Teruskan Carum LINDUNG 24 Jam atau berhenti? ~ Sejak kerajaan mengumumkan bahawa Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO (Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja) ditukarkan status daripada mandatori kepada sukarela, ramai pekerja di Malaysia mula menimbang tara kebaikan meneruskan caruman dan sebaliknya.
Keputusan sama ada mahu meneruskan caruman atau berhenti daripada Skim LINDUNG 24 Jam (Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja PERKESO) bergantung sepenuhnya kepada status perlindungan peribadi dan aliran tunai bulanan anda.

Memandangkan kerajaan Malaysia telah menetapkan skim ini sebagai pilihan sukarela bagi pekerja tempatan, anda boleh membuat keputusan berdasarkan keperluan sendiri.
Sebagai panduan, anda boleh rujuk pro dan kontra Skim LINDUNG 24 Jam yang dijelaskan di bawah untuk membantu anda buat keputusan yang terbaik.
Pro & Kontra LINDUNG 24 Jam
Memilih untuk teruskan caruman
Jika anda memilih untuk mengekalkan caruman ini, berikut adalah manfaat yang anda akan terima:
- Perlindungan Lengkap 24/7. Anda dilindungi daripada kemalangan domestik (di rumah), ketika bersukan, melancong dalam negara, atau semasa melakukan aktiviti rekreasi.
- Kadar 0.75% adalah antara pelan perlindungan termurah di pasaran, bahkan antara yang terendah di dunia!
- Mengurangkan tekanan ke atas sistem kesihatan awam kerana sebahagian kos rawatan dan pemulihan pencarum ditanggung melalui skim berasaskan caruman ini.
- Meringankan beban kewangan pekerja dan keluarga melalui faedah rawatan, elaun hilang upaya, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat dan beberapa faedah lain.
Rujuk faedah yang anda boleh terima sekiranya memilih untuk meneruskan caruman LINDUNG 24 Jam di bawah ini:
Faedah Caruman Lindung 24 Jam
- Faedah Perubatan: Pembiayaan penuh kos rawatan perubatan termasuk kos implan di klinik panel PERKESO atau hospital kerajaan.
- Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS): Bayaran wang tunai harian (ganti gaji) sepanjang tempoh anda bercuti sakit (MC) yang sah akibat kemalangan.
- Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK): Pampasan wang tunai secara pukal (lump sum) atau pencen bulanan jika kemalangan tersebut mengakibatkan kecacatan kekal.
- Elaun Layanan Sentiasa (ELS): Bantuan tunai bulanan tambahan sekiranya kecacatan kekal tersebut menyebabkan anda tidak mampu menguruskan diri sendiri dan memerlukan penjagaan rapi orang lain.
- Faedah Orang Tanggungan (FOT): Pencen bulanan yang akan disalurkan kepada waris terdekat (suami, isteri, atau anak-anak) jika pencarum meninggal dunia akibat kemalangan luar kerja.
- Faedah Pengurusan Mayat (FPM): Bantuan tunai sebanyak RM3,000 yang diberikan kepada waris untuk meringankan beban kos pengurusan jenazah pencarum.
- Kemudahan Pemulihan: Menyediakan program pemulihan jasmani, vokasional, serta sokongan Return To Work (RTW) untuk membantu pekerja pulih semula.
- Faedah Pendidikan: Bantuan pinjaman atau biasiswa pendidikan untuk anak-anak pencarum sekiranya pencarum meninggal dunia atau mengalami hilang upaya kekal.
Berbaloi, kan?

Ada beberapa sebab mengapa sesetengah pekerja memilih untuk berhenti (opt-out), antaranya:
- Mengurangkan Gaji Bersih (Take-Home Pay): Walaupun jumlahnya kecil, potongan ini tetap mengurangkan tunai yang anda bawa pulang setiap bulan. Bagi yang mempunyai bajet bulanan yang sangat ketat, setiap ringgit adalah berharga.
- Konsep “Wang Hangus”: Skim ini bersifat perlindungan tulen. Jika anda sihat walafiat dan tiada kemalangan berlaku sepanjang tahun, wang caruman tersebut tidak akan dipulangkan (tiada cash back).
- Urusan Tuntutan (Claim): Berdasarkan maklum balas pengguna di media sosial, proses dokumentasi dan birokrasi untuk membuat tuntutan PERKESO kadangkala memerlukan masa dan kesabaran.
- Pertindihan dengan Insurans Kemalangan Peribadi (PA): Jika anda sudah membeli pelan Personal Accident (PA) daripada syarikat swasta yang mempunyai elaun hospital dan pampasan kecacatan yang tinggi, fungsi LINDUNG 24 Jam mungkin bertindih dengan pelan sedia ada anda. (Nota: Skim ini tidak bertindih dengan medical card kerana medical card melindungi penyakit, manakala skim ini hanya untuk kes kemalangan)
Memilih untuk batalkan (opt-out) caruman
Jika anda memilih untuk membatalkan caruman pula;
- Gaji Bersih (Take-Home Pay) Bertambah: Anda tidak lagi mengalami potongan 0.75% setiap bulan. Wang ini akan kekal di dalam akaun bank anda untuk digunakan bagi komitmen lain.
- Tiada Wang Hangus: Jika anda seorang yang sangat berhati-hati dan jarang ditimpa kemalangan, anda tidak perlu lagi “menghanguskan” wang caruman bulanan begitu sahaja.
- Mengelakkan Pertindihan Dengan Pelan PA Swasta: Jika anda sudah membayar premium untuk insurans Kemalangan Diri (Personal Accident / PA) peribadi, pembatalan ini mengelakkan anda daripada membayar kos perlindungan bagi fungsi yang sama dua kali.

Walaupun poket anda mendapat lebih sedikit tunai, pembatalan ini mendedahkan anda kepada beberapa risiko besar:
- Hilang Jaring Keselamatan Luar Waktu Kerja: Sebaik sahaja dibatalkan, anda tiada lagi perlindungan PERKESO untuk kemalangan domestik. Jika anda terseliuh semasa bersukan, jatuh tangga di rumah, atau terlibat kemalangan jalan raya pada hari cuti, kos rawatan dan pemulihan perlu ditanggung sendiri.
- Tiada Elaun Gantian Pendapatan (Elaun Harian): Ini adalah impak paling besar. Berbeza dengan medical card yang hanya membayar bil hospital, LINDUNG 24 Jam memberikan wang tunai (elaun harian) jika anda cuti sakit akibat kemalangan. Jika anda batalkan skim ini, anda kehilangan sumber pendapatan tunai ini ketika tidak boleh bekerja.
- Beban Kewangan Kepada Waris: Skim ini menyediakan Faedah Orang Tanggungan dan Pengurusan Mayat jika berlaku kematian akibat kemalangan luar kerja. Kalau anda memilih untuk tidak menyertai skim ini, bermakna anda mengurangkan dana kecemasan untuk keluarga jika musibah terburuk berlaku.
- Alternatif Swasta Jauh Lebih Mahal: Jika anda membatalkan skim ini dengan niat mahu membeli pelan PA swasta yang setara, kos premium bulanan swasta biasanya jauh lebih tinggi berbanding kadar 0.75% PERKESO.
Patut Teruskan Carum LINDUNG 24 Jam atau Berhenti?
Bagi pekerja yang masih ragu-ragu, saranan terbaik adalah untuk terus mengekalkan caruman dalam Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO ini.
Walaupun statusnya kini bertukar kepada pilihan sukarela, nilai perlindungan yang ditawarkan adalah jauh lebih besar dan berbaloi berbanding nilai potongan gaji bulanan anda.
Kebanyakan pelan insurans swasta atau medical card di pasaran hanya menanggung kos bil rawatan hospital, tetapi mereka tidak menyediakan wang tunai harian sebagai ganti pendapatan jika anda terpaksa mengambil cuti sakit yang lama akibat kemalangan di rumah atau ketika bersukan.
Dengan mengekalkan caruman ini, anda sebenarnya sedang membina satu jaring keselamatan kewangan yang sangat kukuh untuk diri dan keluarga pada kadar harga yang paling murah di Malaysia.
Apa Sebenarnya Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO?
Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO adalah perlindungan untuk pekerja yang mengalami kemalangan di LUAR waktu bekerja.
Sebelum ini, PERKESO hanya melindungi anda ketika bekerja atau dalam perjalanan pergi dan balik kerja (Skim Keilatan & Bencana Pekerjaan).
Tetapi dengan LINDUNG 24 Jam, jika anda jatuh tangga di rumah pada hari Ahad atau terseliuh kaki ketika bermain bola sepak, anda layak mendapat pampasan.
Kos caruman skim ini adalah sebanyak 0.75% daripada gaji bulanan anda (fasa 1), dan ia ditanggung sepenuhnya oleh pekerja melalui potongan gaji.
Kes Dilindungi
Antara jenis kecederaan yang dilindungi ialah:
- Kematian akibat kemalangan di luar tempat kerja.
- Kecederaan akibat kemalangan di luar tempat kerja, sama ada di rumah, tempat awam atau dalam perjalanan harian.
Skim ini juga menyediakan pemulihan jasmani seperti fisioterapi, terapi pekerjaan, pembedahan rekonstruktif, serta bekalan prostetik, ortotik, dan alat bantuan seperti kerusi roda, tongkat, alat pendengaran dan kasut khas.
KES YANG TIDAK DILINDUNGI
Berikut pula adalah kes yang tidak dilindungi :
- Keadaan yang disebabkan oleh apa-apa penyakit seperti kencing manis, demam, darah tinggi dan lain-lain.
- Kemalangan berlaku di LUAR Malaysia
- Orang Berinsurans (OB) yang merupakan pekerja asing yang menyalahgunakan pas atau permit yang sah yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen atau melanggar apa-apa syarat kemasukkan di bawah Akta Imigresen 1959 / 63 [Akta 155].
- Bencana pekerjaan sendiri di bawah Akta 789 (LINDUNG Kendiri)
- Bencana domestik di bawah Akta 838 (LINDUNG Kasih).
Maklumat Lanjut & Soalan Lazim Teruskan Carum LINDUNG 24 Jam atau Berhenti
Untuk maklumat lanjut dan info terkini, sila layari portal rasmi PERKESO di pautan berikut: https://www.perkeso.gov.my/
SOALAN LAZIM
Tidak. Caruman yang telah dipotong sebelum ini tidak akan dipulangkan (no refund). Hal ini kerana anda telah pun menerima perlindungan penuh PERKESO sepanjang tempoh caruman tersebut aktif.
Skim ini melindungi kemalangan yang tidak berkaitan dengan kerja. Contoh situasi:
– Terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika pulang ke kampung pada hari cuti.
– Terjatuh dari tangga semasa mengecat dinding rumah.
– Cedera parah atau patah kaki sewaktu bermain badminton atau futsal.
– Kemalangan yang berlaku semasa sedang menjalankan tugas kerja (ini di bawah Skim Bencana Pekerjaan sedia ada, bukan LINDUNG 24 Jam).
– Masalah kesihatan disebabkan penyakit sedia ada seperti demam, serangan jantung, strok, atau kencing manis.
– Kemalangan yang berlaku di luar negara.
– Faedah Perubatan
– Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS)
– Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK)
– Faedah Orang Tanggungan (FOT)
– Elaun Layanan Sentiasa (ELS)
– Faedah Pengurusan Mayat (FPM)
– Faedah Pemulihan
Anda perlu lengkapkan borang di Portal Lindung Faedah Perkeso dan memilih opsyen untuk tidak menyertai Skim Lindung 24 Jam.




