Resepi Ikan Nyok Nyok Yang Wajib Dicuba

Anda pernah dengar tentang ikan nyok nyok? Walaupun namanya kedengaran pelik, namun ikan ini agak popular dalam kalangan pemancing.

Selain itu, ikan dengan badan berkilat ini juga dikatakan enak bila dimasak dalam pelbagai seperti asam pedas, kari dan sebagainya.

Apakah keistimewaan ikan nyok-nyok dan resepi apa yang boleh dicuba menggunakan ikan ini?

ikan nyok nyok

Apa Itu Ikan Nyok Nyok?

Bergantung kepada spesis, ikan ini juga ada kalanya disebut sebagai ikan cupak atau ikan cermin.

Ikan dewasa biasanya dijumpai di kawasan perairan pantai di atas terumbu. Sementara itu, ikan kecil pula sering ditemui di muara serta kawasan yang banyak rumput laut.

Disebabkan ia mempunyai mata yang besar, ikan nyok nyok dalam bahasa Inggeris mempunyai pelbagai nama antaranya big eyes trevally dan dusky jack.

Ikan ini juga dikenali dengan nama lain mengikut negeri. Sebagai contoh, ia dikenali sebagai ikan munduk di Kelantan, manakala di Johor dan Sabah, ia dikenali sebagai ikan sagai.

Seperti kebanyakan ikan lain, nyok-nyok padat dengan khasiat asid lemak omega-3 yang bermanfaat dalam menurunkan paras kolesterol serta risiko sakit jantung.

Ia juga merupakan sumber protein yang baik untuk seisi keluarga.

Resepi Ikan Nyok Nyok

Tak tahu nak masak apa menggunakan ikan nyok-nyok? Di sini kami ingin kongsikan beberapa resepi menarik dan mudah yang anda boleh cuba.

Nyok-Nyok Masak Asam Rebus

Sumber : Facebook NInie Zaini

Bahan-bahan :

  • Bawang besar sebiji (potong 4 atau 6)
  • Serai sebatang (diketuk)
  • Timun sebiji dipotong serong (boleh juga gunakan bendi atau terung)
  • Cili padi sedikit untuk tambah pedas (diketuk)
  • 2-3 keping asam pedas
  • Sedikit serbuk kunyit
  • Tomato sebiji (dipotong 6)
  • Ikan nyok-nyok 2 ketul
  • Air

Cara-cara :

  • Masukkan air, serai, bawang besar dan asam keping ke dalam kuali dan didihkan
  • Kemudian masukkan serbuk kunyit, timun, cili padi, ikan dan tomato
  • Perasakan mengikut cita rasa dan siap untuk dihidang

Asam Pedas Nyok Nyok

Sumber : Azizah Daud

Bahan-bahan :

Ikan nyok nyok

Bahan untuk dikisar :

  • 8 biji cili kering
  • 2 biji bawang besar merah
  • 3 ulas bawang putih
  • Sedikit halia
  • Sedikit kunyit hidup
  • Sedikit belacan jika suka

Bahan-bahan tambahan yang boleh dicampur jika suka :

  • Tomato
  • Bendi
  • Daun kesum
  • Bunga kantan

Cara-cara :

  • Letakkan sedikit munyak dan panaskan kuali
  • Masukkan bahan yang telah dikisar dan masak sehingga garing dan pecah minyak.
  • Tambahkan air dan air asam jawa mengikut kesesuaian
  • Setelah mendidih, masukkan ikan
  • Akhir sekali tambahkan garam, gula dan serbuk perasa mengikut cita rasa.

Gulai Ikan Nyok Nyok

ikan nyok nyok

Bahan-bahan :

  • Ikan nyok-nyok
  • 4 sudu besar rempah kari ikan
  • Santan (jenis cair, jangan terlalu pekat)
  • Air asam jawa
  • Bendi
  • Tomato
  • Cili padi
  • Bahan untuk dikisar bersama rempah kari :
  • 2 ulas bawang putih
  • 3 ulas bawang putih
  • Sedikit halia
  • Sedikit kunyit
  • 1 tangkai daun kari

Bahan tumis :

  • 4 ulas bawang putih
  • 4 ulas bawang merah
  • 1 sudu teh halba campur
  • 2 tangkai daun kari

Cara memasak :

  • Panaskan minyak dan masukkan bahan tumis
  • Bila sudah kekuningan, masukkan bahan kisar
  • Tumis beberapa kali dan tambahkan air sebanyak 2 ke 3 kali sehingga rempah betul-betul masak dan pecah minyak
  • Kemudian, masukkan garam dan air asam jawa
  • Tumiskan seketika lalu masukkan air secukup
  • Seterusnya, masukkan ikan dan masakkan sehingga mendidih
  • Akhir sekali, masukkan tomato, bendi, terung dan cili padi
  • Gulai ikan sedia untuk dihidang

Sambal Kering Ikan Nyok Nyok

ikan nyok nyok

Bahan-bahan :

  • Serbuk kunyit
  • Perencah serbaguna
  • Cili kisar
  • Bawang putih dan bawang besar (dikisar)
  • Asam keping
  • Sos seafood
  • Sos cili
  • Bawang holland (dihiris)

Cara-cara :

  • Gorengkan ikan yang dilumur dengan perencah serbaguna dan kunyit
  • Kemudian, tumiskan cili kisar hingga garing
  • Seterusnya, masukkan bawang putih dan bawang besar yang telah dikisar. Gaulkan dan tumis sehingga naik bau dan pecah minyak.
  • Kemudian, masukkan asam keping, perencah serbaguna dan guna.
  • Tambahkan sedikit sos seafood dan sos cili
  • Apabila garing, masukkan ikan goreng tadi bersama hirisan bawang holland.
  • Siap untuk dihidang.

Masak Lemak Cili Padi Kepala Nyok-Nyok

Sumber : Facebook Zee Basir

Bahan-bahan :

  • 2-3 keping kepala nyok-nyok
  • 3 biji bawang merah kecil*
  • 3 biji bawang putih*
  • ½ inci halia*
  • 1 inci kunyit hidup”
  • 19 biji cili padi kampug*
  • 2 batang serat yang dititik
  • ½ biji kelapa parut (guna santannya)
  • 1 helai daun kunyit
  • 1 asam keping
  • Garam dan ajinomoto
  • 2 biji tomato

Cara-cara :

  • Tumbuk atau kisar bahan-bahan bertanda (*)
  • Panaskan kuali dan masukkan bahan tumbuk, kepala ikan, asam keping dan santan kelapa.
  • Masak sehingga mendidih dengan api sederhana.
  • Sentiasa kacau santannya supaya tidak berketul
  • Setelah 5 ke 8 minit, masukkan tomato dan daun kunyit yang telah disiat.
  • Perasakan hidangan dengan garam dan ajinomoto
  • Siap untuk dihidang

Wah, rupanya terdapat pelbagai resepi nyok-nyok yang sangat menarik untuk dicuba. Ia juga merupakan sumber protein serta asid lemak omega-3 yang cukup baik.

Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mencuba sendiri hidangan ikan nyok-nyok bersama keluarga.

Sumber : myagro.moa.gov.my, umpan.com, licious.in, Facebook Masak Apa Hari Ni (MAHN) (1), (2), (3), Facebook June Ahmad

Baca Juga : Ikan Patin : Kandungan Nutrisi dan Manfaat Pada Kesihatan

Bantu kami share artikel ini: