Anda mungkin layak menerima bantuan.
Semak Sekarang!

Persoalan mengenai tanah waqaf dan tanah pusaka sememangnya antara isu yang sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Ramai yang tidak pasti sama ada kedua-dua jenis tanah ini boleh dipindah milik, dijual, atau diwariskan semula kepada ahli keluarga.

Hakikatnya, tanah waqaf (atau wakaf) dan tanah pusaka mempunyai status hukum yang sangat berbeza, dan salah faham mengenai perkara ini boleh membawa kepada konflik keluarga serta masalah undang-undang yang rumit.

Secara ringkasnya, tanah waqaf adalah tanah yang sudah keluar daripada hak milik peribadi untuk selama-lamanya kerana Allah dan ia tidak boleh dijual, dihibahkan atau diwariskan oleh sesiapa termasuk waris.

Sebarang urusan jual beli hanya boleh dilakukan oleh Majlis Agama Islam Negeri melalui konsep istibdal demi menjaga kemaslahatan waqaf itu sendiri.

Manakala tanah pusaka pula adalah harta peninggalan si mati yang masih boleh dijual, tetapi prosesnya perlu melalui pentadbiran pusaka yang teratur, mendapat persetujuan semua waris dan mengikut hukum faraid atau undang-undang sivil.

Tanpa proses ini, jual beli tanah pusaka akan menjadi tidak sah dan boleh dicabar di mahkamah.

Apa Itu Tanah Waqaf & Keitimewaannya

tanaf waqaf

Tanah waqaf bermaksud tanah yang telah diserahkan oleh pemiliknya secara sukarela untuk tujuan kebajikan, agama dan manfaat umum kerana Allah SWT.

Apabila seseorang mewaqafkan tanahnya, pemilikan asalnya terputus dan tanah tersebut menjadi milik Allah. Ia bukan lagi milik pewaqaf dan bukan juga milik warisnya.

Proses waqaf di Malaysia kini dikawal ketat oleh Majlis Agama Islam Negeri sebagai pemegang amanah tunggal. Waqaf boleh berlaku dalam dua bentuk iaitu waqaf am yang manfaatnya untuk umum seperti masjid dan tanah perkuburan, dan waqaf khas yang manfaatnya untuk tujuan tertentu yang ditetapkan oleh pewaqaf.

Masalah yang sering berlaku adalah waqaf lama yang dibuat secara lisan sahaja tanpa didokumenkan.

Apabila pewaqaf meninggal dunia, waris generasi seterusnya tidak tahu bahawa tanah itu sudah diwaqafkan, lalu cuba menuntut dan menjualnya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Yayasan Waqaf Malaysia.

Boleh Ke Tanah Waqaf Dijual?

tanah waqaf

Jawapan paling jelas datang daripada pihak berkuasa agama sendiri dimana Timbalan Mufti Perak menegaskan bahawa secara hukum fiqah, harta yang telah diwaqafkan tidak boleh dijual, dihadiahkan mahupun diwariskan kembali.

Ini bermakna tanah waqaf tidak boleh dijual atau diwariskan. Sekali tanah itu sah diwaqafkan, ia kekal sebagai waqaf selama-lamanya.

Waris kepada pewaqaf disaran supaya lebih peka dan tidak mengambil mudah soal tanah waqaf terutama yang membabitkan premis ibadah dan pendidikan Islam. Terdapat kes waris yang tidak tahu lokasi tanah milik mereka dan selepas pembahagian pusaka barulah disedari tanah tersebut digunakan sebagai tapak masjid, surau dan sekolah agama.

Prinsip ini sangat penting untuk menjaga kemaslahatan ummah. Jika tanah waqaf boleh dijual sesuka hati oleh waris, sudah tentu banyak masjid dan surau yang terpaksa dirobohkan.

Sebab itu, jika waris mendapati ada kes sebegini, jangan cepat-cepat jual, berunding dahulu dengan jabatan agama. Jangan buat keputusan yang boleh cetus kemarahan orang ramai.

Namun begitu, dalam Islam wujud satu konsep yang dipanggil istibdal iaitu pertukaran atau penggantian harta waqaf.

Istibdal bermaksud Majlis Agama Islam Negeri boleh menjual atau menukar tanah waqaf yang tidak lagi produktif, terbiar, terlalu kecil atau diambil oleh kerajaan untuk projek pembangunan, dengan syarat hasil jualan tersebut wajib digunakan untuk membeli tanah lain yang sama nilai atau lebih baik untuk tujuan waqaf yang sama.

Kuasa ini hanya ada pada Majlis Agama Islam Negeri sebagai pemegang amanah, bukan pada individu atau waris. Orang awam tidak boleh melakukan istibdal sendiri.

Sebarang urusan berkaitan waqaf perlu dirujuk kepada Jabatan Mufti atau Mahkamah Syariah kerana ada saluran yang betul untuk selesaikan masalah.

Artikel berkaitan: myWaqaf PTPTN: Faedah & Cara Berwaqaf Dengan Mudah

Tanah Pusaka: Hak Waris dan Kaedah Pembahagian

status rumah pusaka

Berbeza dengan tanah waqaf atau wakaf, tanah pusaka merujuk kepada harta tidak alih yang ditinggalkan oleh seseorang yang telah meninggal dunia.

Tanah pusaka tertakluk kepada hukum faraid bagi umat Islam, atau undang-undang pewarisan sivil bagi bukan Islam.

Dalam konteks faraid, pembahagian harta pusaka telah ditentukan dengan jelas dalam Al-Quran dan Sunnah, dengan kadar bahagian yang berbeza mengikut hubungan waris dengan si mati.

Isu yang sering timbul dalam pengurusan tanah pusaka adalah apabila waris-waris tidak dapat mencapai kata sepakat mengenai cara pembahagian.

Apabila semua waris bersetuju, pengagihan boleh dilakukan secara muafakat tanpa perlu mengikut kadar faraid namun, jika terdapat seorang waris sahaja yang tidak bersetuju, maka pembahagian mestilah mengikut faraid.

Keadaan ini boleh menyebabkan tanah pusaka terpaksa dijual untuk membolehkan setiap waris menerima bahagian masing-masing.

Sebagai contoh, jika seorang bapa meninggal dunia dan meninggalkan sebuah rumah serta tiga anak lelaki dan dua anak perempuan, bahagian faraid adalah tiga anak lelaki mendapat enam bahagian manakala dua anak perempuan mendapat dua bahagian, menjadikan jumlah keseluruhan lapan bahagian.

Jika salah seorang waris menuntut bahagiannya dalam bentuk wang tunai, maka rumah tersebut mungkin perlu dijual.

Namun, jika waris-waris lain bersetuju untuk mengekalkan rumah tersebut, mereka boleh membayar pampasan kepada waris yang menuntut bahagiannya.

Bolehkah Tanah Pusaka Dijual?

hartanah pusaka faraid

Jawapannya ialah ya, tanah pusaka boleh dijual, tetapi ia tertakluk kepada proses undang-undang yang tertentu.

Proses pewarisan hartanah di Malaysia melibatkan beberapa langkah penting, termasuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir, menyelesaikan hutang dan cukai tertunggak, serta memindahkan hak milik di Pejabat Tanah.

Tanpa dokumen-dokumen ini, tanah pusaka tidak boleh dipindah milik atau dijual secara sah.

Salah satu cabaran utama dalam menjual tanah pusaka adalah keperluan mendapatkan persetujuan semua waris. Jika semua waris bersetuju untuk menjual, prosesnya menjadi lebih mudah.

Walau bagaimanapun, jika terdapat waris yang tidak bersetuju, penjualan mungkin memerlukan perintah mahkamah.

Dalam sesetengah kes, mahkamah boleh memerintahkan penjualan tanah pusaka dan hasilnya dibahagikan mengikut bahagian faraid masing-masing.

Adalah penting untuk difahami bahawa tanah pusaka yang belum diselesaikan urusan faraidnya berada dalam keadaan beku dan ini bermakna tiada waris yang boleh menjual atau memindah milik tanah tersebut sebelum urusan pentadbiran pusaka diselesaikan.

Keadaan beku ini boleh berlarutan bertahun-tahun jika waris tidak mengambil inisiatif untuk menyelesaikannya, dan ini adalah antara punca utama berlakunya aset beku dalam kalangan umat Islam di Malaysia .

Penulis
Affan ada penulis di eCentral yang berkongsi artikel berkaitan kewangan, bantuan kerajaan, pendidikan, kerjaya dan isu semasa dengan penyampaian yang ringkas, jelas dan mudah difahami.