Mereka yang telah menjadi mangsa keganasan rumah tanga dinasihatkan untuk mengumpul dan menyimpan bukti penderaan sejak awal bagi membantu siasatan serta tindakan undang-undang terhadap pelaku.
Walaupun keganasan rumah tangga sering dikaitkan dengan wanita, tetapi lelaki juga boleh menjadi mangsa.

Mengenai Keganasan Rumah Tangga
Menurut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521), keganasan rumah tangga merupakan perbuatan yang dilakukan terhadap ahli keluarga seperti suami isteri, bekas pasangan, kanak-kanak, orang dewasa tidak berkeupayaan atau ahli keluarga yang tinggal bersama.
Dalam erti kata yang lain, perbuatan ini adalah perbuatan penderaan oleh seorang ahli keluarga terhadap ahli keluarga lain atau orang yang melakukan keganasan rumah tangga cuba mengawal orang yang didera.
Secara spesifiknya, keganasan rumah tangga akan melibatkan perbuatan berikut:
- Sengaja / cuba meletakkan mangsa dalam ketakutan
- Mencederakan secara fizikal
- Memaksa / mengancam melakukan perbuatan seksual
- Mengurung / menahan tanpa kerelaan
- Khianat / merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan / kegusaran.
Di Malaysia, perbuatan ini merupakan kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan dilindungi melalui Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521].
Jenis Keganasan Rumah Tangga
Antara jenis-jenis perbuatan ini adalah seperti berikut:
- Penderaan fizikal seperti memukul, menolak, menumbuk, menampar, menendang, melemparkan objek atau mencekik mangsa.
- Penderaan emosi seperti menggunakan kata-kata kesat untuk mengaibkan atau membuatkan mangsa berasa tidak bermaruah, secara terang-terangan atau melalui dalam talian atau aplikasi media sosial.
- Penderaan seksual seperti menggunakan seks untuk mengawal atau mengaibkan mangsa, termasuk mengugut mangsa untuk melakukan seks yang tidak selamat atau amalan seks yang mana mangsa tidak mahu terlibat.
- Pengasingan seperti mengawal pergerakan atau menghalang mangsa daripada melawat, berjumpa, atau bercakap dengan ahli keluarga atau kawan.
- Ugutan seperti mengugut untuk mencederakan, menculik atau mencederakan mangsa atau anak-anak atau haiwan peliharaan keluarga, atau mengugut akan membunuh diri.
- Penderaan ekonomi seperti mengehadkan kebebasan atau jaminan kewangan mangsa termasuklah menahan atau enggan memberi wang secukupnya untuk perbelanjaan rumah tangga, atau merampas pendapatan seseorang.
- Menghendap seperti mengganggu dan mengancam berulang kali, termasuk mengikuti mangsa atau muncul di rumah atau di tempat kerja mangsa, membuat panggilan telefon yang mengganggu, meninggalkan pesanan suara atau menghantar mesej yang mengancam di media sosial, seperti melalui aplikasi WhatsApp.
Cara Keganasan Rumah Tangga Berlaku
Perbuatan ini lazimnya berlaku melalui 3 fasa iaitu fasa ketegangan, fasa letupan/keganasan teruk, dan fasa sesalan/bulan madu.
i- Fasa 1: Ketegangan
Dalam fasa ini, penderaan dalam bentuk yang kurang parah berlaku dan mangsa selalunya dapat merasakan ketegangan yang berlaku dan cuba untuk “berbaik” dengan pendera bagi mengelakkan berlakunya penderaan.
Selain itu, mangsa akan mengurangkan kejadian-kejadian kecil dan juga menyalahkan diri sendiri atas kelakuan pendera.
Mangsa juga mungkin tidak mengakui bahawa ketegangan itu boleh berubah kepada keganasan walaupun keadaan seperti itu pernah berlaku.
ii- Fasa Letupan/Keganasan Teruk
Bagi fasa ini, kemarahan pendera meningkat secara mendadak yang boleh menyebabkan kecederaan parah boleh berlaku.
Mangsa selalunya rasa terkejut dan tidak percaya bahawa kejadian itu telah berlaku dan lazimnya mangsa dan pendera percaya kepada mitos bahawa pendera tidak dapat mengawal kemarahannya.
iii- Fasa Sesalan/Bulan Madu
Pendera menyesal dan berjanji akan berubah dan boleh menjadi seorang yang penyayang dan memberi hadiah sebagai salah satu cara untuk memohon maaf.
Pendera akan cuba merasionalkan kejadian ganas yang berlaku dan menyalahkan mangsa sebagai penyebab penderaan.
Pendera membuatkan mangsa rasa bersalah dan kasihan terhadapnya yang seterunya mangsa percaya bahawa pendera akan berubah.
Tingkah laku pendera yang berubah buat sementara waktu, menguatkan mangsa untuk meneruskan perhubungan tersebut.
Cara Melaporkan
Mangsa keganasan rumah tangga dinasihatkan untuk melaporkan kejadian keganasan terhadapnya ke:
- Balai Polis yang berhampiran atau pengaduan boleh dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan yang berhampiran.
- Menghubungi Talian Kasih 15999.
- Merujuk terus ke hospital yang berhampiran sekiranya dicederakan.
Bukti Yang Perlu Dikumpul
Mangsa juga perlu memastikan semua bukti perlakuan keganasan terhadapnya dikumpul:
- Gambar kecederaan: Ambil gambar dengan jelas termasuk wajah mangsa bagi membantu pengesahan identiti.
- Tangkap layar perbualan & ugutan: Pastikan nombor telefon / profil pengirim turut kelihatan.
- Rakaman skrin: Simpan perbualan jika bimbang mesej dipadam.
- Catatan kronologi: Rekod tarikh, masa & bentuk penderaan bagi mengenal pasti pola keganasan.

Perlindungan Di Bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994
Terdapat beberapa perlindungan kepada mangsa di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994:
- Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO): Boleh diperoleh melalui pegawai kebajikan masyarakat tanpa proses mahkamah.
- Perintah Perlindungan Interim (IPO): Boleh dipohon ketika siasatan polis sedang dilalankan.
- Perintah Perlindungan (PO): Melalui proses perundangan apabila syarat ditetapkan dipenuhi.
Soalan Lazim
Keganasan rumah tangga ialah perbuatan penderaan oleh seorang ahli keluarga terhadap ahli keluarga lain.
– Penderaan fizikal
– Penderaan emosi
– Penderaan seksual
– Pengasingan
– Ugutan
– Penderaan ekonomi
– Menghendap
Terdapat 3 cara yang boleh dilakukan:
– Balai Polis yang berhampiran atau pengaduan boleh dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah / Jajahan yang berhampiran.
– Menghubungi Talian Kasih 15999.
– Merujuk terus ke hospital yang berhampiran sekiranya dicederakan.
Pastikan anda menyimpan bukti-bukti keganasan ini iaitu:
– Gambar kecederaan
– Tangkap layar perbualan & ugutan
– Rakaman skrin
– Catatan kronologi
Terdapat beberapa perlindungan yang boleh dibuat:
a) Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO)
b) Perintah Perlindungan Interim (IPO)
c) Perintah Perlindungan (PO)
Info Lanjut
Info lanjut mengenai keganasan rumah tangga, sila layari laman web JKM iaitu https://www.jkm.gov.my/.




