Bacaan Hb Normal Ibu Hamil & Contoh Makanan Tambah Darah

Berapa bacaan Hb ibu hamil yang normal? Dan apa pula kesannya kepada ibu mengandung jika bacaan Hb terlalu rendah / tinggi?

Sebelum itu, jom kita fahamkan terlebih dahulu apa maksud Hb dan kenapa kita perlu pantau bacaan ini sepanjang kehamilan.

Pengenalan

Hemoglobin (hb) adalah protein dalam sel darah merah yang bertanggungjawab membawa oksigen ke seluruh badan.

Bagi wanita yang hamil, mereka perlu lebih banyak oksigen berbanding normal supaya kandungan dapat berkembang dengan sihat. Adakah bahaya sekiranya ibu hamil tidak mempunyai tahap Hb yang normal?

Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

hb normal ibu hamil

Mengapa Bacaan Selalu Menurun Ketika Hamil?

Kadar hemoglobin yang menurun semasa hamil boleh dianggap normal kerana jumlah darah akan meningkat sehingga 50% bagi membekalkan nutrisi penting untuk bayi dalam kandungan.

Apabila memasuki minggu ke-8 kehamilan, paras plasma akan menjadi lebih tinggi berbanding sel darah merah. Disebabkan ini, sel darah merah menjadi kurang pekat dan paras Hb boleh menurun sehingga 10.5 g/dl.

Namun, anda perlulah mendapatkan pemeriksaan segera jika paras Hb adalah lebih rendah daripada ini kerana ia boleh menjejaskan kesihatan ibu dan mengakibatkan keletihan, tangan dan kaki sejuk, kuku rapuh dan mudah patah, degupan jantung laju, pening kepala, kulit pucat dan sesak nafas walaupun sedang berehat.

hb normal ibu hamil

Keadaan boleh menjadi bertambah teruk sekiranya paras Hb menurun sehingga 6g/dl kerana ia boleh menjurus kepada angina.

Angina adalah sakit dada jangka pendek yang berlaku apabila otot jantung tidak menerima darah atau oksigen yang mencukupi.

Bacaan Hb Normal Ibu Hamil

Berikut merupakan julat normal Hb (dalam ukuran gram per desiliter g/dl) bagi wanita dewasa :

  • Tidak hamil: 12 hingga 15.8 g/dl atau 120 hingga 158 g/L
  • Trimester pertama: 11.6 hingga 13.9 g/dl atau 116 hingga 139 g/L
  • Trimester kedua: 9.7 hingga 14.8 g/dl atau 97 hingga 148 g/L
  • Trimester ketiga: 9.5 hingga 15 g/dl atau 95 hingga 150 g/L

Contoh Makanan Tinggi Zat Besi

MAKANAN APA YANG TINGGI ZAT BESI?

Ibu hamil ANEMIA ( bacaan hb rendah daripada normal) adalah disarankan untuk mengambil lebih makanan yang kaya zat besi daripada sumber haiwan dan tumbuhan. Makan bersama buah atau jus buah yang kaya dengan vitamin C untuk meningkatkan penyerapan zat besi.

Ambil makanan yang kaya zat besi ini dalam setiap hidangan utama anda dan makan hidangan utama sekurang-kurangnya 3 kali sehari.

Tengok contoh makanan tinggi zat besi di bawah:

hb normal ibu hamil mengandung
hb normal ibu hamil mengandung
hb normal ibu hamil
hb normal ibu hamil

P/S: Jangan lupa ambil pil tambah darah yang diberikan oleh klinik!

Sumber: Pusat Maklumat Pemakanan Negeri Sembilan

Tips Kembalikan Hb Normal Ibu Hamil

Ibu mengandung boleh atasi masalah Hb rendah dengan mengubahsuai pemakanan dan mengambil makanan tinggi zat antaranya :

  • Sayur-sayuran berdaun gelap, buah-buahan kering, bijirin barli
  • Buahan-buahan tinggi zat besi (jambu batu, kiwi, buah tin, epal)
  • Sayur dan buah tinggi vitamin C (oren, brokoli, tomato, raspberi)
  • Makanan tinggi asid folik dan vitamin B kompleks (avokado, bendi, salad, lobak, taugeh)

Hadkan juga pengambilan kalsium, gluten dan kafein berlebihan kerana ia boleh menghalang penyerapan zat besi oleh tubuh.

Risiko Hb Terlalu Tinggi Ketika Hamil

Selain penurunan, sesetengah ibu hamil juga boleh alami peningkatkan paras Hb. Ia berkemungkinan besar berkaitan dengan masalah kesihatan pada buah pinggang, paru-paru dan jantung.

Pada masa yang sama, paras Hb wanita juga boleh meningkat kerana :

  • Kurang pengambilan cecair / air
  • Terlebih pengambilan suplemen zat besi
  • Erythrocytsosis

Lebih teruk lagi, paras Hb yang tinggi boleh menjadi punca kepada beberapa komplikasi seperti :

  • Berat yang rendah ketika bayi dilahirkan
  • Sekiranya ia berlaku ketika trimester satu dan dua, ia boleh menyebabkan janin kecil untuk usia kehamilan (small for gestational age).
  • Jika paras Hb melebihi 14g/dl semasa trimester ke-2, ibu berisiko untuk alami preeklampsia
  • Menjejaskan pengaliran darah dalam badan ibu dan seterusnya menghalang perkembangan sihat bayi.

Jangan berlengah untuk dapatkan nasihat doktor sekiranya paras Hb anda tidak berada pada tahap normal ketika hamil.

Meskipun penjagaan makanan yang seimbang boleh mengawal tahap hemoglobin, namun anda masih disarankan untuk berunding dengan doktor untuk mendapatkan kepastian tentang tahap kesihatan anda serta bayi.

Sumber : Hello Doktor

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!