Anda mungkin layak menerima bantuan.
Semak Sekarang!

Isu anjing liar atau anjing terbiar (stray dogs) sering menjadi topik hangat dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Kehadiran haiwan-haiwan ini di kawasan perumahan, premis perniagaan, dan taman rekreasi adakalanya menimbulkan kebimbangan terutamanya dari sudut keselamatan orang awam.

Bagaimanakah cara yang betul untuk melaporkan isu ini, dan siapakah pihak yang bertanggungjawab?

Jom rujuk cara repost anjing liar di kawasan anda melalui perkongsian di bawah.

Isu & Kes Anjing Liar di Malaysia

Isu anjing liar di Malaysia kini merupakan ancaman keselamatan awam yang serius dengan anggaran populasi haiwan terbiar mencecah 6 juta ekor di seluruh negara.

Angka 6 juta ini bukannya sekadar tulisan kosong, ia dilaporkan dalam sebuah kajian akademik/tinjauan awam bertajuk “Public perspectives on strays and companion animal management in Malaysia”.

Sumber: Public perspectives on strays and companion animal management in Malaysia

Terdapat banyak kes dilaporkan melibatkan anjing liar sepanjang tahun 2026 ini, antaranya:

  • Kes Serangan Kanak-Kanak di Pantai Kuala Kemasin, Kelantan (Oktober 2026): Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, Azuar Firdaus Zuraiman, parah diserang dan digigit sekumpulan lima ekor anjing liar ketika bermain di pantai. Mangsa mengalami kecederaan kritikal di bahagian kepala serta leher dan terpaksa menjalani pembedahan selama lima jam. Beliau kini memerlukan pemantauan ketat serta suntikan anti-rabies selama tiga minggu. Kehadiran kawanan anjing liar yang semakin membiak dilaporkan mengancam lebih 2,000 penduduk di mukim tersebut.
  • Kes Serangan Kanak-Kanak 2 Tahun di Batu Pahat, Johor (September 2026): Nur Haira Watikah Mohammad Hamizi, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun 10 bulan, mengalami kecederaan koyak rabak yang sangat parah di muka dan kepala selepas diserang sekumpulan lima ekor anjing liar di hadapan rumah neneknya di Kampung Tambak, Peserai. Mangsa terpaksa ditidurkan di unit rawatan rapi kerana kecederaan yang terlalu serius. Siasatan mendapati anjing-anjing agresif tersebut dipercayai merupakan zuriat anjing pemburu babi yang ditinggalkan di ladang sawit berhampiran.

  • Kematian Akibat Rabies Pertama di Kedah (September 2026): Seorang pemuda berusia 31 tahun di Changlun, Kubang Pasu, meninggal dunia akibat jangkitan virus rabies selepas dipercayai digigit oleh seekor anjing terbiar pada bulan Ogos. Mangsa dilaporkan seorang pencinta haiwan yang sering memberi makanan kepada anjing jalanan berkenaan. Ini merupakan kes kematian manusia akibat rabies yang pertama direkodkan di negeri Kedah sejak tahun 1998.

Risiko Anjing Liar Kepada Orang Awam

Berikut adalah risiko-risiko utama anjing liar kepada orang awam:

  • Serangan Fizikal: Mengakibatkan luka gigitan parah, koyakan kulit, trauma psikologi, dan risiko kecacatan kekal.
  • Jangkitan Rabies: Penyakit anjing gila daripada air liur yang boleh menyebabkan kematian hampir 100% jika tidak dirawat segera.
  • Kemalangan Jalan Raya: Menyebabkan penunggang motosikal atau pemandu kereta terbabas akibat melanggar atau mengelak anjing.
  • Persekitaran Kotor: Anjing-anjing liar suka menyelongkar tong sampah, membuang najis merata-rata, serta menyebarkan kutu, kurap, dan cacing.
  • Gangguan Ketenteraman: Salakan bising pada waktu malam dan menyekat kebebasan orang awam untuk berjoging atau berjalan kaki dengan selamat.

Cara Report Anjing Liar di Malaysia

Aduan mengenai anjing liar di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) (seperti Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran, atau Majlis Daerah) mengikut kawasan perumahan anda.

Berikut adalah cara untuk melaporkan isu anjing liar di bandar-bandar utama mengikut negeri di Malaysia:

Selangor & Kuala Lumpur

  • Kuala Lumpur (DBKL): Gunakan sistem aduan atas talian DBKL ADU@KL atau hubungi Hotline di 1-800-88-3255.
  • Shah Alam (MBSA): Laporan boleh dibuat melalui Sistem SISPAA MBSA atau Talian Umum 24 Jam di 03-5510 5133.
  • Subang Jaya (MBSJ): Hubungi talian aduan bersepadu di 03-8024 7700 atau melalui aplikasi aduan komuniti MBSJ.
  • Klang (MBDK): Boleh diadukan terus melalui SISPAA MBDK, talian bebas tol 1-800-88-23826 & WhatsApp rasmi di 03-3371 4404.

Johor

  • Johor Bahru (MBJB): Aduan rasmi dilakukan menerusi pautan SISPAA MBJB.
  • Iskandar Puteri (MBIP): Gunakan SISPAA MBIP untuk menghantar butiran lokasi tangkapan.
  • Batu Pahat (MPBP): Berikutan kes serangan serius, operasi dipertingkatkan. Aduan boleh dibuat terus di SISPAA MPBP.

Pulau Pinang

  • MBSP menyediakan talian khas aduan anjing berkeliaran/kacau ganggu di talian 04-549 7490. Panduan penuh aduan boleh dirujuk di Dokumen PDF Panduan Anjing MBSP.

Negeri Sembilan

  • Seremban & Nilai (MBS): Warga Seremban boleh mengemukakan laporan melalui pautan SISPAA MBS atau hubungi Talian Aduan MBS di 06-765 4444.

Perak

  • Ipoh (MBI) & Kawasan Lain: Kerajaan negeri menetapkan semua aduan anjing liar berpusat menggunakan sistem negeri. Sila hantar aduan anda di SISPAA Perak.

Sarawak (Kawasan Endemik Rabies)

Di Sarawak, anda boleh menghubungi unit khas:

  • Kuching (MBKS / DBKU): Gunakan aplikasi Talikhidmat Sarawak atau hubungi 082-555999.
  • Aduan Kes Gigitan & Penyakit (DVS Sarawak): Hubungi WhatsApp hotline Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak di 016-254 8343 untuk tindakan pantas wabak rabies.

Sabah

Di Sabah, kawalan anjing liar dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daerah masing-masing di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP).

  • Kota Kinabalu (DBKK): Anda boleh membuat aduan melalui sistem Aduan Awam DBKK atau menghantar mesej WhatsApp ke Talian Hotline DBKK di 012-2220320.
  • Sandakan (MPS): Salurkan aduan terus ke portal Sistem Aduan MPS.
  • Tawau (MPT): Gunakan platform Aduan MPT untuk menghantar lokasi anjing terbiar.

Melaka

Semua aduan PBT di negeri Melaka disatukan di bawah sistem aduan bersepadu kerajaan negeri:

  • Sistem SISPAA Melaka: Hantar maklumat lokasi, gambar, dan bilangan anjing liar terus ke SISPAA Negeri Melaka. Sistem ini merangkumi kawasan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ).
  • Talian Penting (Hotline): Anda juga boleh menghubungi Talian Setia Melaka di 06-285 1515.

Pahang

Bagi negeri Pahang, aduan boleh dibuat secara atas talian menerusi PBT bandar utama:

  • Kuantan (MBK): Gunakan sistem aduan rasmi SISPAA Majlis Bandaraya Kuantan atau hubungi talian hotline MBK di 09-512 1555.
  • Temerloh (MPT): Salurkan laporan melalui portal SISPAA Majlis Perbandaran Temerloh.

Terengganu

Aduan gangguan anjing liar di Terengganu boleh diserahkan terus kepada PBT berkaitan:

  • Kuala Terengganu (MBKT): Buat laporan melalui SISPAA Majlis Bandaraya Kuala Terengganu atau hubungi terus Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MBKT.
  • Kemaman (MPK): Gunakan sistem SISPAA Majlis Perbandaran Kemaman bagi kawasan Chukai dan sekitarnya.

Kelantan

Ekoran peningkatan kes serangan anjing liar yang serius di kawasan pantai dan mukim Kelantan baru-baru ini, operasi tangkapan oleh PBT telah dipertingkatkan:

  • Kota Bharu (MPKB-BRI): Hantar aduan terperinci melalui portal SISPAA MPKB-BRI atau hubungi talian aduan mereka di 09-741 5555.
  • Bachok (MDB): Bagi kawasan kejiranan atau pantai sekitar Bachok (seperti kes di Pantai Kemasin), anda boleh membuat aduan terus melalui portal Majlis Daerah Bachok atau hadir ke Unit Kesihatan Awam MDB untuk tindakan kecemasan.

NOTA: Sila semak kaedah terkini dan platform aduan bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengikut kawasan perumahan anda dari masa ke semasa untuk membuat aduan.

Saluran Aduan Berpusat (Seluruh Malaysia)

Jika anda tidak pasti PBT kawasan anda, anda boleh menggunakan aplikasi rasmi kerajaan persekutuan yang akan menyalurkan aduan terus kepada PBT berkaitan berdasarkan lokasi GPS anda:

  • Aplikasi PBTCare (KPKT): Dahulunya dikenali sebagai i-Tegur. Anda boleh memuat naik gambar anjing liar dan lokasi untuk tindakan segera PBT setempat.
  • Maklumat lanjut, rujuk: Facebook KPKT Malaysia.

Tips Keselamatan Jika Berhadapan Anjing Liar

Antara tips keselamatan semasa berdepan anjing liar yang boleh diambil adalah seperti berikut :-

  1. Kekal tenang dan jangan panik, lari atau jerit kerana ini boleh mencabar anjing.
  2. Elakkan bertentang mata. Pandang ke arah lain tetapi dalam masa yang sama, perlu perhatikan pergerakan anjing agar dapat berjaga-jaga.
  3. Berundur perlahan. Jalan undur perlahan-lahan tanpa membuat sebarang pergerakan pantas.
  4. Jadikan objek sebagai perisai seperti meletakkan beg atau payung di antara anda dan anjing.
  5. Lapor pihak berkuasa seperti menghubungi pihak berkuasa tempatan untuk aduan tangkapan anjing liar.

Tindakan Jika Digigit Anjing

Jika anda atau sesiapa sahaja digigit atau dicakar oleh anjing liar mahupun anjing peliharaan, tindakan pantas dalam tempoh beberapa minit pertama adalah penentu antara hidup dan mati.

Berikut adalah langkah kecemasan segera yang anda perlu lakukan:

1. Basuh luka gigitan dengan sabun dan air selama 10 minit dan sapukan ubat antiseptik seperti ubat kuning Flavin. Balut luka itu dengan pembalut yang bersih.

2. Segera bawa ke klinik atau jabatan kecemasan berhampiran.

3. Memberitahu pihak berkuasa seperti majlis perbandaran dan Jabatan Kesihatan Negeri bagi membantu mencari anjing atau haiwan itu kerana haiwan itu selalunya akan ditangkap dan dikurung untuk pemerhatian bagi melihat tanda penyakit rabies.

4. Jika pemilik anjing atau haiwan yang menggigit itu diketahui mohon kerjasama pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat mengenai haiwan itu termasuk status vaksin dan nama pemilik serta alamat.

5. Pembasuh luka dengan sempurna akan menghalang virus memasuki saluran darah. Jangan panik dan pastikan luka sudah dicuci sehingga bersih sebelum ke klinik atau hospital berhampiran.

Soalan Lazim Cara Report Anjing Liar

Di manakah saya patut buat aduan jika nampak anjing liar?

Aduan perlu dibuat kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kawasan anda melalui sistem atas talian SISPAA PBT masing-masing, aplikasi PBTCare, atau aplikasi Respons Rakyat.

Apakah dokumen atau maklumat yang perlu saya sediakan?

– Lokasi Tepat: Nama jalan, nombor rumah berhampiran, atau tanda tempat (landmark).
– Gambar/Video: Bukti bilangan anjing dan tahap keagresifannya.
– Waktu Aktif: Nyatakan waktu kawanan anjing itu kerap berkumpul (cth: setiap 7:00 pagi).

Berapa lamakah masa yang diambil oleh PBT untuk bertindak?

Bergantung pada PBT di kawasan masing-masing.

Jika ada kes gigitan anjing, kepada siapa harus saya laporkan?

Selain membuat aduan kepada PBT untuk menangkap anjing tersebut, kejadian gigitan boleh dilaporkan segera kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat untuk pemantauan wabak Rabies.

Penulis