Senarai Tadika Di Malaysia 2023

Senarai Tadika Di Malaysia

Semua ibu bapa mahu memberikan pendidikan yang terbaik buat anak-anak seawal usia 4 tahun.

Disebabkan terlalu banyak pilihan, mungkin ada sesetengah ibu bapa yang keliru untuk memilih tadika terbaik buat anak-anak.

Bagi membantu para ibu bapa membuat pilihan terbaik, di sini kami ingin kongsikan senarai tadika berdaftar di Malaysia yang disyorkan ramai ibu bapa untuk anak mulakan sesi prasekolah.

Baca Juga : Pendaftaran TABIKA KEMAS Sesi 2023 / 2024

Senarai Tadika Di Malaysia 2023

1. Tabika Perpaduan

Tabika Perpaduan adalah salah satu tadika di bawah Rancangan Perhubungan Masyarakat bagi memenuhi keperluan masyarakat di bandar dan pinggir bandar.

Ia ditubuhkan sebagai persediaan anak-anak berusia 4 ke 6 tahun ke alam persekolahan sambil memupuk nilai perpaduan dan semangat bermasyarakat.

Antara program pendidikan yang didedahkan di tabika Perpaduan adalah membaca, menulis, bercerita, permainan muzik, sukaneka, kelas fardhu Ain, lawatan sambil belajar dan sambutan pelbagai perayaan.

2. Tabika Kemas

Tabika Kemas adalah pilihan terbaik bagi ibu bapa yang mencari tadika dengan kos pembelajaran rendah.

Kebanyakan guru-guru Kemas yang bertugas juga perlu menyertai kursus Guru Kemas dan berpengalaman dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Murid-murid berumur empat hingga enam tahun akan didedahkan dengan program pendidikan berkonsepkan ‘belajar melalui bermain’.

Konsep yang diperkenalkan selaras dengan naluri semulajadi kanak-kanak yang ingin tahu, berani mencuba dan gemar bermain.

3. Tadika Q-Dees

Tadika Q-Dees menjadi pilihan ramai ibu bapa bagi mendedahkan anak-anak pada pendidikan awal serta melatih sifat keyakinan kanak-kanak.

Kanak-kanak asuhan Tadika Q-Dees juga dilihat sentiasa bersemangat untuk belajar dan tidak rasa malu untuk bertanya.

Antara pendekatan yang diperkenalkan kepada murid-murid adalah cara menyelesaikan masalah dengan baik.

Bagi pembelajaran bahasa, anak-anak akan diberikan panduan intonasi yang unik menerusi lagu.

4. Tadika PASTI

PASTI atau Pusat Asuhan Tunas Islam merupakan pusat Taska yang dimiliki oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

PASTI komited sebagai pusat asuhan awal kanak-kanak prasekolah yang fokus pada pendidikan berteraskan Al-Quran dan Sunnah sambil membimbing anak melakukan amalan yang mahmudah, terpuji serta meninggalkan perkara mungkar.

Setiap murid akan mendapat pendidikan kurikulum yang selaras dengan matlamat Pendidikan Islam daripada guru-guru yang terlatih.

Di samping itu, tadika ini juga mendidik anak-anak untuk fasih membaca, menghafaz dan menghayati Al-Quran, berzikir dan berdoa.

5. Smart Reader

Smart Reader menawarkan tiga program pendidikan iaitu Smart Reader Kids, Smart Reader Kids Mandarin dan Smart Reader Kids Islamic.

Ramai ibu bapa yang memilih program pendidikan Smart Reader Kids Islamic kerana ia memberi pendedahan yang baik kepada anak-anak dalam pendidikan Al-Quran, Jawi, Bahasa Arab, ibadah, English, Matematik, Seni dan Kraf, membaca dan sebagainya.

Senarai Tadika Di Malaysia

6. Tadika Little Caliph

The Little Caliph fokus kepada teras perkembangan kanak-kanak menerusi konsep S.P.I.E.S iaitu :

  • Spiritual
  • Physical
  • Intellectual
  • Socio-Emotionnal

Antara pendekatan khusus yang diambil adalah :

  • Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai medium pembelajaran.
  • Nisbah guru dan pelajar yang rendah.
  • Memantau perkembangan murid-murid berdasarkan kebolehan peribadi berbanding usia.
  • Menggalakkan perkembangan anak-anak menerusi kerjasama ibu bapa dan tenaga pengajar.
  • Perkembangan serta pembelajaran kokurikulum yang berterusan.

Little Caliph juga dikatakan menjadi pilihan ramai ibu bapa kerana persekitaran yang baik bagi pendidikan awal kanak-kanak dengan :

  • Pusat pendidikan berkonsepkan Islamik yang selesa, luas dan dilengkapi dengan hawa dingin.
  • Mempunyai taman permainan indoor yang luas
  • Kamera CCTV untuk keselamatan anak-anak.

7. Tadika & Taska Brainy Bunch

Brainy Bunch terkenal sebagai pusat pendidikan Montessori Islamik bertaraf dunia.

Tadika dan taska Brainy Bunch menawarkan Brainy SPICE iaitu konsep pendidikan berteraskan Bahasa Inggeris yang menyeluruh dari segi fizikal, agama, intelektual, kreatif dan emosional.  

Pendidikan Brainy Bunch juga menekankan perkembangan interpersonal terutamanya sifat kepimpinan serta keyakinan pada setiap anak-anak.  

Senarai Tadika Di Malaysia

8. REAL Kids

Dengan pengalaman selama 35 tahun dan pengiktirafan pelbagai anugerah, REAL Kids juga merupakan satu lagi tadika pilihan ibu bapa bagi mendedahkan anak-anak kepada pendidikan awal.

Bagi mempersiapkan anak-anak ke pendidikan sekolah rendah, tadika ini memperkenalkan pelbagai konsep pendidikan terbaik dari serata dunia termasuk Multiple Intelligences, Project-Based Learning, Inter- Disciplinary Learning dan Play & Game Based Learning.

Konsep ini dirancang serta direka berdasarkan penyelidikan, trend semasa dan seiring dengan Standard Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (SKPK) dan Standard Prasekolah Antarabangsa.  

9. Tadika Genius Aulad

Genius Aulad menawarkan pendidikan awal kanak-kanak bagi mencambah rasa ingin tahu di samping meningkatkan kualiti pergaulan dengan guru, rakan dan orang sekeliling.

Pelan Pelajaran ILOVE yang diperkenalkan oleh Tadika Genius Aulad dikemaskini setiap tahun bagi melatih anak-anak untuk mencapai prestasi cemerlang dari segi akademik dan sahsiah.

Senarai Tadika Di Malaysia

Semua tadika menawarkan keistimewaan tersendiri serta pendekatan pendidikan yang unik bagi perkembangan anak-anak sebagai persiapan melangkah ke Sekolah Rendah.

Semoga perkongsian ini dapat membantu para ibu bapa memilih tadika terbaik untuk pendidikan awal anak-anak.

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!