Anda mungkin layak menerima bantuan.
Semak Sekarang!

Bagi graduan yang baru bekerja atau fresh graduate, keputusan untuk beli kereta pertama bukan satu keputusan yang boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya kerena ianya melibatkan komitmen jangka panjang.

Malah, mengikut statistik yang dikeluarkan yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi, pinjaman pembiayaan kenderaan merupakan faktor keempat menyebabkan muflis dalam kalangan golongan muda selepas pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan dan pinjaman perumahan.

Perasaan teruja untuk memiliki kenderaan sendiri memang tidak dapat dinafikan, kerana kereta memudahkan perjalanan ke pejabat, menjimatkan masa menunggu pengangkutan awam dan memberi kebebasan bergerak.

Namun keputusan ini tidak boleh dibuat secara terburu-buru kerana komitmen bulanan kereta akan mengikat kewangan anda selama 7 hingga 9 tahun.

Tanpa perancangan yang betul, kereta yang sepatutnya menjadi kemudahan boleh bertukar menjadi beban hutang yang berpanjangan.

Ketahui Kemampuan Kewangan

perancangan kewangan beli kereta

Ramai graduan baru membuat kesilapan dengan melihat jumlah gaji kasar tanpa menolak komitmen sedia ada seperti PTPTN, hutang pelajaran, sewa bilik dan perbelanjaan harian.

Formula yang sering disarankan oleh perancang kewangan ialah harga kereta tidak melebihi 12 bulan gaji.

Sebagai contoh jika gaji anda RM2,800 sebulan, harga kereta yang sesuai adalah sekitar RM33,600 ke bawah dan formula ini membolehkan ansuran bulanan kekal rendah.

Satu lagi panduan penting ialah ansuran bulanan kereta tidak melebihi 15 peratus daripada gaji bersih, sebagai contoh jika gaji bersih RM3,000, ansuran ideal adalah sekitar RM450 sahaja.

Ramai yang tidak sedar bahawa bank juga akan melihat nisbah hutang kepada pendapatan atau Debt Service Ratio dan jika nisbah anda sudah tinggi, permohonan pinjaman mudah ditolak.

Oleh itu, proses beli kereta pertama untuk fresh graduate harus bermula dengan pengiraan bajet yang jujur, termasuk simpanan kecemasan sekurang-kurangnya tiga bulan gaji sebelum membuat komitmen besar.

Pilih Kereta Ikut Keperluan Bukan Nafsu

tips beli kereta pertama

Godaan terbesar bagi graduan baru adalah racun rakan sebaya.

Apabila kawan membeli model yang lebih besar atau lebih bergaya, anda juga turut rasa ikut membeli kereta yang setaraf walaupun hakikatnya kereta pertama adalah untuk belajar mengurus kenderaan dan kewangan, bukan untuk berlumba menunjukkan status.

Jika tujuan utama adalah ulang-alik kerja di dalam bandar, kereta kompak segmen A seperti Perodua Axia atau Proton Saga sudah memadai kerana jimat minyak, cukai jalan rendah dan kos penyelenggaraan murah.

Jika anda kerap melalui lebuh raya atau membawa barang, barulah pertimbangkan segmen B dan elakkan terus melompat ke SUV atau sedan segmen C hanya kerana nampak lebih bergaya.

Keputusan untuk beli kereta pertama untuk fresh graduate secara rasional akan membantu anda mengekalkan aliran tunai yang sihat dan mengelakkan penyesalan di kemudian hari.

Artikel berkaitan: Tips Elak Beli Kereta Banjir: Ketahui Tanda dan Simptom Ini

Kereta Baru Atau Terpakai?

Persoalan sama ada mahu membeli kereta baharu atau terpakai sering menghantui graduan baru.

beli kereta  baru atau lama

Kereta baharu memberikan ketenangan fikiran kerana datang dengan waranti 5 tahun, teknologi keselamatan terkini dan tiada kos baiki besar dalam dua tahun pertama.

Namun susut nilai kereta baharu sangat tinggi dalam tiga tahun pertama sementara kereta terpakai pula lebih murah, harga ansuran lebih rendah dan insurans lebih jimat, tetapi anda perlu lebih teliti memeriksa sejarah servis, keadaan enjin, dan sama ada pernah mengalami kemalangan besar.

Bagi graduan yang baru mula bekerja dan masih belum stabil dari segi kewangan, kereta terpakai yang berusia 3 hingga 5 tahun daripada model yang popular boleh menjadi pilihan bijak.

Model popular mudah mendapat alat ganti dan mempunyai nilai jualan semula yang baik.

Jika anda memilih kereta terpakai, pastikan anda mendapatkan laporan pemeriksaan bebas, memeriksa nombor casis dan enjin, serta membawa mekanik yang dipercayai untuk pemeriksaan menyeluruh.

Apa jua pilihan, prinsip beli kereta pertama untuk fresh graduate tetap sama iaitu jangan melebihi kemampuan dan utamakan kebolehpercayaan berbanding gaya.

Kira Kos Tersembunyi Bukan Sekadar Ansuran

kos tersembunyi memiliki kereta

Ramai graduan hanya mengira ansuran bulanan, tetapi lupa bahawa memiliki kereta melibatkan banyak kos lain yang wajib dibayar.

Antaranya ialah insurans dan cukai jalan yang perlu diperbaharui setiap tahun, kos servis berkala setiap 10,000 kilometer, kos tayar, bateri, minyak enjin dan minyak brek.

Selain itu ada kos harian yang tidak nampak seperti tol, parkir, basuh kereta dan minyak petrol yang boleh mencecah RM300 hingga RM600 sebulan bergantung kepada jarak perjalanan.

Sebagai contoh, untuk kereta kompak dengan enjin 1.0 hingga 1.3 liter, kos servis biasa sekitar RM150 hingga RM300, manakala servis major boleh mencecah RM600 hingga RM900.

Jika anda tinggal di Lembah Klang, kos parkir dan tol sahaja boleh mencecah RM200 sebulan.

Oleh itu sebelum menandatangani perjanjian, buat jadual bajet tahunan yang lengkap, senaraikan semua kos tetap dan tidak tetap dan pendekatan ini membantu anda melihat gambaran sebenar komitmen.

Ramai yang terkejut apabila menyedari bahawa kos memiliki kereta hampir menyamai kos ansuran itu sendiri.

Justeru, perancangan untuk beli kereta pertama untuk fresh graduate mesti merangkumi kos pemilikan penuh, bukan sekadar harga atas kertas.

Penulis
Affan ada penulis di eCentral yang berkongsi artikel berkaitan kewangan, bantuan kerajaan, pendidikan, kerjaya dan isu semasa dengan penyampaian yang ringkas, jelas dan mudah difahami.