Korang ada akaun Tabung Haji (TH)? Tahu tak, TH ada produk khairat kematian Tabung Haji yang ramai pendeposit tak tahu, padahal banyak sangat manfaatnya?
Hanya bayar RM28 setahun je, waris korang dah dilindungi dengan RM12,000.
Dan kalau korang nak tingkatkan lagi, perlindungan tu boleh naik sampai RM48,000, bahkan RM96,000 kalau meninggal masa tunaikan haji!
Hah, terkejutkan?
Benda ni viral dekat Threads dan media sosial baru-baru ni, jadi kalau korang nak tahu lebih lanjut, jom teruskan baca sampai habis tau!
Ramai Tak Tahu Kewujudan TH Khairat?
Kalau korang selalu scroll dekat Threads atau TikTok dan Facebook, confirm dah nampak post-post pasal khairat kematian Tabung Haji ni viral kebelakangan ni.
Walaupun TH Khairat ni dah lama diperkenalkan (sejak 2024), tapi realitinya, tak semua pendeposit TH ‘aware’ tentang benda ni.
Ramai yang simpan duit dalam Tabung Haji, tapi tak tahu pun wujudnya produk perlindungan macam ni.
TH Khairat adalah pelan takaful sukarela yang ditawarkan oleh Tabung Haji kepada pendeposit mereka.
Produk ni bukan produk takaful biasa. Ia berasaskan konsep Takaful yang patuh Syariah dan dah mendapat kelulusan Jawatankuasa Penasihat Syariah TH itu sendiri.
Dalam bahasa mudah: korang bayar sedikit setiap tahun, dan kalau berlaku musibah – sama ada kematian atau hilang upaya kekal – keluarga korang ada duit untuk tampung keperluan segera.
Yang best pasal khairat kematian Tabung Haji ni? Bayaran langganannya sangat berpatutan, iaitu hanya serendah RM28 setahun sahaja untuk perlindungan RM12,000. Perbelanjaan untuk secawan kopi korang pun lagi mahal dari tu.


Baca juga:
TH Khairat: Syarat, Cara Daftar & Manfaat Ditawarkan
Cara Buka Akaun Tabung Haji (TH) Untuk Anak / Dewasa
Simpanan Tabung Haji: Cara & Had Pengeluaran
RM28 Setahun, Dapat RM12,000 Perlindungan, Kalau Bayar Lebih, Boleh Naik Sampai RM48,000!
Okay, ni bahagian yang ramai pendeposit TH tak tahu detail tentangnya.
Jom kami breakdown supaya korang senang faham:
Perlindungan Asas
Ini yang korang dapat dengan RM28:
- Satu sijil = RM12,000 perlindungan
- Bayaran langganan = RM28 setahun (kurang daripada RM2.40 sebulan!)
Murah, kan? Bayangkan nilai yang kecil korang bayar setiap tahun ni (RM28), akan beri makna yang besar kepada keluarga yang ditinggalkan nanti. RM12,000 ni besar maknanya untuk waris kalau berlaku apa-apa pada korang, termasuklah tolong membayar hutang-hutang yang anda tinggalkan (jika ada).
Dan yang lagi best? Perlindungan boleh naik lebih daripada RM12,000.
Macam Mana Perlindungan Boleh Naik Sampai RM48,000?
Setiap pendeposit TH boleh daftar sehingga 4 sijil: dua dengan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (STMKB) dan dua lagi dengan Hong Leong MSIG Takaful (HLMT).
Kalau daftar 4 sijil:
| Sijil | Langganan/Tahun | Manfaat |
|---|---|---|
| STMKB Sijil 1 | RM28 | RM12,000 |
| STMKB Sijil 2 | RM28 | RM12,000 |
| HLMT Sijil 1 | RM28 | RM12,000 |
| HLMT Sijil 2 | RM28 | RM12,000 |
| JUMLAH | RM112/tahun | RM48,000 |

RM112 setahun untuk dapat RM48,000 perlindungan. Senang kira, sebulan korang hanya perlu bayar RM9.33 je untuk 4 sijil ni.
Tiada paksaan, korang boleh mula dengan RM28 untuk satu sijil, dan korang boleh scale up ikut kemampuan.
Tapi tunggu, ada bonus lagi!
Kalau pendeposit meninggal dunia semasa menunaikan haji di Tanah Suci (musim haji), manfaat dibayar DUA KALI GANDA:
- 1 sijil → RM12,000 jadi RM24,000
- 2 sijil → RM24,000 jadi RM48,000
- 3 sijil → RM36,000 jadi RM72,000
- 4 sijil → RM48,000 jadi RM96,000
Ini adalah salah satu sebab kenapa khairat kematian Tabung Haji menjadi trending di media sosial.
Ramai yang berkongsi awareness tentang TH Khairat ni, ada yang share pengalaman dapat manfaat daripada sini, malah ada yang tak tahu tentang ni pun berminat untuk mula mendapatkan TH Khairat.


Ramai Keliru Had Umur Daftar TH Khairat
Dalam post viral dekat Threads tu, ramai sangat yang tanya dalam komen pasal had umur, “boleh tak kalau umur dah 60 lebih?”, “anak kecil boleh daftar tak?” Jadi kami jawab semua soalan-soalan ni sekali harung ya.
Siapa Yang Layak Daftar?
TH Khairat terbuka kepada semua pendeposit Tabung Haji yang berumur 30 hari hingga 65 tahun (sebelum hari lahir ke-65).
- 18 tahun ke atas: Boleh daftar sendiri melalui app atau web THiJARI.
- Bawah 18 tahun: Kena didaftarkan oleh ibu/bapa atau penjaga yang menguruskan Akaun Jagaan.
Jawapan kepada soalan viral dalam komen: Ya, selagi korang belum genap 65 tahun, masih boleh daftar dan mendapat perlindungan!
Trending sekarangTapi kalau dah lepas 65 tahun (tidak berlaku apa-apa: kematian atau hilang upaya kekal), sijil akan ditamatkan secara automatik dan premium tidak dikembalikan.
Bayaran langganan yang dibuat sepanjang sijil masih aktif akan dikumpulkan oleh pengendali Takaful sebagai derma dalam satu tabung khas. Tabung ini digunakan untuk membantu peserta lain yang memerlukan, seperti yang telah dipersetujui bersama melalui kontrak Tabarru’.
Syarat-Syarat Pendaftaran
- Mesti ada akaun Tabung Haji (TH).
- Umur dalam lingkungan 30 hari hingga 65 tahun.
- Baki akaun TH sekurang-kurangnya RM100 untuk pendaftaran dan pembaharuan tahunan.
Macam Mana Nak Daftar?
Pendaftaran dibuat 100% online melalui:
- Aplikasi THiJARI (mobile)
- Laman web THiJARI (thijari.com.my)
Setiap satu transaksi = satu sijil. Jadi kalau nak daftar 4 sijil, kena buat 4 kali transaksi.
Macam Mana Bayaran Dibuat?
Premium RM28 akan didebit secara automatik dari akaun TH korang setiap tahun. Tak perlu set noti nak bayar manual. Tapi, syaratnya, pastikan baki dalam akaun TH korang sentiasa RM100 ke atas, sebab kalau kurang, sijil akan tamat sendiri.
Ada Bonus Infaq, Sedekah Pun Boleh Dibuat Atas Nama Si Mati
Selain manfaat perlindungan kepada si waris yang ramai netizen di Threads kongsikan, tapi paling penting yang orang tak tahu adalah tentang sumbangan infaq.
Dalam produk khairat kematian Tabung Haji ni, ada satu pilihan istimewa kepqada pendeposit iaitu Infaq.
Daripada jumlah perlindungan RM12,000 setiap sijil, pendeposit boleh pilih untuk menyumbangkan RM2,000 sebagai Infaq kepada pertubuhan kebajikan yang dilantik oleh Pengendali Takaful, atas nama si mati.
Maka penerima manfaat akan terima RM10,000 (bukan RM12,000), tapi RM2,000 tu akan disalurkan untuk tujuan kebajikan Islam.
Antara pertubuhan kebajikan yang terlibat:
Melalui STMKB:
- Sadaqa House
- Yayasan Maghfirah
Melalui HLMT:
- Yayasan Waqaf Malaysia
- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
- Majlis Agama Islam Kedah
- Majlis Agama Islam Kelantan
- Awqaf Holdings Berhad
- Waqaf An-Nur
Bagi mereka yang faham konsep sedekah jariah, ini peluang keemasan kepada pendeposit, dalam masa sama keluarga boleh pastikan ibu atau ayah ada amalan yang berterusan walaupun dah pergi.
Tempoh Menunggu, Cara Tuntut & Perkara Yang Perlu Korang Tahu
Antara perkara penting yang ramai tak tanya dalam komen di post viral tu tapi korang perlu tahu sebelum daftar khairat kematian Tabung Haji:
Tempoh Menunggu (Waiting Period)
- Tiada tempoh menunggu untuk kematian/hilang upaya akibat kemalangan: tuntutan terus boleh dibuat
- 3 bulan tempoh menunggu untuk kematian/hilang upaya atas sebab semula jadi (penyakit)
Maknanya, kalau korang baru daftar seminggu lepas dan meninggal dunia disebabkan sakit, waris tak boleh tuntut, dan tiada tuntutan akan dibayar. Tapi kalau disebabkan kemalangan, waris terus layak membuat tuntutan.
Ini Cara Buat Tuntutan
- Penerima manfaat perlu log masuk ke web/app THiJARI.
- Muat turun borang tuntutan Pengendali Takaful yang berkaitan.
- Hantar borang (lengkap) terus kepada Pengendali Takaful.
- Bayaran akan dikreditkan ke akaun TH penerima manfaat dalam tempoh 30 hari.
Siapa Boleh Jadi Penerima Manfaat?
- Sesiapa sahaja yang korang nak namakan.
- Tapi syaratnya mestilah ada akaun TH dan berumur 18 tahun ke atas.
- Tuntutan hanya boleh dibuat sekali sahaja untuk setiap sijil.
Berminat? Jom Terus Daftar!
Kalau korang ada akaun Tabung Haji dan belum daftar khairat kematian Tabung Haji ni, korang dah terlepas salah satu pelan perlindungan paling berpatutan yang ada dekat Malaysia.
RM28 setahun bukan nilai yang besar, tapi manfaat yang ditinggalkan untuk keluarga (bayangkan nilai RM12,000 sehingga RM48,000), atau berganda kepada RM96,000 kalau meninggal semasa haji, sangat tak ternilai kepada waris korang.
Lebih-lebih lagi dalam ekonomi semasa yang mencabar, persediaan kewangan untuk keluarga bukan pilihan, tapi tanggungjawab.
Apa yang ramai tak sedar: Setiap tahun ada pendeposit TH yang tamat tempoh umur 65 tahun dan perlindungan mereka berakhir begitu sahaja – tanpa mereka sempat manfaatkan. Jangan jadi antara mereka yang menyesal kemudian.
Mulakan sekarang! Tak sampai 5 minit pun untuk korang daftar melalui app THiJARI.
Langkah mudah untuk daftar TH Khairat hari ni:
- Buka app THiJARI atau layari thijari.com.my
- Log masuk dengan akaun TH korang
- Pilih menu TH Khairat dan pilih Pengendali Takaful
- Selesaikan pendaftaran – bayaran RM28 akan didebit dari akaun TH
- Sijil Takaful akan dihantar ke emel korang
Untuk pertanyaan lanjut, hubungi:
- +603-6207 1919 (Tabung Haji Contact Centre)
- [email protected]
- Isnin–Ahad, 8 pagi–6:30 petang (kecuali cuti umum KL)
Kongsi artikel ni dengan family dan sahabat yang ada akaun TH, mungkin mereka pun belum tahu pasal manfaat ni!
Nota: Maklumat dalam artikel ini adalah berdasarkan maklumat rasmi Tabung Haji. Sila semak laman web rasmi tabunghaji.gov.my atau hubungi THCC untuk maklumat terkini.




