Pihak Tabung Haji (TH) mengumumkan kelayakan giliran haji kini akan dilsanakan secara automatik dan tiada lagi pendaftaran manual menerusi Seruan Istito’ah apabila pendeposit mempunyai simpanan RM15,000 di dalam akaun Tabung Haji mereka.
Berikut adalah maklumat dan info lanjut mengenai seruan ini.

Mengenai Seruan Istito’ah
Istito’ah bermaksud seseorag sudah bersedia untuk menunaikan haji, bersedia dari segi perancangan, keupayaan dan ketenangan diri.
Kesediaan ini adalah supaya perjalanan haji dapat dilaksanakan dengan tenang dan teratur dan ia bukan sekadar sampai ke Tanah Suci, tetapi benar-benar bersedia untuk menunaikan rukun Islam ke-5.
Asas Istito’ah dalam menunaikan rukun Islam ke-5 berdasarkan Firman Allah S.W.T:
“Dan (antara) kewajipan manusia terhadap Allah adalah melaksanakan ibadat haji ke Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya.” (Surah Ali ‘Imran 97)
Secara umumnya, seruan ini diperkenalkan sebagai Pelan Persediaan Haji untuk membantu pendeposit dalam membuat persediaan untuk menunaikan ibadah haji dengan lebih mudah, ringkas dan lancar.
Ini bermakna, kelayakan giliran haji automatik diberikan kepada pendeposit yang memenuhi syarat simpanan tanpa perlu membuat pendaftaran secara manual.
Selain itu, Tabung Istito’ah juga diperkenalkan bagi membantu pendeposit membina simpanan haji secara lebih terancang dan berdisiplin.
Aspek Utama Istito’ah
Terdapat 4 aspek utama mengenai konsep ini iaitu:
- Kewangan : Simpanan mencukupi untuk menampung kos Haji tanpa menjejaskan keperluan diri dan keluarga.
- Kesihatan : Seseorang berada dalam keadaan fizikal dan mental yang baik untuk menjalani perjalanan dan ibadat haji dengan selesa.
- Keselamatan : Perjalanan anda terurus dan dilindungi, supaya anda dapat beribadat dengan tenang tanpa kebimbangan terhadap diri atau harta serta terhindar daripada sebarang wabak penyakit.
- Kebenaran & Kuota : Memenuhi kelayakan haji dan terpilih mengikut kuota serta ketetapan semasa.
Kelayakan Giliran Haji Automatik
Orang ramai kini tidak lagi perlu mendaftar haji secara manual kerana kelayakan giliran haji automatik akan dilaksanakan apabila mencapai simpanan minimum RM15,000.
Bagi yang telah mendaftar haji, individu diberikan tempoh peralihan sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai jumlah tersebut bagi mengekalkan giliran haji sedia ada.
Selain itu, bermula 1 Januari 2029, kelayakan giliran haji akan diselaraskan berdasarkan pematuhan syarat simpanan minimum RM15,000.

Pelaksanaan Tabung Istito’ah
Tabung Istito’ah ini adalah untuk membantu membentuk disiplin simpanan dengan lebih terancang bagi mencapai sasaran simpanan haji.
Ini bermakna seseorang ini mempunyai 2 tabung atau Multi Tabung iaitu:
- Tabung TH : Tabung untuk urusan simpanan dan pengeluaran bagi memenuhi keperluan kewangan harian anda seperti biasa.
- Tabung Istito’ah : Tabung yang menempatkan simpanan sebagai penanda aras kesiapsiagaan kewangan untuk kelayakan giliran haji automatik.
Multi-Tabung ini diperkenalkan untuk menggalakkan pendeposit:
- Membuat persediaan simpanan haji dengan lebih mudah dan sistematik;
- Mengamalkan simpanan yang lebih berdisiplin dan berorientasikan matlamat;
- Mengasingkan simpanan mengikut tujuan dan keperluan; dan
- Memperkukuhkan prinsip istito’ah atau kemampuan kewangan dalam melaksanakan ibadah haji.


Ciri-Ciri Tabung Istito’ah
Ciri-ciri tabung ini bagi pendeposit yang belum menunaikan haji adalah seperti berikut:
- Merupakan tabung yang membantu pendeposit membuat simpanan secara berdisiplin bagi memperoleh Kelayakan Giliran Haji Automatik.
- Simpanan ke Tabung Istito’ah hanya boleh dilakukan melalui pindahan dari Tabung Am sama ada melalui kaunter TH atau THiJARI.
- Pindahan dari Tabung Istito’ah ke Tabung Am tertakluk kepada tempoh T+10 hari (tarikh kalendar termasuk hari cuti) dan boleh dilakukan melalui kaunter TH atau THiJARI.
Selain itu, ciri-ciri tabung ini bagi pendeposit yang telah menunaikan haji adalah seperti berikut:
- Boleh digunakan untuk mencapai pelbagai matlamat kewangan seperti simpanan pendidikan, perkahwinan, kecemasan dan persaraan.
- Menggalakkan amalan simpanan yang lebih terancang, konsisten dan berdisiplin untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.
- Simpanan ke Tabung Istito’ah hanya boleh dilakukan melalui pindahan dari Tabung Am.
- Pindahan dari Tabung Istito’ah ke Tabung Am tertakluk kepada tempoh T+10 hari (tarikh kalendar termasuk hari cuti) dan boleh dilakukan melalui kaunter TH atau THiJARI.
Tabung Istito’ah Berfungsi
Umumya, semua transaksi simpanan seperti simpanan tunai, potongan gaji dan Direct Debit akan dikreditkan ke Tabung Am.
Simpanan ke Tabung Istito’ah hanya boleh dibuat melalui pindahan dari Tabung Am sahaja sama ada melalui kaunter TH atau THiJARI.
Pendeposit boleh memindahkan simpanan secara sukarela tanpa had amaun dari Tabung Am ke tabung ini bagi tujuan simpanan haji atau matlamat kewangan yang lain secara serta-merta.
Ini bermakna, pengeluaran daripada Tabung Istito’ah perlu dipindahkan terlebih dahulu ke Tabung Am dan tertakluk kepada tempoh T+10 hari.
Bagi pendeposit yang telah mencapai simpanan minimum RM15,000, TH akan melaksanakan pindahan automatik sehingga RM14,995 dari Tabung Am ke Tabung Istito’ah bagi tujuan mendapat Kelayakan Giliran Haji Automatik seperti syarat yang ditetapkan TH.
Soalan Lazim
Seruan Istito’ah diperkenalkan sebagai Pelan Persediaan Haji untuk membantu pendeposit membuat persediaan menunaikan haji dengan lebih mudah, ringkas dan lancar. Melalui pelan ini, TH memperkenalkan Kelayakan Giliran Haji Automatik, syarat simpanan minimum RM15,000 serta Tabung Istito’ah bagi membantu pendeposit membina simpanan haji secara lebih terancang dan berdisiplin.
Kelayakan giliran haji yang diberikan secara automatik apabila pendeposit mencapai simpanan minimum RM15,000 di TH dan tanpa perlu membuat pendaftaran haji secara manual.
Tidak. Semua kaedah pendaftaran haji secara manual melalui kaunter cawangan TH, Bank-bank Rakan Strategik TH, THiJARI dan skim pendaftaran haji KWSP akan digantikan dengan sistem Kelayakan Giliran Haji Automatik.
Tabung Istito’ah ialah tabung untuk membantu pendeposit membentuk disiplin simpanan dan penanda aras kesiapsiagaan kewangan bagi mendapatkan Kelayakan Giliran Haji Automatik.
Akaun TH adalah satu sahaja bagi setiap pendeposit. Tiada perubahan nombor akaun atau nombor khas baharu untuk Tabung Am dan Tabung Istito’ah.
Ya. Semua pendeposit TH termasuk pemegang akaun dewasa dan akaun kanak-kanak akan mempunyai dua (2) tabung secara automatik.
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut mengenai Seruan Istito’ah, sila layari laman web https://www.tabunghaji.gov.my/bm/seruanistitoah
Baca juga: Kos Haji 2027 – Kadar Bayaran Untuk B40, M40 & T20




