Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3/2026 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 20 Oktober 2026 telah memutuskan larangan penggunaan aplikasi Waze dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.
Berikut adalah maklumat dan info lanjut mengenai larangan ini.
Baca lanjut: Trade-In Kereta Lama Untuk Deposit Kereta Baru: Untung Atau Rugi?
KERAJAAN ARAH HENTI GUNA APLIKASI NAVIGASI MILIK ISRAEL
YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah memutuskan supaya penggunaan aplikasi navigasi Waze dilarang dalam kalangan seluruh penjawat awam bagi melindungi maklumat Kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.
Keputusan ini mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd. selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.
Maklumat sensitif Kerajaan dan data peribadi rakyat mesti dilindungi daripada diperalat rejim Israel hingga menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.
Pada masa sama, YAB Perdana Menteri menyarankan seluruh rakyat Malaysia supaya turut berhenti menggunakan aplikasi Waze dan beralih kepada aplikasi alternatif tempatan seperti TuJu dengan mengambil kira jaminan keselamatan serta perlindungan data peribadi yang ditawarkan.
Pendirian Kerajaan MADANI adalah tegas dan kita akan menutup sebarang ruang yang boleh dimanfaatkan oleh rejim Israel untuk mengancam keselamatan negara dan rakyat.
PEJABAT PERDANA MENTERI
21 Oktober 2026

Kenyataan Media Majlis Keselamatan Negara (MKN)


Apa Itu Aplikasi Waze?
Waze ialah merupakan aplikasi navigasi GPS percuma untuk telefon pintar sebagai pemandu arah dan pengguna juga dapat menyumbang dengan melaporkan keadaan trafik seperti penutupan jalan, kemalangan dan sekatan jalan raya.
Aplikasi ini akan membantu pemandu secara digital dengan menggunakan teknologi satelit ketika memandu kenderaan itu mencari destinasi.
Penggunaan aplikasi ini akan menggunakan data lokasi dan maklumat daripada komuniti pengguna untuk memberikan panduan trafik secara masa nyata.
Dengan adanya aplikasi ini, ia memudahkan para pemandu sama ada di bandar-bandar sibuk mahupun jalan kampung yang berliku-liku termasuk di Malaysia.
Oleh kerana itu, aplikasi ini merupakan antara aplikasi navigasi paling popular di Malaysia selain daripada Google Maps.
Ciri-Ciri Aplikasi Navigasi
Aplikasi navigasi sama ada Waze, Google Maps atau sebagainya mempunyai ciri-ciri berikut:
- Navigasi laluan masa nyata (ETA)
- Papar trafik secara langsung
- Arahan suara
- Carian kemudahan berdekatan (seperti stesen minyak dan surau)
- Pemberitahuan kemalangan atau laluan alternatif

Larangan Penggunaan Aplikasi Waze Oleh Penjawat Awam
Menurut Ketua Setiasaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, larangan penggunaan aplikasi Waze oleh anggota perkhidmatan awam kerana aplikasi ini merupakan aplikasi yang berpangkalan di Israel.
Ini kerana terdapat risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang Kerajaan Israel.
Memetik daripada laporan Malaysiakini, pada 2024 pengguna di seluruh dunia termasuklah Malaysia telah mengalami gangguan teknikal yang menyebabkan bahasa paparan aplikasi itu bertukar kepada bahasa Ibrani yang secara tidak langsung mengaitkan aplikasi tersebut dengan hubungannya terhadap Israel.
Malah, sebelum ini Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil telah menggesa kerajaan mempertimbangkan sekatan terhadap Waze di negara ini selepas meneliti terma penggunaannya yang dikemas kini pada 8 Julai.
Ini kerana terma terkini aplikasi tersebut menyatakan perkhidmatan Waze disediakan oleh Waze Mobile Ltd, syarikat yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel serta beralamat di Tel Aviv.
Walaupun secara rekod Google mengambil alih Waze pada 2013, namun terma penggunaan dan dasar privasi terkini masih menamakan syarikat berpangkalan di Israel itu sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan dan data pengguna.


Tindakan Kalau Penjawat Awam Tetap Guna Waze?
Menurut Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Raja Nushirwan Zainal Abidin, penjawat awam boleh dikenakan tindakan tatatertib sekiranya didapati melanggar arahan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze yang berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata pelaksanaan arahan yang dikeluarkan menerusi surat edaran Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar itu, dipantau secara rapi pada peringkat kementerian dan agensi oleh ketua jabatan masing-masing.
Aplikasi Alternatif
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan orang ramai untuk menggunakan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.
Apakah yang dimaksudkan dengan aplikasi TuJu ini?

TuJu merupakan aplikasi navigasi lebuh raya tempatan yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan kerjasama Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB).
Aplikasi ini dicipta sebagai alternatif kepada aplikasi luar seperti Waze dan Google Maps untuk membantu pemandu merancang perjalanan di Malaysia
Antara ciri-ciri menarik aplikasi ini adalah seperti:
- Data Rasmi LLM: Pengguna akan memperoleh maklumat trafik, kemalangan, dan kerja penyelenggaraan terus daripada pihak berkuasa lebuh raya.
- Akses CCTV Live: Pengguna boleh menonton keadaan trafik lebuh raya secara langsung menerusi kamera litar tertutup LLM.
- Maklumat Tol Terperinci: Paparan kos tol semasa juga dipaparkan serta jenis lorong (RFID, Touch ‘n Go, PayWave).
- Mesra Pengguna Tempatan: Aplikasi ini menyenaraikan lokasi Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), stesen minyak, surau, dan status stesen pengecas kenderaan elektrik (EV).
- Bantuan Kecemasan & Aduan: Pengguna memperoleh sambungan pantas ke talian SOS konsesi lebuh raya serta fungsi pelaporan kerosakan jalan melalui MyJalan.

Cara Penggunaan Aplikasi TuJu
Untuk menggunakan aplikasi ini, sila ikuti langkah-langkah berikut:
- Muat turun aplikasi ini di pautan berikut:
– Google Play: https://play.google.com/store/apps/details?id=tuju.my&hl=ms
– Apple App Store: https://apps.apple.com/my/app/tuju/id6463124230 - Masukkan nama tempat yang ingin dituju.
- Kemudian, pengguna akan dipaparkan peta untuk terus ke laluan destinasi tersebut.
- Pengguna akan dipaparkan maklumat ETA, jarak perjalanan, dan laluan perjalanan.

Kenapa Kerajaan Saran Henti Guna Waze?
Saranan ini dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan utama:
- Pengumpulan data pengguna: Melibatkan maklumat lokasi, pergerakan dan perjalanan.
- Perundangan: Terma penggunaan Waze tertakluk kepada undang-undang Israel.
- Keselamatan negara: Data pergerakan berpotensi mendedahkan maklumat sensitif.

Soalan Lazim
Kerajaan telah mengeluarkan Surat Arahan Ketua Setiausaha Negara berhubung Larangan Penggunaan Aplikasi Navigasi Waze Bagi Anggota Perkhidmatan Awam pada 20 Oktober 2026 (Selasa), susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada hari yang sama.
Keputusan ini dibuat mengambil kira aspek keselamatan dan perlindungan data pengguna di Malaysia memandangkan aplikasi navigasi Waze mengumpul pelbagai maklumat, termasuk data lokasi, pergerakan, perjalanan serta maklumat peranti pengguna. Selain itu, Terma Penggunaan aplikasi berkenaan turut memperuntukkan pemakaian undang-undang negara Israel serta bidang kuasa mahkamah negara Israel bagi pertikaian berkaitan penggunaan perkhidmatan tersebut.
Larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze terpakai kepada semua penjawat awam pada setiap masa, sama ada semasa menjalankan tugas rasmi mahupun bagi urusan peribadi (tidak rasmi), termasuk di luar waktu bekerja.
Ya. Selaras dengan arahan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze yang terpakai kepada semua penjawat awam pada setiap masa, sama ada bagi urusan rasmi mahupun tidak rasmi, penjawat awam adalah disarankan untuk menyahpasang (uninstall) aplikasi tersebut daripada peranti masing-masing dan beralih kepada aplikasi navigasi alternatif yang bersesuaian.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan dan kedaulatan maklumat negara, khususnya bagi mengurangkan risiko pengumpulan data lokasi dan pergerakan pengguna, termasuk di luar waktu bekerja.
Aplikasi Waze dibangunkan oleh Waze Mobile Ltd. yang merupakan sebuah syarikat yang didaftarkan dan diperbadankan menurut undang-undang negara Israel.
Terma Penggunaan Aplikasi Waze menyatakan seperti yang berikut:
“GOVERNING LAW AND JURISDICTION These Terms will be governed solely by the laws of the State of Israel, without giving effect to any conflicts of law principles. Any dispute, claim or controversy arising out of, connected with or relating to these Terms and the Service, will be under the exclusive jurisdiction of the competent court in the Tel Aviv district in Israel.”.
Terma Penggunaan Aplikasi Waze memperuntukkan bahawa penggunaan Aplikasi Waze adalah ditadbir sepenuhnya mengikut undang-undang negara Israel dan apa-apa tuntutan, pertikaian adalah di bawah bidang kuasa eksklusif mahkamah di daerah Tel Aviv, Israel.
Penggunaan Aplikasi Waze boleh dilihat dalam konteks risiko yang timbul daripada penggunaan perkhidmatan yang disediakan oleh organisasi atau penyedia perkhidmatan luar. Penilaian terhadap risiko tersebut, antara lain, hendaklah mengambil kira:
a. jenis data yang diakses oleh aplikasi;
b. keperluan kebenaran (permissions) yang diberikan kepada aplikasi;
c. lokasi dan bidang kuasa tempat data diproses;
d. dasar penyimpanan dan tempoh penyimpanan data;
e. mekanisme perkongsian data dengan pihak ketiga; dan
f. kawalan keselamatan yang dilaksanakan oleh penyedia aplikasi.
Polisi Privasi Aplikasi Waze turut menunjukkan bahawa skop maklumat yang dikumpul melalui penggunaan Aplikasi Waze adalah lebih luas daripada maklumat lokasi semata-mata. Pengumpulan tersebut merangkumi maklumat terperinci berkaitan lokasi, perjalanan dan laluan pengguna, termasuk data GPS dan sensor peranti yang digabungkan dengan cap masa (time-stamp), alamat IP serta maklumat daripada sensor atau penerima lain pada atau di sekitar peranti.
Polisi tersebut juga menyatakan bahawa, bergantung kepada tetapan peranti dan akaun pengguna, maklumat berkaitan lokasi dan perjalanan boleh dikumpulkan walaupun aplikasi tidak sedang digunakan secara aktif.
Dalam konteks keselamatan siber, skop pengumpulan sedemikian adalah relevan kerana data yang dikumpulkan secara berterusan atau berulang boleh, apabila dianalisis secara agregat, mendedahkan corak pergerakan dan aktiviti pengguna.
Polisi Privasi Aplikasi Waze menunjukkan bahawa skop maklumat yang dikumpul melalui penggunaan Aplikasi Waze adalah lebih luas daripada maklumat lokasi semata-mata. Pengumpulan tersebut merangkumi maklumat terperinci berkaitan lokasi, perjalanan dan laluan pengguna, termasuk data GPS dan sensor peranti yang digabungkan dengan cap masa (time-stamp), alamat IP serta maklumat daripada sensor atau penerima lain pada atau di sekitar peranti. Polisi tersebut juga menyatakan bahawa, bergantung kepada tetapan peranti dan akaun pengguna, maklumat berkaitan lokasi dan perjalanan boleh dikumpulkan walaupun aplikasi tidak sedang digunakan secara aktif.
Walaupun tiada bukti bahawa Aplikasi Waze menjalankan analisis sedemikian terhadap penggunanya, kemungkinan data yang dikumpulkan digunakan atau terdedah kepada analisis sedemikian tetap merupakan risiko yang perlu dipertimbangkan.
“Anggota perkhidmatan awam” adalah seperti yang ditakrifkan di bawah Fasal (1) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan iaitu angkatan tentera, perkhidmatan kehakiman dan perundangan, perkhidmatan awam am Persekutuan, pasukan polis, perkhidmatan awam bersama yang disebut dalam Perkara 133, perkhidmatan awam setiap Negeri dan perkhidmatan pendidikan.
Secara umumnya, Google menawarkan perkhidmatan penggunanya termasuk Aplikasi Google Maps melalui salah satu daripada dua (2) syarikat seperti yang berikut:
a. Google Ireland Limited, bagi Kawasan Ekonomi Eropah (negara-negara Kesatuan Eropah serta Iceland, Liechtenstein dan Norway) atau Switzerland; dan
b. Google LLC, yang berpusat di Amerika Syarikat, bagi pengguna di seluruh dunia selain kawasan yang dinyatakan di atas.
Terma Penggunaan Aplikasi Google Maps menyatakan bahawa semua pertikaian yang timbul daripada atau berkaitan dengan Terma Penggunaan Aplikasi Google Maps, terma tambahan khusus bagi perkhidmatan atau mana-mana perkhidmatan berkaitan akan ditadbir oleh undang-undang Negeri California, tanpa mengambil kira mana-mana undang-undang pertikaian antarabangsa (conflict of laws rules).
Pertikaian tersebut hendaklah diselesaikan secara eksklusif di mahkamah persekutuan atau mahkamah negeri di daerah Santa Clara, California, Amerika Syarikat, dan pengguna Aplikasi Google Maps bersetuju untuk tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah-mahkamah tersebut.
Setakat mana undang-undang tempatan yang terpakai menghalang pertikaian tertentu daripada diselesaikan di mahkamah California, pengguna Aplikasi Google Maps boleh memfailkan pertikaian tersebut di mahkamah tempatan
Penjawat awam boleh menggunakan aplikasi navigasi alternatif selain Waze, selagi aplikasi tersebut tidak tertakluk kepada undang-undang atau bidang kuasa perundangan Israel. Antara aplikasi navigasi alternatif yang tersedia di Malaysia adalah seperti berikut:
Aplikasi Tempatan
TuJu – dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM);
PINTAZ – aplikasi navigasi yang dibangunkan oleh pembangun tempatan.
Aplikasi AntarabangsaGoogle Maps (Amerika Syarikat);
Apple Maps (Amerika Syarikat);
HERE WeGo (Belanda);
Sygic (Slovakia); dan
Petal Maps (Huawei).
Penggunaan aplikasi alternatif tersebut hendaklah mengambil kira aspek keselamatan, perlindungan data pengguna serta bidang kuasa perundangan yang berkaitan.
Baca lanjut: TuJu – Lebih ‘Mesra Malaysia’, 5 Sebab Kena Guna App Ni!




