10 Makanan Sabah Yang Unik dan Popular di Malaysia

Malaysia adalah negara yang kaya dengan tradisi warisan daripada pelbagai suku kaum.

Selain kaum majoriti iaitu Melayu, Cina dan India, terdapat pelbagai lagi suku kaum dengan tradisi yang unik di Sabah dan Sarawak.

Dalam artikel kali ini, kami ingin berkongsikan kepelbagaian makanan Sabah yang cukup menarik dan wajib dicuba jika anda ke Negeri di Bawah Bayu.

10 Makanan Sabah Yang Unik dan Wajib Dicuba

1. Ambuyat

Juga dikenali sebagai Linut, Ambuyat merupakan sejenis makanan yang diperbuat daripada bahagian batang dalam sagu sawit.

Hidangan ini cukup popular di labuan serta beberapa negeri Borneo seperti Sarawak dan Brunei.

Biasanya, Ambuyat dimakan menggunakan garpu buluh yang dipanggil candas. Kanji Ambuyat akan dibentukkan di sekitar mata garfu dan kemudian dicelupkan ke dalam sos.

Sumber : Brunei Tourism

2. Latok

Latok merupakan sejenis rumpai laut yang sering dinikmati oleh suku kaum Bajau Laut dan Sulu di Sabah terutamanya di Semporna.

Rumpai laut ini juga dikenali sebagai anggur laut dan sering dimakan bersama nasi dan lauk pauk lain sebagai ulam-ulaman.

Latok mengandungi pelbagai manfaat untuk kesihatan antara menguatkan tulang dan sendi, mengawal paras gula dalam darah dan mempunyai kebaikan antioksida dan antibakteria.

Sumber : Facebook SABAH, Malaysian Borneo
Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

2. Jeruk Tuhau

Tuhau adalah sejenis tumbuhan yang berada dalam keluarga yang sama seperti lengkuas dan halia.

Ia sering dijumpai tumbuh secara liar di paya atau tepi sungai.

Mempunyai rasa yang masam, pedas dan harum, jeruk ini dihasilkan dengan mencincang tuhau dengan beberapa ramuan lain seperti bawang putih, limau kasturi dan cili padi.

Ia biasanya dimakan bersama nasi dan ikan masin.

Bagi yang belum tahu, Jeruk Tuhau baru-baru ini telah diwartakan sebagai salah satu Warisan Kebangsaan.

3. Bosou

Bosou merupakan sejenis makanan Sabah yang dijeruk dengan nasi serta bahan-bahan lain seperti ikan mentah, lada garam, buah panggi dan beras.

Mempunyai rasa masam dan pedas, ia merupakan makanan tradisional bagi kaum Kadazan-Dusun yang kaya dengan protein dan probiotik.

Bosou biasanya dinikmati bersama ubi kayu atau nasi panas.

Sumber : Facebook Bosou udang

4. Hinava

Hinava atau Hinava Ginapa adalah hidangan tradisional istimewa bagi kaum Kadazan-Dusun di Sabah.

Makanan ini merupakan gabungan isi ikan segar dan dicampurkan dengan pelbagai ramuan lain seperti biji buah bambangan yang telah diparut, cili merah, halia, limau kapas dan bawang merah.

Hidangan ini biasanya disajikan pada Tadau Kaamatan.

makanan sabah
Sumber : munchmalaysia.com

5. Noonsom

Merupakan hidangan istimewa bagi kaum Kadazan-Dusun, Noonsom merupakan hidangan jeruk yang boleh didapati dalam tiga jenis iaitu noonsom sada (ikan), noonsom bambangan (buah) dan noonsom tuhau (tumbuhan).

6. Amplang

Amplang yang berbentuk bulat merupakan antara makanan ringan yang cukup terkenal di Sabah khususnya di Sandakan dan Tawau.

Ia juga merupakan antara kudapan yang digemari pelancong ketika berkunjung ke Sabah.

Mereka pasti akan borong Amplang untuk dihadiahkan kepada saudara mara.

Mempunyai rasa seperti keropok, amplang diperbuat daripada ikan tenggiri yang dicampurkan dengan tepung ubi dan tepung gandum.

Ia kemudiannya digoreng untuk dijadikan keropok.

makanan sabah

7. Linopot

Linopot diperbuat daripada nasi atau keladi yang telah dihancurkan dan dibungkus menggunakan daun tarap.

Suatu ketika dahulu, Linopot sering disediakan kerana ia mudah untuk dibawa sebagai bekalan ke hutan atau ladang.

Kini, ia sering disajikan pada majlis keramaian dan Musim Menuai bagi kaum Kadazan-Dusun.

makanan sabah
Sumber ; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya

8. Barobbo

Barobbo merupakan makanan Sabah yang popular dalam kalangan suku kaum Bugis di Sabah khususnya di daerah Tawau dan Sandakan.

Ia adalah hidangan bubur nasi yang dimasak menggunakan jagung manis. Ia biasanya dinikmati ketika berkumpul dengan keluarga seperti pada hujung minggu.

makanan sabah

9. Pinasakan Sada

Pinasakan Sada atau Pinarasakan adalah juadah tradisional bagi kaum Kadazan-Dusun dan cukup terkenal di Sabah.

Makanan ini dihasilkan daripada ikan basung yang telah ditumis dan diperasakan dengan bahan-bahan lain seperti buah bambangan, takob akob, garam dan kunyit.

makanan sabah

 10. Hinompuka

Sering dinikmati sebagai kudapan pada waktu petang, Hinompuka merupakan kuih tradisional bagi masyarakat Kadazan di Sabah.

Ia dihasilkan daripada 3 jenis beras pulut bersama santan kelapa. Kemudian, ia dibungkus dengan daun pisang dan dikukus.

makanan sabah

Tak sangka terdapat pelbagai makanan Sabah yang cukup unik dan menarik untuk dicuba.

Dengan menggunakan ramuan yang hanya dijumpai di Borneo seperti tuhau, bambangan dan takob akob, sudah tentu ia bakal memberikan pengalaman berbeza khususnya bagi yang pertama kali mencuba.

Sumber : Sabah Local Products, I Love Borneo

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!