Yuran tahunan kad kredit sering menjadi faktor penentu utama bagi pengguna apabila memilih produk kewangan ini, lantas tawaran “tanpa yuran tahunan” kelihatan seperti tawaran yang paling menarik dan menguntungkan.
Namun, persoalan yang sering bermain di fikiran pengguna adalah sama ada kad kredit tanpa yuran tahunan ini benar-benar percuma atau terdapat elemen-elemen lain yang secara tidak langsung mengenakan kos kepada pengguna.
Sebelum membuat keputusan, adalah lleebih baik anda menganalisis pelbagai aspek yang perlu difahami sebelum anda membuat keputusan untuk memohon kad kredit yang diiklankan sebagai bebas daripada caj tahunan, seterusnya membantu anda menjadi pengguna yang lebih bijak dan bertanggungjawab.
Yuran Tahunan Kad Kredit

Kad kredit tanpa yuran tahunan ialah kad kredit yang tidak mengenakan bayaran tahunan kepada pemegang kad untuk mengekalkan akaun mereka aktif.
Yuran ini biasanya ialah caj yang dikenakan oleh bank sekali setahun untuk penggunaan kad kredit tersebut, tanpa mengira sama ada anda menggunakannya atau tidak.
Dalam kes kad tanpa yuran tahunan, bank ini menghapuskan caj tersebut, menjadikannya pilihan yang menarik bagi mereka yang ingin mengurangkan kos pemilikan kad kredit.
Terdapat dua jenis utama kad kredit sebegini di pasaran Malaysia.
Yang pertama ialah kad yang benar-benar percuma seumur hidup, tanpa sebarang syarat yang perlu dipenuhi oleh pemegang kad dan contoh kad dalam kategori ini termasuk Kad Kredit CIMB e yang menawarkan pengecualian yuran tahunan seumur hidup tanpa sebarang syarat.
Kad Kredit BSN-TEACHERS juga menawarkan tiada yuran tahunan sepanjang hayat tanpa sebarang syarat untuk kedua-dua kad utama dan kad tambahan
Yang kedua ialah kad yang menawarkan pengecualian yuran tahunan bersyarat, di mana pemegang kad perlu memenuhi syarat tertentu untuk mendapatkan pengecualian tersebut.
Sebagai contoh, kad kredit dari Hong Leong Bank menawarkan pengecualian yuran tahunan secara automatik dengan sekurang-kurangnya satu transaksi runcit dalam masa 45 hari dari tarikh kelulusan kad.
Ini bermakna selagi anda menggunakan kad anda sekali dalam tempoh tersebut, anda tidak akan dikenakan yuran tahunan.
Kelebihan

Salah satu kelebihan utama kad kredit sebegini adalah ialah ia membantu pengguna menjimatkan kos tetap setiap tahun. Ini sangat sesuai bagi mereka yang jarang menggunakan kad kredit atau hanya menggunakannya untuk transaksi tertentu.
Selain itu, kad jenis ini juga memberikan fleksibiliti kepada pengguna untuk memiliki lebih daripada satu kad tanpa perlu risau tentang yuran tahunan yang tinggi. Ini membolehkan mereka memanfaatkan pelbagai tawaran seperti cashback atau mata ganjaran daripada kad yang berbeza.
Bagi pengguna baharu, kad kredit sebegini juga merupakan pilihan yang baik untuk mula membina sejarah kredit tanpa beban kos tambahan.
Sama ada kad kredit sebegini sesuai atau tidak bergantung kepada corak penggunaan anda dan jika anda seorang pengguna yang disiplin dan sentiasa melangsaikan baki penuh setiap bulan, kad ini boleh menjadi pilihan yang sangat baik kerana anda tidak perlu membayar yuran tahunan.
Sebaliknya, jika anda sering membawa baki tertunggak, kadar faedah yang dikenakan mungkin akan melebihi manfaat penjimatan yuran tahunan.
Dalam situasi ini, kad dengan yuran tahunan tetapi kadar faedah lebih rendah mungkin lebih sesuai.
Artikel berkaitan: Kad Kredit: Kesan Bayar Bayaran Minimum Sahaja Setiap Bulan?
Kekurangan dan Realiti Tersembunyi

Walaupun nampak menarik, kad kredit tanpa yuran tahunan juga mempunyai beberapa kekurangan yang perlu diberi perhatian. Salah satu daripadanya ialah manfaat yang ditawarkan mungkin lebih terhad berbanding kad yang mengenakan yuran tahunan.
Sebagai contoh, kad premium dengan yuran tahunan biasanya menawarkan ganjaran lebih tinggi, akses ke lounge lapangan terbang atau perlindungan insurans perjalanan. Sebaliknya, kad tanpa yuran tahunan mungkin hanya menawarkan ganjaran asas.
Selain itu, bank mungkin mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi bagi baki tertunggak. Ini bermakna jika pengguna tidak melangsaikan baki penuh setiap bulan, kos sebenar penggunaan kad boleh menjadi lebih tinggi berbanding kad yang mempunyai yuran tahunan.
Kesimpulannya, jawapan kepada persoalan sama ada kad kredit tanpa yuran tahunan benar-benar “percuma” adalah bergantung sepenuhnya kepada tingkah laku dan disiplin kewangan pengguna itu sendiri.
Dari segi yuran tahunan, ya, ia dikecualikan dan anda tidak perlu membayar caj tersebut. Namun, dari perspektif kos keseluruhan, terdapat peluang untuk dikenakan pelbagai caj lain seperti faedah, caj lewat bayar, yuran pemprosesan ansuran, caj transaksi luar negara, dan cukai perkhidmatan yang wajib dibayar.
Oleh itu, kad kredit sebegini hanya benar-benar “percuma” jika anda menggunakannya dengan penuh tanggungjawab
Arrtikel berkaitan: Kelebihan Kad Kredit Ketika Melancong Berbanding Debit & Tunai




