KOMSAS Tingkatan 5: Sinopsis Bimasakti Menari

Untuk pelajar Tingkatan 5, berikut merupakan sinopsis keseluruhan novel Bimasakti Menari untuk panduan para pelajar.

Bagi novel KOMSAS Tingkatan 5, salah satu novel yang perlu dipelajari oleh pelajar adalah novel Bimasakti Menari.

Pengenalan Novel

Novel Bimasakti Menari merupakan salah satu novel karya Sri Rahayu Mohd Yusop.

Secara umumnya, novel ini mengisahkan tentang perjuangan melastarikan alam sekitar oleh Nurul Hafsa, Muhammad Taufik, dan budiman.

Tema Novel Bimasakti Menari

Novel ini bertemakan kegigihan anak muda dalam usaha melestarikan alam sekitar. Nurul Hafsa, Muhammad Taufik dan Budiman telah bersatu hati dalam berjuang untuk melestarikan alam sekitar. Mereka cuba memulihkan populasi kelip-kelip dan mengembalikan kegelapan langit di Kuala Selangor sebagai kawasan mencerap bintang. Mereka telah berusaha mendapatkan sokongan pihak kerajaan terhadap projek Kawasan Simpan Langit Gelap yang pertama di Asia Tenggara. Dalam masa yang sama Muhammad Taufik sedang mengusahakan projek perumahan Ikhtiar TeknoAlam dengan membina rumah mesra alam.

Sinopsis Bimasakti Menari

Novel ini mengisahkan watak Nurul Hafsa yang bertugas sebagai Pegawai Sains di Balai Cerap Sultan Salahuddin. Beliau dikunjungi oleh pelajar-pelajar dari Jepun untuk melihat buruj Orion atau buruj Belantik dengan mata kasar, tanpa sebarang bantuan alat pencerap namun gagal kerana langit terlalu cerah. Nurul Hafsa pada mulanya runsing dengan situasi tersebut akhirnya telah mengambil langkah bijak bagi menyelesaikan masalah tersebut dengan mengemukakan hujah yang dapat diterima oleh kumpulan pengunjung tersebut. Dia dengan berani telah mengakui kekurangan yang berlaku pada malam tersebut berpunca daripada kesan negatif akibat pembangunan pesat yang berlaku di Kuala Selangor.

Beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk melihat sendiri kelip-kelip di Kampung Kuantan. Beliau kecewa kerana tidak banyak kelip-kelip di situ, apatah lagi anak sungainya dipagar untuk menghalang bot atau sampan melaluinya. Budiman mengajak Nurul Hafsa menemui ‘lelaki kelip-kelip’ atau nama sebenarnya Muhammad Taufik yang merupakan pemilik anak sungai tersebut. Muhammad Taufik berbuat demikian agar populasi kelip-kelip tidak terancam. Nurul Hafsa kemudiannya membentangkan Projek Kawasan Simpan Langit Gelap di hadapan Menteri Besar, ahli akademik, ahli perniagaan dan orang awam di bangunan SUK Shah Alam. Rancangannya ditentang oleh Dato’ Johann Arlington dan dia mengatur rancangan untuk mengupah tiga orang tonto bagi menyiasat pergerakan Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik dan memastikan mereka tidak dapat melaksanakan projek tersebut. Berita kemalangan Muhammad Taufik mengejutkan Nurul Hafsa. Ketua lnspektor Lim mengesyaki kemalangan itu dirancang oleh musuhnya. Selepas peristiwa itu, Nurul Hafsa pula menjadi mangsa apabila diculik dan abangnya, Budiman cedera dipukul. Muhammad Taufik cuba membebaskan Nurul Hafsa dengan mengikut arahan penculik untuk berjumpa di stesen minyak Petronas.

Kemudiannya, Nurul Hafsa telah dibebaskan tetapi Muhammad Taufik pula diculik. Nurul Hafsa cuba menyelamatkan Muhammad Taufik dengan membuat laporan polls di IPD Kuala Selangor. Balai Polls Bestari Jaya menerima aduan daripada penduduk setempat bahawa terdapat aktiviti bukan perladangan dan pihak polls membentuk Pasukan Gerak Khas. Pasukan ini menyerbu dan berjaya menembak tiga lelaki dan beberapa orang lelaki keluar menyerah diri. Muhammad Taufik diselamatkan oleh Ketua Inspektor Lim.
Nurul Hafsa, Haji Yassir dan Budiman berada di Masjid Jamik Sultan Ibrahim Kuala Selangor untuk menghadiri kenduri kesyukuran bagi meraikan pernikahan kali kedua Tan Sri Muhaimin dan bekas isterinya. Tan Sri Muhaimin menyampaikan ucapan ringkas dengan menyatakan rasa syukur beliau ke hadrat Ilahi dengan kembalinya anak dan isteri ke pangkuan beliau dan musuh perniagaannya, Dato’ Johann Arlington pula bakal dihadapkan kemuka pengadilan. Dalam majlis tersebut, Muhammad Taufik meluahkan isi hatinya terhadap Nurul Hafsa. Muhammad Taufik menyampaikan hasratnya untuk menghantar rombongan lamaran ke kediaman orang tua Nurul Hafsa.

Dapatkan Buku Teks Tingkatan 5 Bimasakti Menari di SINI.

Kaedah Menjawab Soalan Novel

><><><><><><><><><><

(ii) Jawab soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:

a. Songket Berbenang Emas, Karya Khairuddin Ayip

b. Tirani, Karya Beb Sabariah

c. Silir Daksina, Karya Nizar Parman

d. Bimasakti Menari, Karya Sri Rahayu Mohd Yusop

Dengan berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, huraikan dua peristiwa yang dapat dijadikan panduan hidup.

><><><><><><><><><><><><><><><><><><><><

Formula: 1-2-3a-3b-4a-4b

><><><><><><><><><><><><><><><><><><><><

(d) Bimasakti Menari, Karya Sri Rahayu Mohd Yusop

1.Novel yang saya kaji ialah Bimasakti Menari, Karya Sri Rahayu Mohd Yusop.

2.Terdapat dua peristiwa yang dapat dijadikan panduan hidup.

3a. Peristiwa pertama ialah Budiman menemani Nurul Hafsa semasa bertemu dengan Muhammad Taufik di Perpustakaan Awam Sultan Sharafuddin, Kuala Selangor. (Bab 10, hal 78).

3b. Peristiwa ini memberikan panduan hidup kepada kita supaya menjadi seorang abang yang bertanggungjawab terhadap adik perempuan terutamanya apabila keluar dengan lelaki yang bukan muhrim bagi mengelakkan daripada difitnah.

4a.Peristiwa kedua ialah Dato’ Haji Mustofa al-Hanidi membenarkan Dato’ Johann menyatakan hujah menentang idea projek Kawasan Simpan Langit Gelap Kuala Selangor.(Bab 14, Hal 120).

4b. Peristiwa ini dapat dijadikan panduan hidup kepada kita , iaitu kita menunjukkan sikap yang menghormati pendapat dan idea orang lain tanpa memalukan orang tersebut patut dijadikan panduan.

Jawapan lengkap:

Novel yang saya kaji ialah Bimasakti Menari, Karya Sri Rahayu Mohd Yusop. Terdapat dua peristiwa yang dapat dijadikan panduan hidup.Peristiwa pertama ialah Budiman menemani Nurul Hafsa semasa bertemu dengan Muhammad Taufik di Perpustakaan Awam Sultan Sharafuddin, Kuala Selangor. (Bab 10, hal 78). Peristiwa ini memberikan panduan hidup kepada kita supaya menjadi seorang abang yang bertanggungjawab terhadap adik perempuan terutamanya apabila keluar dengan lelaki yang bukan muhrim bagi mengelakkan daripada difitnah.Peristiwa kedua ialah Dato’ Haji Mustofa al-Hanidi membenarkan Dato’ Johann menyatakan hujah menentang idea projek Kawasan Simpan Langit Gelap Kuala Selangor.(Bab 14, Hal 120). Peristiwa ini dapat dijadikan panduan hidup kepada kita , iaitu kita menunjukkan sikap yang menghormati pendapat dan idea orang lain tanpa memalukan orang tersebut.

Sumber rujukan: Mopates 5

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!