Perkhidmatan Penghantaran Ubat Melalui Pos (UMP) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan dikecualikan daripada sebarang caj bayaran (PERCUMA) bermula 1 Oktober 2026. Permohonan penghantar ubat melalui pos boleh dilakukan melalui aplikasi MyUBAT atau layari https://myubat.pharmacy.gov.my/webapp/
Sebelum ini, pesakit terpaksa menanggung kos pos laju sendiri, namun selepas tarikh ini, kos penghantaran akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan menggunakan dana peruntukan MCMC sebanyak RM5 juta.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, menyatakan bahawa langkah ini merupakan inisiatif bersama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Jom rujuk maklumat lanjut dan cara mohon penghantaran ubat melaui pos di bawah.
Apa Itu Penghantaran Ubat Melalui Pos (UMP)?
Penghantaran Ubat Melalui Pos (UMP) ialah salah satu Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi (VAS) yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Melalui perkhidmatan ini, pesakit luar yang menerima rawatan susulan di hospital atau klinik kesihatan kerajaan boleh mendapatkan bekalan ubat mereka terus ke pintu rumah melalui perkhidmatan kurier (Pos Laju), tanpa perlu datang dan beratur di kaunter farmasi.
Objektif:
- Mengurangkan masa menunggu pesakit di kaunter farmasi
- Menjamin kesinambungan bekalan ubat susulan pesakit
- Meningkatkan tahap komplians pesakit terhadap ubat-ubatan

Penghantaran Ubat Percuma Bermula 1 Oktober
Mulai 1 Oktober 2026, perkhidmatan Penghantaran Ubat Melalui Pos (UMP) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan (PERCUMA) tanpa sebarang caj pos kepada pesakit.
Sebelum ini, bayaran kos penghantaran (caj Pos Laju) yang berkisar antara RM5.30 hingga RM10.60 perlu ditanggung sendiri secara tunai oleh pesakit setiap kali permohonan ubat susulan dibuat.
Inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan kira-kira 80,000 pesakit sebulan.

Kriteria Ubat Melalui Pos
Berikut ialah kriteria ubat yang boleh dihantar menggunakan perkhidmatan pos:
- Tablet/ Kapsul
- Granul/ Serbuk
- Sirap
- Inhaler jenis Non Aerosol
- Ubat sembur hidung
- Ubat titis hidung
- Ubat titis telinga/mata
- Patch
TERTAKLUK KEPADA SEDIAAN KOMERSIAL & TIDAK DI PRABUNGKUS
- Bukan jenis ubat psikotropik
- Tidak sensitif kepada perubahan suhu dan kelembapan
- Bukan item peti sejuk
Kriteria Pembekalan UMP
PESAKIT
- Patuh dan faham mengenai terapi pengubatan
- Faham cara penggunaan dan pengambilan ubat
- Stabil
PRESKRIPSI
- Susulan
- Penyakit kronik
- Bekalan ubat kali pertama di kaunter farmasi
- Tempoh melebihi 1 bulan
UBAT
- Tidak dibekalkan secara berasingan
- Bentuk dos tablet / kapsul
- Tidak memerlukan penyimpanan khusus
- Bukan jenis psikotropik
Cara Mohon Penghantaran Ubat Melalui Pos (UMP) Percuma
Penghantaran Ubat Melalui Pos (UMP) secara PERCUMA boleh dimohon secara digital melalui aplikasi MyUBAT atau terus ke portal MyUBAT di https://myubat.pharmacy.gov.my/webapp/
Ini cara-caranya:
- Layari portal rasmi MyUBAT di https://myubat.pharmacy.gov.my/webapp/
- Anda boleh log masuk menggunakan beberapa cara:
- MyDigital ID – cara paling mudah.
- Jika telah berdaftar, klik ‘Log Masuk’
- Pengguna baru boleh klik ‘Daftar Pengguna Baru’
- Log masuk sebagai penjaga pesakit, klik ‘Penjaga’ – fungsi ini akan dilancarkan kelak.
- Setelah berjaya log masuk, klik menu ‘Bekalan Ubat Susulan’ atau, anda juga boleh klik pada tab Bekalan dan klik Mohon Baharu (pada bahagian atas paparan).
- Pilih negeri dan jenis fasiliti.
- Kemudian, pilih menu Ubat Melalui Pos, klik ‘Mohon Perkhidmatan’
- Lengkapkan borang termasuklah alamat rumah, tarikh jumpa doktor akan datang, muat naik gambar preskripsi ubat dan klik ‘Hantar Permohonan’.
Selesai.
PENTING: Sila mohon perkhidmatan ini sekurang-kurangnya 3 minggu sebelum bekalan ubat anda habis. Permohonan perlu dibuat setiap kali selepas jumpa doktor dan preskripsi baharu diperoleh.



Permohonan UMP melalui Aplikasi MyUBAT
- Muat turun aplikasi MyUBAT
- Log masuk jika ada akaun atau buat pendaftaran baru untuk pengguna kali pertama. Klik ‘Log Masuk Pengguna Baru’.
- Lengkapkan semua maklumat yang diperlukan. Pengguna bukan warganegara Malaysia perlu mendaftar di kaunter farmasi.
- Log masuk menggunakan kad pengenalan dan kata laluan.
- Klik ‘Mohon Baharu’ pada tab Bekalan.
- Pilih lokasi fasiliti kesihatan di mana rawatan susulan diterima.
- Pilih menu Ubat Melalui Pos dan klik ‘Mohon Perkhidmatan’.
- Lengkapkan borang permohonan dan muat naik gambar preskripsi secara melintang.
- Klik ‘Hantar Permohonan’.
Untuk panduan yang lebih terperinci, anda boleh rujuk video di bawah:
Maklumat Lanjut
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan Penghantaran Ubat Melalui Pos (UMP) Percuma ini, anda boleh merujuk kepada saluran-saluran rasmi berikut:
- Portal rasmi MyUBAT
- Kaunter Farmasi / Pegawai Farmasi di Hospital Kerajaan atau Klinik Kesihatan tempat anda menerima rawatan susulan.
Soalan Lazim Ubat Melalui Pos (UMP) Percuma
Ya, bermula 1 Oktober 2026, perkhidmatan ini adalah PERCUMA. Kos pos laju yang sebelum ini ditanggung oleh pesakit (RM5.30 – RM10.60) kini dimansuhkan sepenuhnya di seluruh negara melalui tajaan dana RM5 juta oleh MCMC.
Pesakit luar yang menghidap penyakit kronik (seperti darah tinggi, kencing manis, kolesterol), mempunyai preskripsi ubat jangka panjang yang sah (baki melebihi 1 bulan), serta disahkan stabil dan faham cara pengambilan ubat oleh doktor atau ahli farmasi.
Ya. Inisiatif pengecualian kos pengeposan ini dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi seluruh Malaysia.
Berdasarkan panduan rasmi sistem MyUBAT, anda wajib membuat permohonan sekurang-kurangnya 3 minggu sebelum bekalan ubat anda habis.
Tidak boleh. Permohonan bekalan ubat kali pertama selepas berjumpa doktor wajib diambil sendiri di kaunter farmasi hospital/klinik KKM bagi tujuan sesi kaunseling ubat. Permohonan UMP hanya untuk bekalan ubat susulan sahaja.





