Amalan Sunat Hari Jumaat – Infografik JAKIM

Kita digalakkan mengimarahkan Hari Jumaat dengan mengamalkan beberapa amalan sunat hari Jumaat.

Hari Jumaat adalah hari Eid (hari kebesaran) dan dikenali juga sebagai Saiyyidul Ayyam iaitu penghulu bagi segala hari yang berulang setiap minggu.

Pada hari Jumaat juga, kita diwajibkan untuk menunaikan Solat Jumaat seperti Firman Allah SWT dalam Al-Quran:

“Wahai orang-orang yang beriman (Lelaki dan perempuan)! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah berjual beli [pada saat itu]; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui [hakikat yang sebenarnya],”

(Surah Al-Jumu’ah: 9)

Kita sebagai orang Muslim digalakkan untuk memperbanyakkan amalan sunat sempena hari Jumaat.

Baca lagi: Solat Jumaat: Niat, Syarat Wajib, Syarat Sah & Panduan Ringkas

amalan sunat jumaat jakim

Amalan Sunat Hari Jumaat – Panduan JAKIM

1. Perbanyakkan selawat

Kita digalakkan berselawat setiap hari dan setiap masa.

Namun, terdapat satu hadis yang menyatakan terdapat kelebihan khusus berselawat pada Hari Jumaat.

Maksudnya: “Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).”

 [Riwayat al-Baihaqi (5995)]

Sumber: MuftiWP

2. Perbanyakkan Doa & Zikir

Terdapat sebuah hadis yang menyatakan mengenai waktu Mustajab untuk berdoa:

“Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah SWT, pasti Allah SWT akan memperkenankan permintaanya itu”.

[Riwayat al-Bukhari (6400)]

Melihat kepada hadith di atas, kita memahami bahawa Allah SWT telah meletakkan satu tempoh masa yang sangat istimewa pada hari Jumaat iaitu setiap permintaan hamba-hambanya akan dikabulkan pada waktu tersebut.

Walau bagaimanapun, para Ulama berbeza pendapat mengenai waktu yang dimaksudkan dalam Hadis di atas.

Untuk perbahasa panjang lebar mengenai perkara ini, boleh baca lebih lanjut di laman web rasmi MuftiWP.

3. Memakai wangian

Disunnahkan berwangian sebagaimana yang diamalkan oleh Nabi SAW.

Bahkan Abu Hurairah RA mewajibkan berwangian pada hari jumaat. (Syarh Az-Zarqani ‘Ala Muwatto’ Imam Malek).

4. Bersiwak / bersugi

Bersiwak atau bersugi merupakan amalan sunat Hari Jumaat yang jarang dilihat diamalkan oleh masyarakat kita.

Bersugi atau miswaak atau siwak adalah suatu perbuatan bagi membersihkan mulut dan gigi menggunaka kayu siwak.

Daripada Ibn As-Sabaq RA (menceritakan), bahawa pada suatu hari jumaat Rasulullah SAW bersabda: “Wahai kaum muslimin! Sesungguhnya Allah SWT telah menjadikan hari ini sebagai hari Eid (hari kebesaran), maka hendaklah kamu sekalian mandi. Barangsiapa memiliki wangian, maka tidaklah mengapa jika kamu berwangian dengannya dan hendaklah kamu bersiwak.”

(Hadith riwayat Imam Malik dalam Al-Muwatto’, No: 148, Ibn Abi Syaibah, No:4943, Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Matolib Al-‘Aliyah, No:734, Al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra, No:5571).

5. Membaca Surah Al-Kahfi

Membaca surah al-Kahfi ini antara surah yang menjadi pilihan kerana mempunyai pelbagai kelebihan yang boleh kita dapati, antaranya ialah dapat menghindarkan diri kita daripada fitnah Dajal dan pelbagai lagi.

“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya akan diterangkannya dengan satu cahaya di antara dua Jumaat.” 

(Hadis riwayat al-Nasaei, al-Baihaqi dan al-Hakim)

6. Mandi sunat

Sunat mengelokkan rupa paras dan membersihkan anggota tubuh badan sebelum keluar solat seperti memendekkan atau mencukur misai, bulu ketiak, bulu pada kemaluan, menggosok gigi dan sebagainya.

“Tidak mandi seorang lelaki pada hari Jumaat dan membersihkan dirinya setakat yang termampu, seterusnya beliau meminyakkan rambut, mengenakan wangi-wangian harum yang dimilikinya di rumah, lantas dia keluar (ke masjid) dan dia tidak mencelah di antara dua orang (di dalam masjid), lalu dia bersolat apa yang diwajibkan ke atasnya. Dan sesudah itu duduk diam sewaktu imam sedang berkhutbah, melainkan diampunkan segala dosanya dari Jumaat tersebut hinggalah ke Jumaat yang akan datang.”

(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

7. Hadir Awal ke Masjid

Kita digalakkan untuk hadir awal ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat dan mendapatkan saf hadapan untuk solat berjemaah.

Apabila kita hadir awal ke masjid, kita boleh melakukan beberapa amalan sunat Hari Jumaat lain seperti berzikir, selawat dan membaca al-Quran sebelum menunaikan solat Jumaat.

“Sebaik-baik saf barisan lelaki yang paling depan, dan yang terburuk ialah yang paling belakang, dan sebaik-baik barisan perempuan yang terakhir, dan yang terburuk ialah yang paling depan.” 

(Hadis Riwayat Muslim)

Artikel berkaitan: Senarai Koleksi Khutbah Jumaat Oleh JAKIM

sunat jumaat

8. Memotong Kuku

Tiada hadis khusus yang menyatakan galakan memotong kuku pada Hari Jumaat sebagai amalan sunat Hari Jumaat.

Walaupun begitu, terdapat beberapa riwayat daripada para sahabat dan tabi’in yang menunjukkan mereka memiliki kebiasaan memotong kuku pada hari Jumaat. Antaranya:

  • Ibnu Umar R.Anhuma biasanya memotong kuku dan merapikan misai pada hari Jumaat. (Lihat al-Sunan Al-Kubra oleh al-Baihaqi, 3/244)
  • Daripada Ibrahim bahawa beliau menceritakan, “Orang ramai memotong kuku mereka pada hari Jumaat.” (Lihat al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah, 2/65)
  • Muhammad bin Ibrahim al-Taimi (salah seorang tabi’in) berkata, “Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat dan memendekkan misainya maka dia telah menyempurnakan hari Jumaatnya.” (Lihat al-Musannaf oleh Abd al-Razzaq, 3/197)

Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, para ulama fiqh dari kalangan Syafi’iyyah dan Hanabilah, menyebut galakan dan anjuran memotong kuku pada setiap hari Jumaat. Imam Nawawi berkata: “Al-Syafi’e dan ashabnya dengan tegas (secara nas) menyebut anjuran memotong kuku pada hari Jumaat.” (Lihat al-Majmu, 1/340)

amalan sunat Hari Jumaat

Sumber: MuftiWP

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!