Tak Layak BUDI Diesel Sebab Kereta Nama Orang Lain? Ini Cara Pindah Kelayakan

Cara Pindah Kelayakan Budi Diesel
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Nak pindah kelayakan Budi Diesel kepada ahli keluarga? Ada berita baik untuk penerima yang layak. Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan pada 26 Jun 2026 bahawa kelayakan individu di bawah Budi Madani Diesel (Budi Diesel) kini boleh dipindahkan kepada ahli keluarga terdekat, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Inisiatif ini membolehkan lebih ramai penerima menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter di seluruh negara mulai 1 Julai 2026.

Sebelum membuat permohonan, semak dahulu cara dan syarat pemindahan kelayakan yang perlu dipatuhi.

Baca juga: Berapa Kelayakan Kuota Subsidi Diesel Guna MyKad?

Apakah Maksud Pemindahan Kelayakan Budi Diesel?

Pemindahan Kelayakan Budi Diesel ialah kemudahan yang membolehkan pemilik asal yang layak menerima BUDI Diesel memindahkan fungsi membeli diesel bersubsidi kepada seorang ahli keluarga terdekat.

Walau bagaimanapun, hak milik kenderaan tidak berubah. Hanya kelayakan membeli diesel bersubsidi menggunakan MyKad dipindahkan kepada individu yang dipilih.

Melalui mekanisme ini, penerima baharu yang sebelum ini hanya layak membeli petrol RON95 bersubsidi boleh menggunakan MyKad mereka untuk membeli diesel bersubsidi.

Siapa Yang Layak Memindahkan Kelayakan Budi Diesel?

Permohonan hanya boleh dibuat oleh pemilik asal yang telah diluluskan BUDI Diesel.

Pemohon mestilah memenuhi syarat berikut:

  • Mempunyai lesen memandu yang sah mengikut kelas kenderaan.
  • Memegang MyKad yang sah.
  • Memiliki kenderaan diesel persendirian yang didaftarkan atas nama sendiri.
  • Cukai jalan (Lesen Kenderaan Motor) masih aktif.
Cara Pindah Kelayakan Budi Diesel

Ahli Keluarga yang Boleh Menerima Kelayakan Budi Diesel

Pemindahan hanya dibenarkan kepada ahli keluarga terdekat yang merupakan warganegara Malaysia, memiliki MyKad yang sah dan layak menerima BUDI95.

Ahli keluarga yang dibenarkan ialah:

  • Suami atau isteri
  • Ibu atau bapa
  • Anak
  • Adik-beradik

Pemindahan kepada individu lain seperti sepupu, datuk, nenek, cucu, ibu mentua, bapa mentua, ipar, menantu atau saudara-mara lain tidak dibenarkan.

Cara Pindah Kelayakan Budi Diesel

Cara Pindah Kelayakan Budi Diesel Secara Online

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi BUDI MADANI.

Langkah-langkahnya ialah:

  1. Log masuk ke portal www.budimadani.gov.my
  2. Pilih menu Permohonan Pemindahan Kelayakan BUDI Diesel
  3. Lengkapkan maklumat penerima
  4. Hantar permohonan untuk diproses
Cara Pindah Kelayakan Budi Diesel

Baca juga: Cara Semakan Kelayakan, Kuota Subsidi Diesel BUDI Julai 2026

Dokumen Yang Diperlukan Untuk Permohonan

Semasa membuat permohonan, pemohon perlu menyediakan maklumat berikut bagi kedua-dua pihak:

  • Nama penuh
  • Nombor MyKad
  • Nombor Pengenalan Cukai (TIN)
  • Nombor telefon
  • Status kelayakan BUDI MADANI

Menurut Kementerian Kewangan, dokumen sokongan tidak diperlukan kerana semakan dibuat secara automatik melalui pengesahan dengan agensi berkaitan.

Kelayakan Tambahan 100 Liter Turut Dipindahkan

Bagi pemilik kenderaan diesel persendirian jenis jip atau pikap yang layak menerima tambahan 100 liter sebulan, kelayakan tersebut akan dipindahkan bersama-sama kelayakan BUDI Diesel.

Ini bermakna penerima baharu akan menikmati keseluruhan kuota diesel yang sebelum ini dimiliki oleh pemilik asal.

Tarikh Penting Permohonan

Fasa pertama

  • Hantar permohonan sebelum atau pada 12 Julai 2026
  • Semakan status bermula 15 Julai 2026

Bulan berikutnya

  • Jika diluluskan, kelayakan akan mula digunakan pada 1 hari bulan berikutnya
  • Permohonan perlu dihantar selewat-lewatnya pada 27 hari bulan

Perkara Penting Sebelum Membuat Pemindahan Kelayakan

Terdapat beberapa syarat penting yang perlu diberi perhatian sebelum membuat permohonan.

Antaranya:

  • Permohonan hanya dibenarkan sekali sahaja.
  • Pemindahan adalah sehala.
  • Kelayakan yang telah dipindahkan tidak boleh dipindahkan semula kepada pemilik asal.
  • Penerima juga tidak boleh memindahkan kelayakan tersebut kepada individu lain.

Oleh itu, pemohon dinasihatkan memastikan individu yang dipilih benar-benar sesuai sebelum menghantar permohonan.

Bilakah Pemindahan Boleh Dibatalkan?

Secara umum, pemindahan yang telah diluluskan tidak boleh dibatalkan.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan dalam keadaan tertentu seperti:

  • Kematian penerima.
  • Perceraian yang diiktiraf secara sah.

Dalam situasi ini, pemohon perlu menghubungi Pusat Khidmat BUDI MADANI untuk tindakan lanjut.

Apa Berlaku Jika Pemilik Asal Menjual Kenderaan?

Kelayakan BUDI Diesel bergantung kepada status pemilik asal sebagai pemilik berdaftar kenderaan diesel yang layak.

Sekiranya pemilik asal:

  • menjual kenderaan,
  • menukar hak milik,
  • menukar kepada kenderaan petrol,
  • atau cukai jalan tamat tempoh,

maka kelayakan BUDI Diesel akan terbatal secara automatik.

Ini termasuk kelayakan yang telah dipindahkan kepada ahli keluarga.

Bagaimana Jika Kenderaan Diesel Masih Didaftarkan Atas Nama Orang Lain?

Bagi individu yang memandu kenderaan diesel tetapi hak miliknya masih didaftarkan atas nama orang lain yang bukan ahli keluarga terdekat, pemindahan kelayakan BUDI Diesel tidak boleh dilakukan. Ini kerana pemindahan hanya dibenarkan kepada pasangan, ibu atau bapa, anak serta adik-beradik yang layak menerima BUDI95.

Dalam situasi ini, pemilik kenderaan disarankan untuk menukar hak milik kenderaan terlebih dahulu bagi memenuhi syarat kelayakan BUDI Diesel. Antara syarat asas yang perlu dipenuhi ialah:

  • Lesen Kenderaan Motor (cukai jalan) masih aktif.
  • Warganegara Malaysia dan memiliki MyKad yang sah.
  • Mempunyai lesen memandu yang sah.
  • Memiliki kenderaan diesel.
  • Kenderaan didaftarkan atas nama sendiri.
Cara Pindah Kelayakan Budi Diesel

Kerajaan Kecualikan Fi Tukar Hak Milik Kenderaan Diesel

Bagi memudahkan proses tersebut, kerajaan turut mengumumkan pengecualian Fi Tukar Hak Milik (THM) bagi kenderaan diesel.

Pengecualian ini diberikan bermula 1 Julai hingga 30 September 2026, sekali gus mengurangkan kos kepada pemilik yang ingin menukar hak milik kenderaan bagi melayakkan diri memohon BUDI Diesel.

Cara Pindah Kelayakan Budi Diesel

JPJ Buka Kaunter Hujung Minggu Untuk Urusan Tukar Hak Milik

Bagi membantu orang ramai membuat urusan tukar hak milik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka kaunter khas pada hujung minggu di semua JPJ negeri dan JPJ UTC negeri.

Butiran operasi adalah seperti berikut:

  • Tarikh: 4 Julai hingga 26 Julai 2026
  • Masa: 8.00 pagi hingga 5.00 petang
  • Lokasi: Semua JPJ Negeri dan JPJ UTC Negeri

Langkah ini diambil bagi memudahkan pemilik kenderaan menyelesaikan urusan tukar hak milik dalam tempoh pengecualian fi yang diberikan kerajaan.

Soalan Lazim Cara Pindah Kelayakan Budi Diesel

Apakah yang dimaksudkan dengan Pemindahan Kelayakan BUDI Diesel?

Pemindahan kelayakan BUDI Diesel merujuk kepada proses yang membenarkan penerima BUDI MADANI yang layak BUDI Diesel untuk memindahkan fungsi membeli diesel bersubsidi mereka kepada seorang ahli keluarga terdekat yang dibenarkan.

Melalui mekanisme ini, ahli keluarga yang menerima pemindahan fungsi tersebut, yang pada asalnya hanya boleh membeli RON95 bersubsidi, boleh membeli diesel bersubsidi menggunakan MyKad.

Siapakah yang layak memohon Pemindahan Kelayakan BUDI Diesel?

Permohonan Pemindahan Kelayakan BUDI Diesel hendaklah dikemukakan oleh penerima asal kelayakan BUDI Diesel, iaitu pemilik berdaftar kenderaan diesel persendirian individu yang telah memenuhi syarat kelayakan BUDI Diesel berikut:

i. Memiliki lesen memandu aktif bagi kelas dan jenis yang dibenarkan;
ii. Memegang Kad Pengenalan (MyKad) yang sah;
iii. Memiliki kenderaan diesel persendirian individu berdaftar atas nama sendiri; dan
iv. Kenderaan tersebut mempunyai Lesen Kenderaan Motor (cukai jalan) yang aktif.

Siapakah yang layak menerima Pemindahan Kelayakan BUDI Diesel?

Pemindahan Kelayakan BUDI Diesel boleh dibuat kepada seorang ahli keluarga terdekat yang merupakan warganegara Malaysia, pemegang MyKad yang sah dan layak menerima BUDI95 seperti berikut:

i. Pasangan, iaitu suami atau isteri;
ii. Ibu atau bapa;
iii. Anak; atau
iv. Adik-beradik.
Pemindahan kelayakan hanya dibenarkan sekali dan kepada satu (1) individu
sahaja.

Apakah kesan Pemindahan Kelayakan BUDI Diesel terhadap liter kelayakan bulanan?

Pemindahan kelayakan BUDI Diesel kepada ahli keluarga membolehkan penerima yang diluluskan untuk menggunakan MyKad masing-masing bagi membeli diesel bersubsidi berdasarkan kelayakan BUDI Diesel pemilik asal iaitu terbahagi kepada dua (2) keadaan berikut:

i. pemindahan hanya melibatkan fungsi membeli diesel bersubsidi dengan kelayakan liter yang sama; atau
ii. pemindahan melibatkan fungsi membeli diesel bersubsidi dan kelayakan tambahan 100 liter, sekiranya pemilik asal merupakan pemilik kenderaan diesel persendirian jenis jip atau pick-up yang layak.

Ini bermakna, kelayakan liter bulanan penerima bergantung kepada kelayakan pemilik asal. Selain itu, pemilik asal yang telah memindahkan kelayakan BUDI Diesel tidak lagi boleh menggunakan fungsi membeli diesel bersubsidi dan tidak lagi menerima kelayakan tambahan 100 liter yang telah dipindahkan.

Bolehkah individu penerima membuat permohonan kelayakan tambahan BUDI MADANI 100 liter?

Individu penerima tidak boleh mengemukakan permohonan kelayakan tambahan BUDI MADANI secara berasingan.

Kelayakan liter tambahan hanya boleh dipindahkan bersama fungsi membeli diesel bersubsidi sekiranya pemilik asal telah memohon dan memenuhi kriteria kelayakan
bagi kenderaan diesel persendirian jenis jip atau pick-up yang layak.

Apakah maklumat yang diperlukan bagi tujuan permohonan Pemindahan Kelayakan BUDI Diesel?

Penerima asal kelayakan BUDI Diesel hendaklah mengemukakan permohonan melalui www.budimadani.gov.my dan mengemukakan maklumat berikut bagi penerima asal dan individu yang akan menerima kelayakan:

i. Nama dan Nombor Kad Pengenalan (MyKad);
ii. Nombor Pengenalan Cukai (TIN);
iii. Nombor telefon yang boleh dihubungi; dan
iv. Status kelayakan BUDI MADANI.

Tiada dokumen sokongan yang diperlukan bagi permohonan ini. Pelaksanaan semakan kelayakan tertakluk kepada pengesahan, kemas kini dan semak silang data dengan agensi-agensi berkaitan.

Bagaimana saya boleh menyemak status permohonan Pemindahan Kelayakan BUDI Diesel?

Semakan status permohonan Pemindahan Kelayakan BUDI Diesel boleh dibuat melalui portal rasmi BUDI MADANI di www.budimadani.gov.my. Pemprosesan permohonan akan dibuat secara bulanan dan pemindahan kelayakan yang diluluskan akan dikemas kini dan dipaparkan mulai 1 hari bulan berikutnya, tertakluk kepada, pemprosesan dan pengemaskinian permohonan yang dikemukakan selewat-lewatnya 27 hari bulan pada bulan sebelumnya.

Pengguna juga boleh menghubungi Pusat Khidmat BUDI MADANI di 1300-88-9595, WhatsApp di +603-26314595 atau e-mel di [email protected] untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Bilakah permohonan Pemindahan Kelayakan BUDI Diesel boleh dikemukakan dan bilakah individu penerima boleh mula membeli diesel bersubsidi?

Bagi peringkat pertama, permohonan Pemindahan Kelayakan BUDI Diesel perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 12 Julai 2026.

Mulai bulan Ogos 2026 dan seterusnya, permohonan hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya pada 27 hari bulan pada bulan sebelumnya untuk diproses bagi bulan seterusnya (contoh: kelayakan perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 27 Julai 2026 bagi membolehkan kelayakan digunakan mulai 1 Ogos 2026).

Permohonan yang diterima selepas tarikh tutup akan diproses dalam bulan berikutnya tertakluk kepada semakan dan pengesahan data.

Pemilik asal boleh membuat permohonan melalui portal BUDI MADANI di www.budimadani.gov.my.

Rujuk soalan lazim tentang pemindahan kelayakan Budi Diesel di sini:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut
Avatar image of Hannani Juhari