Penyakit anemia berlaku ketika tubuh seseorang kekurangan sel darah merah atau hemoglobin. Ini seterusnya mengakibatkan kekurangan oksigen dan boleh menjejaskan fungsi tubuh.
Bergantung kepada punca, pesakit mungkin tunjukkan gejala berbeza. Sesetengah pesakit juga mungkin tidak sedari mereka mengalami masalah ini.
Ayuh kenali penyakit anemia dengan lebih lanjut menerusi perkongsian dari kami.
Anemia di Malaysia
Anemia adalah keadaan di mana tubuh kekurangan sel darah merah yang sihat atau hemoglobin untuk mengangkut oksigen ke seluruh tisu-tisu dalam badan. Apabila seseorang mengalami keadaan ini, tubuh mereka mungkin berasa lemah, letih, atau sukar untuk menjalankan aktiviti harian.
Di Malaysia, anemia lebih kerap dialami oleh wanita, terutamanya etnik India, dengan kadar kelaziman mencapai 39.8%. Jika dilihat mengikut negeri, Kelantan menduduki tangga teratas dengan 27.2% penduduknya menghidap anemia. Secara keseluruhan, kira-kira 4.6 juta rakyat Malaysia, atau 21.3% daripada populasi, hidup dengan keadaan ini.
Wanita lebih mudah terdedah kepada anemia kerana faktor seperti kitaran haid dan kehamilan, yang meningkatkan keperluan zat besi. Namun, setiap individu mengalami tahap keterukan yang berbeza—ada yang hanya berasa sedikit lesu, ada yang memerlukan rawatan segera.
Punca Penyakit
Penyakit anemia boleh berpunca daripada beberapa keadaan berikut
- Kekurangan nutrisi penting seperti yang dinyatakan di bawah akan menyebabkan penghasilan darah dan hemoglobin berkurang:
- Zat Besi
- Vitamin B12
- Asid Folik
- Kehilangan darah sama ada secara mendadak atau berterusan seperti yang dinyatakan, boleh mengurangkan jumlah sel darah merah
- Haid Berat
- Pendarahan Dalaman (ulser perut, buasir, atau pendarahan gastrousus)
- Kehilangan darah akibat trauma atau prosedur pembedahan.
- Gangguan penyakit darah seperti Talasemia yang boleh menyebabkan kurangnya hemoglobin dalam badan.
- Faktor Lain:
- Kehamilan
- Keperluan zat besi meningkat semasa kehamilan untuk menyokong pertumbuhan bayi, dan boleh meningkatkan risiko anemia jika nutrisi yang diterima tidak mencukupi.
- Pengambilan Ubat
- Sesetengah ubat, seperti ubat anti-radang boleh menjejaskan pengeluaran sel darah merah.
- Alkoholisme
- Pengambilan alkohol berlebihan boleh mengganggu penyerapan nutrien seperti vitamin B12 dan asid folik.
- Kehamilan
Simptom penyakit Anemia
Bergantung kepada puncanya, penyakit anemia boleh menunjukkan beberapa gejala seperti:
- Rasa lemas
- Mudah penat
- Pening atau sakit kepala
- Mudah mengantuk
- Kuit pucat atau kekuningan
- Degupan jantung tidak teratur
- Nafas pendek
- Sakit dada
- Terasa sejuk pada tapak kaki dan tapak tangan
Komplikasi
Sekiranya tidak ditangani, penyakit anemia boleh mengakibatkan komplikasi serius seperti:
- Kesulitan melakukan aktiviti harian akibat kepenatan
- Masalah pada jantung seperti gangguan degupan jantung
- Gangguan paru-paru seperti pulmonary hypertension
- Komplikasi kehamilan seperti kelahiran pramatang atau berat bayi rendah
- Gangguan tumbesaran sekiranya anemia terjadi pada bayi atau kanak-kanak.
Kenal Pasti Anemia dari Wajah Anda
Selain kompilasi yang dinyatakan di atas, Anemia yang sering berlaku kepada wanita juga boleh dikesan melalui kondisi wajah anda. Berikut merupakan tanda-tanda yang perlu anda berikan perhatian bagi mengenal pasti penyakit ini:
Baca juga: Makanan Untuk Tambah Darah
Cara Mencegah Anemia
Dalam sesetengah kes, penyakit anemia yang diwarisi oleh keluarga tidak dapat dielakkan. Meskipun begitu, anda masih boleh mencegahnya dengan mengamalkan diet seimbang serta pemakanan sihat. Hal ini demikian kerana, gaya hidup sihat bermula dari pinggan anda.
Pencegahan penyakit ini boleh dilakukan dengan meningkatkan pengambilan:
- Zat besi – daging merah seperti daging lembu, kekacang, sayuran berdaun hijau gelap, buah naga serta buah-buahan kering.
- Asid folik – kacang pis, kacang tanah, produk bijirin yang kaya dengan karbohidrat seperti pasta, roti dan bijirin sarapan pagi, buah-buahan dan sayuran hijau berdaun gelap.
- Vitamin B12 – produk tenusu, daging, produk bijirin dan produk soya.
- Vitamin C – buah-buahan sirus dan jus, tomato, tembikai, strawberi dan brokoli.
- Anda juga disarankan untuk banyakkan minum air kosong kerana kajian menunjukkan ia dapat mengekalkan tahap hemoglobin.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sekiranya anda berasa cepat letih atau mengalami gejala penyakit anemia yang semakin teruk, segeralah berjumpa dengan doktor.
Anda juga perlu berunding dengan doktor sekiranya anda mengalami penyakit yang mungkin boleh menyebabkan anemia seperti gangguan pendarahan haid, kanser usus dan penyakit buah pinggang.
Bagi ibu hamil, penurunan tekanan rendah adalah perkara yang normal. Untuk mengekalkan kesihatan ibu dan bayi, anda perlulah dapatkan pemeriksaan secara rutin.
Doktor akan mencadangkan pengambilan supplemen tertentu mengikut kepeluan.
Untuk pesakit yang mengalami anemia yang terkait dengan keturunan atau thalasemia, anda perlulah dapatkan nasihat daripada doktor sebelum bercadang untuk memiliki zuriat.
Sama ada penyakit anemia yang dialami kekal atau sementara, anda masih boleh menguruskannya dengan pengambilan ubat-ubatan yang disarankan doktor serta mengamalkan diet sihat.
Anda juga boleh berunding dengan doktor untuk kenalpasti keperluan vitamin dan mineral yang diperlukan mengikut tahap kesihatan anda.
Teh boba dan kopi punca remaja anemia?
Trend minum teh boba dan kopi viral semakin digilai oleh golongan muda-mudi khususnya remaja.
Selain kandungan gulanya yang tinggi, dua jenis minuman ini juga sebenarnya dikatakan boleh menjadi penyumbang kepada peratusan penyakit anemia di kalangan remaja.
Timbalan Dekan Akademik (Sains Kesihatan) dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulit Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Barakatun Nisak Mohd. Yusof berkata,
“Pengambilan minuman berkafeine menjadi antara punca peningkatan kes anemia dalam kalangan remaja. Minuman tersebut boleh menghalang penyerapan zat besi pada makanan.”
Kenyataan ini disokong dengan hasil kajian yang mendapati bahawa zat besi akan hilang sebanyak 62% apabila seseorang makan bersulam teh manakala bagi kopi pula 35%.
Di mana salah satu dari punca anemia berlaku adalah kerana kekurangan nutrien seperti portein, zat besi, vitamin C, vitamin E, vitamiin B12, vitamin B6, kuprum, riboflavib, dan asid folik bagi pembentukan sel darah merah serta haemoglobin.
Maklumat Lanjut
Bagi anda yang ingin mendapatkan maklumat tambahan berkenaan penyakit Anemia ini, anda boleh rujuk risalah yang disediakan Malaysian Society of Patient Blood Management di bawah:
Sumber:
- Anemia? Kenalo Faktor Risiko. UKM Medical Molecular Biology Institute
- 21.3 Peratus Rakyat Malaysia Ada Anemia. Harian Metro
- Anemia: Causes, Symptoms, Diagnosis, Treatments. WebMD