Permohonan STR 2025: Syarat Kelayakan & Cara Memohon
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah merupakan salah satu inisiatif pihak kerajaan untuk membantu meringankan beban dan mengurangkan kos sara hidup rakyat terutamanya bagi isi rumah yang berpendapatan rendah.
Bantuan ini diteruskan lagi pada tahun hadapan, 2025 dengan lebih banyak penambahbaikan dilakukan.
Melalui pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan bakal memperuntukkan RM13 bilion berbanding RM10 billion (tahun 2024) untuk program STR ini. Hal ini jelas menunjukkan komitmen pihak kerajaan untuk memastikan bantuan ini sampai kepada mereka yang layak.
Berikut dikongsikan info lebih lama mengenainya.
BACA JUGA: STR 2025 – Permohonan, Kemaskini, Semakan Status & Bayaran
Apakah itu STR – Sumbangan Tunai Rahmah 2025
Sumbangan Tunai Rahmah 2025 adalah program bantuan kewangan yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif Bantuan Rahmah untuk membantu golongan yang memerlukan, terutamanya golongan B40 dan M40.
STR adalah kesinambungan daripada program bantuan tunai sebelumnya seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BRP) dan Bantuan Sara Hidup (BSH), namun dengan beberapa penambahbaikan untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Objektif utama bantuan ini adalah untuk meringankan beban kewangan rakyat Malaysia yang terrkesan akibat inflasi, pandemik, dan cabaran ekonomi semasa.
STR 2025 menawarkan bantuan tunai secara one-off kepada individu dan isi rumah yang layak, dengan jumlah bantuan yang berbeza mengikut kategori penerima.
Untuk tahun 2025 kerajaan akan memberi peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu RM13 bilion. Peningkatan ini akan memberi manfaat kepada 9 juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara.
Syarat-syarat Permohonan / Kelayakan Setiap Kategori
Pemohon layak memohon STR 2025 sekiranya memenuhi kategori kelayakan seperti berikut:
a. Isi Rumah
i. Kahwin; atau
ii. Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang mempunyai anak yang
menepati syarat; dan
iii. Pendapatan Isi Rumah adalah RM5,000 dan ke bawah.
b. Warga Emas Tiada Pasangan
i. Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak
mempunyai anak yang menepati syarat; dan
ii. Had umur adalah 60 tahun dan ke atas; dan
iii. Pendapatan Warga Emas Tiada Pasangan adalah RM5,000 dan ke bawah.
c. Bujang
i. Bujang atau Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda yang tidak
mempunyai anak yang menepati syarat; dan
ii. Had umur adalah 21-59 tahun; dan
iii. Bujang Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 19 tahun dan ke atas; dan
iv. Bukan pelajar IPTA / IPTS sepenuh masa; dan
v. Pendapatan Bujang adalah RM2,500 dan ke bawah.
NOTA:
Individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas termasuk OKU berumur 19 tahun dan ke atas yang masih belajar sepenuh masa di Institusi Pengajian Tinggi Awam / Swasta hanya dibenarkan untuk dimasukkan ke dalam maklumat anak / tanggungan permohonan isi rumah dan tidak dibenarkan membuat permohonan sebagai individu bujang.
Cara Permohonan STR 2025
Permohonan STR 2025 boleh dibuat melalui dua cara iaitu;
- Melalui Portal STR 2025 di pautan berikut: https://bantuantunai.hasil.gov.my atau;
- Secara manual dengan pengemukaan borang ke pejabat HASiL berdekatan anda.
Pemohon yang perlu membuat Permohonan Baharu STR 2025 adalah seperti berikut:
- Pemohon yang tiada rekod dalam sistem STR 2024; serta
- Berpendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah; atau
- Berpendapatan RM2,500 dan ke bawah untuk individu bujang / tiada pasangan / tiada anak yang menepati syarat kelayakan.
Tarikh Akhir Permohonan STR 2025
Permohonan Fasa 1 STR 2025 akan ditutup pada 30 November 2024. Bagi melayakkan anda menerima STR Fasa 1 (sekiranya menepati syarat) pastikan anda membuat permohonan sebelum 30 November ini. Walau bagaimanapun, permohonan bagi fasa seterusnya masih dibuka sepanjang tahun.
Kadar Bayaran STR 2025 Bagi Setiap Kategori
Bagi tahun 2025, kadar bayaran STR akan meningkat bagi setiap kategori. Ia merupakan peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) selama ini.
Peningkatan ini bakal memberi manfaat kepada 9 juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara.
Berikut ialah kadar peningkatan bayaran STR 2025:
- Penambahan peruntukan ini membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada RM4600 berbanding RM3700.
- Kadar baharu bagi kategori bujang juga meningkat kepada RM600
Rujuk gambar rajah di bawah untuk kadar bayaran STR 2025 mengikut kategori: (Sumber Belanjawan 2025)
Kaedah Pembayaran STR
Penerima bantuan STR boleh mendapatkan bayaran tersebut melalui dua cara iaitu:
- Walk In ke Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) : Bagi yang tidak memiliki akaun bank, bayaran boleh dituntut di cawangan BSN.
- Pengkreditan ke Akaun Bank : Wang bantuan akan dimasukkan terus ke dalam akaun penerima atau pasangan.
Jadual Pembayaran Kaunter Pedalaman Sabah & Sarawak
- Pedalaman Sabah (i) Jadual Pembukaan Kaunter Kawasan Pedalaman Negeri Sabah.
- Pedalaman Sarawak (i) Jadual Pembukaan Kaunter Kawasan Pedalaman Negeri Sarawak.
BACA JUGA: Rayuan STR 2024 – Maksud Tidak Lulus & Semakan Semula
FAQ – Permohonan Baru STR 2025
S: Siapakah yang perlu membuat Permohonan Baharu STR 2025?
J: Pemohon yang perlu membuat Permohonan Baharu STR 2025 adalah seperti berikut:
- Pemohon yang tiada rekod dalam sistem STR 2024; serta
- Berpendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah; atau
- Berpendapatan RM2,500 dan ke bawah untuk individu bujang / tiada pasangan / tiada anak yang menepati syarat kelayakan.
S: Apakah dokumen yang perlu dikemukakan semasa membuat permohonan STR?
J: Salinan dokumen sokongan pemohon / pasangan / anak (jika berkaitan) yang perlu dikemukakan adalah seperti berikut:
a. Pemohon:
- Salinan Sijil Perkahwinan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri / JPN; atau
- Salinan Sijil Kematian pasangan yang dikeluarkan oleh JPN; atau
- Sijil Perceraian / Pembubaran Perkahwinan (asal dan salinan) yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri / JPN; atau
- Salinan Sijil Dekri Nisi / Dekri Nisi Mutlak yang dikeluarkan oleh Mahkamah; atau v. Salinan Kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi pemohon berumur 19 – 20 tahun pada tahun 2025
b. Pasangan:
- Salinan Pasport / Visa / UNHCR / Pas Sempadan
c. Anak:
i. Anak Kandung:
- Salinan Sijil Lahir; dan
- Salinan MyKad / MyKid
ii. Anak Angkat
- Salinan MyKad / MyKid; dan
- Salinan Sijil Daftar Anak Angkat yang dikeluarkan oleh JPN Borang Serahan Dokumen Sokongan STR (BK-04) perlu dilengkapkan dan diserahkan semasa mengemukakan dokumen sokongan berkenaan ke Pejabat LHDNM ATAU boleh memuat naik ke sistem STR semasa permohonan secara dalam talian.
S: Saya hanya mempunyai Kad Pengenalan Lama dan tidak memperbaharuinya lagi. Adakah saya boleh membuat permohonan STR?
J: Anda perlu merujuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan MyKad kerana Permohonan STR mewajibkan penggunaan MyKad sahaja. Permohonan STR hanya boleh dilakukan setelah anda mempunyai MyKad.
S: Saya berumur 20 tahun pada tahun 2024, adakah saya layak memohon STR 2025 mulai 19 Oktober 2024?
J: Ya. Anda layak membuat Permohonan STR 2025 bagi Kategori Bujang mulai 19 Oktober 2024 kerana anda menepati syarat umur 21 tahun pada tahun 2025.
S: Saya bujang berumur 18 tahun pada tahun 2024 dan merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), adakah saya layak memohon STR 2025 bagi kategori Bujang mulai 19 Oktober 2024?
J: Ya. Anda layak membuat Permohonan STR 2025 bagi Kategori Bujang mulai 19 Oktober 2024 kerana anda menepati syarat umur 19 tahun pada tahun 2025.
S: Saya merupakan pemohon bagi kategori bujang yang berumur 59 tahun pada tahun 2024 dan telah membuat permohonan baharu / kemas kini pada pada bulan Oktober. Adakah permohonan saya akan dikategorikan sebagai permohonan Warga Emas Tiada Pasangan?
J: Ya. Permohonan anda akan dikategorikan sebagai permohonan Warga Emas Tiada Pasangan kerana anda menepati syarat umur 60 tahun pada tahun 2025.
S: Anak saya berumur 20 tahun pada tahun 2024 dan dikategorikan sebagai OKU kerana mengalami kemalangan pada tahun ini. Bolehkah saya kemaskini maklumat anak saya dalam permohonan STR 2025?
J: Anak berkenaan tidak layak untuk didaftarkan sebagai anak / tanggungan di bawah permohonan STR anda. Walau bagaimanapun, anak berkenaan boleh memohon STR bagi kategori Bujang sekiranya berstatus OKU dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
S: Saya bujang berumur 19 tahun pada tahun 2024, adakah saya layak untuk membuat Permohonan STR 2025?
J: Tidak. Anda tidak layak untuk membuat Permohonan STR 2024 kerana syarat pemohon bujang mestilah berumur 21 tahun pada tahun 2025. Anda hanya layak untuk membuat Permohonan STR 2025 bagi kategori Bujang jika anda merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
S: Saya berstatus ibu tunggal yang berumur 40 tahun dan mempunyai seorang anak (OKU) berumur 19 tahun bukan pelajar sepenuh masa. Adakah saya boleh memohon STR dengan meletakkan anak saya di permohonan STR saya?
J: Tidak. Anda perlu memohon STR di bawah kategori Bujang sebagai Ibu Bapa Tunggal tiada anak / tanggungan. Ini kerana anak berkenaan boleh memohon STR berasingan bagi kategori Bujang sekiranya berstatus OKU dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
S: Saya berstatus ibu tunggal yang berumur 50 tahun dan mempunyai seorang anak (OKU) berumur 21 tahun yang masih belajar sepenuh masa. Adakah saya boleh memohon STR dengan meletakkan anak saya dalam maklumat permohonan STR saya?
J: Anak berkenaan boleh didaftarkan di permohonan STR anda sekiranya menepati syarat kelayakan Anak. Sekiranya anak berkenaan tidak menepati syarat kelayakan, anda boleh memohon STR di bawah kategori Bujang sebagai ibu / bapa tunggal tiada anak / tanggungan.
S: Saya berstatus ibu tunggal yang berumur 40 tahun dan mempunyai seorang anak berumur 21 tahun yang masih belajar sepenuh masa. Adakah saya boleh memohon STR 2025 dengan meletakkan anak saya dalam maklumat Permohonan STR saya?
J: Anak berkenaan boleh didaftarkan di permohonan STR 2025 anda sebagai anak / tanggungan sekiranya menepati syarat kelayakan Anak. Sekiranya anak berkenaan tidak menepati syarat kelayakan, anda boleh memohon STR di bawah kategori Bujang sebagai Ibu Bapa Tunggal tiada anak.
S: Saya berstatus bujang tetapi mempunyai anak angkat. Adakah saya layak untuk memohon sebagai isi rumah?
J: Tidak. Sekiranya anda berstatus bujang dan tidak pernah berkahwin, anda tidak layak untuk memohon kategori isi rumah. Namun, permohonan kategori Bujang boleh dibuat sekiranya memenuhi syarat kelayakan.
S: Sijil perkahwinan saya telah hilang, apakah dokumen sokongan yang boleh digunakan untuk pengesahan status perkahwinan?
J: Dokumen sokongan yang boleh digunakan sebagai pembuktian status perkahwinan: a. Kad nikah; atau b. Sijil Lahir Anak
S: Saya berkahwin di luar negara dan mempunyai sijil perkahwinan yang sah dari negara tersebut, adakah saya layak memohon STR kategori isi rumah dan apakah dokumen yang diperlukan?
J: Tidak. Anda tidak layak memohon di bawah kategori isi rumah kecuali anda telah mendaftarkan perkahwinan dengan Jabatan Agama Islam Negeri atau Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Namun sekiranya anda mempunyai anak, anda layak memohon STR dengan mengemukakan Sijil Lahir Anak yang berdaftar di JPN sebagai bukti perkahwinan.
S: Saya bukan warganegara Malaysia. Adakah saya layak memohon STR?
J: Tidak. Bantuan ini adalah untuk warganegara Malaysia yang menetap dan bekerja di Malaysia sahaja.
S: Saya merupakan warganegara Malaysia tetapi menetap di Singapura. Adakah saya layak memohon STR?
J: Tidak. Bantuan ini adalah untuk Warganegara Malaysia yang menetap dan bekerja di Malaysia sahaja.
S: Permohonan secara dalam talian memerlukan saya mengisi maklumat akaun bank. Jika saya tidak mempunyai maklumat akaun bank, bagaimanakah saya boleh menghantar Permohonan STR?
J: Anda boleh menghantar permohonan STR secara dalam talian dengan memilih Tiada Maklumat Akaun Bank. Walau bagaimanapun, anda disarankan untuk mengisi maklumat akaun bank anda bagi membolehkan pembayaran STR dibuat dengan mudah dan cepat tanpa perlu hadir ke kaunter BSN.
S: Permohonan secara dalam talian memerlukan saya mengisi maklumat alamat e-mel. Apakah kegunaan alamat e-mel berkenaan?
J: Anda perlu mendaftarkan alamat e-mel yang sah semasa permohonan STR kerana alamat e-mel berkenaan akan digunakan untuk tujuan berikut:
- Set semula akaun STR disebabkan terlupa soalan keselamatan semasa log masuk; dan
- Penyampaian makluman STR
S: Saya telah menghantar permohonan STR 2025 secara dalam talian. Walau bagaimanapun saya menerima mesej peringatan memaklumkan saya perlu memuat naik dokumen sokongan atau menghantar ke Pejabat LHDNM. Bagaimanakah cara untuk saya kemukakan dokumen sokongan berkenaan ke Pejabat LHDNM?
J: Anda digalakkan untuk memuat naik dokumen sokongan yang diperlukan ke Portal Rasmi STR semasa permohonan.
Sekiranya anda ingin menghantar ke Pejabat LHDNM, anda perlu mengemukakan dokumen sokongan yang diperlukan dengan mengisi Borang Serahan Dokumen Sokongan STR (BK-04) yang boleh diperolehi di Pejabat LHDNM atau dimuat turun dari Portal Rasmi STR.
Pastikan anda mendapat keratan Akuan Penerimaan Serahan Dokumen Sokongan berkenaan sebagai rekod penyerahan. Penghantaran secara faks dan e-mel adalah tidak diterima.
S: Saya telah menghantar permohonan STR. Sekiranya ada perubahan maklumat, adakah saya masih boleh membuat kemas kini permohonan?
J: Ya. Kemas kini maklumat boleh dibuat sebelum permohonan anda diproses sepanjang tahun.
S: Saya telah menghantar Borang Permohonan STR ke Pejabat LHDNM. Adakah saya boleh mengemas kini semula permohonan secara dalam talian?
J: Tidak. Sebarang permohonan secara dalam talian boleh dikemukakan semula selepas kelulusan setiap fasa diperolehi.
S: Saya telah membuat permohonan STR secara dalam talian dan juga telah berjaya memuat naik semua dokumen sokongan yang diperlukan di Sistem STR. Adakah saya masih perlu kemukakan semula dokumen sokongan berkenaan ke Pejabat LHDNM?
J: Tidak. Sekiranya dokumen sokongan yang diperlukan telah berjaya dimuat naik di Sistem STR semasa permohonan secara dalam talian, anda tidak perlu kemukakan semula dokumen berkenaan ke Pejabat LHDNM.
S: Sekiranya saya tidak mengisi nombor akaun bank semasa permohonan STR 2025, bagaimanakah pembayaran akan dilakukan?
J: Sekiranya anda tidak melaporkan maklumat akaun bank, pembayaran adalah secara tunai di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan membawa MyKad. Anda digalakkan untuk mengisi nombor akaun bank bagi pembayaran STR, agar proses pembayaran dapat diterima dengan mudah dan cepat.
S: Apakah jenis akaun bank yang perlu saya daftarkan ketika permohonan STR 2025?
J: Anda perlu mendaftarkan akaun bank persendirian.
MUAT TURUN FAQ PERMOHONAN STR 2025:
Maklumat Lanjut STR 2025
Untuk mengetahui maklumat terkini mengenai STR 2025, anda boleh ikuti dan layari:
- Facebook rasmi Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)
- Perincian Belanjawan 2025
- Laman web rasmi STR : https://bantuantunai.hasil.gov.my/
Info STR 2025 juga akan dikemaskini dari masa ke semasa di laman web ini, pastikan anda mengikuti kami di saluran Whatsapp untuk notifikasi maklumat terkini.