Dalam kalangan pengguna kad kredit, dua jenis ganjaran yang paling popular ialah cashback (rebat tunai) dan reward points (mata ganjaran).
Namun, persoalannya antara kedua-dua ini, mana satu lebih menguntungkan?
Jawapan bagi persoalan itu sebenarnya bergantung pada gaya hidup dan objektif kewangan anda dalam menggunakan kad kredit.
Apa Itu Kad Kredit Cashback?

Kad kredit cashback menawarkan rebat tunai berdasarkan jumlah perbelanjaan anda. Setiap kali anda menggunakan kad ini untuk membeli barangan atau perkhidmatan, sebahagian kecil daripada jumlah tersebut akan dikembalikan kepada anda dalam bentuk tunai.
Rebat ini biasanya dikreditkan terus ke dalam penyata kad kredit anda.
Kadar rebat biasanya antara 0.5% hingga kira-kira 10% bergantung pada kategori (contoh: petrol, pembelian dalam talian, makanan, hiburan) dan selalunya ada had bulanan maksimum.
Baca lagi: 5 Kad Kredit Cashback Terbaik 2025
Kelebihan Kad Kredit Cashback
Berikut merupakan kelebihan kad kredit jenis cashback yang digemari ramai:
- Fleksibel Digunakan: Rebat boleh digunakan untuk apa sahaja, tidak terikat kepada katalog atau jenama tertentu.
- Rebat Tunai Automatik: Anda tidak perlu menebus apa-apa dan rebat akan dikreditkan secara automatik ke akaun anda.
- Diskaun Berterusan: Ia ibarat potongan harga tetap untuk setiap transaksi yang layak.
Kekurangan Kad Kredit Cashback
Walau bagaimanapun, Kad Kredit Cashback juga mempunyai kekurangan berikut yang menyebabkan segelintir pengguna lebih gemar menggunakan kad kredit yang menawarkan mata ganjaran atau reward points:
- Perbelanjaan Minimum: Sesetengah kad memerlukan jumlah minimum perbelanjaan untuk layak mendapat kadar rebat tertinggi.
- Kategori Terhad: Rebat biasanya hanya diberikan untuk kategori tertentu seperti petrol, pasar raya, atau pembelian dalam talian.
- Had Bulanan: Kebanyakan kad mengenakan had maksimum rebat bulanan, contohnya RM100.
Apa itu Kad Kredit Reward Points?

Kad reward points pula memberikan mata ganjaran untuk setiap Ringgit yang dibelanjakan.
Mata ini boleh ditebus untuk pelbagai barangan, baucar, atau perkhidmatan daripada katalog bank. Sesetengah kad juga membenarkan penukaran mata kepada air miles untuk kegunaan pelancongan.
Anda perlu mengumpul mata dan bergantung pada jenis kad, sesetengah perbelanjaan mendapat mata bonus (contoh 5×, 10×) untuk kategori tertentu.
Mata boleh luput sekiranya tidak ditunaikan dalam tempoh tertentu.
Kelebihan Kad Kredit Reward Points
- Tiada Had Kategori: Mata ganjaran biasanya diperoleh daripada semua jenis perbelanjaan, bukan hanya kategori tertentu.
- Ganjaran Eksklusif: Katalog ganjaran kadangkala menawarkan barangan premium atau promosi istimewa.
- Penukaran ke Air Miles: Mata boleh ditukar kepada mata penerbangan, menjadikannya ideal untuk pengembara tegar.
Kekurangan Kad Kredit Reward Points
- Nilai Tidak Seimbang: Sesetengah barangan memerlukan jumlah mata yang sangat tinggi, menjadikan nilai Ringgit-ke-mata kurang berbaloi.
- Mata Tamat Tempoh: Jika tidak ditebus dalam tempoh tertentu, mata akan luput.
- Pilihan Terhad: Penebusan hanya terhad kepada item dalam katalog bank.
Perbandingan Nilai: Ringgit vs Mata Ganjaran
Menurut analisis laman web RinggitPlus, satu mata ganjaran bernilai kira-kira RM0.003.
Sebagai contoh, untuk menebus periuk nasi bernilai RM229, anda memerlukan 67,680 mata.
Sebaliknya, kad cashback seperti Hong Leong Wise Platinum menawarkan 10% rebat dengan had RM100 sebulan. Untuk mendapat rebat maksimum, anda hanya perlu berbelanja RM1,000.
Ini menunjukkan bahawa cashback memberikan pulangan lebih segera dan nyata, manakala reward points memerlukan perbelanjaan besar dan kesabaran untuk menebus ganjaran yang berbaloi.
Kad Mana Sesuai Untuk Anda?

Sebenarnya, tiada jawapan mutlak itu persoalana ini.
Ppilihan antara kad kredit cashback dan reward points bergantung kepada tabiat perbelanjaan anda:
- Cashback – Pengguna yang berbelanja secara konsisten dalam kategori tertentu dan mahukan pulangan tunai segera.
- Reward Points – Pengguna yang berbelanja besar setiap bulan dan sanggup menunggu untuk menebus ganjaran bernilai tinggi.
Contohnya, jika anda hanya berbelanja sekitar RM1,000 sebulan, kad cashback boleh memberikan rebat maksimum dengan mudah.
Tetapi jika anda berbelanja RM5,000 ke atas setiap bulan, reward points mungkin lebih menguntungkan dalam jangka panjang.




