Doa Ibu Bapa – Panduan Bacaan Rumi Beserta Makna

Pada artikel kali ini, kami akan berkongsi dengan anda tentang doa yang boleh anda bacakan buat ibu bapa anda.

Ibu bapa merupakan dua individu paling penting dalam hidup setiap manusia, dan tanpa salah satu daripadanya, kita tidak mungkin wujud di muka bumi ini.

Jadi untuk mengetahui lebih lanjut tentang doa ibu bapa ini, dan cara membacanya teruskan bersama artikel ini sehingga ke penghujung.

Apa itu doa ibu bapa?

Doa ibu bapa merupakan satu lafaz doa yang kita bacakan buat kedua ibu bapa kita. Doa ini dibacakan bagi memohon keampunan ke atas segala dosa yang telah ibu bapa kita lakukan.

Berdoa kepada kedua ibu bapa merupakan satu cara untuk kita berbakti kepada mereka. Ibu bapa seperti yang dinyatakan di bahagian sebelum ini, merupakan dua individu yang sangat penting dalam hidup kita.

Malah di dalam agama Islam sendiri, kedudukan ibu bapa itu adalah tinggi di sisi agama, dan banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang menekankan kita untuk sentiasa menghormati kedua ibu bapa.

Antara ayat dalam Al-Quran yang menekankan kedudukan ibu bapa dan kepentingan berbakti kepada mereka dalam islam boleh dilihat Surah Al-Isra’ di bawah:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

al-Isra’:23

Lafaz doa (bacaan rumi & makna)

Berikut merupakan lafaz doa beserta makna yang boleh anda amalkan untuk kedua ibu bapa anda:

doa ibu bapa

Berikut adalah bacaan rumi doa di atas sebagai panduan anda:

Rabbanagh fir lee, Wa liwaalidaiya, Wa lilmu’mineena yawma yaqoomul hisaab.

Surah Ibrahim: ayat 41

Baca juga: Doa Tahajud : Panduan Bacaan Rumi Beserta Makna Doa

Cara berbakti kepada ibu bapa

Berbakti kepada kedua ibu bapa merupakan satu amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Ia menjadi kewajipan kepada kita sebagai anak-anak untu menjaga dan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa kita.

Sebagai seorang anak kita boleh berbakti kepada kedua iba bapa kita daripada sewaktu mereka masih hidup sehingga mereka sudah meninggal dunia. Berikut adalah cara-cara untuk berbakti kepada ibu bapa yang boleh anda jadikan panduan:

Sewaktu mereka hidup

Jika ibu bapa anda masih hidup, anda boleh melakukan perkara-perkara di bawah sebagai cara untuk berbakti kepada kedua ibu bapa anda:

1. Berlaku baik kepada mereka dan tidak meninggikan suara di hadapan mereka. Ini berdasarkan firman Allah SWT sebagaimana yang telah dinyatakan di atas:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah kamu berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah kamu menengking (menyergah) mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

al-Isra’:23

2. Membantu ibu bapa dari sudut kemampuan setakat yang mampu. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ، وَإِنَّ وَلَدَ الرَّجُلِ مِنْ كَسْبِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik apa yang dimakan oleh seseorang adalah berasal daripada usahanya dan sesungguhnya anak seseorang adalah berasal daripada usahanya.” 

Riwayat al-Nasa’ie (4449)

Di dalam hadith yang lain pula, Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَعْطَى اللهُ أَحَدَكُمْ خَيْرًا فَلْيَبْدَأْ بِنَفْسِهِ وَأَهْلِ بَيْتِهِ

Maksudnya: “Apabila Allah SWT memberikan seseorang kebaikan (kelebihan dari sudut harta) maka mulakanlah dengan dirinya dan juga ahli keluarganya.” 

Riwayat Muslim (1822)

Imam Ibn al-Munzir telah menyatakan bahawa telah berlaku ijma’ di atas kewajipan diambil sebahagian daripada harta atau pendapatan anak untuk dinafkahkan kepada ibubapa yang tidak mempunyai pendapatan atau harta. [Lihat: al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 74/41]

3. Taat kepada ibu bapa dan tidak sesekali menderhakai mereka, seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Isra’ di atas.

4. Sentiasa berdoa kepada mereka. Perkara ini juga jelas berdasarkan sebuah hadith yang sahih daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila matinya seseorang insan itu, maka akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh sentiasa mendoakan kedua ibubapanya.” 

Riwayat Muslim (1631)
ibu bapa

Sewaktu mereka sudah meninggal dunia

Jika ibu bapa anda sudah meninggal dunia, anda masih boleh berbakti kepada mereka dengan cara-cara berikut:

1. Langsaikan hutang-hutang ibu bapa yang wajib iaitu hutang dengan Allah SWT seperti puasa, haji, nazar dan sebagainya. Di antara dalilnya adalah, daripada Ibn Abbas R.anhuma:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ، أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: Telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadhan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha’ puasa bagi pihaknya? Rasulullah SAW bersabda: “Ya, kerana hutang dengan Allah lebih berhak untuk tunaikan.” 

Riwayat al-Bukhari (1953)

2. Langsaikan hutang-hutang ibubapa yang telah pergi kepada manusia setakat yang mampu.

3. Sentiasa berdoa kepada mereka. Ini kerana, doa seorang anak yang soleh kepada ibu bapa mereka yang telah pergi merupakan amalan yang tidak terputus berdasarkan kepada hadith yang kami nyatakan di atas.

Tambahan pula, al-Quran menuntut agar seorang anak itu sentiasa mendoakan kerahmatan dan keampunan buat kedua ibu bapa mereka melalui firman Allah SWT:

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

al-Isra’:24

4. Menziarahi sahabat-sahabat kepada kedua ibubapa. Agama kita amat menganjurkan setiap umatnya untuk menyambung pertalian silaturrahim dengan sesiapa sahaja dan bukan sahaja sesama ahli keluarga sahaja.

Ini berdasarkan kepada umum nas, daripada Anas bin Malik, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.” 

Riwayat al-Bukhari (5986)

5. Bersedekah untuk mereka walaupun selepas ketiadaan mereka. Hal ini juga ada dinyatakan di dalam sebuah hadith. Daripada Ibn Abbas RA bahawa Sa’ad pernah bertanya Rasulullah SAW:

إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَلَمْ تُوصِ، أَفَأَتَصَدَّقُ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan belum sempat dia berwasiat. Maka bolehkah aku bersedekah untuknya? Baginda SAW menjawab: Ya.”

Riwayat al-Nasa’ie (3654)

6. Tunaikan dan penuhi wasiat-wasiat ibu bapa yang telah pergi dengan baik.

ziarah-kubur-ibu

Sesungguhnya sangat besar ganjaran pahala anak-anak yang mendoakan ibu bapa mereka.

Jadi sebagai anak doakanlah kedua ibu bapa kita tanpa jemu untuk temui kebahagiaan dalam hidup, malah untuk mendapat keredaan Illahi. Insya-Allah.

Untuk mendapatkan lebih banyak lagi perkongsian berkenaan dengan ilmu agama dan soal jawab berkenaan fiqh dari sudut pandang Mufti, anda boleh ikuti kami di e-Central (Agama) dan Taqwa.

Sumber:

  1. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-356: Tanggungjawab Anak Terhadap Ibu Bapa. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-416: Lafaz Doa Kedua Ibu Bapa. Mufti Wilayah Persekutuan
  3. Doa Ibu Bapa (Dalam Bacaan Rumi) & Tanggungjawab Anak. Taqwa.my
Bantu kami share artikel ini: