Opens in a new tab
Anda mungkin layak menerima bantuan.
Semak Sekarang!

Nak pergi jalan-jalan bersama keluarga pada hujung minggu ataupun cuti umum dengan menaiki pengangkutan awam? Haa, bolehlah guna Pas Rapid Keluarga dengan harga RM30 sahaja untuk 4 orang maksimum.

Memang berbaloi!

Jomlah rujuk perkongsian di bawah untuk mengetahui macam mana nak beli Pas Rapid Keluarga, harga dan info lebih lanjut mengenainya,

Apa itu Pas Rapid Keluarga?

Pas Rapid Keluarga ialah pas perjalanan kumpulan sehari tanpa had untuk warganegara Malaysia pada harga RM30.00 bagi kumpulan sehingga empat (4) orang.

Pas ini membolehkan pengguna menikmati perjalanan tanpa had menaiki rangkaian pengangkutan awam kendalian Rapid KL di sekitar Lembah Klang sepanjang hari mengikut kitaran operasi harian pada setiap hari Sabtu, Ahad, dan Cuti Umum sahaja.

Dari segi syarat penggunaan, pas ini terbuka kepada warganegara Malaysia dengan maksimum 4 orang bagi setiap kumpulan.

Kanak-kanak berumur enam tahun dan ke bawah boleh menaiki pengangkutan secara percuma tanpa memerlukan pas atau kad tambahan.

๐Ÿ—“ Sah digunakan pada hujung minggu & cuti umum sahaja
๐Ÿ‘จโ€๐Ÿ‘ฉโ€๐Ÿ‘งโ€๐Ÿ‘ฆ Sehingga 4 orang
๐Ÿš† Rel & ๐ŸšŒ bas Rapid KL

PAS RAPID KELUARGA
Sumber: Rapid KL

Kegunaan

Pas ini berfungsi sebagai pas perjalanan berkumpulan tanpa had selama satu hari mengikut kitaran operasi harian (day-cycle) pada hari Sabtu, Ahad, dan Cuti Umum sahaja.

  • Boleh digunakan untuk semua perkhidmatan rel (LRT, MRT, dan Monorel KL) serta perkhidmatan bas kendalian Rapid KL (BRT Laluan Sunway, Bas Rapid KL, dan Bas Pengantara MRT) di sekitar Lembah Klang.
  • Pengecualian: Tidak sah digunakan untuk perkhidmatan KTM Komuter, ERL (KLIA Ekspres dan KLIA Transit), Bas Nadiputra Putrajaya, Rapid Penang, Rapid Kuantan, atau Rapid KL On-Demand.

Siapa Boleh Mohon Pas Rapid Keluarga?

Pas Rapid Keluarga hanya terbuka kepada warganegara Malaysia sahaja bagi kumpulan yang terdiri daripada maksimum empat (4) orang (1 pemegang kad utama dan sehingga 3 pemegang kad tambahan).

Syarat Kelayakan Pemohon

  • Kesemua ahli kumpulan (sehingga 4 orang) mestilah warganegara Malaysia.
  • Setiap ahli kumpulan wajib hadir bersama di kaunter pembelian dan mengemukakan MyKad atau MyTentera yang sah untuk tujuan pengesahan.
  • Kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke bawah boleh menaiki perkhidmatan secara percuma tanpa memerlukan pas atau kad tambahan.
  • Pemohon perlu membawa kad Touch ‘n Go NFC bercip terbina dalam (sehingga 4 kad untuk 4 orang) dengan baki minimum RM5.00 pada setiap kad. Kad konsesi (Rapid Pelajar, Rapid Emas, Rapid Mesra) tidak boleh digunakan.

Harga Pas Rapid Keluarga

Harga Pas Rapid Keluarga ialah RM30.00 untuk satu kumpulan sehingga empat (4) orang. Pelarasan harga daripada kadar asal RM15.00 kepada RM30.00 ini telah berkuat kuasa sejak 1 Januari 2026.

Setiap kad Touch ‘n Go (1 kad utama dan sehingga 3 kad tambahan) wajib mempunyai baki minimum sebanyak RM5.00 di dalam kad sebelum pas boleh diaktifkan dan digunakan di pintu pagar stesen.

Kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke bawah boleh menaiki pengangkutan secara percuma tanpa memerlukan pas atau kad tambahan.

Dimana Nak Beli Pas Rapid Keluarga?

1. Kaunter Khidmat Pelanggan Stesen Rel

Anda boleh membeli pas ini di semua Kaunter Khidmat Pelanggan Rapid KL bagi rangkaian rel berikut di sekitar Lembah Klang:

  • LRT: Laluan Kelana Jaya, Laluan Ampang, Laluan Sri Petaling, dan Laluan Shah Alam.
  • MRT: Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya.
  • Monorel KL: Semua stesen dari KL Sentral hingga Titiwangsa.
  • BRT: Semua stesen di Laluan Sunway.

2. Hab Bas Rapid KL Terpilih

Selain di stesen rel, pas ini turut dijual di tujuh (7) hab bas utama berikut:

  • Pasar Seni (Kuala Lumpur)
  • Chow Kit (Kuala Lumpur)
  • Sri Nilam (Ampang)
  • Puchong Utama (Puchong)
  • Pearl Point (Jalan Klang Lama)
  • Greenwood (Gombak)
  • Seksyen 2, Shah Alam (Shah Alam)

Maklumat Lanjut & Soalan Lazim Pas Rapid Keluarga

Untuk semakan rasmi harga dan syarat kad boleh dirujuk di portal rasmi Rapid Keluarga Pass – MyRapid. Ikuti juga Facebook rasmi Rapid KL untuk info terkini dan maklumat semasa.

Adakah ahli kumpulan perlu hadir bersama semasa membeli pas?

Ya. Kesemua ahli kumpulan (sehingga 4 orang) wajib hadir bersama di kaunter pembelian dan mengemukakan MyKad atau MyTentera yang sah untuk pengesahan warganegara.

Bagaimana jika kumpulan saya hanya terdiri daripada 2 atau 3 orang sahaja?

Anda masih boleh membeli pas ini pada harga tetap RM30.00. Namun, jika kumpulan anda hanya 2 orang, membeli dua unit Pas Rapid Kota 1 Hari (RM10.00 seorang) adalah pilihan yang lebih menjimatkan.

Adakah harga RM30.00 termasuk harga kad Touch ‘n Go baharu?

Tidak. Harga RM30.00 adalah untuk pas perjalanan sahaja dan tidak termasuk kos pembelian kad Touch ‘n Go NFC baharu sekiranya ahli kumpulan belum memilikinya.

Adakah pas ini boleh dipindah milik atau dibayar balik (refund) jika kad hilang?

Tidak. Mengikut terma rasmi dalam Terma & Syarat Pas Rapid Keluarga, pas ini tidak boleh dipindah milik dan tiada bayaran balik atau penggantian akan diberikan sekiranya kad hilang, rosak, atau tidak digunakan sepenuhnya.

Adakah pas ini sah digunakan untuk perkhidmatan van Rapid KL On-Demand?

Tidak. Pas ini hanya sah untuk perkhidmatan rel (LRT, MRT, Monorel, BRT) dan bas (Bas Rapid KL serta Bas Pengantara MRT) di Lembah Klang sahaja.

Penulis