Faedah Menyertai Aktiviti Kokurikulum: Isi & Contoh Karangan

Isi penting dan contoh karangan berkenaan tajuk faedah menyertai aktiviti kokurikulum boleh dirujuk seperti di bawah.

Murid boleh mengambil isi penting dan contoh karangan yang dikemukakan.

Isi Penting

1. Menyihatkan dan Mencergaskan Badan Pelajar

  • Para pelajar berkemungkinan bebas daripada masalah obesiti yang dialami oleh sesetengah rakyat.
  • Pelajar yang menghadapi masalah obesiti adalah disebabkan kurang bersenam.
  • Melalui aktiviti kokurikulum yang dijalankan, pelajar memerlukan ketangkasan dan ketahanan fizikal.
  • Peluh dan bahan-bahan kumuh yang berbahaya akan dibuang melalui aktiviti kokurikulum.

2. Memenuhi Masa Lapang Pelajar

  • Penglibatan pelajar dalam gejala sosial dapat dikurangkan.
  • Pelajar akan bersikap lebih menghargai masa yang terluang.
  • Contohnya, sekumpulan pelajar yang menyertai aktiviti perkhemahan akan memperoleh banyak pengetahuan tentang cara terbaik berinteraksi dengan alam.
  • Mereka ditanamkan dengan perasaan cinta akan alam sekitar, di samping mengamalkan sikap bekerjasama.

3. Menyemai Nilai-Nilai Murni

  • Nilai-nilai murni seperti bekerjasama, hormat-menghormati, kesopanan
    dan sebagainya dapat diterapkan dan disebatikan.
  • Mereka juga didedahkan untuk mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
  • Mereka juga turut melalui proses pembentukan peribadi yang sempurna.

4. Dapat Mengharumkan Nama Negara

  • Aktiviti kokurikulum merupakan titik permulaan untuk para pelajar mengembangkan bakat yang terpendam.
  • Atlet-atlet negara dicungkil dan digilap melalui aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah.
  • Kebolehan mereka seterusnya digilap oleh jurulatih-jurulatih yang berpengalaman.

Contoh Karangan Faedah Menyertai Aktiviti Kokurikulum

i) PENDAHULUAN

Sistem pendidikan dinegara kita tidak hanya mementingkan pencapaian akademik semata-mata tetapi juga pencapaian dalam bidang kokurikulum. Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mewajibkan aktiviti kokurikulum kepada semua pelajar di seluruh negara. Ini kerana aktiviti kokurikulum bukan sahaja memberi banyak faedah kepada pelajar tetapi dalam masa yang sama mendatangkan pelbagai kebaikan kepada negara.

ii) ISI 1: MENYIHATKAN DAN MENCERGASKAN BADAN PELAJAR

Aktiviti kokurikulum dapat menyihatkan dan mencergaskan tubuh badan pelajar. Dalam hal ini, para pelajar berkemungkinan bebas daripada masalah obesiti yang dialami oleh sesetengah rakyat. Pelajar yang menghadapi masalah obesiti adalah disebabkan kurang bersenam. Melalui aktiviti kokurikulum yang dijalankan, pelajar memerlukan ketangkasan dan ketahanan fizikal. Sebagai contoh, aktiviti merentas desa dan ekspidisi mendaki gunung boleh meningkatkan daya tahan dan stamina pelajar. Dalam masa yang sama juga, peluh dan bahan-bahan kumuh yang berbahaya akan dibuang.

iii) ISI 2: MEMENUHI MASA LAPANG PELAJAR

Selain itu, murid-murid dapat memenuhi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah melalui penglibatan dalam kegiatan kokurikulum. Ini kerana dengan menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum, penglibatan pelajar dalam gejala sosial dapat dikurangkan. Dalam masa yang sama juga, pelajar akan bersikap lebih menghargai masa yang terluang, seperti pepatah ada menyatakan “masa itu emas.” Sebagai contoh, sekumpulan pelajar yang menyertai aktiviti perkhemahan akan memperoleh banyak pengetahuan tentang cara terbaik berinteraksi dengan alam. Mereka akan ditanamkan dengan perasaan cinta akan alam sekitar, di samping mengamalkan sikap bekerjasama dengan peserta perkhemahan yang lain.

iv) ISI 3: MENYEMAI NILAI-NILAI MURNI

Di samping itu, aktiviti kokurikulum juga dapat menyemai nilai-nilai murni dalam diri pelajar supaya menjadi insan yang baik dan berperibadian tinggi. Melalui aktiviti kokurikulum, nilai-nilai murni seperti bekerjasama, hormat-menghormati, kesopanan
dan sebagainya dapat diterapkan dan disebatikan dalam diri pelajar-pelajar. Dalam masa yang sama, mereka juga didedahkan untuk mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Secara tidak langsung, mereka juga turut melalui proses pembentukan peribadi yang sempurna.

v) ISI 4: DAPAT MENGHARUMKAN NAMA NEGARA

Selain itu, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dapat mengharumkan nama sekolah dan negara. Aktiviti kokurikulum merupakan titik permulaan untuk para pelajar mengembangkan bakat yang terpendam dalam diri mereka. Sebagai contoh, atlet-atlet negara seperti Nicol David, Shalin Zulkifli dan lain-lain lagi dicungkil dan digilap melalui aktiviti kokurikulum yang dijalankan di sekolah. Bermula dengan bakat yang semakin terserlah, kebolehan mereka seterusnya digilap oleh jurulatih-jurulatih yang berpengalaman. Oleh itu, untuk membolehkan negara berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain dalam bidang sukan, maka lebih banyak bakat harus dicungkil bagi mengharumkan nama Malaysia.

vi) PENUTUP

Sebagai kesimpulannya, aktiviti kokurikulum banyak membawa kebaikan dan faedah kepada para pelajar. Negara memerlukan generasi yang berwawasan, sihat, berkaliber,
berwibawa, dan berintelek selari dengan modal insan yang memiliki minda kelas pertama. Oleh itu, pelajar hendaklah menyertai aktiviti kokurikulum kerana ia membawa banyak kebaikan kepada diri mereka.

Rujuk : Koleksi Model Karangan / Excellent Model Essays Tahap 1 & 2 (Tahun 1-3 & Tahun 4-6)

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!