MySiren ialah Sistem Amaran Awal Nasional (EWS) Malaysia yang menghantar amaran kecemasan terus ke telefon bimbit di kawasan terjejas menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS). Sistem ini dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, pada 23 November 2026.
Ia merangkumi pelbagai jenis kecemasan awam, termasuk cuaca buruk, banjir, amaran tsunami, tanah runtuh, kebakaran besar, kebocoran bahan berbahaya, serta ancaman keselamatan awam.
Jom semak maklumat lanjut mengenai MySiren di bawah.

Apa Itu MySiren?
MySiren ialah Sistem Amaran Awal Nasional (Early Warning System – EWS) Malaysia yang menghantar amaran kecemasan terus ke telefon bimbit di kawasan yang terjejas atau berisiko mengalami bencana.
Sistem ini berfungsi menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) menerusi rangkaian 4G dan 5G bagi memancarkan notifikasi amaran secara serentak dalam tempoh kurang daripada satu minit.
Tak Perlu Daftar, Tak Perlu Download Aplikasi
Keistimewaan utama MySiren ialah ia tidak memerlukan pengguna memuat turun sebarang aplikasi khas, mendaftar akaun, mahupun menggunakan kuota data internet.
Apabila berlaku kecemasan seperti banjir, ribut, tsunami, tanah runtuh, kebakaran besar, atau ancaman keselamatan awam, mesej amaran akan terus muncul di skrin telefon pintar bersama bunyi siren dan getaran khas supaya orang ramai dapat bertindak segera bagi menyelamatkan diri.


Fungsi MySiren
Fungsi utama MySiren adalah untuk menyampaikan amaran awal kecemasan secara pantas dan bersasar terus ke telefon bimbit orang ramai di kawasan yang terjejas atau berisiko mengalami bencana.
Contohnya, banjir kilat, ribut dan cuaca buruk, tsunami, tanah runtuh, kebakaran besar, insiden bahan kimia berbahaya, kes orang hilang berisiko tinggi, serta ancaman keselamatan negara.
Ia menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) menerusi rangkaian 4G dan 5G untuk memancarkan mesej dalam tempoh kurang daripada satu minit tanpa terjejas oleh kesesakan talian telekomunikasi.

MySiren akan menghantar amaran hanya kepada peranti mudah alih yang berada dalam lingkungan menara pemancar di zon geografi yang terlibat, sekali gus mengelakkan kekeliruan di kawasan yang selamat.
Sistem ini akan mengaktifkan paparan skrin khas serta bunyi siren yang nyaring dan getaran kuat di telefon bimbit supaya pengguna segera menyedari ancaman yang sedang berlaku dan dapat mengambil tindakan menyelamatkan diri.
Ujian Kecemasan 29 November Ini
Sebelum sistem ini mula beroperasi sepenuhnya menjelang hujung tahun 2026, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjalankan ujian amaran kecemasan secara serentak di seluruh negara pada hari Ahad, 29 November 2026, antara jam 10.10 pagi hingga 10.30 pagi.
Jadi, kalau telefon pintar korang tiba-tiba bergegar kuat dan mengeluarkan bunyi siren nyaring berserta mesej pop-up pada pagi Ahad nanti, jangan panik atau kelam-kabut hubungi talian kecemasan.
Menurut MCMC, ujian awam ini bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan infrastruktur rangkaian 4G dan 5G syarikat telekomunikasi di seluruh Malaysia, di samping membiasakan orang ramai dengan bunyi serta paparan notifikasi MySiren.
Ujian seluruh negara ini merupakan fasa susulan selepas ujian dalaman di Cyberjaya pada 19 November dan simulasi di Bangunan Parlimen pada 23 November lalu.

Telefon Mana Boleh Terima Amaran MySiren di Malaysia?
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), telefon bimbit yang serasi mestilah menyokong ciri Wireless Emergency Alerts (WEA), mempunyai perisian yang dikemas kini dengan konfigurasi khusus untuk Malaysia, serta bersambung ke rangkaian 4G atau 5G yang terlibat.
Keperluan sistem operasi (OS) minimum semasa adalah seperti berikut:
- Apple iPhone: iPhone 11 atau model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 ke atas.
- Android: Peranti serasi yang menjalankan Android 12 ke atas.
- Huawei: Peranti serasi yang menjalankan EMUI 16 ke atas.
Walau bagaimanapun, memenuhi syarat sistem operasi minimum ini tidak menjamin keserasian secara automatik. Peranti tersebut juga perlu menyokong teknologi Cell Broadcast serta konfigurasi yang diperlukan untuk Malaysia.
MCMC menasihatkan pengguna supaya mengemas kini telefon mereka kepada versi perisian terkini dan memulakan semula (restart) peranti selepas selesai proses kemas kini tersebut.

Cara Aktfikan Amaran MySiren di Telefon Bimbit
Sebelum mengaktifkan amaran MySiren, pastikan anda sudah mengemas kini sistem operasi telefon anda dan memastikan tetapan Wireless Emergency Alerts (WEA) atau Government Alerts diaktifkan.
Berikut ialah langkah-langkah aktfikan amaran MySiren mengikut jenis peranti:
1. Pengguna iPhone (iOS)
- Kemas Kini OS: Pastikan anda menggunakan iPhone 11 atau lebih baharu dengan perisian iOS 27.2 ke atas (Settings > General > Software Update).
- Pergi ke Settings > Notifications.
- Skrol ke bahagian paling bawah sehingga jumpa bahagian Government Alerts (atau Emergency Alerts).
- Pastikan suis amaran kecemasan (seperti Extreme Alerts, Severe Alerts, dan Test Alerts) ditukar kepada ON (berwarna hijau).
2. Pengguna Android
- Kemas Kini OS: Pastikan peranti menjalankan Android 12 ke atas (Settings > System > System update).
- Pergi ke Settings > Safety & emergency (atau Notifications > Advanced settings bergantung pada jenama telefon).
- Pilih Wireless emergency alerts.
- Hidupkan pilihan Allow alerts serta kategori amaran seperti Extreme threats, Severe threats, dan Test alerts.
3. Pengguna Huawei (EMUI)
- Kemas Kini OS: Pastikan peranti menggunakan EMUI 16 ke atas (Settings > System & updates > Software update).
- Pergi ke Settings > Sounds & vibration > More settings > Cell broadcast (atau cari Emergency alerts di ruangan carian dalam Settings).
- Aktifkan semua pilihan amaran kecemasan yang dipaparkan.

Penting:
- Mulakan Semula (Restart): MCMC menasihatkan pengguna untuk restart telefon selepas selesai mengemas kini perisian supaya konfigurasi Malaysia dapat dimuat turun dengan sempurna.
- Status Peranti: Pastikan telefon dihidupkan, tidak berada dalam Flight Mode, dan mempunyai liputan rangkaian 4G atau 5G.
Maklumat Lanjut & Soalan Lazim MySiren
Untuk mendapatkan info rasmi mengenai MySiren, anda boleh terus rujuk:
- Portal rasmi MCMC di https://www.mcmc.gov.my/en/mysiren/introduction
- Facebook rasmi NADI Malaysia
MySiren ialah Sistem Amaran Awal (Early Warning System, EWS) Malaysia yang dibangunkan untuk memberi amaran kepada orang ramai semasa kecemasan, supaya mereka dapat mengambil tindakan segera bagi melindungi nyawa dan harta benda. Sistem ini menggunakan teknologi Cell Broadcast untuk menyiarkan amaran keselamatan penting kepada peranti mudah alih yang serasi di kawasan terjejas melalui rangkaian 4G dan 5G.
Amaran boleh dikeluarkan sekiranya terdapat ancaman serius dan mendesak terhadap nyawa, kesihatan, keselamatan atau harta benda akibat kejadian seperti cuaca buruk, banjir, tsunami, kebakaran besar, insiden melibatkan bahan berbahaya, ancaman keselamatan awam atau kecemasan besar yang lain.
Hanya pegawai yang ditetapkan dan telah menjalani latihan dalam agensi pengurusan bencana yang diberi kuasa boleh menyediakan, meluluskan dan mengeluarkan amaran kecemasan awam melalui platform MySiren yang selamat.
Agensi pengurusan bencana yang diberi kuasa boleh mengeluarkan kategori amaran berikut mengikut jenis dan tahap keterukan kecemasan: National Alert, Extreme Alert, Severe Alert, Missing Person Alert, Test Alert dan Exercise Alert.
Tidak. Pendaftaran, langganan atau aplikasi khusus tidak diperlukan.
MySiren menggunakan teknologi Cell Broadcast untuk menyampaikan notifikasi amaran melalui saluran siaran rangkaian mudah alih yang mengambil bahagian. Amaran tidak memerlukan data mudah alih atau Wi-Fi.
Amaran akan dipaparkan dengan jelas pada skrin, disertai bunyi yang menarik perhatian dan getaran. Bagaimanapun, cara amaran dipaparkan mungkin berbeza mengikut model peranti, sistem pengendalian dan kategori amaran. Sebagai contoh, *Extreme Alert* akan menghasilkan bunyi amaran kuat seperti siren berserta getaran, manakala *Active Shooter Alert* tidak menghasilkan bunyi atau getaran.
National Alert dan Extreme Alert akan menghasilkan bunyi dan getaran walaupun telefon berada dalam mod senyap atau Jangan Ganggu (Do Not Disturb). Kategori amaran lain akan mengikut tetapan telefon.
Tidak. Anda tidak perlu membayar sebarang fi atau melanggan perkhidmatan untuk menerima amaran tersebut.



