TERKINI : UPKK Sirah Ditangguh Ke 24 Januari 2024 – JAKIM

KENYATAAN MEDIA MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) BERKAITAN PENANGGUHAN UJIAN PENILAIAN KELAS KAFA (UPKK) BAGI MATA PELAJARAN UPKK 03/01 SIRAH

1. Sukacita saya merujuk kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertarikh 17 Januari 2024 berkaitan perkara di atas.

2. Saya telah dimaklumkan oleh pihak JAKIM berhubung satu laporan yang diterima oleh JAKIM bahawa terdapat sebuah pusat peperiksaan UPKK telah secara tidak sengaja melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) pengendalian kertas peperiksaan UPKK.

3. Berpandukan SOP, pihak JAKIM dengan serta merta telah membuat keputusan segera dan kenyataan media berhubung penangguhan mata pelajaran UPKK03/01 Sirah yang dijadualkan pada hari ini, Rabu 17 Januari 2024. JAKIM telah menetapkan penjadualan semula ujian bagi mata pelajaran tersebut pada 23 Januari 2024 bersekali dengan ujian bagi mata pelajaran Lughah al-Quran.

4. Susulan keputusan dan kenyataan JAKIM tersebut, pihak saya telah menerima banyak aduan dan keluhan dari ibu bapa calon-calon UPKK yang bimbang akan kemampuan anak-anak mereka melalui dua ujian dalam masa satu hari pada 23 Januari 2024.

5. Sehubungan dengan itu, atas rasa keprihatinan dengan keluhan dan aduan tersebut, serta atas dasar turut memahami emosi calon-calon UPKK, saya telah mengarahkan supaya JAKIM menetapkan ujian bagi mata pelajaran Sirah dibuat pada 24 Januari 2024 (Rabu).

6. Semoga dengan keputusan ini dapat meredakan keluh kesah dalam kalangan ibu bapa serta calon-calon UPKK dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap ujian yang sedang berlangsung bermula 16 Januari 2024.

7. Saya turut mendoakan agar semua calon UPKK mendapat kejayaan yang cemerlang.

Sekian, terima kasih.

SENATOR DATO’ SETIA DR. MOHD NA’IM BIN HAJI MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
17 Januari 2024

Berikut dikongsikan lampiran kenyataan media oleh pihak JAKIM berhubung isu ini.

tarikh upkk sirah
Sumber: Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM

Sebelum ini, Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) untuk mata pelajaran Sirah yang dijadualkan hari ini, 17 Januari 2024 (Rabu) ditangguhkan ke 23 Januari 2024 (Selasa depan), kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata penangguhan kertas Sirah UPKK03/01 itu dibuat atas sebab isu teknikal yang tidak dapat dielakkan.

upkk sirah ditangguh
Sumber: Facebook Rasmi JAKIM

JAKIM memohon maaf atas kesulitan ini dan berdoa agar semua calon UPKK di seluruh negara dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya kepada ujian yang sedang berlangsung. Semoga semuanya mendapat kejayaan yang cemerlang.

NOTA: Pemberitahuan ini diumumkan melalui media sosial rasmi Facebook JAKIM pada jam 12.00 tengah hari, Rabu, 17 Januari 2024. Susulan itu, ramai ibu bapa yang menurunkan komen dan meminta pihak JAKIM mempertimbangkan semula keputusan untuk meminda tarikh ujian UPKK Sirah pada hari lain memandangkan pada hari Selasa, 23 Januari 2024 adalah kertas Bahasa Arab – salah satu subjek yang berat. Setelah itu, pada jam 4.11 petang, 17 Januari 2024, JAKIM telah mengeluarkan kenyataan terkini untuk mengesahkan bahawa kertas Sirah akan diadakan pada 24 Januari 2024.

Sekiranya terdapat perubahan, sebarang info terkini dan pindaan akan dimaklumkan oleh pihak JAKIM kepada pihak guru-guru yang terlibat dan juga melalui media sosial rasmi JAKIM.

Rujuk :

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!