Zakat Khultah ASB ialah sistem potongan zakat automatik sebanyak 2.57% terus daripada dana tabung ASB sebelum dividen tahunan diagihkan kepada anda. Layari portal rasmi ASNB untuk semakan syarat dan cara daftar di https://www.asnb.com.my/zakat-khultah
Pelabur ASNB yang beragama Islam kini mempunyai pilihan lebih mudah untuk menunaikan zakat pelaburan melalui Zakat Khultah Kelas B.
Melalui kaedah ini, dividen yang anda terima sudah berstatus “bersih” dan suci daripada zakat modal mahupun keuntungan.
Rujuk info lebih lanjut mengenai Zakat Khultah ASB di bawah.
Apa Itu Zakat Khultah?
Zakat Khultah Kelas B ialah pilihan penyertaan kolektif (khultah) di mana ASNB membayar zakat bagi atas nama pemegang unit yang memilih Kelas B.
Zakat dikira berdasarkan pengagihan pendapatan (dividen) dan bukan modal simpanan, menggunakan kaedah al-Mustaghallat yang telah mendapat kelulusan Muzakarah Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 4 September 2025.
Semua pemegang unit dana harga tetap kini dalam Kelas A. Pemegang unit Muslim boleh memilih Kelas B (Zakat Khultah) untuk terima pengagihan pendapatan bersih selepas potongan zakat

Maksud Khultah
Khultah bermaksud percampuran harta yang dimiliki oleh dua orang atau lebih sehingga tidak dapat dibezakan lagi yang membawa kepada pengiraan zakat secara kolektif seolah olah harta tersebut milik satu individu.
Sebagai contoh, Al-Shirazi di dalam kitab Al-Muhazzab fi fiqh al-Shafi’i menghuraikan khultah terjadi apabila haiwan ternakan yang dimiliki oleh dua orang (atau lebih) telah bercampur dan dianggap haiwan ternakan dimiliki oleh seorang sahaja.
Dalam konteks ASB, zakat khultah bermaksud zakat dikira daripada dana ASB sebagai satu entiti tanpa mengira bilangan pelabur, nisab dan haul setiap pelabur secara individu.
Hukum zakat khultah diambil daripada hadith riwayat Anas bin Malik dari Abu Bakar RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
“Tidak dihimpunkan (harta zakat) yang terpisah dan tidak dipisahkan (harta zakat) yang terhimpun untuk mengelakkan dari zakat, dan dua orang yang bercampur (harta zakatnya) hendaklah dikeluarkan zakat daripada keduanya secara pro-rata” (HR Bukhari).
Patuh Syariah
Penilaian zakat bagi pelaburan unit amanah harga tetap ASNB telah mendapat pandangan hukum daripada Muzakarah Majlis Kebangsaan Islam (MKI) serta kelulusan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri seperti di bawah:
- Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI)
- Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan
- Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang
- Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang
- Mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
- Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah
- Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka
- Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak
- Jawatankuasa Fatwa Negeri Sabah
- Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu
- Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor
Kadar Zakat Khultah
Kadar Zakat Khultah yang dikenakan ialah: 2.57% daripada pengagihan pendapatan (dividen, bonus, bonus istimewa).
Kadar ini mengambil kira perbezaan kalendar Gregory dan Hijriah untuk pengiraan haul.
Mengapa peratusan zakat yang dikenakan ialah 2.57%, bukannya 2.5% seperti biasa?
Asal penentuan haul untuk kiraan zakat ialah berdasarkan kepada tahun Hijrah.
Namun pada hari ini, kalendar yang digunakan di seluruh dunia, termasuk oleh umat Islam secara umumnya adalah kalendar Masihi.
Memandangkan pengiraan zakat bagi dana ASNB adalah mengikut kalendar Masihi, maka kadar zakat ialah 2.57% setelah mengambil kira perbezaan 10 hingga 11 hari di antara kalendar Masihi (365 hari) dan kalendar Hijrah (354 hari).
Ini adalah seperti yang disarankan oleh Panel Penasihat Syariah PNB, dan kadar 2.57% ini turut digunakan oleh Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) dalam Financial Accounting Standards (Perenggan Kedua) untuk zakat (FAS 9).

Perbezaan Kelas Akaun
Bermula 25 Mei 2026, dana harga tetap kini dikategorikan kepada dua kelas:
- Kelas A (Default): Dividen diterima penuh secara manual, zakat perlu dikira/dibayar sendiri.
- Kelas B (Zakat Khultah): Potongan automatik 2.57% ke atas pendapatan (dividen/bonus).
Semua pemegang unit dana harga tetap sedia ada secara automatik dikategorikan dalam Kelas A. Tiada perubahan kepada pelaburan anda atau cara anda menerima agihan pendapatan. Anda akan terus menerimanya secara penuh, tanpa sebarang potongan.
Bagi pemegang unit Muslim yang ingin mengurus zakat mereka dengan lebih mudah, anda boleh memilih untuk sertai Kelas B di mana anda akan menerima agihan pendapatan selepas potongan zakat.
Contoh pengiraan kadar bersih dividen: 5.75* – (2.57% x 5.75%) = 5.60%

Pihak ASNB akan membuat pembayaran zakat bagi pihak pemegang unit Kelas B kepada setiap Pusat Zakat Negeri berkenaan dalam tempoh lima (5) hari bekerja selepas tahun kewangan berakhir dana.
Anda boleh menyemak rekod pembayaran zakat bagi tempoh 7 tahun bermula dari tahun anda menyertai Kelas B melalui fungsi zakat khultah di platform myASNB.

Cara Tukar Akaun ke Kelas B di myASNB
Pemegang unit akaun dewasa atau akaun bijak/remaja yang beragama Islam sahaja layak menyertai Kelas B bagi dana harga tetap ASNB.
Bagi akaun bijak/remaja, penjaga berdaftar boleh membuat penyertaan ke Kelas B bagi pihak mereka.
Penyertaan ke Kelas B boleh dilakukan melalui platform-platform berikut:
- Aplikasi dan portal myASNB
- Cawangan-cawangan ASNB
- Kiosk ASNB
- Cawangan-cawangan Ejen ASNB
Rujuk cara-cara tukar akaun ASB ke Kelas B (Zakat Khultah) melalui aplikasi myASB di bawah:
- Log masuk myASNB dan pilih Zakat Khultah
- Pilih dana yang ingin didaftarkan Kelas B
- Semak dan luluskan dana dipilih

VIDEO TUTORIAL UNTUK SERTAI KELAS B (ZAKAT KHULTAH) DI myASNB:
NOTA: Setelah pemegang unit dana harga tetap menyertai Kelas B, dana tersebut akan kekal menjadi Kelas B dan penukaran semula ke Kelas A adalah TIDAK dibenarkan.
Kelebihan Memilih Zakat Khultah
- Pengiraan zakat dibuat secara automatik
- Pembayaran zakat diuruskan oleh ASNB
- Memastikan zakat tidak mengurangkan nilai modal pelaburan
- Layak rebat cukai
- Patuh syariah


Dana Harga Tetap ASNB Yang Terlibat
Kaedah pengiraan zakat al-Mustaghallat secara khultah digunakan untuk semua dana harga tetap ASNB iaitu:
- ASB
- ASB 2
- ASB 3 Didik
- ASM
- ASM 2
- Wawasan
- ASM 3
Pengiraan zakat al-Mustaghallat adalah lebih sesuai untuk dana harga tetap ASNB kerana harga satu unit amanah adalah kekal pada RM1.00 seunit, maka tiada keuntungan yang akan terhasil sekiranya unit tersebut diniagakan.


Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut dan info terkini mengenai Zakat Khutlah, sila rujuk:
- Portal rasmi myASNB
- Facebook Amanah Saham Nasional Berhad
- Talian: +60 3-7730 8899
- Emel: [email protected]
- Whatsapp: +60 19-223 5747
Soalan Lazim Zakat Khultah
Khultah (الخُلطة) dari segi bahasa bermaksud percampuran. Dalam konteks ASNB, Zakat Khultah bermaksud pengagihan dan pembayaran zakat secara kolektif, di mana jumlah zakat ditentukan berdasarkan pengagihan pendapatan gabungan kumpulan pemegang unit yang memilih opsyen Kelas B.
Zakat Khultah Kelas B ialah opsyen di mana ASNB membayar zakat secara automatik atas nama pemegang unit. Anda akan menerima dividen bersih selepas potongan zakat 2.57%.
Kadar zakat ialah 2.57% daripada pengagihan pendapatan (dividen, bonus, bonus istimewa).
Ya, berdasarkan fatwa Muzakarah MKI pada 4 September 2025 dan keputusan fatwa pusat zakat negeri.
Anda kekal dengan Kelas A dan perlu membayar zakat secara sendiri berdasarkan kaedah pusat zakat negeri.
Melalui aplikasi myASNB:
1. Log masuk ke myASNB
2. Tekan ikon Zakat Khultah
3. Pilih dana yang ingin ditukar ke Kelas B
4. Semak dan sahkan pilihan
Untuk mengetahui lebih banyak soalan lazim mengenai Zakat Khultah, sila rujuk: https://www.asnb.com.my/zakat-khultah




