Kiraan hamil merupakan langkah penting yang membantu bakal ibu mengetahui usia kandungan serta tarikh jangka bersalin dengan lebih tepat.
Ramai wanita yang baru pertama kali hamil mungkin keliru tentang bagaimana mengira usia kehamilan mereka – sama ada perlu dikira dari tarikh hubungan intim, tarikh ovulasi atau tarikh haid terakhir.
Malahan, pasti ibu hamil tertanya-tanya bilakah tarikh bersalin?
Maklumlah, banyak persiapan dan urusan pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan bagi menyambut kelahiran bayi.
Jadi, bagaimana cara untuk membuat kiraan hamil?
Artikel ini akan menerangkan dengan jelas cara kiraan hamil, kaedah-kaedah yang digunakan, serta jawapan kepada soalan lazim berkaitan kehamilan.
Ayuh ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.
Apa Itu Kiraan Hamil dan Kenapa Ia Penting?
Kiraan hamil adalah proses menentukan usia kandungan dari tarikh tertentu hingga ke hari semasa.
Kebanyakan pakar perubatan menggunakan Tarikh Hari Pertama Haid Terakhir (LMP) sebagai asas untuk kiraan usia kehamilan, kerana ia lebih mudah dikenalpasti berbanding tarikh sebenar persenyawaan.
Kenapa kiraan hamil penting?
Menentukan usia janin – bagi mengenal pasti perkembangan bayi sama ada normal atau tidak.
Anggaran tarikh bersalin – biasanya sekitar 40 minggu dari LMP.
Pemantauan kesihatan ibu dan anak – mengikut minggu kehamilan tertentu.
Perancangan rawatan antenatal – seperti ujian darah, ujian air ketuban atau ultrasound.
Kaedah Kiraan Hamil yang Paling Umum Digunakan
Terdapat beberapa cara kiraan hamil yang digunakan oleh doktor.
Berikut ialah kaedah-kaedah utama yang perlu anda tahu:
1. Kaedah LMP (Kiraan Berdasarkan Tarikh Haid Terakhir)
Secara umumnya, majoriti kehamilan berlangsung kira-kira 38 minggu atau 40 minggu selepas konsepsi.
Oleh itu, cara terbaik bagi menganggarkan tarikh jangkaan bersalin adalah dengan mengira 40 minggu atau 280 hari dari hari pertama haid terakhir (LMP) anda.
Selain itu, anda juga boleh menolak 3 bulan daripada hari pertama haid terakhir dan kemudian menambah 7 hari.
Secara ringkasnya, kiraannya adalah seperti berikut:
Tarikh hari pertama haid terakhir (LMP) – 3 bulan + 7 hari
Contohnya, jika haid terakhir anda bermula pada 12 April, ditolak 3 bulan (12 Januari) dan kemudian menambah 7 hari, jadi tarikh bersalin akan jatuh pada tanggal 19 Januari.
Kaedah ini juga sering dipraktikkan oleh doktor untuk menganggarkan due date ibu hamil.
Ini adalah kaedah yang paling biasa dan dipercayai.
Anda hanya perlu ingat tarikh hari pertama haid terakhir anda.
Secara ringkasnya, kiraan hamil dilakukan dengan contoh ini: Jika LMP ialah 1 Januari, tarikh jangka bersalin ialah 8 Oktober.
Tambah 280 hari (40 minggu) dari tarikh LMP.
2. Kiraan Hamil Dengan Menggunakan Kalkulator Tarikh Bersalin
Ibu hamil juga boleh membuat jangkaan tarikh due date menggunakan kalkulator bersalin.
Caranya adalah dengan mengisi tarikh haid terakhir dan tempoh kitaran period.
Terdapat pelbagai kalkulator kiraan hamil percuma di internet.
Anda hanya perlu masukkan LMP dan sistem akan anggarkan tarikh bersalin serta perkembangan janin anda.
Anda boleh cuba kalkulator bersalin yang disediakan oleh Huggies.
3. Kiraan Hamil Mengikut Tarikh Konsepsi (Persenyawaan)
Pengiraan due date mengikut kaedah LMP pada kebanyakan masa sesuai untuk kiraan bagi wanita hamil dengan kitaran haid yang teratur.
Namun, jika anda alami kitaran haid yang tidak teratur, kaedah LMP mungkin tidak sesuai.
Oleh itu, anda boleh menggunakan tarikh konsepsi sekiranya anda mengingatinya.
Kemudian, anda hanya perlu tambah 266 hari bagi mendapatkan tarikh jangkaan bersalin.
4. Cara Kiraan Tarikh Bersalin Untuk Bayi IVF
Bagi yang belum tahu, tarikh jangkaan bersalin bayi IVF adalah lebih tepat berbanding proses persenyawaan semula jadi.
Bagi bakal ibu yang hamil melalui kaedah IVF, tarikh due date boleh dianggarkan dengan cara menambah 38 minggu iaitu bersamaan 266 hari bermula saat ovum melalui proses pembenihan.
Di samping itu, anda juga boleh menambahkan 38 minggu dan menolak jumlah hari implantasi embrio.
Ini adalah disebabkan tarikh akhir IVF tidak dikira berdasarkan hari persenyawaan.
Sebaliknya, ia dikira berdasarkan tarikh pemindahan embrio.
Contohnya, jika anda lakukan pemindahan embrio selama 5 hari, tarikh anggaran bersalin adalah 261 hari selepasnya.
Bagi yang melakukan pemindahan embrio 3 hari pula, due date akan jatuh pada hari ke-263.
5. Kaedah Naegele’s Rule
Kaedah ini juga berdasarkan tarikh haid terakhir:
Tambah 1 tahun + tolak 3 bulan + tambah 7 hari dari LMP.
Contoh: LMP = 10 April 2025
- Tambah 1 tahun → 10 April 2026
- Tolak 3 bulan → 10 Januari 2026
- Tambah 7 hari → 17 Januari 2026 (Tarikh jangka bersalin)
6. Kaedah Ultrasound
Kaedah kiraan hamil secara ultrasound dikatakan berguna bagi wanita yang tidak dapat mengenalpasti LMP atau alami masalah haid tidak teratur.
Cara ini juga dapat membantu para doktor menganggar minggu kehamilan berdasarkan pertumbuhan bayi anda.
Ia berdasarkan siri ukuran kantung kehamilan dan janin.
Sonographer akan mengukur bayi bermula daripada kepala hingga kaki bagi mendapatkan crown-rump length (CRL), panjang embrio atau janin dari bahagian atas kepalanya hingga ke bawah bawah torso badan.
Bakal ibu juga perlu ingat bahawa bersalin 1 atau 2 minggu sebelum atau selepas tarikh anggarannya tetap dianggap normal.
Doktor juga akan memantau kehamilan dengan teliti bagi suatu tempoh untuk memastikan janin membesar dengan normal.
Baca juga:
Perbezaan Antara Minggu Kehamilan dan Umur Janin
Ramai wanita keliru antara usia kehamilan (gestational age) dan umur janin (fetal age).
Ini sangat penting dalam kiraan hamil yang tepat.
- Usia Kehamilan: Dikira dari LMP – walaupun persenyawaan belum berlaku lagi.
- Umur Janin: Bermula sekitar 2 minggu selepas LMP – apabila ovulasi dan persenyawaan berlaku.
Contohnya, jika usia kehamilan anda 6 minggu, umur janin mungkin baru 4 minggu.
Perbezaan ini penting terutamanya semasa scan awal kandungan dilakukan.
Faktor yang Boleh Mempengaruhi Ketepatan Kiraan Hamil
Walaupun kaedah kiraan hamil berdasarkan LMP sangat popular, namun ketahuilah bahawa ia tidak sentiasa tepat.
Beberapa faktor boleh mempengaruhi hasil kiraan:
A. Kitaran Haid Tidak Teratur
Wanita dengan haid yang tidak menentu akan sukar untuk menetapkan LMP yang tepat.
Dalam kes sebegini, ultrasound menjadi alternatif terbaik.
B. Tidak Ingat Tarikh Haid Terakhir
Sesetengah wanita mungkin tidak mencatat tarikh haid, menjadikan kiraan hamil berdasarkan LMP sukar.
C. Kehamilan Melalui Rawatan Kesuburan
Wanita yang hamil melalui prosedur seperti IUI atau IVF biasanya mempunyai tarikh ovulasi dan implantasi yang diketahui.
Kiraan hamil lebih tepat kerana prosesnya terkawal.
Soalan Lazim Berkaitan Kiraan Hamil
1. Saya tahu tarikh persenyawaan, perlukah saya kira ikut tarikh itu?
Tidak semestinya. Walaupun anda tahu tarikh persenyawaan, kebanyakan doktor tetap guna LMP untuk standardisasi. Namun, info itu boleh membantu jika haid anda tidak teratur.
2. Bolehkah saya hamil sebelum datang haid selepas bersalin?
Ya. Jika ovulasi berlaku sebelum haid pertama selepas bersalin, anda boleh hamil. Jadi kiraan hamil tetap boleh dibuat berdasarkan scan awal.
3. Adakah semua kehamilan cukup 40 minggu?
Tidak. 40 minggu ialah purata. Kehamilan yang sihat boleh berlaku antara minggu ke-37 hingga minggu ke-42.
4. Bagaimana saya nak tahu usia kehamilan saya sekarang?
Gunakan kalkulator kiraan hamil atau minta doktor lakukan scan. Anda boleh juga kira dari LMP hingga tarikh semasa.
Kesimpulan
Memahami cara kiraan hamil amat penting bagi setiap wanita yang sedang mengandung atau merancang kehamilan.
Ia bukan sahaja membantu mengenalpasti usia janin, tetapi juga memainkan peranan besar dalam merancang pemeriksaan antenatal dan mempersiapkan diri menyambut kelahiran bayi.
Jika anda mengalami kitaran haid yang tidak teratur, sukar ingat LMP, atau sedang melalui kehamilan IVF, pastikan anda berbincang dengan pakar perubatan bagi mendapatkan kiraan yang tepat dan profesional.
Jangan panik jika tarikh jangka bersalin berubah sedikit selepas scan – ini adalah perkara biasa kerana perkembangan setiap janin berbeza.
Yang penting, anda teruskan pemeriksaan berkala dan amalkan gaya hidup sihat sepanjang kehamilan.
Sumber : Hellodoktor