11 Jenis Kurma Yang Dijual di Malaysia

Seperti yang ramai tahu, buah kurma berasal dari tanah Arab dan mempunyai pelbagai jenis. Negara lain seperti Jordan, Iran, Mesir dan Tunisia juga merupakan pengeluar buah kurma utama selain Arab Saudi.

 Ia juga kaya dengan pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan.

Oleh sebab itulah ia merupakan antara makanan yang disunatkan dalam agama Islam untuk diambil ketika bersahur dan berbuka puasa.

Kalau nak tahu, sebenarnya terdapat lebih 10 jenis kurma yang dijual di Malaysia. Ayuh kita kenalinya bersama-sama.

Jenis Kurma Yang Dijual di Malaysia

1. Kurma Ajwa

Disebabkan ia berasal dari Madinah, kurma Ajwa juga sering disebut sebagai Kurma Nabi. Ia merupakan antara kurma yang dijual di Malaysia dan mendapat permintaan yang cukup tinggi kerana ia dipercayai menjadi kegemaran Rasulullah SAW.

Kurma ini biasanya bersaiz kecil dan berwarna hitam. Rasanya pula manis dengan tekstur isi yang lembut.

Terdapat juga kurma Ajwa yang berbentuk oblong dengan puncak yang bulat dan tekstur yang agak kasar.

2. Kurma Mabroom

Kurma ini lebih mempunyai tekstur yang agak sama dengan kurma Ajwa yang lembut. Berbentuk panjang dan kurus, kurma ini kebanyakannya ditanam di Semenanjung Barat Arab Saudi.

Ia mempunyai kulit yang hampir lut dan berwarna coklat. Isinya pula mempunyai kedutan lembut, mempunyai rasa yang unik, berserabut, tidak begitu manis dan agak kenyal.

3. Kurma Sayer

Kurma ini mempunyai kulit kering yang tipis dengan bentuk yang panjang serta bujur.

Ia dikenali dengan pelbagai nama lain seperti kurma Stamaran, Saamaran, Stamara atau Samberun.

Pada awalnya, kurman ini berwarna kuning, kemudian ia beralih menjadi kuning gelap dan akhirnya menjadi merah atau coklat gelap ketika sudah masak.

4. Kurma Safawi

Kurma Safawi pula adalah jenis kurma kurma yang lembut dan separa kering. Ia boleh dikenali daripada warnanya yang hitam mendalam, panjang serta bersaiz sederhana.

Ia dikatakan mempunyai rasa yang agak sama dengan kurma Ajwa namun bentuknya lebih oblong berbanding kurma Ajwa.

Kurma Safawi ini juga cukup terkenal dengan produktivinya dan mudah didapati sepanjang tahun berbanding jenis kurma lain.

5. Kurma Mazafati

jenis kurma

Kurma Mazafati dianggap sebagai antara kurma yang paling lazat di dunia dengan isi yang tebal serta warna hitam yang menarik berbanding jenis buah kurma lain yang ada di pasaran.

Di Malaysia, kurma ini juga dijenali sebagai Kurma Madu, Kurma Kimia atau Kurma Bam.

Isinya lembut dan mempunyai rasa yang manis serta agak lembap kerana kandungan air yang tinggi.

Kurma yang berasal dari Iran ini juga merupakan antara jenis kurma yang popular di pasaran Malaysia.

6. Kurma Rabbi

Kurma ini berbentuk lonjong, isinya lembut dan berwarna coklat gelap. Ada kalanya, ia kelihata agak kemerah-merahan.

Ia juga merupakan salah satu daripada enam jenis kurma merah kering yang popular.

Buah kurma Rabbi ini adalah jenis separa kering dengan kandungan kelembapan di bawah 15%.

7. Kurma Piarom

jenis kurma

Kurma berwarna hitam kecoklatan ini sering disebut sebagai kurma separuh kering yang paling sedap.

Seperti kurma Rabbi, kurma Piarom juga dianggap separuh kering kerana kandungan kelembapannya yang kurang daripada 15%.

Kurma Piarom berbentuk bujur, kurus dan panjang serta mempunyai saiz yang agar besar berbanding kurma lain iaitu kira-kira 3 ke 5 cm.

Juga dikenali sebagai Mariami, kurma ini juga mempunyai rasa yang unik dan dikatakan sebagai salah satu jenis kurma yang paling mahal kerana ia keluarkan secara ekslusif dari Hajiabad, selatan Iran.

8. Kurma Kabkab

Kurma ini pula bersifat basah, lembut dan merupakan kurma gred AA yang ditanam di kebanyakan kawasan tropikal di Iran.

Warna kurma ini adalah coklat gelap pada akhir kematangan dan mempunyai saiz yang lebih panjang berbanding kurma lain.

Kurma ini juga merupakan salah satu yang popular di pasaran Malaysia kerana teksturnya yang lembut, halus serta kulit yang sedikit keras.

Rasanya juga dikatakan lazat dan manis seperti sirap.

9. Kurma Zahidi

Kurma Zahidi atau Zahedi bersaiz kecil, bujur dengan isi yang tebal. Ia mempunyai rupa yang tersendiri dengan kulit yang agak keras, kering dan berkilat.

Warnanya pula bermula dari kuning ke coklat muda bergantung kepada kematangan.

Kurma Zahedi juga disukai ramai kerana rasanya yang dikatakan kurang manis berbanding variasi kurma lain.

Disebabkan itu, buah kurma Zahidi ini dianggap sesuai untuk pesakit kencing manis.

10. Kurma Medjool

jenis kurma

Kurma Medjool adalah antara jenis kurma yang paling mahal kerana ia sukar untuk ditanam, bersaiz besar dan mempunyai rasa yang manis seakan rasa karamel.

Disebabkan itu, ia juga terkenal dengan gelaran ‘Kurma Berlian’.

Buah ini juga sentiasa kelihatan segar walaupun kering. Kulitnya berwarna kuning gelap hingga merah kecoklatan dengan tekstur yang berserabut.

11. Kurma Deglet Noor

jenis kurma

Deglet Noor dalam bahasa Arab bermaksud ‘Ratu Kurma’. Kurma jenis ini berasal dari Algeria dan turut ditanam di negara lain seperti Iran, Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Tunisia.

Kurma ini mempunyai beberapa ciri khas seperti warna lut dan rasa lembut seperti madu.

Di Malaysia, biasanya kurma ini dijual dalam bentuk bertangkai dan merupakan antara jenis yang cukup popular di pasaran.

Tak sangka rupanya ada banyak jenis kurma yang dijual di Malaysia. Sesetengah daripadanya mempunyai rasa yang unik dan tersendiri.

Disebabkan ia padat dengan kebaikan seperti serat dan karbohidrat, ia juga sesuai untuk dinikmati seisi keluarga sebagai kudapan berkhasiat.

Jadi, kurma yang mana satukah menjadi kegemaran anda?

Sumber : Free Malaysia Today

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!