Pada tahun 2019, negara telah dikejutkan dengan 5 kes kematian akibat pengambilan ubat gugur kandungan iaitu Cytotec secara haram.
Ini sekali gus mencerminkan mentaliti masyarakat masa kini yang tidak menghargai nyawa bayi dalam kandungan.
Sedang ramai suami isteri berikhtiar selama bertahun-tahun untuk dapatkan anak, namun terdapat segelintir wanita atau pasangan yang tak bertanggungjawab malah memilih jalan yang berbahaya untuk menghalang kelahiran bayi dalam kandungan.
Lebih menyedihkan, pil yang digelar sebagai ‘pil cuci noda’ ini boleh didapati dengan mudah secara atas talian sama ada di Marketplace atau platform media sosial.
Difahamkan bahawa kebanyakan pengguna pil tersebut adalah daripada kalangan pelajar sekolah menengah kerana ia mudah didapati di hujung jari.
Malahan, pelanggan hanya perlu berhubungan melalui aplikasi Whatsapp sahaja.
Di sebalik ‘keghairahan’ mereka untuk menggugurkan kandungan, tanpa mereka sedari terdapat banyak risiko pengambilan ubat gugur kandungan, lagi-lagi yang dibeli secara haram atau tidak sah di dalam talian.
Jom ketahui selanjutnya dalam artikel ini.

Pengenalan Apa Itu Ubat Gugur Kandungan
Ubat gugur kandungan merujuk kepada sejenis ubat yang digunakan untuk menghentikan kehamilan, sama ada secara sah di bawah pengawasan perubatan atau secara haram tanpa pemantauan doktor.
Walaupun tujuan penggunaan ubat ini adalah untuk menamatkan kehamilan, namun terdapat banyak risiko serius terhadap kesihatan fizikal dan emosi wanita yang perlu difahami sebelum mengambil sebarang tindakan.
Ubat gugur kandungan biasanya melibatkan dua jenis ubat utama: mifepristone dan misoprostol (Cytotec).
Ubat ini berfungsi dengan menyekat hormon progesteron yang penting untuk meneruskan kehamilan, serta merangsang pengecutan rahim untuk mengeluarkan janin.
Dalam sesetengah kes, ubat ini diberikan secara sah oleh doktor, terutamanya jika kehamilan tidak melebihi 10 minggu.
Namun, di Malaysia, pengguguran tanpa sebab perubatan yang sah adalah menyalahi undang-undang, dan penggunaan ubat ini tanpa preskripsi boleh mengundang risiko kehilangan nyawa.
Jenis Ubat Gugur Yang Popular
Misoprostol (Cytotec)
Digunakan secara meluas untuk menggugurkan kandungan awal, tetapi juga digunakan dalam rawatan ulser perut. Dos yang salah boleh menyebabkan komplikasi serius.
Mifepristone
Biasanya digabungkan dengan misoprostol dalam prosedur pengguguran perubatan. Ia menghentikan perkembangan kehamilan sebelum misoprostol merangsang pengecutan rahim.
Ubat Tradisional dan Herba
Terdapat juga penggunaan ubat tradisional atau ramuan herba untuk menggugurkan kandungan, tetapi keberkesanan dan keselamatannya tidak terbukti secara klinikal dan boleh membawa kepada kerosakan kekal.
Nama Ubat Gugur Kandungan
Ubat gugur kandungan yang dikenalpasti dijual di pasaran gelap atau atas talian adalah tablet Cytotec atau nama generic Misoprostol 200mcg.
Ia diklasifikasikan sebagai Racun Jenis B dan kegunaan utama tablet Cytotec yang didaftarkan adalah bagi merawat ulser.
Ia juga sering menjadi jalan penyelesaian mudah dan berkesan bagi pasangan yang tidak menginginkan anak berbanding berjumpa dengan doktor.
Selain merawat ulser, Cytotec juga bertindak untuk menyebabkan kecutan atau kontraksi rahim yang sangat kuat dan menyebabkan proses keguguran berlaku.
Ia juga dipercayai mempunyai keberkesanan sehingga 90 peratus sekiranya digunakan pada 12 minggu pertama kehamilan.
INFO
Cytotec (nama generiknya, misoprostol) adalah ubat yang sering digunakan untuk merangsang pengecutan rahim bagi tujuan menggugurkan kandungan, terutamanya pada awal kehamilan.
Walaupun digunakan secara sah dalam perubatan di bawah pengawasan doktor, penyalahgunaan Cytotec tanpa pemantauan perubatan boleh membawa kepada komplikasi serius.
Antaranya termasuk pendarahan berlebihan, jangkitan rahim, kerosakan kekal pada sistem reproduktif, serta risiko kegagalan pengguguran yang boleh memudaratkan ibu dan janin.
Tambahan pula, penggunaannya yang tidak terkawal juga berisiko menyebabkan kematian.
Oleh itu, sangat penting untuk mendapatkan nasihat dan rawatan daripada profesional kesihatan sebelum mempertimbangkan sebarang bentuk pengguguran.

Risiko Pengambilan Ubat Gugur Kandungan
Secara umumnya, wanita atau pasangan hanya mengetahui kesan sampingan yang kecil bagi tablet Cytotec seperti loya, sakit kepala, cirit-birit, muntah dan sembelit.
Mereka juga menganggap yang kesan tersebut hanya akan berlaku pada tempoh yang singkat sahaja.
Sebaliknya, ‘pil cuci noda’ ini boleh mendatangkan pelbagai risiko bagi wanita termasuk :
- Kesan yang lebih memudaratkan seperti koyakan teruk pada rahim dan embolism air ketuban (ambiotic fluid embolism) bagi penggunaan melebihi 12 minggu.
- Pendarahan yang teruk dari rahim yang koyak sehingga mengakibatkan kematian.
- Risiko lebih besar sekiranya kandungan luar rahim (ectopic pregnancy). Ia boleh mengakibatkan pendarahan dalaman yang teruk dan mengakibatkan kehilangan nyawa.

Penggunaan ubat gugur kandungan tanpa pemantauan doktor boleh mendatangkan pelbagai risiko kesihatan dan kesan sampingan:
Pendarahan Teruk
Dos ubat yang tidak tepat boleh menyebabkan pendarahan yang tidak terkawal dan kehilangan darah yang banyak.
Kerosakan Rahim
Pengecutan rahim yang terlalu kuat boleh menyebabkan kecederaan dalaman dan kerosakan pada tisu rahim.
Jangkitan (Sepsis)
Kegagalan untuk mengeluarkan janin sepenuhnya boleh menyebabkan jangkitan rahim yang boleh membawa maut jika tidak dirawat.
Sakit Terlampau dan Kesan Emosi
Sakit yang kuat, kekejangan, dan tekanan mental yang berpanjangan adalah kesan yang kerap berlaku.
Kematian
Dalam kes yang ekstrem, penggunaan ubat ini secara tidak betul boleh mengakibatkan kematian.
Hukum Gugur Kandungan Dalam Islam
Bagaimana solusi wanita yang menjadi mangsa rogol? Adakah dia perlu teruskan kandungan dan menghadapi tekanan daripada masyarakat sekeliling?
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-26 pada 7-8 Mac 1990 telah membincangkan isu Pengguguran Kandungan Atas Nasihat Doktor Disebabkan Kecacatan dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:
“Adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab-sebab kecacatan yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.”
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-52 pada 1 Julai 2002 juga telah membincangkan isu Hukum Menggugurkan Kandungan Mangsa Yang Dirogol dan telah bersetuju memutuskan seperti berikut:
- Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh KECUALI pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.
- Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan menghidap penyakit yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.
Undang-Undang Berkaitan Ubat Gugur di Malaysia
Di Malaysia, undang-undang hanya membenarkan pengguguran jika kehamilan membahayakan nyawa ibu atau kesihatan fizikal dan mentalnya.
Di bawah Seksyen 312 Kanun Keseksaan, sesiapa yang menggugurkan kandungan tanpa alasan sah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Penyalahgunaan ubat gugur, sama ada dengan menjual atau menggunakannya tanpa preskripsi, dianggap sebagai satu kesalahan jenayah.
Alternatif
Sekiranya anda menghadapi kehamilan yang tidak dirancang, adalah sangat penting untuk mendapatkan bantuan daripada pakar perubatan dan bukan mengambil tindakan sendiri.
Anda boleh:
- Mendapatkan khidmat nasihat dari pakar obstetrik & ginekologi.
- Berbincang dengan kaunselor bertauliah.
- Pergi klinik atau hospital kerajaan untuk penilaian lanjut.
- Mendapat sokongan daripada organisasi NGO kesihatan wanita.
Kesimpulan
Untuk makluman, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak pernah melantik mana-mana syarikat atau pihak perseorangan sebagai agen untuk mengedar produk atau ubat menggugurkan kandungan.
Sebagai ahli masyarakat yang bertanggungjawab, kita perlulah bersama-sama memainkan peranan bagi mengelakkan isu ini menjadi lebih berleluasa.
Lebih penting lagi, penilaian bagi meneruskan prosedur pengguguran hanya berada di bawah bidang kuasa doktor perubatan sahaja.
Pakar perubatan akan bersidang dan mengkaji tahap kesihatan ibu hamil.
Sekiranya terbukti secara klinikal bahawa meneruskan kandungan boleh mengancam nyawa ibu, maka prosedur pengguguran akan dijalankan di hospital dengan pemantauan rapi.
Jadi, para wanita serta pasangan di luar sana perlulah faham bahawa penggunaan ubat gugur kandungan atau ‘rawatan sendiri’ di rumah bukan sahaja melibatkan nyawa janin, malah ia turut mengancam nyawa wanita hamil itu sendiri.
Harus diingatkan juga bahawa berdasarkan Seksyen 312, kanun keseksaan, individu yang menggugurkan anak tanpa sebab boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sumber : upm.edu.my




