UPTVET: Semakan Keputusan Tawaran (Ambilan Julai 2026)

up tvet
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Semakan keputusan permohonan ke Institusi TVET di website UPTVET bermula 11 Mei sehingga 22 Mei 2026. Semakan boleh dilakukan melalui e-mel anda atau dengan log masuk ke Portal Rasmi UP_TVET

UPTVET diperkenalkan sebagai sistem khusus bagi permohonan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sama seperti UPU untuk permohonan ke institusi pengajian awam (IPTA).

Berikut adalah maklumat dan info mengenai kemasukan TVET ini.

Apa itu TVET?

Bagi pembaca yang tertanya-tanya, TVET merupakan singkatan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (Technical and Vocational Education and Training)

TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri, bertujuan untuk menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu.

Tujuan TVET diperkenalkan adalah bagi memenuhi permintaan industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, selaras dengan globalisasi, ekonomi berasaskan pengetahuan, kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga kerja global.

Secara umumnya, terdapat dua laluan untuk memasuki bidang TVET iaitu menerusi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Lepasan SPM berpeluang untuk melanjutkan pelajaran sama ada dalam bidang Sijil ataupun Diploma dalam program TVET yang berkemahiran tinggi.

Selain itu, bagi pelajar yang kurang kecenderungan dalam akademik dan remaja di luar sistem pendidikan terdapat juga program khas Sijil dan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Keputusan Tawaran UP_TVET Perdana (Ambilan Julai)

Semakan keputusan permohonan ke Institusi TVET di website UPTVET bermula 11 Mei sehingga 22 Mei 2026.

Anda boleh membuat semakan status tawaran secara berkala melalui e-mel anda atau dengan log masuk ke Portal Rasmi UP_TVET

Jika anda menerima tawaran, fasa Setuju Terima hanya akan dibuka bermula 25 Mei hingga 7 Jun 2026.

Anda hanya boleh memilih satu (1) sahaja daripada semua tawaran yang diterima. Sebaik sahaja anda mengklik setuju terima pada satu kursus, tawaran lain akan terbatal secara automatik.

Bagi pemohon yang tidak berjaya, permohonan rayuan boleh dikemukakan bermula 8 hingga 30 Jun 2026.

NOTA: Pastikan anda semak emel dan portal secara berkala untuk maklumat tawaran kursus.

Kenyataan Media : SEKRETARIAT MAJLIS TVET NEGARA

KEPUTUSAN SPM DIUMUM: TVET LALUAN UTAMA KERJAYA MASA DEPAN

Sekretariat Majlis TVET Negara (MTVET) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang telah menerima keputusan peperiksaan pada hari ini. Pencapaian ini merupakan hasil usaha, ketekunan dan pengorbanan para pelajar sepanjang tempoh pembelajaran mereka. Para lepasan SPM kini berada di persimpangan penting dalam menentukan hala tuju masa depan.

Dalam konteks pendidikan dan kerjaya yang semakin dinamik, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus menjadi pilihan strategik yang semakin mendapat pengiktirafan dan keyakinan masyarakat. Sehingga kini, kadar kebolehpasaran graduan TVET telah mencapai 95.1%, membuktikan keupayaan TVET dalam menyediakan laluan kerjaya yang stabil dan berdaya saing. Selain itu, trend semasa menunjukkan peningkatan ketara apabila 53.56% lepasan SPM dan setaraf memilih laluan TVET, mencerminkan perubahan positif terhadap pendidikan berasaskan kemahiran di negara ini.

Bagi memudahkan akses kepada peluang ini, Sistem UP_TVET telah diperkenalkan sebagai platform permohonan tunggal ke program-program TVET yang ditawarkan oleh institusi awam dan swasta di seluruh negara. Melalui sistem ini, pelajar boleh mengakses pelbagai program kemahiran secara lebih tersusun, telus dan mesra pengguna.

Bagi UP_TVET Perdana Ambilan Julai 2026, permohonan akan dibuka mulai 1 April hingga 8 Mei 2026, melibatkan lebih 15,000 tempat di 106 institusi TVET di bawah lima (5) kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Proses pemilihan termasuk sesi temuduga bagi kursus tertentu akan berlangsung pada 4 hingga 8 Mei 2026, diikuti keputusan permohonan pada 11 hingga 22 Mei 2026. Calon yang berjaya perlu mengesahkan penerimaan tawaran antara 25 Mei hingga 7 Jun 2026, manakala tempoh rayuan dibuka dari 8 hingga 30 Jun 2026.

Selain itu, peluang menyambung pengajian dalam TVET turut terbuka sepanjang tahun melalui UP_TVET Flexi, yang menawarkan kursus jangka panjang dan pendek secara lebih fleksibel, sesuai bagi individu yang ingin meningkatkan kemahiran atau meneroka bidang kerjaya baharu.

Sekretariat MTVET menyeru semua lepasan SPM, ibu bapa dan masyarakat untuk memanfaatkan peluang ini dan mempertimbangkan TVET sebagai pilihan utama kerjaya, selaras dengan keperluan industri dan aspirasi pembangunan ekonomi negara.

Untuk maklumat lanjut dan permohonan, sila layari https://mohon.tvet.gov.my

Institusi TVET – Swasta Atau Kerajaan?

Institusi yang boleh dimohon dalam UPTVET terdiri daripada institusi awam dan juga swasta.

Jom kami senaraikan institusi tersebut supaya anda boleh bezakan yang mana swasta dan kerajaan.

Institusi TVET Kerajaan & Awam
Institusi ini diselia oleh pelbagai kementerian dan agensi, menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), atau Diploma/Ijazah Politeknik.

@hasbillahhosshan

Replying to @Salha Aldjufry ada institut latihan kemahiran awam dan swasta #tvet #tvetcollege #up_tvet #tvetmara

♬ original sound – 🎓 Cikgu TVET – 🎓 Cikgu TVET

Nak masuk program TVET tapi tak tahu kat mana nak mohon? Jangan risau! Pelbagai institusi TVET awam yang terlibat dalam UP_TVET Perdana Ambilan Julai 2026!

Antara institusi yang ada dalam UP_TVET termasuk:

  • Jabatan Tenaga Manusia (JTM) – ILP, ADTEC & JMTI
  • GIATMARA
  • ILKBS – IKBN/IKTBN
  • Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH)
  • Kolej KEDA
  • Kolej RISDA
  • Akademi Perikanan Malaysia
  • Kolej Pertanian

…dan banyak lagi!

uptvet

Institusi TVET Swasta
Kolej swasta menawarkan kursus yang disesuaikan dengan permintaan industri semasa dan sering kali mempunyai jalinan kerjaya yang baik.

Senarai Kursus UPTVET

Untuk melihat senarai Kursus TVET yang ditawarkan, sila layari portal UPTVET melalui pautan > > https://mohon.tvet.gov.my/awam-kursus/katalog

Anda boleh membuat carian melalui kursus, institusi atau negeri.

2 Kategori Permohonan Kursus TVET – Perdana & Flexi

Permohonan boleh dibuat melalui dua kategori:

  • UP_TVET PERDANA (Institusi TVET Awam Sahaja)
    • Menawarkan program TVET di Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) termasuk ILJTM (ILP/ADTEC/JMTI), ILKBS (IKBN/IKTBN), IKM, GIATMARA dan banyak lagi institusi lain.
    • Permohonan dibuka dua kali setiap tahun untuk sesi pengambilan Januari dan Julai
    • Tiada keperluan membeli pin & cara memohon yang mudah.
    • Penawaran kemasukan ke Institusi UPTVET Perdana kini telah dibuka sehingga 8 Mei 2026.
    • Pemohon boleh menyemak status permohonan di portal rasmi https://mohon.tvet.gov.my/.
    • Rayuan bermula 8 hingga 30 Jun 2026, tertakluk kepada kekosongan kursus.
  • UP_TVET FLEXI (Institusi TVET Awam & Institusi TVET Swasta)
    • Menawarkan kursus jangka panjang & pendek yang lebih fleksibel di Institusi TVET Awam & Institusi TVET Swasta.
    • Sesuai bagi individu yang ingin meningkatkan kemahiran atau menukar bidang kerjaya.
    • Permohonan dibuka sepanjang tahun.

Siapa Yang Boleh Memohon?

  • UP_TVET Perdana – Terbuka kepada semua, terutama lepasan SPM 2025 dan sebelumnya.
  • UP_TVET Flexi – Terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan latihan kemahiran atau meningkatkan kemahiran sepanjang hayat.

Semua urusan permohonan ke institusi boleh dibuat di halaman rasmi UPTVET yang boleh diakses di alamat https://mohon.tvet.gov.my/ atau aplikasi MyTVET.

Artikel berkaitan: TVET Instructor EProfiling System (TiPS): Login & Semakan

Pendaftaran Pengguna Baru UPTVET

Pemohon yang pertama kali menggunakan halaman ini hendaklah terlebih dahulu mendaftarkan akaun baru sebelum boleh meneruskan permohonan institusi pendidikan TVET yang dikehendaki.

Berikut merupakan langkah-langkah untuk mendaftarkan akaun pengguna baru:

  1. Layari laman UPTVET : https://mohon.tvet.gov.my/
  2. Klik ‘Daftar’ pada bahagian menu
  3. Lengkapkan pendaftaran dengan mengisi segala butiran dan maklumat peribadi diri yang diminta
  4. Klik butang ‘Daftar Pengguna’ di bahagian bawah halaman pendaftaran pengguna

Rujuk video panduan di bawah:

uptvet

> Dapatkan buku panduan kompetansi untuk tenaga pengajar TVET

Permohonan UPTVET Ambilan Julai 2026

Permohonan ke institusi TVET pilihan akan dibuka mulai 1 April hingga 8 Mei 2026.

Ikuti 7 Langkah Permohonan Kursus TVET di portal UPTVET iaitu:

  1. Log Masuk >
  2. Klik Senarai Kursus Penuh (untuk paparan maklumat kursus TVET) >
  3. Klik Permohonan Kursus TVET (untuk melihat paparan kursus yang ditawarkan) >
  4. Klik Pilihan Kursus >
  5. Klik Pilih Kursus >
  6. Klik Butang Mohon >
  7. Klik Hantar Permohonan

Rujuk video di bawah:

@up_tvet

Semak Kelayakan sebelum mohon/pilih kursus. Tak berjaya Mohon@Pilih kursus di UP_TVET? Pernah tak anda nak mohon atau pilih kursus di UP_TVET dan tidak berjaya? Pastikan anda buat SEMAK KELAYAKAN kursus sebelum mohon dan pastikan anda memenuhi semua syarat kelayakan WAJIB bagi kursus tersebut. #JommasukTVET #UP_TVETPerdanaAmbilanJulai2026 #UP_TVETFlexi

♬ original sound – UP TVET – UP TVET

Permohonan boleh dibuat melalui Portal UP_TVET di https://mohon.tvet.gov.my/

Tarikh Penting Permohonan UPTVET 2026 (Ambilan Perdana)

  • 1 April – 8 Mei 2026: Permohonan dibuka
  • 4 – 8 Mei 2026: Temuduga
  • 11 – 22 Mei 2026: Keputusan Permohonan
  • 25 – 7 Jun 2026: Setuju Terima Tawaran
  • 8 – 30 Jun 2026: Rayuan

Daftar dan lengkapkan Profil Pemohon sekarang di https://mohon.tvet.gov.my

Rayuan Permohonan UPTVET

Rayuan boleh dikemukakan mulai 8 Jun 2026 sehingga 30 Jun 2026.

Pemohon dibenarkan untuk menambah sehingga LIMA (5) lagi pilihan kursus yang masih mempunyai kekosongan tempat, iaitu kursus yang kapasiti ambilannya masih belum penuh.

Perhatian:

  • Kursus yang telah penuh tidak akan dipaparkan dalam senarai pilihan.
  • Pemohon tidak perlu mengemukakan permohonan bagi kursus yang sama jika sudah dimohon sebelum ini.
  • Calon yang telah bersetuju menerima tawaran sebelum tempoh rayuan tidak dibenarkan untuk membuat permohonan rayuan.

Soalan Lazim

Apakah yang dimaksudkan dengan UP_TVET Perdana?

UP_TVET Perdana merupakan saluran permohonan TVET bagi institusi TVET awam sahaja.

Apakah contoh-contoh institusi TVET yang boleh dipohon?

– Jabatan Tenaga Manusia (JTM) – ILP, ADTEC & JMTI
– GIATMARA
– ILKBS – IKBN/IKTBN
– Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH)
– Kolej KEDA
– Kolej RISDA
– Akademi Perikanan Malaysia
– Kolej Pertanian

Bilakah permohonan UP_TVET Perdana dibuka?

Permohonan dibuka mulai 1 April – 8 Mei 2026.

Bagaimanakah cara untuk memohon untuk kemasukan ke institusi TVET ini?

Permohonan boleh dibuat menerusi pautan https://mohon.tvet.gov.my/.

Jika permohonan saya tidak berjaya, adakah saya boleh membuat rayuan?

Ya. Rayuan boleh dikemukakan mulai 8 Jun sehingga 30 Jun 2026.

Info Lanjut

Info lanjut mengenai kemasukan ke institusi TVET, sila layari laman web https://mohon.tvet.gov.my/.

Baca juga: Permohonan Biasiswa TNB Prime 2026 Tenaga Nasional Berhad

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut