Lagu Negaraku : Lirik, Sejarah, Pencipta & Muat Turun Audio

Lagu Negaraku : Sejarah, Maksud, Lirik & Muat Turun Audio

Lagu kebangsaan merupakan lambang kebesaran sesebuah negara selain daripada bendera. Ia juga melambangkan identiti dan jati diri sesebuah negara tersebut.

Sebagai rakyat Malaysia, kita wajar menghayati sejarah serta maksud di sebalik lagu Negaraku yang kita nyanyikan sejak di bangku sekolah.


Lagu Negaraku telah diangkat sebagai lagu kebangsaan Malaysia dan diperdengarkan buat julung kalinya selepas detik 12 malam 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor.

Bermula dari detik itu, lagu Negaraku terus kekal menjadi lagu rasmi negara.

Mungkin ada yang belum tahu, namun lagu ini mempunyai sejarah yang cukup menarik. Ayuh kita ketahui dengan lebih lanjut mengenai lagu Negaraku.

Baca Juga : Rukun Negara Malaysia : 5 Prinsip, Teks & Sejarah Pembentukan

Lagu Negaraku

Sejarah Lagu Negaraku

Semasa negara berada di ambang kemerdekaan sekitar tahun 1956, semua negeri di Tanah Melayu sudah pun mempunyai kebesarannya sendiri. Jadi, wajarlah negara kita mempunyai satu lagu untuk diangkat sebagai lagu kebangsaan.

YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang menggalas jawatan Ketua Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri ketika itu telah membuat keputusan bahawa sebuah kebangsaan perlu dicipta sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Oleh itu, sebuah pertandingan mencipta lagu kebangsaaan telah diadakan. Lebih menarik lagi, penyertaan tidak hanya terhad kepada penduduk tempatan, malah ia turut menerima penyertaan dari seluruh dunia. Difahamkan sebanyak 514 lagu telah diterima dari serata dunia.

Sumber : Jabatan Penerangan Malaysia

Jawatankuasan Khas Pemilihan Lagu Kebangsaan

Lagu kebangsaan tidaklah dipilih sewenang-wenangnya, malah sebuah jawatankuasa telah dibentuk bagi membuat pilihan tepat. Jawatankuasa ini terdiri daripada :

Pengerusi :

YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Ahli-ahli :

  1. Haji Mustafa Albakri, Penyimpan Mohor Besar Raja Mealyu mewakili Raja-Raja
  2. Tun Abdul Razak Hussein, Menteri Pelajaran
  3. Tan Sri Ya’akob Latiff, Pengarah Penerangan
  4. DSP Croft, Pengarah Muzik, Band Polis Persekutuan
  5. Kapt Lenthall, Pengarah Muzik, Askar Melayu
  6. AT Read, Pengarah Penyiaran Radio

Setiap lagu yang diterima telah diteliti satu persatu. Namun, jawatankuasa berpendapat bahawa tiada lagu yang sesuai untuk dipilih dan dijadikan lagu kebangsaan.

Oleh itu, jawatankuasa kemudiannya mencadangkan untuk mempelawa beberapa orang penggubah lagu terkenal dan bertaraf antarabangsa untuk mencipta lagu kebangsaan iaitu :

  • Benjamin Britten
  • Sir William Walton
  • Gian Carlo Menetti
  • Zubir Said

Mereka telah menggubah dan mencipta beberapa lagu yang bermutu tinggi namun jawatankuasa berpendapat bahawa lagu ciptaan mereka masih tidak sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan.

Pemilihan Lagu Kebangsaan Berdasarkan Lagu Kebesaran Negeri

Akhirnya, jawatankuasa membuat keputusan untuk mendengar kesemua lagu kebesaran negeri yang sedia ada bagi mengenalpasti lagu yang sesuai dijadikan lagu kebangsaan.

Pada 5 Ogos 1957, lagu kebesaran negeri Perak “Allah Lanjutkan Usia Sultan” telah dipilih menjadi lagu kebangsaan kerana didapati mempunyai unsur kemelayuan.

Upacara pemilihan lagu kebangsaan telah berlangsung di Dewan Polis Depoh, Kuala Lumpur.

Sebanyak empat buah lagu telah diperdengarkan oleh Pasukan Pancawagam Polis Diraja. Pemilihan dibuat oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan Lagu Kebangsaan.

Keputusan ini kemudiannya dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dan telah dipersetujui.

Apabila telah memilih lagu kebangsaan, tajuk dan seni kata lagu kebangsaan perlu ditambah baik.

Kerajaan menawarkan RM 1,000 kepada penggubah untuk mencipta seni kata lagu kebangsaan. Tawaran ini telah dimenangi oleh Encik Saiful Bahri bin Elyas.

Lagu Negaraku

Akta Lagu Kebangsaan 1968

Seperti yang termaktub dalam Akta Lagu Kebangsaan 1968, lirik lagu Negaraku hanya menggunakan satu bahasa sahaja iaitu Bahasa Melayu dan ia mesti dinyanyikan dalam Bahasa Melayu.

Oleh itu, penggunaan bahasa lain diibaratkan tidak menghormati isi kandungan akta tersebut.

Maksud Lirik Lagu Negaraku

LIRIK LAGU NEGARAKU

Negaraku
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup
bersatu dan maju,
Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,
Raja kita
selamat bertakhta,
Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan.
Raja kita
selamat bertakhta

Berdasarkan perkongsian daripada Jabatan Penerangan Malaysia, lirik lagu Negaraku membawa maksud seperti berikut :

  • Menyeru rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan sosiobudaya hidup bersatu padu dan mengejar pelbagai kemajuan.
  • Memohon rahmat dan kebahagiaan daripada Tuhan untuk kesejahteraan raja, rakyat dan negara Malaysia.
  • Berdoa kepada Tuhan untuk keselamatan negara.
  • Menuntut kita supaya bersyukur, taat kepada raja dan sanggup berkorban demi mempertahankan negara.
  • Menggambarkan kesetiaan rakyat yang tidak berbelah bagi kepada tanah air.
Lagu Negaraku
Celeration of 60th Merdeka day 2017 in Dataran Merdeka. .- Art Chen / The Star.

Kepentingan

Lagu kebangsaan turut memainkan peranan penting bagi negara iaitu :

  • Meningkatkan ketaatan dan kesetiaan kepada Raja.
  • Menyerlahkan semangat patriotik.
  • Menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
  • Memupuk perpaduan dan keharmonian.
  • Meningkatkan usaha untuk memajukan diri sendiri.
  • Lambang kemegahan dan kebanggaan rakyat Malaysia.
Lagu Negaraku

Lagu Negaraku merupakan simbol semangat patriotik yang mekar dalam setiap rakyat Malaysia.

Adalah tanggunggjawab kita untuk menghayati maksud dan serta memeliharanya demi kedaulatan negara. Semoga perkongsian ini dapat menanam rasa cinta yang lebih mendalam pada negara.

Sumber : Jabatan Penerangan Malaysia

Muat Turun Audio

EDARAN LAGU NEGARAKU – DISEMBER 2022

Dengan segala hormatnya saya diarah merujuk kepada perkara di atas.

2. Bersama-sama ini disertakan Lagu Negaraku – Disember 2022 yang telah diterbitkan oleh Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) untuk perhatian pihak YBhg. Datuk / Dato’ / YBrs Tuan / Puan jua. Mohon kerjasama pihak YBhg. Datuk / Dato’ / YBrs Tuan / Puan untuk memanjangkan edaran lagu ini kepada semua Jabatan/Agensi/Bahagian yang berkaitan.

PAUTAN: https://drive.google.com/drive/u/0/folders/1rqP_Wfx3Pl5hBWasQOwf14VPjRCBZQho?fbclid=IwAR1iyOhIgyH-TfQ6SnVx3pVfbqRZc9E6lWvZb4rYUayX1M440P3qggbGDAY

3. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berhubung perkara ini, pihak YBhg. Datuk / Dato’ / YBrs Tuan / Puan boleh menghubungi Puan Fadhlina binti Ahmad, Penolong Pengarah Bahagian Perhubungan Awam di talian 03-2288 7200 atau e-mel [email protected]

4. Segala perhatian dan kerjasama YBhg. Datuk / Dato’ / YBrs Tuan / Puan berhubung perkara ini amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Saya yang menjalankan amanah,

INTAN NADIA BINTI YATIM

Bahagian Komunikasi Strategik dan Korporat

Kementerian Komunikasi Digital

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!