Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Akta Antibuli 2026 (Akta 876) secara rasminya telah dikuatkuasakan di Malaysia bermula 16 Jun 2026. Selaras dengan penguatkuasaan ini, sebuah tribunal khas telah ditubuhkan untuk memudahkan proses aduan dan tindakan kes buli.

Melalui undang-undang baharu yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, ibu bapa kepada pelaku kes buli kini boleh dikenakan liabiliti bersama (joint liability).

Ini termasuk tanggungjawab undang-undang untuk membayar denda atau pampasan kewangan kepada mangsa sehingga RM250,000 sekiranya anak mereka (di bawah umur 18 tahun) didapati bersalah.

Jom rujuk info lebih lanjut mengenai Akta Antibuli 2026 dan Tribunal Bagi Antibuli di bawah.

tribunal akta antibuli 2026
Sumber: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM

Apa itu Akta Antibuli 2026?

Akta Antibuli 2026 (Akta 876) ialah undang-undang di Malaysia yang digubal untuk menangani, mengawal selia, dan mencegah kes buli melibatkan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.

Akta ini diluluskan oleh Parlimen pada hujung tahun lalu dan secara rasminya telah mula dikuatkuasakan di seluruh negara bermula 16 Jun 2026.

TRIBUNAL ANTI BULI
Sumber: Facebook Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM

Definisi Buli Mengikut Akta Antibuli 2026 [Akta 876]

Buli melibatkan tingkah laku sengaja yang ditujukan terhadap seseorang mangsa. Ia boleh berlaku secara berulang atau sebagai satu insiden serius yang menyebabkan kemudaratan.

Kemudaratan yang dimaksudkan termasuk:

  • Fizikal — kecederaan badan atau ancaman fizikal
  • Psikologi — tekanan emosi, ketakutan, atau trauma
  • Sosial — pengasingan, pemulauan, atau kerosakan reputasi

Nota: Tidak semua kes buli layak untuk pendengaran tribunal. Setiap aduan akan dinilai mengikut kriteria yang ditetapkan.

 Akta Antibuli 2026 [Akta 876]
Sumber: Portal Tribunal bagi Antibuli

Contoh Kategori Buli

Berikut ialah 7 kategori buli yang boleh dilaporkan di bawah Akta Antibuli 2026:

  1. Buli Fizikal: Tindakan fizikal yang menyakitkan seperti memukul, menolak, menendang, atau merosakkan barang.
  2. Buli Lisan dan Bahasa: Kata-kata menyakitkan, ejekan, ugutan, atau nama panggilan yang melukai hati.
  3. Buli Sosial: Memulaukan, menyebarkan cerita, atau menolak seseorang daripada kumpulan.
  4. Buli Emosi dan Psikologi: Ugutan, penghinaan, atau tindakan yang buat orang takut, malu, atau tertekan.
  5. Buli Siber (Lisan atau Bahasa): Kata-kata kasar, ugutan, atau ejekan melalui mesej, komen, atau panggilan.
  6. Buli Siber (Sosial): Memulaukan, memalukan, atau mengecualikan seseorang dalam ruang dalam talian.
  7. Buli Siber (Emosi dan Psikologi): Gangguan dalam talian yang buat seseorang rasa takut, tertekan, atau tidak selamat.

Siapa yang Dilindungi di Bawah Akta 876?

Akta Antibuli 2026 (Akta 876) digubal secara khusus untuk melindungi kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah dan pelajar di institusi pendidikan daripada sebarang bentuk buli dan keganasan.

  • Kanak-Kanak Bawah Umur: Sesiapa sahaja yang berumur 18 tahun ke bawah di Malaysia.
  • Pelajar Institusi Pendidikan: Murid atau penuntut yang berdaftar di sekolah rendah, sekolah menengah, serta asrama.
  • Pelajar Institusi Khusus: Ini termasuk institusi pendidikan di bawah kementerian-kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan, MARA, dan Kementerian Pertahanan (seperti maktab tentera).
TRIBUNAL ANTIBULI
Sumber: Facebook Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM

Tribunal Bagi Antibuli

Tribunal Bagi Antibuli (TAB) ialah sebuah badan separa kehakiman (quasi-judicial) sivil yang ditubuhkan di bawah Seksyen 25 Akta Antibuli 2026 (Akta 876).

  • Penubuhan: Ditubuhkan di bawah Seksyen 25 Akta Antibuli 2026 (Akta 876)
  • Tarikh Pelancaran: Dilancarkan pada 16 Jun 2026
  • Keanggotaan: Dianggotai 56 pakar meliputi:
    • Pakar perundangan
    • Pakar bidang berkaitan kanak-kanak
Objektif Tribunal Bagi Antibuli:
  1. Menyediakan forum alternatif kepada mangsa buli mendapatkan remedi lebih cepat & tanpa kos.
  2. Mendengar & mengadili aduan buli secara bebas, adil & saksama.
  3. Mengawal selia dasar & pencegahan antibuli di peringkat Persekutuan mengikut bidang kuasa Akta Antibuli.

Tribunal bertindak secara berkecuali. Sekiranya pihak sekolah cuba menyembunyikan atau memandang remeh sesuatu kes buli demi menjaga nama baik institusi, tribunal mempunyai kuasa penuh untuk campur tangan dan memberikan keputusan yang adil kepada mangsa.

akta antibuli 2026
Sumber: Portal Tribunal bagi Antibuli
  • Tribunal boleh mendengar:
    • Kes yang melibatkan buli disekolah atau institusi dan telah dirujuk ke Jawatankuasa Sekolah, tetapi pengadu masih tidak berpuas hati atas alasan yang munasabah.
    • Kes melibatkan kanak-kanak yang tidak berada di bawah pengawasan sekolah dan institusi.
  • Tribunal tidak boleh mendengar
    • Kes buli yang berlaku di sekolah atau institusi, tetapi belum dirujuk ke Jawatankuasa Sekolah.
    • Kes buli yang berlaku di sekolah, tetapi tidak mendapat persetujuan pengadu untuk dirujuk secara terus ke tribunal.
    • Kes buli telah dimulakan di mahkamah sivil.
Lokasi & Mod Prosiding
  • Pusat Utama: Berpusat di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Kuala Lumpur.
  • Prosiding juga boleh dijalankan di seluruh negara, termasuk:
    • Sekolah
    • Pejabat Jabatan Bantuan Guaman
    • Secara dalam talian
    • Lokasi lain ditetapkan tribunal

Secara tidak langsung, ia dapat memudahkan akses kepada keadilan menerusi 6 zon perbicaraan fizikal & dalam talian di seluruh negara.

akta antibuli
Sumber: Facebook BERNAMA

KENYATAN MEDIA PELANCARAN TRIBUNAL BAGI ANTIBULI: ERA BAHARU MEKANISME RESTORATIF DEMI

akta anti buli 2026
Sumber: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM
akta anti buli 2026 1
Sumber: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM

Tanggungjawab Keluarga dalam Isu Buli

Apa yang dimaksud Liabiliti Bersama (Joint Liability)?

Liabiliti bersama (joint liability) di bawah Akta Antibuli 2026 (Akta 876) bermaksud ibu bapa atau penjaga sah memikul tanggungjawab undang-undang dan hukuman secara bersama atas salah laku membuli yang dilakukan oleh anak mereka yang berusia di bawah 18 tahun.

Senang cerita, liabiliti bersama (joint liability) ini bermaksud “anak yang buat hal, ibu bapa pun kena tanggung.”

Di bawah undang-undang baharu ini, ibu bapa tak boleh lagi lepas tangan atau buat-buat tak tahu kalau anak mereka membuli orang lain.

Kalau Tribunal dapati anak (bawah 18 tahun) sah bersalah membuli, ibu bapa akan diarahkan untuk membayar pampasan sehingga RM250,000.

Bukan setakat bayar denda, kalau tribunal arahkan pelaku masuk sesi pemulihan atau kaunseling, ibu bapa pun boleh diwajibkan ikut serta sekali untuk belajar cara didik anak dengan betul.

Jadi, sebagai ibu bapa, kita perlu ambil tahu peribadi anak di rumah, di sekolah, mahupun dalam media sosial dengan lebih ketat.

Apa Hukuman untuk Pembuli di bawah Akta Antibuli?

Bagi kes yang diputuskan bersalah oleh Tribunal Bagi Antibuli, pelaku (dan ibu bapa melalui liabiliti bersama) boleh dikenakan perintah berikut:

  • Pampasan Kewangan: Pembayaran ganti rugi maksimum sehingga RM250,000 kepada mangsa buli.
  • Kaunseling Mandatori: Wajib menghadiri sesi intervensi dan program pemulihan tingkah laku untuk memutus kitaran buli.
  • Permohonan Maaf: Arahan rasmi untuk meminta maaf kepada mangsa kes.
  • Padam Kandungan: Perintah membuang atau menghapuskan sebarang hantaran berunsur buli siber di media digital.
  • Tanggung Kos: Mengganti semula perbelanjaan munasabah mangsa (seperti kos rawatan hospital atau terapi mental).

Sekiranya pembuli atau ibu bapa gagal mematuhi atau ingkar keputusan (award) yang dikeluarkan oleh tribunal dalam tempoh 30 hari, kes akan bertukar menjadi jenayah.

Di bawah Seksyen 44 Akta Antibuli, individu yang ingkar boleh dihukum:

  • Hukuman Penjara: Penjara sehingga dua (2) tahun.
  • Denda Gandaan: Didenda sehingga dua kali ganda nilai pampasan asal yang diperintahkan oleh tribunal.
  • Kedua-duanya Sekali: Boleh dikenakan gabungan denda wang ringgit dan hukuman penjara sekaligus.

Fakta Penting Akta Anti Buli 2026

  1. Memperkenalkan konsep tanggungjawab bersama melibatkan ibu bapa & keluarga.
  2. Ibu bapa boleh dikenakan liabiliti undang-undang jika anak didapati melakukan buli.
  3. Tanggungjawab pembayaran denda boleh melibatkan keluarga, bukan pelaku sahaja.
  4. Skop tanggungjawab diperluas kepada ahli keluarga berbanding undang-undang jenayah biasa hanya tertumpu kepada pelaku.

Anda Dibuli?, Laporkan Segera!

Jika anda atau anak anda mengalami buli, utamakan keselamatan diri dahulu.

Catat apa yang berlaku, simpan bukti, dan dapatkan bantuan orang dewasa atau pihak sekolah dengan segera.

Untuk membuat aduan di portal Tribunal bagi Antibuli, sila layari: https://tab.bheuu.gov.my. Kemudian, sediakan maklumat berikut:

  • Bukti kejadian (mesej, tangkapan skrin, foto, rakaman, atau maklumat saksi jika ada)
  • Salinan / nombor rujukan laporan polis (jika ada)
  • Maklumat mangsa, pelaku, atau saksi (jika diketahui)
  • Status aduan institusi (jika berkaitan)

Maklumat ini adalah untuk semakan ringkas bagi memahami situasi anda dan sama ada Tribunal bagi Antibuli boleh mendengar aduan anda.

Klik, mulakan semakan dan ikuti arahan selanjutnya yang dipaparkan pada skrin.

akta antibuli 2026 1

NOTA: Jika kejadian berlaku di bawah pengawasan sekolah atau institusi, hubungi jawatankuasa, pentadbir, atau saluran aduan rasmi institusi terlebih dahulu dan simpan bukti tindakan atau maklum balas mereka.

Maklumat Lanjut

Untuk pertanyaan berkaitan aduan, proses tribunal, atau maklumat rasmi, sil ahubungi pejabat Tribunal di bawah.

Soalan Lazim Akta Antibuli 2026

Apakah tafsiran buli yang akan digunakan di bawah RUU ini?

Definisi buli yang lengkap dan holistik diperuntukkan merangkumi fizikal, lisan, sosial, psikologi. (Fasal 3)

Adakah RUU Antibuli ini hanya terpakai kepada murid yang bersekolah?

Tidak. Ia juga terpakai kepada kanak-kanak berumur 18 tahun secara umum bagi fasa pertama. (Fasal 2)

Adakah RUU Antibuli ini terpakai kepada kanak-kanak bawah umur yang tidak bersekolah?

Ya. Ia terpakai kepada kanak-kanak berumur 18 tahun secara umum bagi fasa pertama. (Fasal 2)

Adakah institusi yang tidak berada di bawah Kementerian Pendidikan (i.e: Sekolah Agama KAFA, MARA) dilindungi di bawah RUU Antibuli ini?

RUU Antibuli 2025 terpakai kepada institusi pendidikan yang ditubuhkan/didaftarkan di bawah seliaan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
(Fasal 2 dibaca bersama Jadual Pertama dan Jadual Kedua)

Adakah RUU Antibuli ini terpakai kepada situasi buli yang berlaku di universiti?

Fasa pertama ditumpukan kepada kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah manakala fasa kedua akan dilaksanakan selepas menilai keberkesanan RUU Antibuli bagi fasa pertama.

Adakah aduan buli hanya boleh diambil kira sekiranya perbuatan buli itu berlaku secara berulang sahaja?

Tidak. Fasal 3 menerangkan berkenaan bagaimana buli boleh berlaku secara berulang atau dalam satu kejadian yang serius yang menyebabkan kemudaratan fizikal, psikologi atau sosial kepada mangsa. (Fasal 3)

akta antibuli 2026
Anda mungkin layak menerima bantuan.
Semak Sekarang
PENULIS
Seorang Digital Nomad yang sukakan muzik dan buku