang komited dalam pembangunan kemahiran untuk industri Malaysia.

    Syarikat

    Setiap syarikat yang menyertai program ADI pula akan menerima manfaat seperti berikut:

    1. Tuntutan LEVI & PSMB: Dapatkan tuntutan balik untuk kos latihan pekerja melalui skim LEVI dan PSMB yang disediakan kerajaan.

      2. Potongan Cukai Berganda: Nikmati potongan cukai berganda untuk perbelanjaan latihan dan pembangunan pekerja.

      3. Insentif Kerajaan: Pelbagai insentif dan bantuan kerajaan untuk syarikat yang menyertai program ADI.

      4. Membentuk Pekerja Mahir Yang Berkualiti: Akses kepada bakat yang telah dilatih dengan kemahiran industri terkini dan bersijil.

      5. Kerjasama Strategik: Pengukuhan imej syarikat sebagai rakan strategik pembangunan tenaga kerja mahir negara.

      Pilihan Kerjaya

        Terdapat  lebih dari 15 laluan kerjaya yang berbeza, antaranya:

        • Teknologi Elektrikal & Elektronik
        • Jurutera Mekanikal
        • Penganalisis Makanan
        • Teknologi Automotif
        • Kemahiran Digital 4.0
        • Teknologi Aeroangkasa
        • Pakar Kimia Industri
        • Teknologi Hijau
        • Teknologi Peranti Perubatan
        • Kemahiran Robotik
        • Teknologi Logam
        • Pakar Pemprosesan Data
        • Teknologi Maritim
        • Kemahiran Kewangan Digital
        • Pakar Alam Sekitar

        ADI Protege untuk Graduan

        Tahukah anda, ADI Protégé ialah program latihan di tempat kerja (on-the-job training) di bawah pemantauan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) yang direka khusus untuk graduan menganggur (Ijazah Sarjana Muda dan ke atas).

        Program ini membantu graduan baharu (fresh graduates) mengatasi masalah kekurangan pengalaman kerja dengan menempatkan mereka terus di syarikat pemegang kontrak perolehan Kerajaan Persekutuan.

        Komposisi Latihan:

        • 80% Kemahiran Kerja
        • 20% Pengukuhan Pengetahuan

        Tempoh Pelaksanaan Program:

        • Tempoh Minimum: 6 Bulan
        • Tempoh: 6 Hingga 12 Bulan
        • Maksimum: 12 Bulan
        • Program dijalankan secara berstruktur dengan tempoh minimum 6 bulan dan maksimum 12 bulan.

        Kumpulan Sasaran:

        • Graduan Menganggur & Syarikat Kontrak
        • Graduan Menganggur: Graduan menganggur sebagai Protege ditempatkan di syarikat pemegang kontrak perolehan Kerajaan Persekutuan.
        • Syarikat Pemegang Kontrak Perolehan Kerajaan Persekutuan

        Dah tamat program nanti dapat apa?

        • Protege yang tamat dengan jayanya layak dianugerahkan SKM, DKM, DLKM atau SKMM. Pengalaman dapat, kemahiran dapat, sijil pun dapat!

        Cara Daftar & Sertai Akademi Dalam Industri (ADI)

        Pendaftaran untuk menyertai Akademi Dalam Industri (ADI) boleh dibuat secara dalam talian sepenuhnya melalui Portal Pendaftaran Rasmi ADI atau aplikasi mudah alih myADI mengikut kategori akaun anda.

        1. Cara Daftar Untuk Bakat (Pencari Kerja, Lepasan Sekolah & Pekerja)

        Jika anda ingin memohon jawatan sambil mengikuti latihan kemahiran (SKM/Diploma), ikuti langkah berikut:

        1. Layari portal rasm ADI di https://adi.gov.my/ atau muat turun aplikasi myADI di:
        2. Klik ‘Daftar Sekarang’ dan pilih jenis akaun mengikut peranan anda:
          • Bakat – Individu yang mendaftar untuk meningkatkan kemahiran dan peluang pekerjaan melalui ADI.
          • Syarikat – Majikan yang menawarkan peningkatan kemahiran, penempatan dan pembangunan bakat melalui ADI.
          • Pembekal – Penyedia perkhidmatan peningkatan kemahiran, pensijilan atau sokongan kepada program ADI.
        3. Sekiranya pernah berdaftar di Portal ADI versi terdahulu, boleh terus klik Log Masuk sebagai Bakat / Syarikat / Pembekal.
        4. Masukkan Nombor Kad Pengenalan dan Kata Laluan. Sila cuba langkah ini dua (2) kali sehingga paparan Log Masuk Tidak Berjaya dipaparkan.
        5. Masukkan alamat emel yang telah didaftarkan dalam portal ADI untuk menetapkan semula kata laluan.
        6. Tetapkan kata laluan baharu dan seterusnya log masuk semula ke akaun.
        7. Tetapkan kata laluan baharu dan seterusnya log masuk semula ke akaun.

        Panduan Bergambar

        Untuk panduan lebih terperinci, anda boleh muat turun PDF di bawah:

        Maklumat Lanjut & Soalan Lazim Akademi Dalam Industri (ADI)

        Sekiranya anda memerlukan bantuan lanjut, sila hubungi:

        Atau, layari portal rasmi Akademi Dalam Industri di https://adi.gov.my/

        Apa itu Program ADI?

        Program bekerja sambil belajar anjuran kerajaan Malaysia. Peserta akan bekerja di syarikat sebenar sambil mengikuti latihan untuk mendapatkan sijil kemahiran.

        Perlu ada sijil SPM untuk memohon?

        Tidak perlu. Anda masih layak memohon walaupun tiada sijil SPM, asalkan anda warganegara Malaysia dan lulus ujian saringan asas 3M.

        Berapa lama tempoh program ini?

        Tempoh latihan antara 6 hingga 18 bulan, bergantung kepada jenis sijil dan tahap kemahiran yang diambil.

        Adakah peserta perlu bayar yuran pengajian?

        Percuma untuk pendaftaran. Tiada yuran penyertaan dikenakan kepada pencari kerja untuk mendaftar dalam sistem ADI.

        Apakah jenis sijil yang boleh diperoleh selepas tamat latihan?

        Peserta yang akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM Tahap 1–3), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM Tahap 4), Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM Tahap 5), SKM Modular (SKMM), atau Diploma Profesional (kerjasama bersama institusi seperti UTMSPACE dan London Examination Board).

        Penulis