Pernahkah anda makan daging Wagyu? Daging premium yang tinggi harganya ini dikatakan mempunyai rasa yang enak dan tekstur mewah yang cair di mulut berbanding daging lembu biasa.
Jika dilihat sekali imbas, dagingnya juga mempunyai rupa yang berbeza dengan ‘marbling’ iaitu komposisi lemak yang terdapat di antara daging.
Maklumlah, daging lembu biasa hanya mempunyai lemak pada bahagian luarnya sahaja.
Jadi, apa yang membuatkan daging Wagyu mahal dan Istimewa berbanding daging lembu biasa? Ayuh kita semaknya bersama-sama.

Apa Itu Daging Wagyu?
Daging Wagyu merupakan salah satu jenis daging lembu yang terkenal dengan kualiti tinggi, tekstur yang lembut, dan rasa yang luar biasa.
Perkataan “Wagyu” berasal daripada bahasa Jepun, di mana “Wa” bermaksud Jepun dan “Gyu” bermaksud lembu. Oleh itu, Wagyu secara harfiahnya bermaksud “lembu Jepun.”
Jenis-Jenis Baka Lembu Wagyu
Walaupun Wagyu bermaksud lembu dari Jepun, ini bukan bermaksud daging mahal ini berasal dari mana-mana baka lembu dari negara tersebut.
Sebaliknya, hanya terdapat empat baka utama lembu yang diternak di Jepun bagi menghasilkan daging bertaraf premium ini, iaitu:
- Japanese Black (日本黒): Merupakan baka yang paling banyak diternak dan dikenali kerana kandungan lemak intramuskular (marbling) yang tinggi.
- Japanese Brown (日本赤): Baka ini menghasilkan daging yang lebih rendah kandungan lemaknya, namun tetap kaya dengan rasa.
- Japanese Shorthorn (日本短角): Dikenali kerana rasa dagingnya yang unik dan kandungan asid amino yang tinggi.
- Japanese Polled (日本無角): Sebuah baka yang jarang ditemui, namun memberikan daging yang kaya dengan rasa daging asli.

Mengapa Daging Wagyu Sangat Mahal?
Seperti yang kita tahu, daging Wagyu terkenal dengan harganya yang sangat tinggi. Ini disebabkan oleh beberapa faktor yang memberi nilai tinggi pada daging ini iaitu :
1.Proses Penternakan yang Teliti
Lembu Wagyu dipelihara dalam keadaan yang sangat terjaga dan teratur. Mereka diberi makanan berkualiti tinggi dan semulajadi seperti bijirin dan rumput.
Lembu ini juga diberi ruang yang luas dan suasana yang bebas stres.
Kandang lembu ini pula hanya dikongsi sebanyak 4 atau 5 ekor sahaja agar penternak boleh memberi perhatian sepenuhnya bagi setiap satu.
Ini bagi memastikan lembu dapat membesar dan mencapai kematangan yang diinginkan.

2. Kandungan Lemak yang Tinggi
Daging Wagyu mempunyai corak marbling (lemak intramuskular) yang sangat jelas berbanding daging lembu biasa.
Lemak ini memberikan rasa berkrim yang unik dan tekstur lembut serta cair di mulut yang sukar ditandingi oleh daging lain.
3. Eksklusiviti
Eksklusiviti ini meningkatkan nilai daging di pasaran antarabangsa.
Pengeluaran daging Wagyu di Jepun juga adalah terhad kerana teknik penternakan dan peraturan penjagaannya yang ketat.
Setiap lembu Istimewa ini juga akan diberi nama dan sijil lahir bagi memastikan keaslian baka sebelum ia dijual kepada penternak.
4. Kaya Dengan Lemak Sihat
Berbanding daging lain di pasaran, Wagyu mempunyai kandungan lemak mono tidak tepu yang lebih tinggi.
Pada masa yang sama, lemak tepunya iaitu asid stearik mempunyai kesan yang minima dalam mempengaruhi kadar kolesterol dalam tubuh.
Oleh sebab itulah sesetengah orang lebih memilih untuk makan daging Wagyu sebagai sumber protein yang berkhasiat dan padat dengan lemak sihat.

Sistem Penggredan
Daging Wagyu dinilai berdasarkan sistem penggredan yang ketat. Penggredan ini bertujuan untuk menentukan kualiti dan kelazatan daging.
Faktor utama dalam sistem penggredan ini termasuk:
- Kualiti Marbling (BMS – Beef Marbling Score): Marbling dinilai pada skala 1 hingga 12, di mana skor lebih tinggi menunjukkan corak lemak yang lebih baik.
- Warna dan Kecerahan: Warna daging dan lemak dinilai untuk memastikan ia memenuhi piawaian kualiti tinggi.
- Tekstur dan Ketegasan: Daging yang lembut dan mempunyai tekstur halus diberi gred yang lebih tinggi.
- Hasil Daging: Sistem gred bermula dari A hingga C, di mana A adalah hasil daging yang tertinggi dan paling berkualiti.

Sebagai contoh, daging Wagyu dengan gred A5 adalah lebih premium berbanding daging B3, di mana A merujuk kepada hasil daging dan skor 5 adalah penilaian kualiti tertinggi berdasarkan faktor-faktor di atas.
Berdasarkan penggredan ini, maka restoran dan penjual bolehlah meletakkan harga yang sesuai bagi daging Wagyu bergantung kepada nilai dan kualitinya.
Seperti yang ramai tahu, daging Wagyu A5 boleh mencapai sehingga ratusan ringgit sekilogram.

Harga Daging Wagyu Di Malaysia
Harga daging wagyu di Malaysia berbeza mengikut gred, potongan, dan sumbernya.
- Gred A5 (Tertinggi) – Harga sekitar RM150 hingga RM250 untuk 150 gram.
- Contoh: Ribloin atau Sirloin Slice ±150g: RM200–RM250.
- Wagyu Tomahawk – Harga antara RM400 hingga RM2,000 bergantung kepada gred marbling (MB).
- MB 4/5: Sekitar RM400–RM500 untuk 1.5–1.9kg.
- MB 9 (Premium): Boleh mencecah RM2,000 untuk potongan khas.
- Potongan Momo (Bahagian Daging Luar) – Harga lebih rendah, sekitar RM100–RM150 untuk 150 gram.
Secara keseluruhan, harga daging wagyu di Malaysia biasanya dalam lingkungan RM300 hingga RM1,000 sekilogram, bergantung kepada kualiti marbling dan asal usul daging tersebut (Jepun atau Australia).
Kesimpulan
Di sini, dapatlah kita simpulkan bahawa daging Wagyu bukan sekadar makanan, malah ia adalah pengalaman kulinari yang luar biasa.
Ditambah pula dengan usaha penternak yang memberi perhatian tinggi kepada lembu Istimewa ini, maka tidak hairanlah mengapa baka lembu ini mempunyai nilai yang tinggi di pasaran.
Dengan tekstur yang lembut dan rasa yang kaya dan cair di mulut, daging ini terus mendapat permintaan tinggi dari seluruh dunia dan mempunyai ramai penggemarnya meskipun mahal.
Sumber : wagyu.org, Japanese Meat Information Service Center, Japan Insider
Baca Juga : Ayam Kampung : Khasiat & Perbezaan Dengan Ayam Biasa




