Raya 2023 Awal Sehari? Ini Penjelasan JUPEM Berkenaan Hilal Syawal

Raya 2023 Awal Sehari? Ini Penjelasan JUPEM Berkenaan Hilal Syawal

Pusat Astronomi Antarabangsa berpengkalan di Emeriah Arab Bersatu (UAE) menjangkakan akhir Ramadan pada tahun ini jatuh pada hari Khamis bersamaan 20 April 2023.

Laporan portal Gulf News bagaimanapun menyebut beberapa negara di Asia termasuk Australia mungkin sukar melihat anak bulan Syawal dengan mata kasar mahupun menggunakan teleskop khas.

Berita berkenaan menyebabkan ramai yang menyangka Hari Raya Aidilfitri di Malaysia tahun 2023 ini akan disambut lebih awal sehari, iaitu pada 21 April berbanding tarikh jangkaan pada 22 April 2023.

 Isu ‘raya awal’ yang hangat dibincangkan dalam kalangan umat Islam negara ketika ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

Sementara itu, berikut dikongsikan penjelasan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia JUPEM berkenaan perbandingan hilal Syawal 2022 dan Hilal Syawal 2023 yang mungkin dapat memberi gambaran tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Raya Awal Sehari? JUPEM Kongsi Perbandingan Data Hilal Syawal 2022 Dengan Data Hilal Syawal 2023

Data hilal yang dihisab (hitung) sentiasa dirujuk semasa menentukan tarikh baharu dalam sesuatu bulan hijri. Data hilal pada setiap tarikh 29 haribulan hijri dianalisa untuk mengetahui samada ia memenuhi syarat Kriteria Imkanur-Rukyah atau sebaliknya yang menentukan jumlah hari dalam bulan tersebut hanya 29 hari atau 30 hari.

Bagi penentuan tarikh baharu tiga bulan utama yang melibatkan ibadah besar iaitu bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah akan ditentukan melalui kedua-dua kaedah hitungan (hisab) dan cerapan hilal (rukyah).

Kriteria Imkanur-Rukyah merupakan satu kriteria yang digunakan sebagai asas yang menggambarkan ciri hilal yang dianggap boleh dilihat dengan mata kasar atau bantuan alat optik. Kriteria yang digunakan adalah melibatkan dua elemen iaitu tinggi hilal dan jarak lengkung antara hilal dengan matahari semasa waktu maghrib (matahari terbenam).

SYARAT MINIMA HILAL BOLEH KELIHATAN

Syarat minima hilal boleh kelihatan menurut kriteria ini mestilah di ketika matahari telah terbenam kedua-dua syarat mestilah dipenuhi iaitu tinggi hilal di atas ufuk tidak kurang dari 3° dan jarak lengkung antara matahari dan bulan tidak kurang dari 6.4° (6° 24’).

Pemahaman masyarakat terhadap data hilal adalah penting supaya dapat mendapat gambaran potensi hilal kelihatan atau sebaliknya terutama melibatkan tiga bulan utama semasa cerapan hilal dilakukan.

Pengetahuan ini boleh dijadikan panduan kepada orang awam untuk memahami samada hilal bagi sesuatu bulan itu berada pada tahap mustahil boleh dilihat atau sukar dilihat atau mudah kelihatan.

Gambaran tersebut dapat difahami dengan mengetahui beberapa ciri antaranya seperti berikut:

a) ketinggian hilal di atas ufuk;

b) jarak antara hilal dengan matahari;

c) umur hilal dari berlaku ijtimak sehingga hilal terbenam;

d) tempoh hilal berada di atas ufuk; dan

e) sejauh mana data hilal tersebut menghampiri kriteria imkanur-rukyah.

Hilal yang mempunyai ciri-ciri kritikal hampir memenuhi syarat minima Kriteria Imkanur-Rukyah sering mendapat perhatian pencerap kerana menjadi cabaran dan harapan kemungkinan hilal dapat dilihat sekaligus menjadi satu pencapaian rekod baharu dalam cerapan hilal untuk digunakan dalam penilaian saintifik bagi tujuan penambahbaikan Kriteria Imkanur-Rukyah jangka masa panjang di masa hadapan.

Dalam keadaan dimana hilal yang berada di bawah Kriteria Imkanur-Rukyah berjaya dilihat, ia akan memberi kesan kepada perubahan tarikh bulan baharu berbeza dengan kalender hijri yang telah diterbitkan sebagaimana berlaku pada bulan Syawal tahun 2022.

Analisa Data Hilal Syawal 2022 & 2023

Analisa data hilal Syawal tahun 2022 menunjukkan bahawa tinggi hilal 5° 27’ adalah berada jauh melebihi syarat minima (3°).

Manakala jarak lengkung hilal ke matahari adalah 5° 57’ yang hampir memenuhi syarat minima (6° 24’).

Hasil cerapan mendapati bahawa hilal Syawal 2022 telah berjaya dilihat dan penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun 2022 adalah lebih awal sehari berbanding tarikh yang telah ditetapkan di dalam kalender.

Analisa data hilal Syawal tahun 2023 menunjukkan bahawa tinggi hilal adalah 2° 18’ berada di bawah kriteria minima (3°), manakala jarak lengkung hanyalah 2° 41’ sahaja berada jauh di bawah kriteria minima (6° 24’).

Data ini menggambarkan hilal berada pada posisi sukar dilihat kerana jauh di bawah syarat minima.

Walau bagaimanapun sebagai umat islam yang beriman adalah wajib mengimani bahawa segala ketentuan adalah di atas kehendak Allah SWT.

Telah menjadi ketetapan di negara ini bahawa cerapan hilal rasmi dijalankan pada 29 haribulan hijri bagi tiga bulan utama dan sekiranya hilal kelihatan maka keesokannya ditetapkan sebagai 1 haribulan bulan baharu sebaliknya jika tidak kelihatan maka keesokan harinya adalah dilanjutkan kepada 30 haribulan.

Perbincangan Jawatankuasa Fatwa Tentang Tarikh Hari Raya 2023

Ramalan Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bahawa 1 Syawal di kebanyakan negara adalah pada 21 April, akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

“Jadi saya rasa kita kena tunggu. Kita akan bincang di peringkat Jawatankuasa Fatwa, seboleh-bolehnya kita nak mengelakkan apa yang berlaku pada tahun lepas tidak berulang supaya tidak terkejut (sambut raya).

“Saya tidak mahu mendahului dan serah kepada kuasa Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk keputusan,” katanya kepada media selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam melaksanakan program kebersihan, di sini hari ini.

Di Malaysia, pengisytiharan tarikh 1 Syawal dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Raja-Raja Melayu.

Portal Gulf News melaporkan Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di UAE mengumumkan negara-negara Islam akan menjalankan kewajipan mencerap hilal bagi menentukan awal bulan Syawal pada 20 April yang berkemungkinan menjadi penghujung Ramadan.

Bagaimanapun, menurut laporan itu beberapa negara di Asia termasuk Australia mungkin tidak dapat melihat keadaan anak bulan Syawal dengan mata kasar mahupun menggunakan teleskop khas.

Laporan itu juga memaklumkan kebanyakan negara Islam mungkin mengumumkan permulaan Syawal pada 21 April (Jumaat) sebagai hari pertama Aidilfitri.

Dalam pada itu, ditanya persediaan yang perlu dilakukan umat Islam untuk berdepan sebarang kemungkinan, Mohd Na’im meminta umat Islam agar bersabar kerana penentuan tarikh hari raya terletak kepada kuasa Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

“Bagaimanapun ada satu kaedah dalam syarat yang menyebut ‘tindakan pemerintah yang bertanggungjawab itu didasarkan kepada kepentingan awam’. Jadi saya ingat itu kriteria yang akan digunakan nanti untuk memudahkan rakyat,” katanya.

Menunggu Pengumuman Rasmi Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja

Kebelakangan ini terdapat maklumat telah tersebar di media sosial berkenaan tarikh hari raya tahun 2023 adalah lebih awal sehari berbanding kalender sehingga masyarakat tertanya-tanya serta menimbulkan kegusaran sesetengah pihak.

Justeru orang awam dinasihatkan agar berhati-hati dalam membuat kenyataan sehingga boleh menimbulkan kerunsingan dalam masyarakat.

Umat islam di negara ini juga dinasihat agar tidak membandingkan penetapan satu Syawal dengan negara lain kerana ia dipengaruhi pelbagai faktor termasuk aspek geografi dan kaedah penentuannya yang berbeza.

Sebaiknya adalah menyerahkan penetapan tarikh baharu bagi sesuatu bulan hijri terutama melibatkan ibadah puasa, perayaan hari raya dan hari raya korban kepada pihak berwajib setelah keputusan cerapan hilal diseluruh negara diperolehi dan pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Kredit: Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia JUPEM

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!