Masalah berat badan berlebihan dan obesiti bukan sekadar isu penampilan, malah ia merupakan punca utama kepada pelbagai penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, dan sakit jantung.
Bagi membantu rakyat Malaysia menurunkan berat badan secara sihat dan selamat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan Program Khas Obesiti KKM yang dikenali secara rasmi sebagai MIMO (Multidisciplinary Integrated Management of Obesity).
Jom rujuk apa sebenarnya program MIMO ini dan pelaksanaannya di bawah.
Apa Itu Program Khas Obesiti KKM (MIMO)?
Program Khas Obesiti KKM atau juga dikenai sebagai MIMO adalah program pengurusan berat badan secara bersepadu anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Program ini dilaksanakan di 33 Klinik Kesihatan terpilih di seluruh negara dengan sokongan pasukan pakar di 13 buah hospital.
Inisiatif MIMO dijalankan Cawangan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCDC) yang memberi penekanan kepada pengurusan pesakit secara holistik membabitkan pelbagai disiplin kesihatan termasuk intervensi klinikal, pemakanan, aktiviti fizikal serta sokongan perubahan tingkah laku.
Pendekatan ini menekankan pengurusan pesakit secara holistik merangkumi intervensi klinikal, pemakanan, aktiviti fizikal serta sokongan perubahan tingkah laku, memandangkan obesiti adalah antara faktor risiko utama bagi pelbagai penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi dan penyakit kardiovaskular.


Komponen Utama & Pendekatan Program MIMO
Peserta yang menyertai program ini akan dipantau oleh pasukan kesihatan pelbagai disiplin (multidisciplinary team) yang merangkumi doktor perubatan, pegawai pemakanan, pakar dietetik, pegawai fisioterapi, dan kaunselor.
Antara komponen yang ditawarkan termasuk:
1. Pemeriksaan Kesihatan
Peserta akan menjalani pemeriksaan seperti berat badan, ketinggian, BMI dan tekanan darah bagi mengenal pasti tahap kesihatan serta risiko obesiti.
2. Nasihat Pemakanan
Peserta akan dibimbing oleh pegawai pemakanan atau pakar dietetik tentang kawalan kalori, saiz hidangan dan pemilihan makanan yang lebih sihat.
3. Bimbingan Aktiviti Fizikal
Peserta akan diberikan panduan senaman dan aktiviti fizikal mengikut kemampuan tubuh supaya dapat memulakan rutin secara berperingkat.
4. Sokongan Perubahan Tingkah Laku
Peserta turut mendapat bimbingan untuk membina tabiat sihat, mengawal pemakanan dan mengekalkan motivasi agar penurunan berat badan lebih konsisten.
Cara Daftar Program Khas Obesiti KKM
Memandangkan perkhidmatan MIMO hanya ditawarkan di klinik kesihatan terpilih dan setiap fasiliti mempunyai kuota pengambilan tersendiri, orang ramai tidak digalakkan hadir secara terus (walk-in) tanpa pengesahan awal.
Untuk menyertai program MIMO, berikut ialah langkah-langkah yang perlu anda lakukan:
1. Pilih klinik: Semak 33 Klinik Kesihatan yang menawarkan program MIMO.
2. Hubungi klinik: Tanya jadual, syarat dan cara pendaftaran.
3. Hadir pemeriksaan: Jalani pemeriksaan awal seperti BMI, berat badan dan tekanan darah.
4. Penilaian doktor: Doktor akan tentukan kelayakan menyertai program.
5. Mulakan program: Ikuti sesi bimbingan dan pemantauan yang ditetapkan.
Senarai Klinik Kesihatan yang Menawarkan MIMO
Berikut ialah senarai 33 Klinik Kesihatan yang menawarkan Program MIMO KKM:
| Negeri | Daerah / PKD | Klinik Kesihatan |
|---|---|---|
| Kedah | Kota Setar | Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar |
| Kedah | Sungai Petani | Klinik Kesihatan Bandar Sungai Petani |
| Pulau Pinang | Timur Laut | Klinik Kesihatan Jalan Angsana |
| Pulau Pinang | Seberang Perai Tengah | Klinik Kesihatan Bandar Perda |
| Selangor | Petaling | Klinik Kesihatan Kelana Jaya |
| Selangor | Gombak | Klinik Kesihatan Rawang |
| Selangor | Klang | Klinik Kesihatan Bandar Botanik |
| Selangor | Hulu Langat | Klinik Kesihatan Bandar Seri Putra |
| WP Kuala Lumpur & Putrajaya | Putrajaya | Klinik Kesihatan Presint 18 |
| WP Kuala Lumpur & Putrajaya | Titiwangsa | Klinik Kesihatan Kuala Lumpur |
| Melaka | Jasin | Klinik Kesihatan Jasin |
| Melaka | Melaka Tengah | Klinik Kesihatan Batu Berendam |
| Melaka | Alor Gajah | Klinik Kesihatan Masjid Tanah |
| Pahang | Temerloh | Klinik Kesihatan Bandar Mentakab |
| Pahang | Kuantan | Klinik Kesihatan Bandar Kuantan |
| Pahang | Pekan | Klinik Kesihatan Bandar Pekan |
| Terengganu | Kuala Nerus | Klinik Kesihatan Seberang Takir |
| Terengganu | Kuala Terengganu | Klinik Kesihatan Manir |
| Kelantan | Kota Bharu | Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa |
| Kelantan | Tumpat | Klinik Kesihatan Bandar Tumpat |
| Sabah | Putatan | Klinik Kesihatan Putatan |
| Sabah | Kota Kinabalu | Klinik Kesihatan Luyang |
| Sabah | Penampang | Klinik Kesihatan Penampang |
| Sarawak | Samarahan | Klinik Kesihatan Kota Samarahan |
| Sarawak | Miri | Klinik Kesihatan Tudan |
| Sarawak | Kuching | Klinik Kesihatan Petra Jaya |
| Johor | Johor Bahru | Klinik Kesihatan Sultan Ismail |
| Johor | Johor Bahru | Klinik Kesihatan Tampoi |
| Johor | Kluang | Klinik Kesihatan Mengkibol |
| Perak | Kinta | Klinik Kesihatan Buntong |
| Perlis | Arau | Klinik Kesihatan Arau |
| Negeri Sembilan | Seremban | Klinik Kesihatan Seremban 2 |
| WP Labuan | Labuan | Klinik Kesihatan Labuan |

Maklumat Lanjut & Soalan Lazim Program Khas Obesiti KKM (MIMO)
Untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai Program Khas Obesiti KKM (MIMO), anda boleh terus hubungi Klinik Kesihatan yang tersenarai di atas.
Program ini adalah perkhidmatan kesihatan awam bersubsidi di bawah KKM. Bagi warganegara Malaysia, caj pendaftaran rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan hanyalah RM1.00 (kecuali jika terdapat ujian makmal khas atau rujukan pakar di hospital yang tertakluk kepada kadar caj semasa KKM).
Anda tidak digalakkan hadir secara walk-in tanpa pengesahan awal. Setiap klinik mempunyai jadual hari klinik obesiti yang khusus dan kuota peserta yang terhad. Hubungi klinik tersebut terlebih dahulu atau buat temu janji saringan menerusi aplikasi MySejahtera.
Anda masih boleh mendapatkan rawatan pengurusan berat badan di mana-mana Klinik Kesihatan biasa. Klinik kesihatan primer tetap menyediakan khidmat nasihat pemakanan dan saringan kesihatan, malah doktor boleh merujuk kes anda ke klinik MIMO atau hospital terdekat jika perlu.
Tempoh pemantauan biasanya mengambil masa antara 6 bulan hingga 1 tahun dengan sesi susulan berkala (lazimnya sebulan sekali).




