Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik Malaysia (RTPMM) 2026–2035 merupakan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkukuh pengajaran, pembelajaran dan penguasaan Matematik di sekolah dalam tempoh 10 tahun.
Pelan ini bukan sekadar memberi fokus kepada pencapaian murid dalam peperiksaan, tetapi turut menekankan kemahiran menyelesaikan masalah, pemikiran kritis dan kreatif, kompetensi guru serta penggunaan teknologi dalam pembelajaran Matematik.
Baca lanjut: Permohonan Pelajar Ting 1 Rancangan Pendidikan Khas KPM-YS 2027
Apakah RTPMM 2026–2035?
RTPMM 2026–2035 ialah rancangan 10 tahun KPM untuk memperkukuh cara Matematik diajar, dipelajari dan dikuasai di sekolah.
Melalui rancangan ini, KPM mahu mewujudkan perubahan yang lebih menyeluruh dalam pendidikan Matematik serta menyediakan peluang pembelajaran yang lebih bermakna kepada murid.
Tiga fokus utama yang diketengahkan ialah:
- Pengajaran yang lebih berkesan
- Pembelajaran yang lebih bermakna
- Penguasaan Matematik yang lebih kukuh
Aspirasi utama RTPMM adalah untuk melahirkan “Murid Celik Matematik” yang bukan sahaja memahami konsep Matematik, tetapi mampu menggunakannya dalam kehidupan sebenar.

Apakah objektif RTPMM 2026–2035?
RTPMM 2026–2035 mempunyai enam objektif utama, iaitu:
1. Melahirkan Murid yang Celik Matematik
Murid akan dibimbing untuk mempunyai kefahaman yang lebih mendalam terhadap konsep Matematik serta mampu menyelesaikan masalah secara kreatif, logik dan sistematik dalam pelbagai situasi kehidupan sebenar.
2. Memperkasa Potensi Intelektual dan Emosi Murid
Pembelajaran Matematik akan diperkaya melalui pengalaman yang lebih mencabar, menyeronokkan dan berfokus kepada pemikiran aras tinggi.
Pada masa sama, pembelajaran turut mengambil kira nilai murni dan kemahiran insaniah murid.
3. Membangunkan Kompetensi Guru Matematik
RTPMM turut memberi perhatian kepada guru melalui latihan, sokongan pedagogi dan pembangunan kerjaya secara berterusan.
Matlamatnya adalah untuk membantu guru melaksanakan pengajaran Matematik yang lebih berkesan.
4. Mengintegrasikan Matematik Merentas Disiplin
Ilmu Matematik akan diterapkan dalam pelbagai bidang melalui kurikulum dan kokurikulum yang lebih relevan serta kontekstual.
Pendekatan STEM dan kemahiran abad ke-21 turut diberi penekanan.
5. Menyediakan Ekosistem Pembelajaran yang Lebih Baik
KPM mahu menyediakan persekitaran pembelajaran Matematik yang lebih menyeluruh dan mesra murid.
Ini termasuk penggunaan sumber pengajaran yang pelbagai dan interaktif serta teknologi pendidikan bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat.
6. Meningkatkan Pencapaian dan Penguasaan Matematik
RTPMM menyasarkan peningkatan penguasaan Matematik murid secara menyeluruh, saksama dan berdaya saing, selaras dengan penanda aras antarabangsa serta keperluan masa depan negara.

6 Teras Taktikal RTPMM 2026–2035
Untuk mencapai objektif tersebut, RTPMM menggariskan enam teras taktikal:
TT01 – Memperkukuh tadbir urus
Memperkukuh tadbir urus bagi memastikan pelaksanaan pendidikan Matematik lebih cekap.
TT02 – Kurikulum dan pentaksiran
Membangunkan kurikulum yang lebih luwes dan bermutu serta memperkukuh pentaksiran autentik.
TT03 – Kompetensi guru Matematik
Memperkasa kompetensi guru melalui latihan berstruktur yang berfokuskan teknologi dan standard antarabangsa.
TT04 – Aktiviti kokurikulum dan program sokongan
Memperkaya aktiviti kokurikulum serta program sokongan bagi meningkatkan minat dan keyakinan murid dalam Matematik.
TT05 – Prasarana dan teknologi
Menyediakan prasarana, akses teknologi dan bahan bermutu untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih bermakna.
TT06 – Jaringan kolaboratif
Memperkukuh jalinan dan jaringan kolaboratif supaya pendidikan Matematik sentiasa selari dengan keperluan global.

Apakah Sasaran Utama RTPMM?
Antara keutamaan yang digariskan dalam RTPMM 2026–2035 ialah:
- Murid mencapai sekurang-kurangnya gred C bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.
- Malaysia mencapai skor purata yang setara dengan standard pentaksiran antarabangsa.
- Semua murid menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.
- Semua murid menguasai literasi dan numerasi pada akhir Tahap 1.
Soalan Lazim RTPMM 2026–2035
Rancangan 10 tahun KPM untuk memperkukuh pendidikan Matematik di sekolah.
Untuk meningkatkan kualiti pengajaran, pembelajaran dan penguasaan Matematik murid.
Pengajaran lebih berkesan, pembelajaran lebih bermakna dan penguasaan Matematik lebih kukuh.
Melahirkan murid celik Matematik yang mampu berfikir secara kritis, kreatif dan menyelesaikan masalah.
Ya. Kompetensi guru akan diperkasa melalui latihan, sokongan pedagogi dan pembangunan kerjaya.
Ya. RTPMM turut menekankan penggunaan teknologi, prasarana dan bahan pembelajaran bermutu.
RTPMM akan dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun, dari 2026 hingga 2035.
Baca lanjut: Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035: Intipati & Pembaharuan KPM




