Bagi mereka yang ingin membuka Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA), setiap TASKA mestilah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Berikut adalah maklumat dan info lanjut mengenai pendaftaran TASKA ini.

Mengenai TASKA
TASKA ditubuhkan bagi memberi perkhidmatan asuhan dan didikan awal kepada kanak-kanak di bawah 4 tahun yang boleh dikendalikan sama ada oleh pihak swasta atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Seksyen 2 Akta 308 “taman asuhan kanak-kanak” ertinya mana-mana premis yang menerima masuk empat (4) orang atau lebih kanak-kanak di bawah umur empat (4) tahun dari lebih daripada satu isi rumah untuk dijaga dengan upah.
“Taman asuhan kanak-kanak berdaftar” ertinya suatu taman asuhan kanakkanak yang didaftarkan di bawah seksyen 7.
Untuk pendaftaran TASKA, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan bertindak sebagai ‘final agency’’ bagi pengeluaran Perakuan Pendaftaran TASKA.
Ini bermakna sebelum suatu perakuan itu dikeluarkan, kelulusan dari agensi-agensi teknikal yang lain perlu diperolehi.
Kategori TASKA
Terdapat 4 kategori TASKA ialah seperti berikut:
i- TASKA Institusi
- Menerima 10 orang atau lebih kanak-kanak dalam jagaan
- Ditubuhkan atas inisiatif pihak swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO)
ii- TASKA di Tempat Kerja
- Menerima 10 orang kanak-kanak atau lebih dalam jagaan
- Ditubuhkan atas inisiatif majikan untuk kebajikan pekerja
iii- TASKA Komuniti
- Menerima 10 orang kanak-kanak atau lebih dalam jagaan
- Menerima bantuan daripada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri
- Ditubuhkan atas inisiatif komuniti untuk manfaat kepada keluarga yang berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar
iv- TASKA di Rumah
- Menerima 4 hingga 9 orang kanak-kanak dalam jagaan
- Dijalankan di kediaman sendiri
Standard Minimum JKM
Standard minimum yang ditetapkan bagi TASKA berdaftar dengan JKM adalah seperti berikut:
1- Nisbah pengasuh dengan kanak-kanak hendaklah mencukupi seperti Jadual berikut;
| Umur (tahun) | Kanak-kanak normal | Kanak-kanak berkeperluan khas |
| 0 – 1 | 1 : 3 | 2:3 |
| 1 – 3 | 1 : 5 | 2:5 |
| 3 – 4 | 1 : 10 | 3 : 10 |
2- Pengasuh merupakan warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas;
3- Pengusaha hendaklah hadir dan lulus Kursus Asas asuhan Kanak-kanak (KAAK)/ Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak PERMATA (KAP) yang diiktiraf oleh JKM;
4- Pengasuh hendaklah hadir dan lulus KAAK/KAP atau lulus KAP dalam tempoh 12 bulan bekerja;
5- Mematuhi nisbah kanak-kanak dengan ruang lantai iaitu
– 2.5 meter persegi bagi seorang kanak-kanak bagi TASKA di Rumah; atau
– 3.5 meter persegi bagi seorang kanak-kanak bagi TASKA Institusi; TASKA Tempat di Kerja dan TASKA Komuniti.
6- Menyedia dan mempamerkan jadual menu makanan yang seimbang dan jadual aktiviti harian mengikut peringkat umur kanak-kanak;
7- TASKA mempunyai kemudahan peralatan dan perabot yang sesuai, selamat dan mencukupi bagi keperluan kanak-kanak;
8- Menyedia dan menyenggara rekod-rekod di TASKA;
9- Menjaga kebersihan dan keselamatan dalam dan luar premis TASKA;
10- Memasang CCTV di TASKA;
11- Apa-apa syarat lain yang difikirkan patut dan sesuai oleh Ketua Pengarah atau Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri.
Bayaran Fi Pendaftaran
Bayaran fi pendaftaran adalah seperti berikut:
- RM50.00 bagi TASKA di Rumah
- RM250.00 bagi TASKA Institusi; TASKA di Tempat Kerja dan TASKA Komuniti.
Prosedur Permohonan
Seseorang yang ingin memohon pendaftaran TASKA boleh mengambil langkah-langkah berikut:
- Konsultasi dan permohonan pendaftaran boleh dibuat melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di mana TASKA tersebut akan ditubuhkan;
- Permohonan pendaftaran yang lengkap akan diproses dalam tempoh 14 hari bekerja;
- Kelulusan Sijil Perakuan Pendaftaran TASKA akan dikeluarkan oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri (PKMN) yang berkenaan. Sebarang pembetulan terhadap sijil tersebut hendaklah dikemukakan dalam tempoh 14 hari;
- Tempoh sah pendaftaran adalah selama 60 bulan (5 tahun); dan
- Senarai TASKA berdaftar boleh disemak di laman web https://www.jkm.gov.my.
Dokumen Yang Diperlukan
Dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut:
- Sijil Pendaftaran Syarikat/Perniagaan (SSM)/ Pertubuhan (ROS)
- Mengemukakan surat sokongan / kelulusan daripada agensi teknikal
– Pihak Berkuasa Tempatan
– Jabatan Bomba dan Penyelamat
– Jabatan Kesihatan
– Jabatan Tanah dan Survei (bagi Sarawak sahaja) - Pelan ruang lantai dan pengiraan keluasan ruang dengan kanak-kanak (dalam meter persegi)
- Jadual Aktiviti Harian Kanak-Kanak mengikut peringkat umur
– Lahir hingga 1 tahun
– 1 tahun hingga 3 tahun
– 3 tahun hingga 4 tahun - Jadual Menu Harian Kanak-Kanak mengikut peringkat umur
– Lahir hingga 1 tahun
– 1 tahun hingga 3 tahun
– 3 tahun hingga 4 tahun - Jadual Aktiviti Penglibatan Ibu Bapa
- Senarai nama kanak-kanak (Nama, Umur, Jantina, No. My Kid)
- Salinan Kad Pengenalan Pengusaha dan senarai pengurus, penyelia, pengasuh kanak-kanak dan kakitangan.
- Pelan Lokasi TASKA (termasuk koordinat GPS latitud dan longitud)
- Dokumen sokongan lain seperti:
– Salinan Sijil Lulus KAAK/Kursus Asuhan PERMATA
– Salinan Sijil Kehadiran Kursus Asuhan PERMATA
– Salinan pemeriksaan kesihatan dan suntikan yang disyorkan oleh Jabatan Kesihatan
– Bukti Pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV) di TASKA (kecuali TASKA di Rumah) selaras dengan arahan Pekeliling KPKM Bil. 1/2015
Soalan Lazim
TASKA diwujudkan bagi memberi perkhidmatan asuhan dan didikan awal kepada kanak-kanak di bawah 4 tahun yang boleh dikendalikan sama ada oleh pihak swasta atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Seksyen 2 Akta 308 “taman asuhan kanak-kanak” atau TASKA ertinya mana-mana premis yang menerima masuk empat (4) orang atau lebih kanak-kanak di bawah umur empat (4) tahun dari lebih daripada satu isi rumah untuk dijaga dengan upah.
– TASKA Institusi
– TASKA di Tempat Kerja
– TASKA Komuniti
– TASKA di Rumah
RM50.00 bagi TASKA di Rumah
RM250.00 bagi TASKA Institusi; TASKA di Tempat Kerja dan TASKA Komuniti.
Permohonan pendaftaran yang lengkap akan diproses dalam tempoh 14 hari bekerja.
Permohonan pendaftaran boleh dibuat melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di mana TASKA tersebut akan ditubuhkan;
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut mengenai pendaftaran TASKA di bawah JKM, sila layari laman web https://www.kpwkm.gov.my/portal-main/list-services?type=taman-asuhan-kanak-kanak.
Baca juga: Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) 2026 – Semakan Subsidi Yuran RM50 Sebulan




