Vaksin Pneumokokal Percuma Untuk Kanak-kanak 4 & 5 Tahun

Vaksin Pneumokokal Percuma Untuk Kanak-kanak 4 & 5 Tahun

Bermula 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024, kanak-kanak berusia empat dan lima tahun boleh mendapatkan imunisasi pneumokokal secara percuma di semua fasiliti kesihatan primer Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ia adalah program perluasan pemberian imunisasi pneumokokal iaitu sebelum ini, kanak-kanak yang lahir pada 2018 dan 2019 tidak termasuk dalam kumpulan sasaran pemberian vaksin pneumokokal di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.

Dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan 2023 pada 31 Mei 2023, Dr Zaliha berkata kanak-kanak berusia empat dan lima tahun akan diberikan satu dos vaksin berbanding bayi yang diberikan tiga dos pada usia empat bulan, enam bulan dan 15 bulan.

Latarbelakang Program Imunisasi Kebangsaan & Pemberian Vaksin Pneumokokal Di Malaysia

KKM mula melaksanakan pemberian vaksin pneumokokal dalam Program Imunisasi Kebangsaan sejak 1 Disember 2020 bagi kanak-kanak yang lahir bermula 1 Januari 2020.

Dr Zaliha berkata KKM menyasarkan 700,000 atau 70 peratus daripada satu juta kanak-kanak yang lahir pada 2018 dan 2019 untuk diberikan vaksin pneumokokal dalam tempoh setahun itu.

Di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk bayi dan kanak-kanak, terdapat 11 jenis produk vaksin diberikan untuk mencegah 13 penyakit cegahan vaksin iaitu Tuberkulosis, Hepatitis B, Difteria, Tetanus (kancing gigi), Pertussis (batuk kokol), Haemophilus influenza type B, polio, measles (campak), mumps (beguk), dan rubella.

Bagi murid perempuan berumur 13 tahun, vaksin Human Papilloma Virus (HPV) diberikan manakala di Sarawak pula, vaksin Japanese Encephalitis turut diberikan.

“Kini pencapaian liputan imunisasi untuk bayi dan kanak-kanak adalah tinggi di peringkat kebangsaan dan mencapai sasaran yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu melebihi 95 peratus bagi kebanyakan vaksin utama dalam program imunisasi. Pencapaian ini juga telah diperakui WHO,” katanya.

Fungsi & Kelebihan

Vaksin pneumokokal diberikan untuk mencegah penyakit disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae yang juga dikenali sebagai pneumokokus.

Antara penyakit yang disebabkan oleh bakteria itu ialah radang paru-paru (pneumonia); radang sinus; jangkitan telinga tengah; radang selaput otak dan saraf tunjang (meningitis); serta jangkitan bakteria dalam darah (septicaemia).

Komplikasi penyakit pneumokokal termasuk cacat pendengaran, kecacatan otak dan kematian.

Cara Mendapatkan Vaksin Pneumokokal Percuma

Ibu bapa atau penjaga yang ingin mendapatkan vaksin pneumokokal untuk anak mereka boleh mendapatkannya secara datang terus di klinik kesihatan dan desa di seluruh negara atau membuat janji temu di aplikasi MySejahtera.

Untuk mengetahui langkah-langkah terperinci membuat temujanji di klinik kesihatan pilihan anda, sila rujuk artikel berikut: Janji Temu Online Klinik Kesihatan KKM Di MySejahtera

Maklumat lanjut : https://mysejahtera.moh.gov.my/

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!