Doa Makan – Sebelum & Selepas (JAKIM)

Doa Makan – Sebelum & Selepas (Bahasa Arab, Rumi & Maksudnya)

Doa makan adalah merupakan salah satu doa yang sering diajarkan di sekolah mahupun di rumah sejak kita kanak-kanak lagi. 

Membaca doa sebelum dan selepas makan adalah sebagai tanda mensyukuri nikmat makanan yang Allah kurniakan sekaligus memohon kebaikan daripada apa yang kita makan. 

Berikut dikongsikan beberapa informasi mengenai doa makan dengan lebih lanjut. 

BACA JUGA: Doa Syifa, Selawat Syifa & Ayat-Ayat Syifa Dalam Alquran

Membaca Bismillah Sebelum Makan

Sebelum makan, kita dianjurkan menyebut Bismillah. Hal ini adalah sebagaimana sabda Nabi SAW :

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ طَعَامًا فَلْيَقُلْ : بِسْمِ اللَّهِ، فَإِنْ نَسِيَ فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ : بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ

Maksudnya : “Sekiranya seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (Bismillah). Sekiranya dia terlupa (menyebut nama Allah) pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).” [HR al-Tirmizi (1858)]

Di dalam hadis yang lain, Nabi SAW ada bersabda :

سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بيَمِينِكَ، وَكُلْ ممّا يَلِيكَ

Maksudnya : “Bacalah Bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang paling hampir denganmu.” [HR al-Bukhari (5376) dan Muslim (2022)]

Doa Sebelum Makan 

Menurut laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, riwayat yang menyebutkan bahawa doa sebelum makan dengan lafaz (اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ) adalah hadis yang munkar. 

Walaubagaimanapun doa makan yang sering diajarkan ini boleh diamalkan namun tidak boleh beriktikad bahawa lafaz tersebut daripada Nabi SAW.

Terdapat dalam riwayat yang lain doa yang hampir sama sepertimana yang diamalkan pada hari ini ialah doa yang diajarkan oleh Saidina Ali RA:

بِسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتنَا

Maksudnya: “Dengan nama Allah, Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan kepada kami.”

Terdapat juga riwayat lain yang mempunyai makna hampir sama namun dengan lafaz berbeza. 

Nabi SAW bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ

Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah makanan kami ini dan berilah kami kebaikan daripada makanan tersebut.” – Riwayat al-Tarmizi

Kesimpulannya, anda boleh berdoa sebelum makan dengan mana-mana doa setelah membaca Basmallah. 

Doa Selepas Makan

Diriwayatkan oleh Imam al-Tarmizi dalam Sunan al-Tarmizi, lafaz doa selepas makan adalah seperti berikut:

الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذي أطْعَمَنَا وَسَقانا وَجَعَلَنا مُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang memberikan kami makan dan minum serta menjadikan kami dalam kalangan orang Islam.” – Riwayat al-Tarmizi

Selain itu, disunatkan untuk mengucapkan hamdalah (pujian kepada Allah SWT) selepas makan sebagai tanda syukur atas rezeki yang diberikan.

Doa Jika Terlupa Membaca Basmalah Sebelum Makan

Sekiranya anda terlupa untuk membaca Basmalah di awal (sebelum makan), bacalah pada baki (makanan itu) dengan menyebut;

 بِاسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ 

Maksudnya: Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya.

Hikmah Membaca Doa Makan

1. Mendapat keberkatan – Rasa kenyang. 

Nabi SAW pernah bersabda kepada sebahagian sahabat yang mengadu mereka makan tetapi tidak kenyang bahawa :

فاجتَمِعوا على طَعامِكم، واذكُروا اسمَ اللهِ عليه، يُبارِكْ لكم فيه

Maksudnya : “Hendaklah kamu semua makan secara bersama-sama dan sebutlah nama Allah ke atas makan itu. Maka, Dia akan memberikan keberkatan buat kamu semua padanya (makanan itu)” [HR Abu Daud (3764)]

2. Menghalang serta menjauhkan syaitan daripada makan bersama-bersama.

 “Rasulullah SAW pernah duduk, dan ada seorang lelaki sedang makan tetapi tidak membaca nama Allah sehinggalah tidak tinggal daripada makanannya melainkan satu suapan sahaja. Kemudian, tatkala dia mengangkat suapan terakhir tersebut ke dalam mulutnya, dia membaca, ‘Bismillahi Awwaluhu wa Akhiruhu’ (Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya). Nabi SAW ketawa dan kemudiannya bersabda : “Syaitan terus makan bersamanya, kemudian apabila dia menyebut nama Allah, syaitan itu memuntahkan semula apa yang ada di dalam perutnya (yang dimakan).” [HR Abu Daud (3768)]

3. Berdoa agar makanan tersebut memberi manfaat kepada diri kita. 

Memulakan makan dengan menyebut nama Allah adalah bermaksud aku memohon keberkatan dengan nama Allah, dengan mengharapkan Dia akan memberi manfaat dengan makanan tersebut.

RUJUKAN:

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!