Rizq Desa KKDW: Program Pengembangan Usahawan Belia Desa

rizq desa
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Usahawan belia desa yang terlibat dalam sektor pertanian, pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan desa adalah dialu-alukan untuk menyertai Program Rizq Desa di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang boleh dipohon menerusi http://www.usahawandesa.com/.

Menariknya, usahawan yang terpilih akan memperoleh geran perniagaan berjumlah keseluruhan RM4 juta.

Berikut adalah maklumat dan info mengenai program ini.

Mengenai Rizq Desa

Program Rizq Desa merupakan kesinambungan daripada Program Rural Business Challenge (RBC) yang telah dijenamakan semula pada tahun 2026.

Program ini terbuka kepada usahawan belia desa dan merupakan program pengembangan perniagaan berbentuk pertandingan di mana peserta yang berminat perlu mengemukakan Rancangan Perniagaan (RP) bagi membolehkan pemenang yang berpotensi dipilih.

Selain itu, program ini juga dilaksanakan dalam bentuk pertandingan Rancangan Perniagaan (RP) yang memberi peluang kepada belia desa mengetengahkan idea perniagaan berpotensi serta mengembangkan perusahaan sedia ada.

Program ini terbuka kepada belia berumur 18 hingga 40 tahun yang ini merangkumi sektor pertanian, pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan desa dengan fokus kepada pengembangan perniagaan sedia ada.

Peserta akan melalui 5 proses tapisan dan pemenang yang bertuah berpeluang untuk memenangi hadiah geran kemenangan berjumlah RM4 juta secara keseluruhan.

Objektif Program

Objektif program ini dilaksanakan adalah untuk:

  • Menggalakkan golongan belia khususnya di luar bandar memilih keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.
  • Mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan kepada penduduk tempatan luar bandar.
  • Mewujudkan kawasan luar bandar yang menarik untuk didiami.

Impak Jangka Masa Panjang

Impak jangka masa panjang program adalah bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan di samping dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan masyarakat sekitar serta taraf sosioekonomi luar bandar secara keseluruhannya.

Tarikh Permohonan

Permohonan program ini dibuka pada 1 Mac hingga 30 April 2026.

Jumlah Geran Yang Dimenangi

Pemohon yang berjaya akan memenangi hadiah dalam bentuk geran perniagaan dengan jumlah keseluruhan hadiah geran kemenangan adalah berjumlah RM4 JUTA.

Nilai geran yang diberikan adalah berdasarkan kepada penilaian dan kelulusan Jawatankuasa Rizq Desa KKDW tertakluk kepada terma dan syarat pertandingan.

Syarat Umum

Syarat umum untuk menyertai program ini adalah seperti berikut:

  1. Terbuka kepada semua belia warganegara Malaysia yang berumur antara 18 hingga 40 tahun pada tarikh 31 Disember 2026.
  2. Usahawan belia yang mempunyai perusahaan/premis perniagaan yang beroperasi, berlesen dan bertapak di kawasan luar bandar.
  3. Mempunyai Perniagaan Milikan Tunggal, Perkongsian atau Syarikat Sendirian Berhad yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Ordinan Perniagaan di Sabah dan Sarawak serta telah beroperasi melebihi 3 tahun pada 1 Januari 2026.
  4. Terbuka kepada usahawan desa dengan hasil jualan tahunan tidak melebihi RM1 juta bagi 3 tahun terkini (2022 – 2024).
  5. Pertandingan ini hanya terbuka kepada kategori Pengembangan Perniagaan sahaja.
  6. Peserta TIDAK berstatus SENARAI HITAM atau MUFLIS.
  7. Para pemenang RBC terdahulu adalah TIDAK LAYAK untuk menyertai Pertandingan Rizq Desa Tahun 2026.
  8. Perniagaan yang pernah menerima manfaat menerusi pemenang-pemenang RBC terdahulu adalah TIDAK LAYAK untuk menyertai Pertandingan Rizq Desa Tahun 2026.
  9. Rancangan Perniagaan yang lengkap dan memenuhi terma dan syarat serta format pertandingan sahaja akan dinilai.
  10. Peserta perlu melengkapkan borang permohonan pertandingan secara atas talian di laman sesawang www.usahawandesa.com
  11. Sekiranya permohonan telah dihantar, peserta TIDAK DIBENARKAN untuk mengemaskini semula permohonan tersebut.
  12. Dengan penyertaan ini, peserta bersetuju untuk memenuhi terma dan syarat pertandingan serta keputusan Jawatankuasa di Peringkat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
  13. Semua keputusan pertandingan adalah MUKTAMAD dan segala rayuan/bantahan TIDAK AKAN DILAYAN.
  14. Peserta adalah DIWAJIBKAN untuk mematuhi segala arahan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi program ini.

Cara Memohon

Permohonan boleh dibuat menerusi pautan http://www.usahawandesa.com/.

Lengkapkan borang permohonan Rancangan Perniagaan di pautan format RP dan dokumen perlu di simpan dalam bentuk pdf.

Peserta juga perlu menyediakan video berkaitan dengan perniagaan yang dijalankan dan video tersebut perlu dimuatnaik di youtube dan salin (copy) capaian tersebut dan tampal (paste) pada medan tersedia di sistem.

Soalan Lazim

Apakah yang dimaksudkan dengan Program Rizq Desa?

Rizq Desa diperkenalkan pada tahun 2026 dan merupakan kesinambungan daripada program Rural Business Challenge (RBC) yang telah dijenamakan semula bagi memperkukuh inisiatif pembangunan dan pengembangan perniagaan dalam kalangan belia desa.

Bilakag tarikh permohonan dibuka dan ditutup?

Permohonan dibuka mulai 1 Mac hingga 30 April 2026.

Apakah perbezaan Program RBC atau Program Rizq Desa?

Program Rizq Desa merupakan penambahbaikan dari segi terma, syarat dan pengenalan kepada elemen baharu penilaian iaitu Sesi Pandu Citra (Coaching) dan Pementoran. Sesi Pandu Citra (Coaching) dan Pementoran adalah merupakan proses penilaian fasa ke tiga bagi tujuan tapisan permohonan RP yang berkualiti dan berpotensi serta boleh dilaksanakan oleh peserta. Menerusi sesi ini, setiap peserta akan menghadiri bengkel keusahawanan dan seterusnya dibimbing, dipantau dan dinilai oleh konsultan bertauliah yang dilantik oleh pihak KKDW.

Adakah saya boleh memohon jika umur saya dibawah 18 tahun?

Hanya pemohon yang berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun sahaja pada tahun 2026, iaitu sebelum 31 Disember 2026 yang layak memohon.

Berapakah jumlah geran boleh diperoleh jika memenangi program ini?

Jumlah keseluruhan hadiah geran kemenangan adalah berjumlah RM4 juta.

Apakah skop dana yang dibenarkan menerusi program ini?

Tiada limitasi skop penggunaan geran yang dibenarkan bagi penyertaan program ini. Geran kemenangan yang diberikan adalah berdasarkan kepada cadangan yang dikemukakan oleh peserta dalam RP dan keputusan Jawatankuasa Rizq Desa KKDW. Walau bagaimanapun, cadangan penggunaan geran yang dikemukakan hendaklah selari dengan matlamat program iaitu untuk tujuan pengembangan perniagaan seperti peningkatan kapasiti pengeluaran, pembangunan dan penambahbaikan produk, pengembangan dan penerokaan pasaran, pengukuhan penjenamaan dan pemasaran produk serta lain-lain yang boleh menyumbang kepada peningkatan jualan tahunan perniagaan.

Bagaimanakah saya ingin mengetahui jika permohonan saya berjaya?

Peserta akan dimaklumkan melalui e-mel jika permohonan berjaya. Sekiranya peserta tidak menerima apa-apa makluman selepas 3 bulan dari tarikh tutup penyertaan, pemohonan dianggap tidak berjaya.

Info Lanjut

Untuk info lanjut mengenai program ini, sila layari laman web http://www.usahawandesa.com/.

Baca juga: DEWI : Permohonan Dana Ekonomi Usahawan Wanita 2026

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut