Deposit kereta merupakan faktor penting yang menentukan jumlah ansuran bulanan dan jumlah faedah yang perlu dibayar sepanjang tempoh pinjaman.
Ramai pembeli tertanya-tanya sama ada lebih berbaloi membayar deposit tinggi atau deposit rendah apabila membeli kereta.
Keputusan ini mempengaruhi aliran tunai bulanan, jumlah keseluruhan yang dibayar dan nilai jualan semula selepas lima tahun.
Memahami Konsep Asas Deposit Kereta

Menurut Akta Sewa Beli 1967, pembeli kereta di Malaysia wajib menyediakan wang pendahuluan sekurang-kurangnya satu per sepuluh atau 10 peratus daripada harga jualan kenderaan.
Namun, terdapat banyak iklan yang menawarkan pembelian kereta tanpa deposit atau full loan yang menarik perhatian ramai pembeli.
Apa yang ramai tidak sedar ialah tawaran full loan ini sebenarnya melibatkan kadar faedah yang lebih tinggi dan boleh menyebabkan pembeli terperangkap dengan hutang yang lebih besar dalam jangka masa panjang.
Apabila anda membayar deposit yang tinggi, jumlah pokok pinjaman akan berkurang, seterusnya mengurangkan jumlah faedah yang dikenakan oleh bank.
Sebaliknya, jika anda memilih deposit rendah atau full loan, jumlah pokok pinjaman menjadi lebih besar dan faedah yang perlu dibayar sepanjang tempoh pinjaman akan meningkat dengan signifikan.
Perbezaan ini mungkin kelihatan kecil pada permulaan, tetapi apabila dikira sepanjang lima tahun atau lebih, jumlahnya boleh mencecah ribuan ringgit.
Faktor Kos Tersembunyi Yang Perlu Diambil Kira

Ramai pembeli kereta tidak menyedari bahawa terdapat pelbagai kos tersembunyi yang perlu diambil kira selain daripada ansuran bulanan.
Kos-kos ini termasuk insurans kereta, cukai jalan, penyelenggaraan berkala, penggantian tayar, minyak enjin, minyak gear dan pelbagai lagi.
Menurut pakar kewangan, harga kereta yang dibeli seharusnya tidak melebihi 12 bulan gaji tahunan anda untuk memastikan anda mampu menanggung semua kos ini dengan selesa.
Jika anda memilih deposit rendah untuk mengekalkan wang tunai, pastikan wang tersebut benar-benar digunakan untuk tujuan yang produktif dan bukan dibelanjakan untuk perkara yang tidak perlu.
Ada juga yang berpendapat bahawa wang deposit boleh dilaburkan untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi daripada kadar faedah pinjaman kereta.
Namun, strategi ini memerlukan disiplin kewangan yang tinggi dan pemahaman yang mendalam tentang pelaburan.
Kiraan Realistik 5 Tahun: Deposit Tinggi vs Deposit Rendah

Kita ambil contoh paling popular di Malaysia: Perodua Myvi 1.5X berharga RM60,000 OTR termasuk insurans dan cukai jalan. Kadar faedah tetap 3% setahun, tempoh pinjaman 5 tahun (60 bulan) untuk perbandingan adil.
Formula pinjaman sewa beli:
Faedah = Jumlah Pinjaman x Kadar Faedah x Tempoh Tahun
Ansuran Bulanan = (Jumlah Pinjaman + Jumlah Faedah) / 60 bulan
SENARIO A: Deposit Rendah 10% – RM6,000
- Jumlah Pinjaman: RM54,000
- Jumlah Faedah (3% x 5 tahun): RM54,000 x 0.03 x 5 = RM8,100
- Jumlah Perlu Bayar Balik: RM62,100
- Ansuran Bulanan: RM1,035
- Jumlah Kos Kereta Sebenar: RM6,000 + RM62,100 = RM68,100
SENARIO B: Deposit Tinggi 50% – RM30,000
Ini contoh yang tular di mana pembeli membayar RM30,000 untuk Myvi.
- Jumlah Pinjaman: RM30,000
- Jumlah Faedah (3% x 5 tahun): RM30,000 x 0.03 x 5 = RM4,500
- Jumlah Perlu Bayar Balik: RM34,500
- Ansuran Bulanan: RM575
- Jumlah Kos Kereta Sebenar: RM30,000 + RM34,500 = RM64,500
Jimat Faedah Sahaja: RM3,600 dalam 5 tahun.
Nampak kecil? Tunggu analisis untung rugi sebenar.
Analisis Untung Rugi Selepas 5 Tahun

Inilah yang membezakan orang yang beli kereta dengan ilmu dan yang hanya ikut nafsu.
1. Dari Segi Aliran Tunai Bulanan
Deposit tinggi menjimatkan RM460 sebulan (RM1,035 – RM575). Dalam 60 bulan, anda ada lebihan tunai RM27,600 yang boleh dilabur ke ASB, Tabung Haji atau dana kecemasan. Dengan andaian pulangan 5% setahun, lebihan RM460 itu boleh jadi hampir RM32,000 dalam 5 tahun.
Kaedah ini juga memberi keuntungan kepada pembeli apabila ingin menjual semula kereta selepas tempoh lima tahun berikutan bayaran pinjaman telah melebihi 90 peratus sekali gus membolehkannya menerima pulangan tunai yang banyak.
2. Dari Segi Ekuiti dan Nilai Jualan Semula
Kereta bukan aset, ia liabiliti yang susut nilai 10-15% setahun. Selepas 5 tahun, Myvi RM60,000 mungkin bernilai sekitar RM28,000 – RM32,000 sahaja di pasaran.
- Deposit Rendah 10%: Selepas 5 tahun, loan anda baru habis. Jika anda jual pada tahun ke-3 atau ke-4, anda berada dalam situasi negative equity. Baki hutang di bank masih lebih tinggi dari nilai pasaran kereta. Anda terpaksa top-up duit sendiri untuk tutup hutang kerana kereta itu nilainya lebih rendah dari baki hutang di bank. Kebiasaannya, kereta yang dibeli dengan bayaran pendahuluan 10%, boleh dijual kembali dengan nilai kambus hutang tanpa untung rugi selepas 5 tahun pembayaran jika loan 9 tahun.
- Deposit Tinggi 50%: Anda sudah mempunyai ekuiti positif sejak hari pertama. Pada tahun ke-3, baki pinjaman anda mungkin hanya tinggal RM12,000 sedangkan nilai kereta RM38,000. Jika jual, anda dapat cashback bersih RM26,000. Beban hutang anda jauh lebih ringan.
3. Dari Segi Risiko Kewangan
Full loan atau deposit rendah mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi. Pemohon juga terpaksa menanggung beban bayaran bulanan yang tinggi kerana kadar interest yang dikenakan untuk full loan ini agak tinggi. Walaupun beza hanya RM50 sebulan, kalau didarabkan dengan 108 bulan, banyak juga.
Baca lagi: Denda Penyelesaian Awal Pinjaman Kereta: Antara Mitos & Realiti
Pilihan Lebih Berbaloi?
Jawapannya bergantung kepada matlamat anda.
Pilih Deposit Tinggi (30% – 50%) Jika:
- Anda ada simpanan lebih dan bukan duit kecemasan.
- Anda mahu ansuran bulanan bawah 15% gaji dan mahu habis cepat (5 tahun).
- Anda jenis tukar kereta setiap 4-5 tahun dan mahu cashback tinggi bila jual.
- Anda mahu jimat faedah ribuan ringgit dan elak negative equity.
Pilih Deposit Rendah (10% – 20%) Jika:
- Anda baru mula kerja dan simpanan tunai masih nipis, tetapi anda benar-benar perlukan kereta untuk kerja. Ingat formula: jika pendapatan kecil tetapi mahu mohon full loan, dari segi matematiknya anda belum mampu membeli kereta tersebut.
- Anda mempunyai pelaburan yang memberi pulangan lebih tinggi dari faedah kereta (contoh 8-10% vs 3%). Lebih baik labur duit lebihan itu.
- Anda dapat faedah syarikat atau elaun kereta yang boleh cover ansuran lebih tinggi.
- Anda merancang pakai kereta itu sampai habis loan 9 tahun, bukan untuk dijual awal.
Sebelum membuat keputusan, pastikan anda mengira dengan teliti kemampuan kewangan anda dan tidak menggunakan wang simpanan kecemasan untuk membayar deposit.
Jika anda tidak mampu menyediakan deposit minimum 10 peratus, ini mungkin tanda bahawa anda belum bersedia dari segi kewangan untuk memiliki kereta tersebut.
Ingatlah bahawa kereta adalah liabiliti yang nilainya semakin susut setiap tahun, bukan aset yang meningkat nilainya.
Buat keputusan yang bijak dan pastikan anda memahami sepenuhnya implikasi kewangan sebelum menandatangani sebarang perjanjian pinjaman.




