Khasiat Kurma, Kalori & Had Pengambilan Dalam Sehari

Buah kurma sering diamalkan sebagai makanan tambahan pada bulan Ramadan. Meskipun begitu, terdapat pelbagai khasiat kurma yang terkenal sebagai makanan sunnah ini yang anda patut tahu.

Ayuh ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

khasiat kurma

Pengenalan

Sama seperti buah-buahan lain, kurma juga mengandungi khasiatnya tersendiri.

Antara khasiat kurma termasuklah:

  1. Gula ringkas – memberi tenaga segera
  2. Antioksidan (carotene)
  3. Vitamin A, B1, B2 dan B3
  4. Mineral
    • Potassium
    • Fosforus
    • Kalsium
    • Sodium
    • Zat Besi

Namun, pengambilannya juga haruslah tidak berlebihan.

  • 1 hidangan = 3 biji kurma (30g) bersamaan dengan 90 kalori
  • Saranan pengambilan : 3 biji kurma (1 sajian) ketika bersahur dan berbuka puasa

Berikut adalah kandungan nilai nutrien yang terkandung dalam 3 biji kurma (1 hidangan):

Sumber: MyHealth KKM

Khasiat Kurma Untuk Kesihatan Tubuh

1. Baik Untuk Sistem Penghadaman

Kurma terkenal sebagai sumber serat yang baik untuk sistem pencernaan. Bergantung kepada jenis, kurma boleh membekalkan antara 6.4 hingga 11.5% keperluan serat harian.

Di samping itu, kandungan fenolik tinggi dalam buah ini dapat membantu ‘membersihkan usus’.

Ia juga mempunyai sifat antiradang bagi menjaga kesihatan perut terutamanya pada bulan Ramadan.

2. Mencegah Anemia

Anemia merupakan penyakit kekurangan sel darah merah atau hemoglobin dalam tubuh. Sekiranya tubuh kekurangan sel darah merah, seseorang boleh terdedah kepada masalah kekurangan oksigen.

Oleh itu, individu yang mengalami kekurangan sel darah merah boleh amalkan pengambilan kurma bagi mencegah anemia secara semulajadi.

3. Baik Untuk Kesihatan Tulang

Buah ini mengandungi khasiat penting seperti selenium, mangan, dan kuprum untuk perkembangan tulang yang sihat.

Selain itu, khasiat magnesium yang terkandung dalam buah ini juga dapat membantu menjaga kepadatan mineral tulang dan sekaligus mencegah osteoporosis.

Mangan pula merupakan mineral penting yang menyokong penghasilan enzim bagi pembentukan tulang.

4. Menyihatkan Jantung

Khasiat kurma juga terletak pada kandungan mineral dan vitamin yang penting untuk kesihatan jantung.

Magnesium dan kalium yang terkandung dalam buah ini dapat membantu menurunkan tekanan darah ke paras yang lebih sihat.

Pada masa yang sama, kandungan serat dalam buah kurma juga bermanfaat untuk mengurangkan kadar kolesterol jahat dalam tubuh.

Kompaun fenoliknya pula dipercayai dapat menurunkan risiko penyakit seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan strok.

khasiat kurma

5. Membantu Penurunan Berat Badan

Buah yang tinggi serat ini juga mengandungi protein jenis tidak larut. Kedua-dua khasiat kurma ini dapat membuatkan seseorang rasa kenyang lebih lama apabila makan kurma. Jadi, ia boleh membantu seseorang mengawal pemakanan dengan lebih mudah.

Namun, anda tidak boleh memakannya secara berlebihan dan masih perlu menjaga pemakanan serta lakukan senaman untuk mendapatkan berat badan ideal.

6. Kaya Dengan Antioksida

Buah kurma mengandungi beberapa komponen antioksida seperti fenolik, flavionoid dan karotenoid untuk melawan radikal bebas.

Antioksida ini penting bagi melindungi sel dan sistem tubuh daripada keradangan yang boleh mengakibatkan penyakit dan gangguan sistem imuniti.

7. Baik Untuk Kesihatan Otak

Sebuah kajian daripada Neural Degeneration Research mendapati bahawa buah ini memiliki potensi untuk mencegah penghasilan protein yang mengakibat keradangan di otak iaitu interleukin 6 (IL-6).

Kadar protein IL-6 yang tinggi di dalam otak sering dikaitkan dengan risiko penyakit degeneratif seperti Alzheimer.

Selain itu, kajian terhadap haiwan mendapat buah ini memiliki potensi dalam mengurangkan aktiviti protein beta amiloid yang mengakibatkan pembentukan plak di otak.

Apabila plak berkumpul di otak, ia boleh mengakibatkan gangguan komunikasi antara sel-sel otak sehingga menjurus kepada kematian sel otak.

Kematian sel otak merupakan salah satu punca bagi penyakit dementia dan Alzheimer.

8. Membantu Lancarkan Proses Bersalin

Sebuah kajian yang diterbitkan oleh Journal of Obstetrics and Gynecology melaporkan bahawa wanita hamil yang makan enam biji kurma sehari selama 4 minggu berturut-turut sebelum bersalin cenderung untuk mempunyai bukaan vagina yang lebih lebar.

Tempoh waktu bersalin bagi wanita hamil yang mengamalkan buah ini juga dipercayai lebih pendek berbanding yang tidak mengamalkannya.

Ini disebabkan oleh kandungan zat aktif dalam buah ini yang boleh memacu penghasilan hormon oksitosin, iaitu hormon yang berfungsi untuk meningkatkan sensitiviti rahim dan merangsang kontraksi.

khasiat kurma untuk ibu hamil

Khasiat & Kelebihan Pengambilan Buah Kurma Dalam Bulan Ramadan

Sememangnya kurma sangat sinonim dengan bulan Ramadan.

Ini kerana, Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seseorang berbuka pausa, maka berbukalah dengan buah kurma, sekiranya tiada kurma, maka minumlah air kerana ia suci.” (Riwayat al-Tarmizi)

Tahukah anda apakah kelebihan buah kurma diambil ketika berbuka / bersahur?

  1. Membekalkan tenaga segera semasa berbuka
  2. Sumber serat yang baik untuk pencernaan
  3. Meningkatkan kecerdasan minda
  4. Mengandungi mineral yang baik untuk tulang
  5. Kaya dengan antioksidan

Kesan Sampingan & Peringatan

Walaupun kurma memiliki pelbagai khasiat, terdapat peringatan bagi sesetengah golongan berikut:

1. Tidak Sesuai Untuk Pesakit Buah Pinggang

Memetik perkongsian dari Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan, pengambilan buah kurma secara berlebihan tidak sesuai untuk pesakit buah pinggang. Ini disebabkan oleh kandungan garam kaliumnya yang tinggi.

2. Kurang Sesuai Untuk Pesakit Diabetes

Mungkin sesetengah orang menganggap makan kurma banyak pun tidak mengapa kerana ia dianggap sebagai gula semulajadi dan mempunyai kadar glisemik yang rendah.

Walau bagaimana pun, kenyataan ini tidak tepat kerana 100g buah kurma boleh menyumbang kepada 66 gram gula. Ini melebihi had pengambilan gula yang disarankan iaitu 4 sudu atau 50 gram sehari.

Jadi, pesakit diabetes perlulah berpada-pada ketika makan buah kurma. Cukup sekadar sebiji dua.

Selain mengakibatkan paras gula dalam darah meningkat, gula berlebihan juga perlu dielakkan kerana ia boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.

3. Kandungan Karbohidrat Yang Tinggi

Secawan kurma mempunyai kandungan karbohidrat yang sangat tinggi iaitu 110 gram! Ini sudah merangkumi satu pertiga daripada keperluan karbohidrat harian.

Jadi, buah ini perlulah diambil pada jumlah yang sedikit sahaja dalam satu-satu masa.

Melihat kepada pelbagai khasiat kurma, ia didapati baik untuk diamalkan oleh segenap lapisan usia termasuk wanita mengandung dan warga emas.

Ia juga merupakan sumber serat, potassium dan vitamin yang cukup baik untuk dijadikan makanan tambahan.

Walau bagaimana pun, buah ini perlulah diambil secara berpada-pada terutamanya bagi pesakit buah pinggang dan kencing manis.

Cukup sekadar sebiji dua untuk mengembalikan tenaga kepada tubuh dalam kadar segera.

Sumber : Hellodoktor, hellosehat.com

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!